Followers

Sunday, October 11, 2009

Terus jaga kebersihan walau kes H1N1 berkurangan

KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta terus menjaga kebersihan, mengamalkan cara hidup sihat dan mengambil langkah-langkah pencegahan walaupun jumlah kes Influenza A(H1N1) semakin berkurangan dan tiada kes kematian dilaporkan sejak kebelakangan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata ini kerana penularan penyakit itu masih aktif di kalangan masyarakat.

Beliau berkata, 81 pesakit baru dengan gejala penyakit serupa Influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital di seluruh negara manakala 152 kes didiscaj hari ini.

Jumlah semasa kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara sehingga hari ini ialah 635 orang dengan 31 pesakit disahkan kes H1N1.

"Sebanyak lapan kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sementara tiada kes didiscaj pada hari ini dan sehingga kini tiada kematian dilaporkan dengan jumlah kematian kekal pada 77 kes," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, lapan kes yang dirawat di ICU itu mempunyai faktor risiko iaitu tiga daripada pesakit kanak-kanak bawah umur lima tahun, tiga berpenyakit kronik, satu berpenyakit obesiti dan satu lagi dengan dua faktor risiko iaitu bawah umur lima tahun serta berpenyakit kronik.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) meneruskan pemantauan tahap kesihatan anaknya dan memastikan mereka mendapat rawatan segera dari klinik atau hospital sekiranya dijangkiti penyakit ILI serta melaporkan kepada pihak sekolah supaya tindakan yang bersesuaian dapat diambil. - Bernama

BN 4,337, Pas 941 undi selepas penjumlahan 6 daripada 18 peti undi

Keputusan rasmi semasa:

Pengumuman jumlah undi pos:

Tan Sri Mohd Isa Samad: 3,521
Zulkefly Mohd Omar 601

Untuk 6 peti undi yang sudah diterima dan disahkan setakat ini:

BN 4,377
Pas 941

Saluran Taman Eastern (SK Sri Rusa):
BN 136
Pas 78
Undi ditolak 1

Ladang Sua Betong (Saluran 1):
BN 158
Pas 55
Undi ditolak 6

Ladang Sua Betong Saluran 2:
BN 213
Pas 94
Undi ditolak 3

Ladang Siluau (Saluran Satu):
BN 162
Pas 49
Undi ditolak 7

Ladang Siliau (Saluran 2):
BN 187
Pas 64
Undi ditolak 7

Pekerja Indonesia bantah cubaan cetus ketegangan

CAMERON HIGHLANDS: Sekumpulan pekerja warga Indonesia berkumpul secara aman di hadapan Masjid Kayangan, Brinchang, di sini hari ini bagi menyuarakan bantahan terhadap usaha kumpulan tertentu di Indonesia yang cuba mencetuskan ketegangan dengan Malaysia.

Kumpulan berkenaan yang diketuai seorang pekerja binaan, Ahmad Thoyib Ma'sum, mula berkumpul di hadapan masjid berkenaan pada jam 10.15 pagi sambil memegang beberapa sepanduk yang antara lain menyatakan "Kami aman di Malaysia", "No ganyang Yes kenyang", "Terima kasih bantuan di Padang" dan "Jangan tutup rejeki kami" sebelum bersurai secara aman 10 minit kemudian selepas diarahkan polis.

Ahmad Thoyib, 53, dari Jawa Timur, yang ditemui pemberita berkata kumpulan berkenaan yang mewakili lebih 500 pekerja warga Indonesia di Cameron Highlands menaruh harapan agar sebarang isu yang membabitkan dua negara serumpun diselesaikan secara musyawarah dan bukannya melalui tindakan kekerasan.

Beliau yang bekerja di sini sejak 20 tahun lepas juga menyuarakan rasa tidak setujunya terhadap tindakan sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) untuk "mengganyang" Malaysia berikutan beberapa isu berbangkit.

"Itu saya tidak setuju langsung. Rakyat Indonesia bukan keseluruhannya macam itu. Rakyat Indonesia di sini tidak ada yang terpengaruh dengan "Ganyang Malaysia" sebab di sini tempat cari rezeki, kita tidak mahu kekacauan... rakyat di sini pun tidak mahu. Kitakan serumpun," katanya yang turut menafikan telah diupah ataupun dipaksa untuk membuat bantahan tersebut.

Beliau juga menasihatkan warga Indonesia di Malaysia tidak terpengaruh dengan beberapa isu berbangkit dan terus mencari rezeki secara aman di negara ini bagi menyara hidup anggota keluarga masing-masing di Indonesia.

Bendera, kumpulan yang tidak berdaftar di Indonesiau, kononnya mahu menyerang negara ini dengan buluh runcing pada 8 Oktober lalu berikutan beberapa isu berkaitan kedua-dua negara, termasuk isu tarian Pendet dari Bali yang didakwa oleh mereka dicuri Malaysia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata tiada sebarang tindakan akan diambil terhadap pekerja berkenaan walaupun perhimpunan itu dilakukan tanpa kebenaran polis.

"Tidak ada apa-apa tindakan terhadap mereka kerana mereka buat bantahan secara aman tanpa membabitkan kekecohan. Mereka juga mematuhi arahan polis untuk bersurai setelah diminta berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata, terdapat lebih 1,000 pekerja warga Indonesia di Cameron Highlands yang terbabit dalam sektor perladangan, pembinaan dan juga pembantu rumah. - Bernama

Projek RMK-10 beri keutamaan keperluan rakyat

ALOR SETAR: Kerajaan akan mendapatkan input sebanyak mungkin di peringkat bawahan, terutama di setiap negeri bagi membolehkan projek yang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) memberi keutamaan kepada keperluan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata untuk tujuan itu pihaknya mendapatkan maklum balas lebih awal daripada setiap agensi di peringkat negeri supaya maklumat yang dikumpul lebih menyeluruh.

"Kita sudah mulakan perancangan setahun lebih awal dengan mengumpul maklumat dan mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan, termasuk kerajaan negeri dan agensi di peringkat negeri.

"Kerajaan akan mendapatkan input yang banyak untuk membolehkan kita melaksanakan projek yang memberi keutamaan kepada keperluan rakyat demi kesejahteraan mereka.

"Selain itu, kerajaan berpendapat RMK-10 juga amat penting untuk menyediakan landasan yang betul untuk kita mencapai Wawasan 2020 ," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri untuk mengumpul maklumat mengenai input yang diperlukan bagi melaksanakan RMK-10.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Kedah adalah negeri kedua dilawati oleh Nor Mohamed dan pegawai Unit Perancangan Ekonomi (UPE) Jabatan Perdana Menteri selepas Perlis dan esok beliau akan ke Perak.

Nor Mohamed berkata, RMK-10 yang akan bermula 2011 hingga 2015 akan dibentangkan di Parlimen pada 10 Jun 2010.

Malaysia salur AS$1 juta kepada mangsa gempa Padang

PADANG: Kerajaan Malaysia bersetuju untuk menyalurkan bantuan sebanyak AS$1 juta (RM3.5 juta) bagi membantu mangsa gempa bumi yang berlaku pada 30 September lalu di Padang, Indonesia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata bantuan kewangan itu bagi membantu membangunkan semula sekolah, rumah ibadat dan kemudahan lain.

Beliau berkata, keputusan itu mendapat persetujuan jemaah menteri dan akan disalurkan secepat mungkin melalui Kementerian Luar Malaysia kepada Kementerian Luar Indonesia.

"Tumpuan diberikan untuk membangunkan semula sekolah dan rumah ibadat kerana ianya adalah kegunaan umum dan boleh dimanfaatkan oleh penduduk di Padang," katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan gempa bumi dan mendengar taklimat oleh gabenor Sumatera Barat Gamawan Fauzi di Istana Gabenor Sumatera Barat di sini hari ini.

Selain dari sumber kerajaan, beliau berkata kutipan melalui tabung bencana alam anjuran media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dianggarkan bernilai RM10 juta akan turut disalurkan kepada mangsa gempa bumi di Padang.

Katanya, bantuan yang dihulurkan oleh Malaysia kepada rakyat Indonesia membuktikan keprihatinan kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia atas musibah yang menimpa negara jiran paling rapat.

"Keprihatinan kami adalah ikhlas bukannya retorik atau kata-kata semata-mata. Kita berharap rakyat di Indonesia khususnya di Padang turut ikhlas menerima bantuan kami," katanya. - Bernama

Saudara baru di Wilayah Persekutuan meningkat

KUALA LUMPUR: Bilangan saudara baru yang memeluk agama Islam di Wilayah Persekutuan mencatatkan peningkatan kepada 759 orang sejak awal tahun ini sehingga bulan lalu berbanding 597 orang pada tahun lalu.

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Zainal Abidin Jaafar, berkata peningkatan itu sejajar usaha gigih Jawi dalam menyebarkan syiar Islam dan satu perubahan positif di kalangan saudara baru yang mula sedar akan kebenaran yang dibawa ajaran Islam.

"Kami juga menjangkakan jumlah itu akan meningkat kepada 1,000 orang menjelang akhir tahun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Jawi bersama orang kurang upaya (OKU) dan saudara Muslim di sini hari ini.

Dalam tempoh itu juga katanya, Jawi telah mengeluarkan peruntukan insentif sebanyak RM1.5 juta kepada saudara baru berkenaan.

Beliau berkata, pemberian insentif itu sekurang-kurangnya menjadi perangsang untuk mereka terus mendekati dan menyayangi agama Islam.

"Pemberian insentif yang dimulakan sejak tahun lepas ini membabitkan tiga kategori iaitu bagi 18 tahun ke atas sebanyak RM1,500, tujuh tahun hingga 17 tahun RM1,000 dan enam tahun ke bawah sebanyak RM500.

"Sebelum kami beri insentif ini kepada mereka (saudara baru), kami akan temuduga mereka dulu bagi memastikan sama ada mereka ikhlas atau tidak untuk memeluk agama Islam dan sekaligus daripada temuduga itu kami dapat mengelak daripada golongan atau individu yang cuba mengambil kesempatan ke atas pemberian insentif itu," katanya.

Beliau berkata, 98 peratus daripada 759 saudara baru yang berdaftar dengan Jawi pada tahun ini ternyata ikhlas dan mahu meneruskan bimbingan ajaran agama Islam mereka.

"Selebihnya itu kami dapati mereka adalah golongan yang tidak ikhlas dan telah kembali kepada ajaran agama asal mereka," katanya.

Katanya, kelas bimbingan agama pada tahun ini juga meningkat kepada lebih 600 kelas berbanding 576 pada tahun lalu yang sejajar dengan peningkatan jumlah saudara baru.

"Kelas ini kebanyakkannya dianjurkan oleh MACMA (Persatuan Cina Muslim Malaysia) dan Perkim (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia) dengan kerjasama Jawi," katanya. - Bernama

Remaja ditahan cuba cetus kekecohan di SK Teluk Kemang

PORT DICKSON: Polis menahan seorang remaja lelaki dipercayai cuba mencetuskan kekecohan dengan menyerang seorang penyokong parti lawan di luar pusat penamaan calon Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kemang di sini, 2.30 petang tadi.

Remaja lingkungan berusia 20-an itu cuba melarikan diri tetapi ditahan orang ramai yang mengejar, sebelum menahannya berdekatan gerai Dataran Teluk Kemang.

Berita Harian Online yang berada di tempat mendapati keadaan kecoh seketika apabila remaja berkenaan berlari serta memanjat kenderaan yang sesak di jalan raya ketika kejadian.

Pagi tadi tempat sama, kekecohan berlaku dengan seorang cedera apabila perayu undi dan penyokong parti bertanding membaling objek keras antara satu sama lain.

Ini menyebabkan polis terpaksa mengarahkan mereka bersurai dengan Unit Pencegah Rusuhan (FRU) ditempatkan bagi mengawal keadaan.

Polis turut menahan beberapa orang untuk siasatan

PM mahu MCA selesai kemelut kepimpinan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mahu jawatankuasa pusat MCA yang akan bermesyuarat Khamis ini menyelesaikan kemelut kepimpinan parti itu supaya ia kekal kuat dan stabil.

Perdana Menteri berkata, kedudukan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, dalam Kabinet akan ditentukan kemudian.

"Amat penting untuk MCA kuat dan stabil. Kedudukan Datuk Seri Ong dalam Kabinet ialah soal kemudian," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku koleksi ucapannya "Menakhodakan Zaman-Helming In Times" di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan mesyuarat agung luar biasa MCA semalam yang meluluskan undi tidak percaya terhadap Tee Keat sebagai presiden parti.

Keputusan Kelayakan Piala Dunia 2010

Keputusan Kelayakan Piala Dunia 2010

Eropah

Kumpulan 1

Denmark 1 - Sweden 0

Portugal 3 - Hungary 0

Kumpulan 2

Greece 5 - Latvia 2

Israel 3 - Moldova 1

Luxembourg 0 - Switzerland 3

Kumpulan 3

Czech Republic 2 - Poland 0

Slovakia 0 - Slovenia 2

Kumpulan 4

Finland 2 - Wales 1

Liechtenstein 0 - Azerbaijan 2

Russia 0 - Jerman 1

Kumpulan 5

Armenia 1 - Spain 2

Belgium 2 - Turki 0

Estonia 0 - Bosnia-Herzegovina 2

Kumpulan 6

Belarus 4 - Kazakhstan 0

Ukraine 1 - England 0

Kumpulan 7

Austria 2 - Lithuania 1

Perancis 5 - Faeroe Islands 0

Serbia 5 - Romania 0

Kumpulan 8

Cyprus 4 - Bulgaria 1

Ireland 2 - Itali 2

Montenegro 2 - Georgia 1

Amerika Selatan

Argentina 2 - Peru 1

Colombia 2 - Chile 4

Ecuador 1 - Uruguay 2

Venezuela 1 - Paraguay 2

Afrika

Kumpulan A

Cameroon 3 - Togo 0

Gabon 3 - Morocco 1

Kumpulan C

Zambia 0 - Mesir 1

Kumpulan E

Malawi 1 - Ivory Coast 1

Asia-Oceania (Pusingan pertama playoff)

Bahrain 0 - New Zealand 0

Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (Concacaf)

Mexico 4 - El Salvador 1

AS layak ke Piala Dunia 2010

SAN PEDRO SULA, Honduras: Kemenangan dramatik 3-2 ke atas Honduras memastikan Amerika Syarikat (AS) tempat di final Piala Dunia 2010.

Carlos Pavon gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-87 untuk Honduras menyamakan kedudukan dan memaksa AS menang pada perlawanan terakhir menentang Costa Rica di Washington Rabu depan.

Honduras mendahului menerusi sepakan percuma Julio de Leon tetapi dikejutkan dengan dua gol AS menerusi Conor Casey dan Landon Donovan.

Honduras kini ditempat keempat dalam kumpulan dan memerlukan kemenangan ke atas El Salvador dalam perlawanan terakhir di Costa Rica untuk menghidupkan peluang layak secara automatik di tempat ketiga.

Pasukan di tempat keempat akan bertemu pasukan tempat kelima zon Amerika Selatan dalam play-off dua pusingan untuk layak ke Afrika Selatan.

Honduras menghidupkan peluang apabila De Leon menemui gawang sekali lagi pada minit ke-79 untuk menjadikan kedudukan 3-2 tetapi lapan minit kemudian Pavon merembat sepakan penalti melepasi palang sebelum terlepas peluang menanduk masuk dari jarak dekat. - Reuters

Itali layak ke Piala Dunia 2010

DUBLIN: Gol pada minit ke-90 daripada penyerang gantian Alberto Gilardino membantu juara bertahan Itali layak ke final Piala Dunia 2010 dengan keputusan seri 2-2 dengan Ireland.

Tiga minit sebelum itu, Ireland hampir mencatatkan kemenangan mengejut 2-1 menerusi tandukan terbang Sean St Ledger sebelum Gilardino mengarah bola melewati penjaga gawang Shay Given.

Pemain tengah Ireland, Glenn Whelan meletakkan pasukan tuan rumah di depan seawal minit kelapan sebelum Mauro Camoranesi menyamakan kedudukan pada minit ke-26.

Ireland akan menamatkan pusingan kelayakan di tempat kedua Kumpulan 8 selepas perlawanan Rabu ini dengan Montenegro manakala Itali akan menunggu kehadiran Cyprus.

Lapan pasukan tempat kedua terbaik daripada sembilan kumpulan zon Eropah akan berentap untuk tempat terakhir ke Afrika Selatan. - AP

Mangsa gempa Padang tidur di reban ayam

PADANG: Walaupun bantuan untuk mangsa gempa bumi 30 September lalu datang mencurah-curah, namun masih ada insan yang terlepas daripada menerima bantuan sehingga terpaksa tinggal di kawasan reban ayam.

Bagi Yarni Daharudin, 45, dari Desa Cubadak Air di Pariaman Utara di sini, reban ayam adalah kawasan yang paling selamat untuk beliau dan empat anaknya tidur dan berehat.

Rumahnya yang rosak teruk tidak dapat dihuni lagi kerana boleh roboh pada bila-bila masa saja jika berlaku gempa bumi susulan yang kuat.

Kawasan tempat tidur yang sebelum ini adalah stor terletak bersebelahan dengan reban ayam yang hanya dipisahkan dinding papan lapis.

"Beginilah tempat tidur kami sejak gempa...tidur bersama ayam, baunya memang tidak menyenangkan dan kotor, tapi ini saja tempat yang selamat boleh kami tidur.

"Kami lebih rela tinggal di sini daripada tinggal di dalam rumah yang bila-bila masa boleh roboh terus," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Kehidupan Yarni menjadi lebih sukar apabila suaminya, Fauzi Dahlan, 62, sudah enam tahun menderita sakit angin ahmar dan kini dijaga oleh salah seorang iparnya di kampung berhampiran.

"Semua anak saya masih kuliah (belajar), dua orang di Universitas Negeri Padang di Padang dan dua lagi bersekolah di sini, kami hanya bergantung kepada wang pencen suami untuk terus hidup," katanya.

Yarni berkata, persekitaran kotor di kawasan reban ayam itu turut menyebabkan dua anaknya yang paling kecil menghidap penyakit kulit dan sakit tekak.

Beliau berkata, bantuan perubatan dan kelengkapan asas seperti selimut sangat diperlukan di kampung itu.

"Kami sangat membutuhkan (memerlukan) bantuan selimut kerana cuaca malam di sini sangat dingin, bantuan obat (ubat) juga penting kerna ramai anak-anak di sini gatal-gatal habis kulitnya di gigit nyamuk.

"Kalau ada bantuan alhamdulillah, kalau ndak (tidak) kami pasrah aja (sahaja)," kata suri rumah itu. - Bernama

Serbia layak ke Piala Dunia 2010

BELGRADE, Serbia: Milan Jovanovic menjaringkan dua gol ketika Serbia membenam Romania 5-0 bagi melayakkan diri ke Piala Dunia 2010 untuk kali pertama di bawah nama sendiri.

Tandukan Nikola Zigic pada minit ke-37, sepakan Marko Pantelic pada minit ke-51 dan rembatan Zdravko Kuzmanovic ke bawah palang pada minit ke-78 memastikan kemenangan Serbia sebelum pemain pertahanan Romania, Cristian Chivu, dibuang padang pada minit ke-84.

Dua jaringan Jovanovic di luar garisan kotak penalti pada minit ke-87 dan ke-90 melengkapkan kemenangan besar Serbia.

Serbia kekal empat mata di atas Perancis dalam Kumpulan 7 dengan baki satu perlawanan Rabu ini. - AP

Jiran gempa




Kedudukan Malaysia yang hampir dengan laluan taufan, pusat gempa menyebabkan ia merasai tempias bencana

DALAM tempoh beberapa minggu lalu, rantau Asia Pasifik teruk dilanda beberapa bencana alam yang mengorbankan ribuan nyawa. Paling teruk, Taufan Ketsana yang mengorbankan lebih 400 orang di Filipina, Vietnam dan Kemboja.

Bencana itu disusuli pula dengan gempa bumi berukuran 7.6 skala Richter yang melanda Padang, Sumatera, Indonesia mengakibatkan hampir 1,000 nyawa terkorban, belum termasuk kategori orang hilang yang kemungkinan besar akan menyumbang kepada peningkatan statistik korban.

Pada hari sama juga, tsunami membadai Samoa Amerika dan Samoa Barat, mengakibatkan hampir 150 orang maut.

Beberapa hari lalu, Filipina sekali lagi dilanda musibah taufan disifatkan sebagai 'super typhoon' dikenali Taufan Parma, mengakibatkan banjir kilat yang mengorbankan hampir 300 orang di Manila dan sekitarnya.

Taufan itu melanda timur laut pulau Catanduanes di tengah Filipina pada kelajuan 180 kilometer sejam, meniup kencang menghala ke arah barat daya menuju tanah besar Luzon, dengan membawa hujan yang amat lebat.

Keadaan itu membimbangkan kerana Malaysia berada dalam lingkungan tengah antara semua negara terbabit. Semuanya berlaku berhampiran Malaysia iaitu gempa Sumatera (barat Semenanjung) manakala taufan melanda Filipina (Sabah dan Sarawak) serta Kemboja dan Vietnam (timur Semenanjung).



Timbalan Ketua Pengarah (Aplikasi), Jabatan Meteorologi Malaysia, Alui Bahari menjelaskan, secara geografi, rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia sebenarnya dihimpit dari semua arah oleh pergerakan plat tektonik iaitu Plat Indian Australia, Plat Pasifik dan Plat Eurasian.

Katanya, pergerakan plat tektonik ini menyebabkan rantau ini mempunyai kawasan aktiviti seismik yang aktif dikenali sebagai 'lingkaran api' yang mengunjur dari Laut Andaman, perairan barat Sumatera, Pulau Jawa, Sulawesi, Irian Jaya, dan Filipina.

Kedudukan Malaysia yang berhampiran pertembungan plat tektonik di sebelah barat kepulauan Sumatera dan di kepulauan Filipina menyebabkan beberapa aktiviti gempa bumi yang terjadi di kawasan berkenaan turut dirasai di Malaysia.

"Jika dilihat kepada statistik, ia agak membimbangkan kerana secara purata, Filipina dilanda bencana taufan 20 kali setahun dan sembilan daripadanya serius dan tepat. Ini berlaku kerana ia berada di kedudukan tempat pertukaran putaran angin tekanan rendah yang akan menarik udara tekanan tinggi.

Kejadian gempa bumi (atas) dan tsunami di Indonesia.

"Namun, biasanya laluan pergerakan angin itu yang menyumbang kepada taufan sebenarnya lebih menghala ke arah China, Jepun, Taiwan dan kadang kala tersasar ke Vietnam dan Kemboja.

"Keadaan itu berlaku pada kawasan yang mempunyai suhu 7 darjah Celsius utara dan selatan dan hakikatnya, Malaysia langsung tidak cenderung ke arah itu kerana mempunyai daya tarikan suhu hampir 0 darjah Celsius.

"Jika ada, ia cuma angin ribut pada suhu permukaan atau ribut tropika mengakibatkan angin kencang dan ribut petir. Cuma Sabah dan Sarawak agak terdedah kepada risiko berkenaan terutama di pantai barat Sabah," katanya.

Hakikat yang harus dibimbangi juga ialah Indonesia kerap dilanda gempa bumi dan tsunami, bahkan kesan gegarannya turut dirasai di negara ini.

Alui berkata, pertembungan plat tektonik di sebelah kepulauan Sumatera berlaku setiap tahun dengan purata pergerakan garis sesar aktif sebanyak 7 sentimeter (sm) setahun manakala di Filipina, ia merekodkan pergerakan 11 sm setahun.

"Ia terlalu kecil dan jarang dirasai gegarannya. Umpama individu yang mengalami tekanan perasaan, lebih baik dilepaskan sedikit demi sedikit daripada dibiarkan dan dipendam. Akibatnya, jika dipendam terlalu lama, ia akan 'meletup' mengakibatkan gempa besar dan boleh terjadi tsunami," katanya.

Seorang lagi pakar meteorologi merangkap Ketua Pemantau Sistem Bumi, Simulasi dan Iklim, Institut Sains Laut dan Bumi, Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah, berkata taufan boleh dikesan berdasarkan petanda cuaca buruk dan pergerakan angin, tetapi keadaannya berbeza jika berlaku gempa bumi terutama yang kuat hingga menyebabkan tsunami.

"Pergerakan angin 'tidal search' juga boleh menyebabkan banjir di kawasan pantai dengan ketinggian ombak mencecah 3 hingga 4 meter tetapi tenaganya agak rendah berbanding ombak tsunami kerana tenaganya sangat kuat dan kekal walaupun ketika melanda pantai hingga menghasilkan ombak tinggi.

"Jika wujud rekahan plat sedalam satu kilometer, kelajuan ombak yang terhasil boleh mencecah 360 kilometer sejam. Maknanya, ombak itu boleh sampai dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dalam tempoh sejam, sama kelajuan kapal terbang," katanya.

Info

  • Definisi gempa bumi: Fenomena gegaran bumi yang berlaku akibat gerakan bumi yang mengalami gelinciran di garis sesaran bumi ataupun disebabkan oleh aktiviti gunung berapi.

  • Tsunami: Satu perkataan Jepun bermaksud 'ombak pelabuhan'. Ia adalah satu fenomena ombak besar yang melanda pantai disebabkan kejadian gempa bumi di dasar laut. Aktiviti di dasar laut seperti tanah runtuh, ledakan gunung berapi, letupan serta hentaman bahan kosmik seperti meteorit juga boleh menghasilkan tsunami.
  • Keputusan Kelayakan Piala Dunia 2010

    Finland 2 (Roni Porokara 5, Niklas Moisander 77) - Wales 1 ( Craig Bellamy 17)

    Russia 0 - Jerman 1 (Miroslav Klose, 35)

    Ukraine 1 (Sergiy Nazarenko, 29) - England 0. - Reuters