Followers

Tuesday, October 27, 2009

Hanya mampu tengok tangan rakan tenggelam timbul

KAMPAR 27 Okt. - Seorang murid yang terselamat hanya mampu melihat tiga orang rakannya hanyut dibawa arus deras Sungai Kampar malam tadi.

Muhammad Amir Amzah Mohd. Aspar, 12, berkata, dia juga hanya dapat melihat tangan rakan-rakannya itu tenggelam timbul sebelum hilang terus dari pandangan. - Utusan

Operasi mencari dua murid diteruskan hingga 15 kilometer

KAMPAR 27 Okt. — Operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa kejadian jambatan gantung yang runtuh di Sungai Kampar diteruskan sehingga 15 kilometer dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supritenden Abdul Aziz Salleh berkata, operasi yang dimulakan sejak semalam diteruskan sehingga kini bagi mengesan dua lagi murid perempuan yang dikhuatiri lemas dalam kejadian itu.

Beliau berkata, operasi melibatkan 500 orang anggota dan pegawai penyelamat dari pelbagai agensi kini tertumpu di kawasan berhampiran lombong Tronoh dan lebih tiga kilometer sehingga perangkap sampah.

Katanya, walaupun arus Sungai Kampar agak deras ketika ini namun usaha mencari dan menyelamat mangsa akan tetap diteruskan sehingga kedua-dua murid yang hilang itu ditemui. - Bernama

SPRM siasat jika ada penyelewengan kes jambatan gantung runtuh

KOTA KINABALU 27 Okt. — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia membuat siasatan sekiranya didapati ada unsur penyelewengan dalam pembinaan jambatan gantung di sebuah sekolah rendah di Perak, yang dilaporkan runtuh semalam.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan bagaimanapun berkata, setakat ini beliau belum lagi mengeluarkan apa-apa arahan kepada pengarah SPRM negeri Perak kerana pihak berwajib dan kerajaan negeri sedang menangani isu tersebut.

"Jadi biarlah mereka membuat siasatan, ada pihak-pihak berwajib dan kami serahkan kepada mereka, Menteri Besar Perak pun sudah (ambil tindakan).

"Kita cuba tengoklah, kalau ada (penyelewengan) kami akan siasat. Pengarah SPRM Perak akan rujuk kepada kerajaan negeri dan kalau ada berlaku, kita siasat,” katanya kepada pemberita selepas menutup Seminar Pencegahan Rasuah membabitkan Pendatang Asing anjuran SPRM Sabah dan Labuan di sini, hari ini. - Bernama

Unit khas tangani kes dera pembantu rumah - Hishammuddin

KUALA LUMPUR 27 Okt. — Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan sebuah unit khas gabungan beberapa kementerian bagi mencari kaedah terbaik menangani kes penderaan pembantu rumah di negara ini. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penubuhan unit khas berkenaan diyakini mampu menyelesaikan permasalahan itu selain memastikan kes seumpama itu tidak berulang.

"Mungkin kejadian (penderaan) ini akan saya bawa ke pengetahuan jemaah menteri. Satu unit khas yang menggemblengkan semua kementerian terlibat dapat diwujudkan.

"Kita harap kes sebegini tidak akan berlaku dan berulang,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan dalam menangani kes kematian pembantu rumah warga Indonesia Mantik Hani yang dipercayai akibat didera majikannya. - Bernama

Tindakan tegas Jabatan Tenaga Kerja terhadap majikan

PUTRAJAYA 27 Okt. - Jabatan Tenaga Kerja diarah untuk menyelaras tindakan dengan pihak berkuasa yang berkaitan dalam mendakwa para majikan yang didapati mendera pembantu rumah mereka.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S.Subramaniam berkata, pihaknya akan melakukan segala yang termampu bagi menyokong pihak berkuasa dalam mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam kejadian sedemikian.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, beliau menegaskan bahawa pihaknya sentiasa berusaha memastikan keselamatan dan kesihatan para pekerja dijaga, dengan keadilan sosial terpelihara, dan sebarang penderaan yang membabitkan pembantu rumah tidak boleh diterima. - Bernama

Mara perlu pertingkat jaringan dengan universiti tersohor dunia

PUTRAJAYA 27 Okt. — Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mempertingkatkan jaringan hubungan dengan universiti-universiti tersohor dunia bagi membolehkan lebih ramai pelajarnya terpilih melanjutkan pengajian di universiti itu.

Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ketika ini, walaupun ramai pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan namun tidak ramai yang berpeluang mengikuti pengajian di universiti-universiti terkemuka.

"Di masa depan, mungkin kita akan jemput mereka datang ke mari untuk melihat prasarana dan bagaimana persediaan pelajar-pelajar yang kita lakukan.

"Ini supaya mereka boleh lihat bagaimana standard sistem pembelajaran yang ada yang kita boleh katakan... mereka (pelajar Mara) juga layak ke (universiti) Oxford dan Cambridge,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Jasa Pensyarah Kolej Mara Banting dan Kolej Mara Seremban di sini hari ini. - Bernama

Kementerian Pelancongan perkenal tarian Cuti-cuti 1Malaysia

KUALA LUMPUR 27 Okt. — Kementerian Pelancongan Malaysia hari ini memperkenalkan tarian Cuti-Cuti 1Malaysia yang merupakan hasil gabungan beberapa tarian termasuk tarian Cina, India, Zapin, serta tarian dari Sabah dan Sarawak, dalam usaha meningkatkan promosi pelancongan negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, tarian Cuti-Cuti 1Malaysia yang akan diperkenalkan di setiap negeri itu juga akan dibawa untuk dipersembahkan ke luar negara bagi memperkenalkan keunikan kebudayaan Malaysia.

Beliau berkata, satu pasukan kebudayaan akan tubuhkan dengan peruntukan RM3.8 juta setahun bagi menjayakan program tarian itu dengan kerjasama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

"Ini merupakan usaha kementerian untuk memberikan peluang kepada pelancong asing turut sama mengambil bahagian secara aktif dalam tarian ini,” kata Dr Ng selepas melancarkan tarian Cuti-cuti 1Malaysia di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di sini hari ini. - Bernama

Malaysia pasaran penting NZ


Najib Tun Razak bersama John Key menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian FTA antara Mustapa Mohamed dan Tim Groser di Kuala Lumpur, semalam.


PUTRAJAYA 26 Okt. - New Zealand memberi jaminan Malaysia akan terus menjadi pasaran penting bagi negara itu dalam sektor perdagangan, pendidikan dan pelancongan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu dinyatakan oleh rakan sejawatnya, John Key yang kini mengadakan lawatan kerja selama tiga hari ke negara ini sejak semalam.

Katanya, nilai dagangan kedua-dua negara dijangka kembali pulih dan meningkat tahun depan berbanding tahun ini berikutan kesan ekonomi global yang semakin pulih.

''Pada 2008, nilai dagangan kedua-dua negara adalah RM6.15 bilion iaitu meningkat dua kali ganda berbanding 2006 tetapi menurun pada tahun ini.

''Bagaimanapun, saya percaya ini hanya fenomena sementara dan akan pulih kembali dengan jumlahnya lebih meningkat pada 2010," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar bersama Key di sini hari ini.

Kedua-dua pemimpin sebelum itu mengadakan pertemuan lebih sejam di Bangunan Perdana Putra.

Antara yang hadir Menteri Luar, Datuk Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed serta Menteri Perdagangan New Zealand, Tim Groser.

Najib memberitahu, hubungan dagangan dua hala itu yang telah terjalin sejak sekian lama seharusnya dimanfaatkan oleh para pelabur dari New Zealand.

Jelasnya, Malaysia seharusnya menjadi hab industri menarik kepada mereka seterusnya menjadikan negara ini sebagai pintu masuk untuk menerokai pasaran ASEAN.

''Bidang pendidikan akan terus menjadi sektor utama dalam hubungan kerjasama ini.

''Sementara sektor pelancongan juga memperlihatkan peningkatan dengan jumlah kedatangan pelancong dari New Zeland ke negara ini seramai 56,000 orang pada tahun lalu," ujarnya.

Perdana Menteri menambah, beliau percaya lebih banyak sektor baru boleh diterokai bersama seperti bidang sains dan teknologi serta teknologi komunikasi maklumat (ICT).

Sementara itu, Key berkata, Malaysia merupakan rakan dagangan kelapan terbesar New Zealand.

''Pelajar asing yang paling ramai melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di New Zealand juga dari Malaysia.

''Pada masa sama, seramai 1,000 rakyat New Zealand melancong ke Malaysia setiap minggu," tambah beliau.

Malaysia–NZ meterai FTA

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Malaysia dan New Zealand hari ini menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang membolehkan akses lebih luas di antara kedua-dua negara.

Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed dan Menteri Perdagangan New Zealand, Tim Groser.

Majlis itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama rakan sejawatnya, John Key di sebuah hotel terkemuka di sini malam ini.

Berucap selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut, Najib berkata, hubungan dua hala Malaysia dan New Zealand sudah wujud untuk tempoh yang lama dan melibatkan beberapa generasi.

‘‘Perjanjian dagangan bebas Malaysia dan New Zealand yang ditandatangani hari ini merupakan simbol matlamat politik untuk membawa hubungan yang terjalin selama ini ke tahap lebih tinggi.

‘‘Ia bukan sahaja mengenai akses yang lebih luas di antara kedua-dua negara atau meneroka peluang baru. Saya ingin melihat sektor swasta di kedua-dua negara menggunakan peluang akses luas untuk mencari pasaran di kedua-dua negara dan ASEAN,’’ katanya.

Najib menjelaskan, perjanjian itu mencerminkan hasrat integrasi yang lebih baik di antara kedua negara.

Pelajar melompat, bermain atas jambatan sebelum runtuh

KAMPAR: Antara 30 hingga 50 murid berada di atas jambatan gantung yang menghubungkan tapak perkhemahan dan Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang ketika ia runtuh semalam.

Kejadian itu menyebabkan seorang murid mati lemas dihanyut air deras Sungai Kampar, dua lagi masih hilang, manakala 19 yang lain selamat.

Seorang murid yang terselamat K Mathivanan, 12, berkata, kejadian berlaku secara tiba-tiba ketika ada antara mereka menyeberangi jambatan itu untuk ke sekolah untuk makan malam dan ada yang balik ke kem.

Beliau berkata, sebelum runtuh, jambatan itu bergoyang kerana ada murid yang melompat dan bermain ketika berada di atasnya.

"Masa itu ada 30 hingga 50 murid atas jambatan. Tiba-tiba saja kami tercampak ke dalam sungai dan saya sempat berpaut pada tali...air sungai sangat kuat tetapi saya dapat menarik badan untuk naik," katanya.

Mathivanan berkata, suasana seronok tiba-tiba menjadi keadaan kelam kabut dan ramai murid menjerit meminta tolong dan ada yang menangis.

Beliau adalah antara 298 murid dari 60 sekolah rendah dari Kampar, Tronoh dan Batu Gajah yang menyertai aktiviti kokurikulum Perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan di situ.

Jambatan sepanjang kira-kira 50 meter itu baru siap dibina dua minggu lalu bagi menggantikan jambatan gantung lama yang runtuh sebelum ini, kata seorang ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Jambatan itu menghubungkan tapak perkhemahan untuk ke Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang. Seorang guru, Mohd Safri Abdul Rafar, berkata beliau berada tidak jauh dari jambatan dan terkejut apabila terdengar bunyi benda jatuh diikuti oleh jerit pekik.

"Saya terus melompat pagar dan terjun ke dalam sungai, saya sempat membawa naik tiga atau empat murid...air sangat deras dan saya sendiri hampir lemas dan terpaksa naik ke tebing," katanya.

Safri berkata, beliau kemudian turun semula dan sempat membawa naik lima lagi murid. "Pengawal sekolah ini yang dikenali sebagai Idris sempat menyelamatkan enam murid, tapi saya sedih dan terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan seorang murid yang berpegang pada tali besi sebelum melihat dia dihanyutkan air," katanya.

Perkhemahan yang bermula hari ini, dijadual hingga Khamis dan pendaftaran peserta dibuat sejak 3 petang semalam, kata guru SK Seri Tronoh itu.

Seramai 23 guru terbabit dengan perkhemahan itu dan kem yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang itu adalah yang kedua dianjurkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan selepas perkhemahan di SK Pos Raya, minggu lalu.

Perkhemahan yang sama diadakan serentak hari ini di Daerah Larut, Matang dan Selama serta Daerah Manjung, katanya.

Murid yang menyertai perkhemahan itu terdiri daripada pelbagai bangsa sejajar dengan objektif perkhemahan untuk mereka berinteraksi dan melakukan aktiviti bersama-sama seperti memasak masakan tradisional, mengikuti latihan kebudayaan dan bermain pelbagai jenis permainan rakyat. - Bernama

Pas tutup pintu rundingan dengan Umno babitkan kerajaan perpaduan

KUALA LUMPUR: Pas membuat keputusan untuk menutup semua pintu rundingan dan perbincangan dengan Umno berhubung cadangan pembentukan kerajaan perpaduan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata keputusan itu dibuat kerana Pas menganggap cadangan itu sebagai satu perkara yang sudah berlalu.

“Kita sudah tutup buku kerana kita tidak tahu macam mana pemimpin (Umno) sekarang. Cadangan pembentukan kerajaan perpaduan dibuat ketika zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya di lobi Parlimen, sebentar tadi.

Orang ramai perlu guna 'kuasa pengguna' tentukan harga, kata Ismail

SERI ISKANDAR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengulangi nasihat Kepada orang ramai supaya menggunakan “kuasa” sebagai pengguna bagi menentukan harga barangan di pasaran.

“Rakyat boleh menggunakan hak pengguna sebagai kuasa untuk menentukan harga…kefahaman ini masih belum meluas di kalangan pengguna keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata kurang kefahaman berkenaan menyebabkan pengguna masih terus mengharapkan kerajaan untuk bertindak mengawal harga barangan di pasaran sedangkan hanya beberapa barangan yang dikawal melalui undang-undang seperti Akta Kawalan Harga.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kelab Pengguna Institut Pengajian Tinggi (IPT) Kebangsaan di UiTM Seri Iskandar di sini kelmarin.

Ismail Sabri berkata kadar kefahaman kepenggunaan di kalangan rakyat masih berada sekitar 50 peratus dan kementerian telah meningkatkan kempen kesedaran melalui pelbagai bidang termasuk menggunakan rancangan televisyen dan iklan.

Katanya, sebagai contoh, orang ramai tidak sedar bahawa hanya lima sahaja barangan makanan dikawal harganya oleh kerajaan iaitu beras, gula, gandum, minyak masak dan roti putih selain gas, petrol dan diesel.

“Bagi harga roti canai atau teh tarik, harganya tidak dikawal dan pengguna mempunyai kuasa untuk memastikan pekedai tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya …. guna kuasa sama ada mahu membeli atau memboikot barangan yang dinaikkan harga,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri melahirkan keyakinan bahawa kesedaran kepenggunaan di kalangan rakyat akan meningkat lebih baik apabila generasi muda di bangku sekolah dan IPT semakin terdedah dengan penubuhan kelab-kelab penguna. Beliau berkata sehingga kini, 11 IPT termasuk 9 di Perak telah menubuhkan kelab dan selepas pelancaran hari ini, kementerian mensasarkan semua 56 Institut Pengajian Tinggi Awam seluruh negara akan menubuhkan kelab sebelum pertengahan tahun depan.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pemberian geran pelancaran kelab berjumlah RM1,000 bagi setiap kelab penguna IPT.

Katanya, sasaran seterusnya adalah menubuhkan kelab pengguna di semua sekolah menengah di mana sehingga kini hanya 991 sekolah mempunyai kelab berkenaan.

Kerajaan jamin hukum pendera Mantik

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Kementerian Sumber Manusia hari ini memberi jaminan akan memastikan pendera pembantu rumah warga Indonesia, Mantik Hani, 36, tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Menterinya, Datuk Dr. S. Subramaniam menegaskan, tiada sebarang kompromi akan diberikan jika siasatan mendapati majikan mangsa bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.

''Saya kesal dengan insiden ini dan memberi jaminan bahawa tindakan akan diambil ke atas pihak yang menyebabkan kematian beliau,'' tegasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kematian Mantik pada pukul 10 pagi ini di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang selepas menerima rawatan dipercayai akibat didera teruk sejak Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Subramaniam menegaskan, perkara itu tidak seharusnya berlaku dan kerajaan memandang serius kejadian berkenaan.

Menurutnya, majoriti daripada 280,000 pembantu rumah di negara ini sebenarnya dilayan dengan baik, tetapi kejadian itu telah mencemarkan nama para majikan di negara ini.

Sehubungan itu, Subramaniam menegaskan, kerajaan akan mengambil tindakan lebih tegas supaya kejadian serupa tidak berulang.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Kekalkan perpaduan kaum

KUALA PILAH 26 Okt. - Rakyat negara ini perlu terus mengekalkan budaya hidup bersama tanpa mengira kaum dengan menghormati antara satu sama lain supaya keharmonian terus terpelihara, titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Baginda bertitah, keamanan dan keharmonian yang wujud lahir daripada rasa muafakat dan kesefahaman semua rakyat berbilang kaum.

"Beta berharap amalan ini akan menjadi budaya murni di kalangan rakyat untuk menjamin keharmonian hidup sebagai satu bangsa yang bertamadun.

"Sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama, perpaduan merupakan elemen penting kepada kestabilan, keharmonian dan kemakmuran negara.

"Dengan kekuatan ini, beta menyeru kepada semua agar bergerak seiring ke hadapan untuk meningkatkan lagi kemakmuran negeri dan negara ini," titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11 di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini, hari ini.

Baginda yang melahirkan kesyukuran dengan pertabalan itu bertitah ia merupakan satu lagi kesinambungan sistem sosiopolitik yang telah wujud sejak 700 tahun dahulu.

Malah titah baginda, pertabalan itu merupakan Adat Perpatih yang unik kerana hanya terdapat di negeri ini dengan kebanyakan cirinya mempunyai asal usul dari Pagaruyung.

Titah baginda, kewujudan sistem beraja di Negeri Sembilan itu sendiri merupakan lambang kesepakatan dan perpaduan apabila sembilan negeri berpakat untuk bernaung di bawah satu raja apabila Raja Melewar telah ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Besar di Kampung Penajis, Rembau kira-kira 250 tahun lalu.

"Sering berlaku, raja datang menawan dan menakluki sesuatu negeri. Namun begitu di Negeri Sembilan, Raja Melewar ke negeri ini bukan sebagai penakluk tetapi dipersilakan untuk menyatukan negeri di sini.

"Yang Dipertuan Besar juga menjadi lambang memayungi dan melindungi semua rakyat yang berada di Negeri Sembilan. Jelaslah institusi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan diwujudkan hasil dari persilaan ini," titah baginda

Strategi baru urus aset


Muhyiddin Yassin diiringi Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Prof. Dr. Ir. Judin Abdul Karim pada majlis perasmian Konvensyen Pengurusan Aset dan Fasiliti Negara 2009 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 26 Okt. - Kerajaan sedang mempertimbangkan beberapa strategi baru bagi memantapkan pelaksanaan pengurusan aset negara dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara inisiatif yang dipertimbangkan untuk memantapkan pelaksanaan itu adalah strategi perolehan baru, perancangan bersepadu dan pembangunan lestari.

Beliau berkata, beberapa usaha sedang dipertimbangkan kerajaan bagi mengguna pakai Konsep Pengurusan Aset Secara Menyeluruh itu sebagai kerangka pengurusan strategik.

"Beberapa negara maju telah mengguna pakai Konsep Pengurusan Aset Menyeluruh dan Malaysia juga boleh berbuat demikian kerana konsep itu bersifat menyeluruh dan memiliki pendekatan penyelarasan yang mantap," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Konvensyen Pengurusan Aset dan Fasiliti Negara 2009 di sini hari ini.

Persidangan dua hari itu menghimpunkan pakar-pakar dari sektor korporat dan kerajaan untuk berkongsi maklumat dan pembelajaran bagi membentuk pelaksanaan terbaik dalam urus tadbir pengurusan aset kerajaan pada RMK-10.

Menurut Muhyiddin, nilai aset yang dimiliki kerajaan ketika ini terlalu besar jumlahnya dan jika tiada sebarang langkah pengurusan yang berkesan ia akan merugikan negara sendiri.

"Nilai aset semasa mungkin beratus-ratus bilion ringgit ketika ini dan satu langkah berkesan perlu diambil bagi menjaga harta negara yang dimiliki rakyat," katanya.

Ujarnya, penggunaan strategi perolehan seperti Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dan Reka Bentuk Senggara serta perkongsian strategik yang digunakan dalam kerjasama swasta- awam oleh negara-negara maju boleh digunakan sebagai rujukan.

Menerusi pendekatan ini katanya, sektor awam boleh menumpukan kepada penyampaian perkhidmatan mereka.

"Perancangan bersepadu, juga mampu menjana aktiviti ekonomi sampingan, boleh dipertimbangkan sebagai alternatif dalam mengoptimumkan penggunaan tanah dan perkongsian kemudahan.

"Di samping itu, penggunaan teknologi hijau, terutama dalam bidang kecekapan tenaga dan tenaga diperbaharui boleh dimanfaatkan di masa depan," katanya.

Muhyiddin berkata, inisiatif 'Bangunan Hijau' perlu diberi pertimbangan sewajarnya dan ia merupakan amanah dan tanggungjawab bersama untuk generasi akan datang.

Beliau menambah, kerajaan sedang mencari jalan bagi mengurangkan perbelanjaan dan memaksimumkan penggunaan kemudahan awam secara berkesan bagi menampung kos operasi dan penyenggaraan melalui konsep penyewaan.

"Sebagai contoh, jika satu bangunan itu dimiliki oleh satu agensi kementerian dan tidak digunakan. Ia boleh disewakan dan separuh hasilnya akan diberi kepada pihak agensi dan kementerian bagi senggaraan dan yang selebihnya diberi kepada Kementerian Kewangan,'' katanya.

Negeri pakatan pembangkang merosot

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Selepas puluhan tahun Barisan Nasional (BN) berjaya mentadbir dan memajukan beberapa negeri seperti Selangor dan Kedah, kini sudah ada tanda pembangunan di negeri terlibat mungkin merosot.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelbagai isu politik yang membelenggu negeri terbabit akibat masalah kerjasama parti-parti dalam pakatan pembangkang akan membawa kesan pentadbiran yang amat buruk sehingga mengganggu perjalanan pembangunan.

Katanya, perkara itu adalah antara yang paling dibimbanginya, begitu juga para pemimpin BN yang lain.

Tambahnya, rakyat dan pengundi akan menjadi mangsa terhadap kemelut yang berlaku dalam pakatan pembangkang.

"Ini saya bimbang, kalau ada beberapa tahun lagi mereka mentadbir di negeri-negeri yang mereka ada kuasa tetapi tidak ditadbir dengan baik, jadi apa yang sudah kita bangunkan sebelum ini di bawah kerajaan BN mungkin akan merosot dan kesannya ialah nasib hidup rakyat dan pengundi di negeri yang berkenaan akan sulit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Pengurusan Aset dan Kemudahan Negara (Nafam) 2009 di sini hari ini.

Muhyiddin mengulas kenyataan Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang dalam blognya yang mengakui pakatan pembangkang sedang melalui krisis kehilangan keyakinan daripada rakyat sejak lapan bulan yang lalu.

Hakisan keyakinan itu katanya, berpunca daripada kegagalan pemimpin pakatan pembangkang sendiri untuk melaksanakan tanggungjawab dan disiplin dalam parti masing-masing bagi meyakinkan pengundi Malaysia berhubung kredibiliti, integriti dan perpaduan antara mereka.

Menurut Muhyiddin, adalah sesuatu yang amat baik apabila Kit Siang sendiri sudah mengakui bahawa para pemimpin pakatan pembangkang mempunyai masalah untuk bersatu dan bekerjasama.

"Kalau Kedah kerajaan Pas dan DAP, di Selangor antara Datuk Dr. Hasan Ali dengan Menteri Besar, begitu juga di Pulau Pinang, kalau Kit Siang sendiri sudah akui mereka tidak ada kepimpinan, ia harus menyedarkan rakyat bahawa pakatan pembangkang tidak ada kemampuan," katanya.

Sehubungan itu Muhyiddin meminta rakyat menilai situasi secara mendalam bagi melihat masalah yang sebenarnya wujud.

Beliau juga meminta rakyat menilai kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan BN yang telah lama memiliki pengalaman untuk memajukan negara.

Menurutnya, bukan setakat di negeri-negeri tetapi di peringkat dalaman parti juga berkocak dengan pelbagai masalah yang cuba ditutup sepanjang masa oleh pakatan pembangkang.

"Kalau ambil parti-parti komponen mereka, Pas juga berhadapan dengan konflik yang hebat, DAP nampak okay tetapi sebenarnya tidak okay, PKR pun begitu juga," katanya.

Beliau berkata, kemelut kepimpinan dalaman yang melanda Pas kini adalah satu bukti terhadap kenyataan itu.

Lebih banyak teknologi hijau lindungi alam sekitar

PUTRAJAYA 26 Okt. – Malaysia komited untuk membangunkan lebih banyak teknologi hijau bagi memelihara dan melindungi alam sekitar negara ini di masa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini kerana alam sekitar kini menjadi tumpuan utama kerajaan dalam memacu pembangunan negara.

‘‘Kita semestinya mahu bekerjasama rapat dengan kerajaan New Zealand kerana mereka mempunyai rekod yang cemerlang dalam melindungi alam sekitarnya.

‘‘Saya menaruh minat yang mendalam bersama kerajaan New Zealand bagi mencapai agenda kita dalam memastikan alam sekitar yang lebih baik di Malaysia,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri New Zealand, John Key selepas mengadakan perbincangan dua hala selama lebih sejam di sini, hari ini.

Dalam lawatan kerja selama tiga hari yang bermula semalam, Key turut disertai oleh sembilan pegawai kanan kerajaan New Zealand.

Najib berkata, kerjasama memelihara dan melindungi alam sekitar turut terkandung dalam Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dengan New Zealand.

‘‘Untuk itu, kita komited untuk meneroka era teknologi hijau,” katanya.

SAMPAIKAN SIJIL


Tunku Dr. Sharifah menerima sijil dari Najib di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, semalam. – Bernama


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menyampaikan sijil Mahadevan Fellowship Award kepada anak Malaysia pertama yang ditawarkan biasiswa di Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

Tunku Dr. Sharifah Elizah Cornelia Jamalullail, ditawarkan biasiswa daripada universiti tersohor itu untuk melakukan kajian di bidang psikiatrik selama sebulan.

Biasiswa itu membolehkan Dr. Sharifah melanjutkan pengajian di Jabatan Psikiatri, Hospital Massachusetts Amerika.

Menyaksikan majlis tersebut ialah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Naib Presiden The London College of Clinical Hypnosis (LCCH) Asia, Tan Sri Dr. Mahadewan dan Pengetua LCCH Asia, Sheila Menon.

Presiden Indonesia lawat Malaysia 11 November

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono akan mengadakan lawatan sehari ke Malaysia, negara ASEAN pertama dilawati beliau selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden bagi penggal kedua, 11 November ini.

Dalam lawatan itu, Susilo dan rombongan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah di Istana Negara.

Selain itu, Susilo turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar berkata, lawatan Susilo dan rombongannya ke negara ini bagi mengukuhkan hubungan yang sedia erat antara kedua-dua negara.

''Presiden Susilo dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dijangka mengadakan pertemuan dan perbincangan mengenai isu-isu bilateral kedua-dua negara dalam usaha mengukuh serta mempertingkatkan lagi hubungan erat yang sedia terjalin,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas dikurniakan gelaran sebagai Profesor Keselamatan dan Antikeganasan dari Universiti Edith Cowan, Australia di Kedutaan Besar Republik Indonesia di sini hari ini.

Turut hadir presiden yang juga naib canselor universiti itu, Prof. Kerry O. Cox.

Katanya lagi, pemilihan Malaysia sebagai negara pertama dilawati Susilo selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden bagi penggal kedua adalah kerana hubungan kedua-dua negara merupakan yang paling strategik di rantau ini.

''Perbincangan itu juga meliputi isu-isu kepentingan bersama, kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, pembangunan infrastruktur dan keselamatan di sempadan antara kedua-dua negara serta isu-isu ASEAN," katanya.

Susilo mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden Indonesia bagi penggal kedua untuk tempoh 2009- 2014 selepas memenangi pilihan raya Presiden republik itu pada 8 Julai lalu.

Pada 20 Oktober lalu, Najib menghadiri majlis angkat sumpah dan pemasyhuran Presiden Susilo di Istana Presiden, Indonesia.

Najib diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman.

Menurut Da'i Bachtiar, lawatan Susilo ke Malaysia adalah satu tradisi di kalangan pemimpin ASEAN yang baru dilantik untuk mengunjungi rakan-rakan sejawatannya.

''Hubungan yang begitu rapat antara pemimpin kedua-dua negara menjadi kekuatan dalam hubungan Malaysia-Indonesia." katanya.

Wujudkan Skim Perkhidmatan Universiti

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Kakitangan institut pengajian tinggi awam (IPTA) menggesa kerajaan supaya mewujudkan Skim Perkhidmatan Universiti yang berbeza daripada kakitangan kementerian dan agensi lain.

Pengerusi Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/IPTA Malaysia (Gakum), Omar Osman berkata, skim baru itu perlu memandangkan tanggungjawab golongan tersebut semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Katanya, berbeza dengan dahulu, negara kini menyaksikan pertumbuhan pesat IPTA dengan kewujudan 20 universiti serta politeknik dan kolej universiti.

‘‘Satu skim baru perlu memandangkan kakitangan awam di IPTA terikat dengan skim perjawatan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

‘‘Hakikatnya, bebanan tugas mereka kini bertambah contohnya dengan kemasukan begitu ramai pelajar asing sejak beberapa tahun lalu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berucap pada Persidangan Kebangsaan Pengurusan Kepimpinan anjuran Gakum bermula Ahad lalu sehingga esok.

Hadir sama pengerusi persidangan itu merangkap Setiausaha Gakum, Ku Azmi Ku Ibrahim.

Omar yang juga Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menjelaskan, kewujudan skim baru itu bakal memberi manfaat kepada lebih 80,000 kakitangan awam IPTA di seluruh negara yang terdiri daripada kakitangan pengurusan, akademik dan sokongan.

Katanya, skim baru itu harus memudahkan kenaikan pangkat seseorang kakitangan sokongan kerana beberapa universiti menyaksikan petugas bahagian perkeranian kekal di jawatan sama untuk tempoh 30 tahun.

Sesetengah universiti pula menurutnya, menyaksikan kenaikan pangkat seseorang kerani itu dalam tempoh tidak sampai lima tahun.

‘‘Jika ini terus berlaku, kakitangan universiti yang ketinggalan tidak akan bersemangat untuk bekerja dan ia menjejaskan pembangunan modal insan di IPTA terlibat,” ujarnya.

Katanya, melalui skim baru itu juga kerajaan perlu menyediakan insentif seperti tanggungan mengerjakan umrah bagi petugas sokongan yang mendapat anugerah cemerlang untuk tiga tahun berturut-turut dan melawat ke negara luar bagi yang bukan beragama Islam.

Pada masa ini katanya, IPTA di seluruh negara mempunyai kuasa melantik kakitangan mereka tetapi skim perjawatan dan kenaikan pangkat serta gaji masih terikat dengan sistem JPA.

IPTA perlu jelaskan peranan kakitangan dalam PSPTN segera

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu memastikan kakitangan sokongan memahami peranan mereka dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) bagi memperkukuhkan sistem penyampaian Kementerian Pengajian Tinggi.

Ini kerana sejak pelaksanaan PSPTN pada 2007, terdapat ramai lagi kakitangan sokongan di IPTA yang tidak mengetahui atau faham mengenai peranan masing- masing dalam dasar itu.

Pengarah Bahagian Pengurusan Pembangunan Akademik, Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Madya Dr. Zarida Hambali (gambar) berkata, kegagalan tersebut boleh menjejaskan matlamat untuk melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti.

''Pada Disember ini, kakitangan jabatan serta Kementerian Pengajian Tinggi akan melawat ke semua IPTA bagi membuat audit mengenai PSPTN.

''Tetapi, saya juga suka mengingatkan kakitangan sokongan di IPTA supaya 'mencari' sendiri peranan masing-masing dalam PSPTN," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja pada Persidangan Kebangsaan Pengurusan Kepimpinan anjuran Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/IPTA Malaysia (Gakum) di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya Zarida menjelaskan, dasar PSPTN kini berada dalam peringkat pertama iaitu Fasa Peletakan Asas sehingga 2010.

Katanya, dasar yang dirangka sehingga 2010 itu bertujuan mempertingkatkan tahap pendidikan tinggi di negara ini supaya selari dengan negara maju.

''Justeru, adalah sesuatu yang merugikan sekiranya kakitangan sokongan di IPTA gagal memahami fungsi masing-masing walaupun fasa peletakan asas PSPTN ini hampir berakhir," jelasnya.

Peringkat-peringkat lain dalam PSPTN pula adalah Fasa 2-Peningkatan dan Pemerkasaan (2011-2015); Fasa 3-Kecemerlangan (2016-2020) dan Fasa 4-Kegemilangan dan Kelestarian (selepas 2020).

Persidangan Wanita Pertama dicadang


Rosmah Mansor (dua dari kanan) dan isteri Perdana Menteri Dubai, Puteri Haya Al Hussein (kanan) pada majlis perasmian Forum Kepimpinan Wanita di Hotel Burj Al Arab, Dubai, semalam. - BERNAMA


DUBAI 26 Okt. - Datin Seri Rosmah Mansor menggesa dianjurkan 'Sidang Kemuncak Wanita Pertama Memupuk Pemimpin Wanita Masa Depan' pada tahun depan untuk merumuskan kaedah bagi meningkatkan lagi peranan wanita dalam kepimpinan serta menyelesaikan isu yang dihadapi mereka.

''Malaysia bersedia untuk berusaha menjadikan sidang kemuncak pertama ini menjadi realiti dan saya merayu kepada semua wanita pertama dan isteri para pemimpin untuk turut serta dalam sidang kemuncak ini,'' kata isteri Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak itu.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Forum Kepimpinan Wanita di sini pada Isnin, yang dihadiri kira-kira 300 wanita berpengaruh daripada sektor politik, akademik dan perniagaan dari seluruh dunia.

''Rumusan daripada sidang kemuncak ini, saya pasti akan menerima perhatian utama daripada para pemimpin banyak negara dan diharapkan akan diterjemahkan kepada tindakan,'' katanya pada perhimpunan itu.

Bercakap kepada pemberita Malaysia kemudiannya, Rosmah berkata, tarikh yang sesuai akan ditetapkan bagi penganjuran sidang kemuncak itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula berkata, Kabinet telah memberikan kelulusan bagi penganjuran sidang kemuncak itu.

Dalam ucapannya, Rosmah berkata, beliau percaya para Wanita Pertama dapat memainkan peranan penting dalam menggalakkan peranan kepimpinan wanita di negara masing-masing.

''Wanita Pertama berada pada kedudukan yang unik untuk mendekati dan membawa perubahan kepada masyarakat melalui pembabitan mereka dalam organisasi sukarela untuk membantu golongan miskin, kurang bernasib baik dan mereka yang memerlukan,'' katanya.

Rosmah memberikan contoh Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri Malaysia (Bakti), yang beliau adalah pengerusinya, yang menyediakan biasiswa, bantuan perubatan dan kesihatan kepada golongan memerlukan dan mengusahakan projek bagi golongan kurang upaya.

Bantuan kemanusiaan Bakti turut dihulurkan ke negara lain seperti Bosnia, Indonesia, Sri Lanka, Gaza dan Filipina, katanya.

Beliau turut menyentuh usahanya dalam membangunkan pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak serta usaha untuk mengenal pasti kanak-kanak pintar.

Rosmah menggesa Wanita Pertama dan isteri para pemimpin untuk memanfaatkan kapasiti mereka untuk memperjuangkan dan mengukuhkan lagi peranan kepimpinan wanita.

''Kita perlu mainkan peranan kita untuk memastikan pucuk pimpinan di negara kita tidak terlepas pandang akan potensi besar tenaga kerja wanita untuk menerajui dalam perdagangan, industri dan politik,'' katanya.

Kemudiannya, ketika diminta mengulas lanjut mengenai sidang kemuncak yang dicadangkan itu, Rosmah berkata, ia akan dikendalikan oleh kementerian Shahrizat.

Beliau berkata, pemimpin wanita berpengaruh dan profesional juga akan dipelawa untuk memberikan input mengenai bagaimana wanita pertama dapat membantu dengan lebih baik lagi wanita di negara masing-masing. - BERNAMA

Bakar al-Quran: Protes ganas berterusan


PELAJAR-PELAJAR universiti di Afghanistan bertempur dengan pasukan keselamatan dengan melontar batu di Kabul, semalam. – AFP


KABUL 26 Okt. – Polis Afghanistan hari ini melepaskan tembakan dan menghalakan meriam air ke arah penunjuk perasaan yang melancarkan protes di sini selepas timbul dakwaan tentera Barat membakar senaskhah al-Quran.

Tiga orang dilaporkan cedera terkena tembakan dalam pertempuran dengan polis, apabila polis cuba menghalang kira-kira 300 pelajar yang kebanyakannya lelaki daripada berarak ke bangunan Parlimen, kata ketua siasatan jenayah polis Kabul, Sayed Abdul Ghafar Sayedzada.

“Polis melepaskan tembakan ke arah orang ramai dan sebutir peluru mengenai saya ketika saya hendak menutup kedai saya,” kata seorang pemuda, Sherullah yang dimasukkan ke hospital setelah cedera di pinggul.

Sayedzada menafikan polis melepaskan tembakan ke arah orang ramai dan mendakwa mereka hanya menembak ke udara, selain menggunakan meriam air.

Bagaimanapun seorang doktor di wad kecemasan hospital Ibn Sina memberitahu AFP, sekurang-kurangnya tiga lelaki yang cedera ditembak telah dimasukkan ke hospital.

Lebih 15 anggota polis turut cedera dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan itu, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Zemarai Bashary.

“Kami mengadakan tunjuk perasaan untuk membantah pembakaran al-Quran oleh tentera asing tetapi polis tiba dan mula memukul kami,” kata seorang pemuda yang ditangkap.

Dalam protes serupa di sini semalam, penunjuk perasaan membakar patung Presiden AS, Barack Obama dan menyerang polis yang melepaskan tembakan ke udara untuk menyuraikan mereka.

Protes serupa tetapi lebih kecil turut berlaku di bandar Jalalabad dan Kandahar pada minggu lepas.

Seorang jurucakap Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) pimpinan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berkata, dakwaan mengenai pembakaran al-Quran itu sudah disiasat dan didapati tidak berasas.

“Siasatan mendapati tidak ada anggota ISAF atau tentera Afghan yang membakar sebarang naskhah al-Quran di wilayah Wardak,” kata jurucakap itu. – AFP