Followers

Friday, December 11, 2009

Gempa 5.9 Richter landa Russia, Jepun

MOSCOW: Gempa berukuran 5.9 Richter melanda selatan Pulau Kuril, di Lautan Pasifik, awal hari ini.

Kepulauan itu ditadbir oleh Russia tetapi kini menjadi sebahagian tuntutan kerajaan Jepun.

Gegaran berlaku di 210 kilometer (km) di selatan Severo-Kurilsk di kedalaman 72km pada jam 6.36 waktu tempatan (1838 GMT).

Bagaimanapun, menurut Agensi Perkhidmatan Akedemi Sains Russia, gempa itu tidak membawa ancaman tsunami. - AFP

Beri laluan kepada produk tempatan: Muhyiddin

MELAKA: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta pasaraya besar di negara ini supaya tidak mengenakan syarat yang terlalu ketat, terutama sekali produk di bawah program Satu Daerah Satu Industri (SDSI), bagi membolehkan produk pengusaha tempatan dijual melalui pasaraya berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pasaraya besar sewajarnya memberi lebih ruang kepada produk tempatan, seperti dari SDSI, kerana mutu produk berkenaan semakin bertambah baik.

Sehubungan itu, katanya, produk yang telah memenuhi kriteria awal yang ditetapkan oleh sesebuah pasaraya besar, sepatutnya diberi laluan mudah.

"Saya harap pasaraya besar memberi pertimbangan saksama kepada pengeluar supaya tidak mengenakan bayaran yang tinggi untuk mempamerkan produk."

"Kalau mereka boleh kurangkan (bayaran sedemikian), maka lebih banyak produk tempatan (seperti dari SDSI) dapat dipamerkan untuk promosi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Showcase SDSI 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini.

Seramai 537 syarikat mengambil bahagian dalam pameran itu yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Muhyiddin berkata, produk SDSI juga boleh dipamerkan sepanjang masa di premis tetap yang disediakan oleh kerajaan negeri seperti yang dilakukan oleh kerajaan Melaka yang menawarkan premis tetap di Kota Fesyen di sini.

Semasa berucap di majlis itu, Muhyiddin mahu usahawan kecil dan sederhana mengatur strategi perniagaan serta membuat penyelidikan dan pembangunan produk untuk menghasilkan keluaran baharu, sentiasa memahami kehendak pelanggan yang mempunyai pelbagai citarasa terhadap produk dan perkhidmatan berkualiti.

Katanya, usahawan juga perlu memberi perhatian terhadap penjenamaan yang menjadi elemen penting dalam memastikan sesuatu produk dikenali dan dapat menembusi pasaran yang lebih luas.

"Walau pun sudah ramai usahawan dilahirkan melalui SDSI, kerajaan melalui pelbagai agensinya akan terus mengembangkan penyertaannya berikutan skop dan potensinya yang masih luas."

Beliau yang baru pulang dari lawatan kerja ke Jepun, juga mahukan pengusaha mencontohi peniaga dan usahawan kecil di Jepun yang berjaya menghasilkan produk bermutu tinggi dengan kaedah pemasaran yang baik. - Bernama

Ikim pertingkat usaha kefahaman mengenai Islam

KUALA LUMPUR: Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) tahun depan akan terus mempergiatkan usaha meningkatkan kefahaman orang Islam dan bukan Islam terhadap nilai dan prinsip agama Islam.

Pengerusinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, berkata enam seminar, lima bengkel, debat antara institut pengajian tinggi dan muzakarah pakar serta syarahan umum telah diatur sepanjang 2010 untuk tujuan itu.

"Kita tidak mahu yang bukan Islam menganggap Islam tidak mendatangkan kebajikan terhadap mereka," kata Abdullah di majlis Program Kerja 2010 dan Anugerah Khidmat Cemerlang 2008 IKIM di sini hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beberapa ilmuan tempatan dan pakar antarabangsa akan dijemput untuk memberikan syarahan dan bermuzakarah mengenai isu semasa dan pendekatan Islam ke arah penyelesaiannya.

Antara seminar yang bakal dianjurkan adalah "Agama dan Hak Asasi Manusia: Ke Arah Pemurnian Kefahaman", "Kebangkitan Gerakan Islah Di Alam Melayu", "Shah Waliyullah Al-Dihlawi: Ketokohan dan Sumbangan" dan "Kesihatan Mental Mendepani Cabaran Hidup Semasa".

Abdullah pada sidang akhbar kemudiannya berkata, adalah penting setiap penceramah mendapatkan pentauliahan dari Jabatan Agama Islam Negeri dan mempunyai kelayakan dari segi akademik sebelum mengajar agama.

"Kalau penceramah tidak ada ilmu, dia tidak bertauliah tak tahu apa nak cakap dan hubungkaitkan dengan tajuk. Mereka perlu ada keizinan daripada majlis agama setiap negeri. Kena ada dua-dua perkara ini," katanya.

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, baru-baru ini didakwa oleh Mahkamah Syariah Gombak Timur kerana mengajar agama Islam tanpa tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Dr Mohd Asri kemudian telah mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan semakan oleh pihak pendakwaan apabila Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menolak permohonan untuk memindahkan kes membabitkan beliau iaitu mengajar agama tanpa tauliah ke Mahkamah Tinggi Syariah.

Pada majlis itu enam pegawai IKIM menerima anugerah kategori terpuji dan tiga orang lagi merangkul anugerah kategori cemerlang. - Bernama

Malaysia atasi Thailand 2-1 untuk ke separuh akhir

VIENTIANE: Malaysia layak ke separuh akhir bola sepak lelaki selepas menewaskan Thailand 2-1 pada peringkat Kumpulan A Sukan Sea Laos sebentar tadi.

Sukan Sea: Bryan dapat emas ketiga

BRYAN Nickson Lomas menyumbang emas ketiga negara dalam acara terjun selepas mengungguli disiplin 10 meter platform individu lelaki.

BTN tidak bersifat perkauman: Tun Abdullah

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata kursus Biro Tata Negara (BTN) yang dianjurkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) tidak bersifat perkauman.

"Tapi kalau ada mana-mana individu yang bersifat perkauman, itu saya tak tahu," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Kerja dan penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang Institut Kefahaman Malaysia (IKIM) 2009 di sini hari ini.

Abdullah berkata BTN bertujuan memupuk semangat patriotisme, membina sikap berteraskan nilai murni dan penghayatan cintakan negara dalam kalangan warga negara.

Isu mengenai BTN timbul apabila kerajaan Selangor yang diterajui pakatan PKR, DAP dan Pas, melarang kakitangan kerajaan negeri dan pelajar daripada institusi pengajian milik kerajaan negeri daripada menghadiri kursus anjuran biro itu dengan mendakwa ianya bersifat perkauman dan cuba mempengaruhi peserta untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

"Tak usah kita riuh pasal perkara ini. Kita mahukan sesebuah institusi itu dapat diteruskan dengan niat yang baik untuk meningkatkan kesedaran mengenai programnya," kata Abdullah yang pernah menjadi menteri bertanggungjawab bagi BTN pada 1981.

Bagaimanapun Abdullah menyambut baik rombakan kurikulum BTN yang dicadangkan Kabinet minggu lalu agar selaras dengan konsep 1Malaysia. - Bernama

Pembekuan amah Indonesia dibincang Januari depan

MUADZAM SHAH: Malaysia berharap mesyuarat keempat Jawatankuasa Kerja bagi Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia yang akan diadakan di Jakarta pada Januari ini bakal membawa satu keputusan muktamad.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata mesyuarat berkenaan dijangka membincang dan membuat keputusan mengenai beberapa isu tertangguh termasuk mengenai gaji pembantu rumah dan struktur kos yang melibatkan bayaran yang perlu ditanggung majikan bagi menamatkan isu pembekuan pembantu rumah asing oleh kerajaan Indonesia.

"Kita sedang melihat kepentingan terhadap kedua-dua pihak iaitu pekerja dan majikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Bumi Hijau Universiti Tenaga Nasional Kampus Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Maznah berkata, pada pertemuan lalu Malaysia mengemukakan modul program latihan untuk dipatuhi setiap agensi pembantu rumah Indonesia dalam membantu daripada segi penyediaan mental dan praktikal pembantu rumah berkenaan.

"Kita kerap mendapat aduan daripada majikan yang mengatakan ada antara mereka (pembantu rumah) tidak tahu apa-apa dalam menjalankan tugas," katanya.

Maznah berkata, modul latihan itu juga menjelaskan mengenai perbezaan budaya antara kedua-dua negara selain mengenai pengurusan masa dan kerja.

Indonesia membekukan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia mulai 25 Jun lalu disebabkan banyak aduan mengenai pembantu rumah didera oleh majikan. - Bernama

Kebakaran sekolah di Bukit Rambai bukan angkara sabotaj


TINJAU: Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Yaakub Md Amin (kiri) dan Pegawai Pelajaran Daerah Melaka Tengah, Abdul Mutalib Osman (kanan) melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rambai yang terbakar di bahagian atas blok A sekolah berkenaan di sini, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Kementerian Pelajaran menolak kemungkinan kejadian kebakaran membabitkan sebuah blok bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai, dekat sini, pagi semalam berpunca daripada perbuatan sabotaj.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata laporan awal mengaitkan kejadian itu kemungkinan berpunca daripada litar pintas atau kerosakan pada suis utama di tingkat atas bangunan blok A itu.

"Kemungkinan kebakaran ini bermula di bilik suis utama, dan biasanya ia akibat litar pintas. Saya tidak fikir ada sabotaj," katanya selepas meninjau tapak kebakaran bangunan blok A, di sekolah berkenaan dekat sini, hari ini.

Beliau turut mendengar taklimat daripada Pegawai Pelajaran Daerah Melaka Tengah, Abdul Mutalib Osman dan Pengetua SMK Bukit Rambai, Zainal Ahmad.

Semalam, sebuah blok bangunan di sekolah berkenaan hampir musnah akibat terbakar kira-kira jam 11.10 pagi, menyebabkan 115 pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di bangunan berhampiran terpaksa menyelamatkan diri.

Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan

Kabin ganti kelas terbakar di SMK Bukit Rambai

MELAKA: Sebanyak empat kabin akan disediakan bagi menggantikan sementara enam kelas di tingkat tiga blok A Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rambai di sini yang musnah dalam kebakaran semalam.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata setiap kabin itu menempatkan dua kelas akan disediakan segera dalam tempoh seminggu agar sesi baru persekolahan Januari ini berjalan lancar.

"Sekolah ini dikategorikan sebagai sekolah padat pelajar di mana 2,000 pelajar akan memulakan sesi baru Januari depan," katanya kepada pemberita selepas melawat sekolah berkenaan hari ini.

Dalam kejadian 11 pagi semalam, semua enam kelas di tingkat tiga blok A sekolah itu musnah dalam kebakaran yang dipercayai bermula dari sebuah stor di tingkat berkenaan.

Dr Mohd Puad, berkata kebakaran itu tidak menjejaskan 115 pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan berakhir pada 15 Disember ini kerana mereka di tempatkan di blok lain sekolah itu.

Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diminta membuat pemeriksaan terperinci terhadap bangunan berkenaan bagi menentukan samada ia selamat untuk digunakan. - Bernama

Pentadbiran Najib bawa ombak perubahan dalam struktur pentadbiran negara

PUTRAJAYA: Peralihan kuasa daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April 2009 membawa ombak perubahan yang bukan sedikit.

Serentak dengan pembentukan barisan kabinetnya enam hari kemudian, Najib mengumumkan pelaksanaan sistem pentadbiran yang memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan lebih berkualiti menerusi pelaksanaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebagai elemen utama kepada semua anggota kerajaan, tidak terkecuali barisan menteri dan kementerian yang diterajui mereka.

Boleh diibaratkan sebagai ''tanda amaran'', penguatkuasaan KPI itu secara tidak langsung membuatkan semua anggota kerajaan terpaksa bersiap-siaga dalam melaksanakan tuntutan tugas dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan terhadap mereka bagi memberikan yang terbaik kepada rakyat, selaras dengan prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Pelaksanaan KPI yang dipantau oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pada dasarnya merupakan pendekatan yang sebenarnya telah lama diguna pakai oleh sektor korporat untuk mengukur prestasi Ketua Pegawai Eksekutif sesebuah syarikat.

Sebaik diumumkan oleh Najib, pelaksanaan KPI mendapat reaksi positif daripada semua pihak termasuk barisan menteri yang melihat aspek itu sebagai langkah positif dan proaktif dalam meningkatkan prestasi dan pencapaian untuk manfaat rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, formula KPI yang diperkenalkan itu adalah medium untuk rakyat melihat kesungguhan Perdana Menteri dalam melaksanakan segala agenda demi pembangunan negara.

Formula itu, kata beliau, akan menjadi pendorong kepada setiap menteri untuk sentiasa peka terhadap tuntutan tanggungjawab yang perlu dilunaskan untuk memastikan setiap sasaran yang diberi dapat direalisasikan.

Najib pula berkata pendekatan KPI diperkenalkan yang menekankan impak, bukannya input, dan hasil, bukannya keluaran, adalah untuk memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang berbaloi.

Katanya beliau juga akan terlibat secara peribadi dan langsung untuk mengkaji prestasi semua menteri pada setiap enam bulan.

Iltizam Perdana Menteri dalam melahirkan transformasi besar kepada Malaysia agar muncul sebagai sebuah negara dan kerajaan yang lebih bertanggungjawab, berfokus dan mendahulukan kehendak rakyat dalam semua segi bukan satu omongan kosong.

Pengumuman Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pada 11 Julai lalu yang menggariskan enam teras utama secara langsung merupakan wawasan Najib dalam membentuk sebuah negara yang menjadikan kehendak dan kebajikan rakyat sebagai aspirasi utama.

Dengan bermatlamat membanteras jenayah, membanteras rasuah, meningkatkan pendidikan, menaik taraf isi rumah berpendapatan rendah, menaik taraf infrastruktur asas di kawasan pedalaman dan menaik taraf sistem pengangkutan di kawasan bandar, NKRA turut mengandungi sekurang-kurangnya satu KPI bagi setiap teras yang akan dikenali sebagai KPI Negara (N-KPI).

Pelaksanaan NKRA dibahagikan kepada dua fasa melibatkan peringkat negara dan kementerian yang berkuatkuasa pada tempoh berlainan.

Koh berkata NKRA pada peringkat negara dilaksanakan bermula September tahun ini manakala peringkat kementerian yang dikenali sebagai KRA akan dilaksanakan mulai Januari tahun depan.

"Semua menteri dan kementerian masing-masing telah diarah supaya mengenal pasti lapangan KRA masing-masing untuk memperoleh pencapaian yang optimum," katanya.

Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat KRA pada setiap bulan untuk memastikan semua kementerian melaksanakan KRA masing-masing dengan efektif.

Kabinet baru yang dibentuk pada 9 April lalu melibatkan barisan jemaah menteri yang lebih kecil, terdiri daripada 28 menteri dan 25 kementerian, berbanding 32 menteri dan 27 kementerian semasa pentadbiran Abdullah.

Ia antara lain mencerminkan slogan pentadbiran Najib iaitu "1Malaysia. Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", yang mengajak rakyat bersama-sama melaksanakan transformasi besar untuk negara. - Bernama

Korea Utara faham kepentingan rundingan nuklear

SEOUL: Korea Utara berkata ia mencapai persefahaman dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung keperluan menyambung semula rundingan antarabangsa bagi menamatkan program nuklearnya.

Kementerian Luar Korea Utara, dalam satu kenyataan hari ini, berkata Pyongyang dan Washington bersetuju untuk bekerjasama untuk "merapatkan jurang perbezaan yang ada".

Kenyataan itu adalah reaksi pertama terhadap rundingan tiga hari minggu ini dengan wakil khas Presiden Barack Obama ke Pyongyang. - AP

H1N1: 10,000 kematian di AS sejak April

WASHINGTON: Pihak berkuasa menganggarkan 10,000 kematian termasuk kanak-kanak akibat Influenza A (H1N1) atau selesema babi di Amerika Syarikat dalam tempoh tujuh bulan sejak kali pertama virus itu dikesan menyerang, April lalu.

“Sehingga 14 November, lebih ramai kanak-kanak dan remaja dimasukkan ke hospital atau terbunuh akibat H1N1 berbanding musim selesema biasa," kata Thomas Frieden, Ketua Pusat Kawalan dan Pemantauan Penyakit (CDC), semalam.

“Secara spesifiknya, kami menganggarkan kes HiN1 mencecah lebih 50 juta, terutama remaja dan kanak-kanak, lebih 200,000 dirawat di hospital dan menyedihkan, jumlah yang maut menghampiri 10,000 termasuk 1,100 di kalangan kanak-kanak manakala 7,500 adalah remaja," katanya.

Bulan lalu saja, jumlah korban akibat H1N1 di Amerika Syarikat mencecah 4,000.

Angka itu diperoleh daripada 10 negeri di Amerika Syarikat. - AFP