Followers

Friday, October 15, 2010

Elaun pemimpin masyarakat dinaikkan kepada RM800 sebulan

KUALA LUMPUR: Elaun bulanan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persekutuan (JKKP), Tok Batin, Pengerusi JKKK Orang Asli dan Pengerusi Kampung Baru akan dinaikkan kepada RM800 sebulan berbanding RM450 pada masa ini, bagi menghargai peranan mereka sebagai pemimpin masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata bagi memastikan elaun itu dinikmati oleh semua Ketua Kampung, ia akan turut diberi kepada Pengerusi Jawatankuasa Kampung Baru Rangkaian dan Pengerusi Jawatankuasa Kampung Bagan.
"Kerajaan akan menaikkan elaun kehadiran mesyuarat kepada semua Ahli Jawatankuasa daripada RM30 kepada RM50," katanya ketika membentangkan Bajet 2011 di Parlimen, di sini hari ini.
Najib berkata elaun bulanan Imam akan dinaikkan daripada RM450 kepada RM750 sebulan, manakala imbuhan bulanan guru Kemahiran Asas Fardhu Ain (KAFA) dinaikkan kepada RM800 sebulan berbanding RM500 pada masa ini.

Ia akan berkuatkuasa Januari tahun depan, katanya.

Najib berkata sejumlah RM100 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli dan Pribumi.

Beliau berkata ia termasuk menyelesaikan isu pegangan hak milik tanah dan persempadanan penempatan Orang Asli serta membangunkan Model Baru Pembangunan Orang Asli.
"Selaras dengan ini, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli akan disusun semula dan diperkukuhkan dengan memberi nafas baru sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli," katanya. - BERNAMA

PTK diganti sistem penilaian baru Jun tahun depan

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memansuhkan sistem Penilaian Takap Kecekapan (PTK) dan diganti dengan sistem penilaian lebih sesuai dan diterima baik penjawat awam menjelang Jun tahun depan, kata Datuk Seri Najib Razak.
Berucap membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri berkata ia adalah usaha berterusan kerajaan bagi menyediakan kerangka penilaian yang lebih bertanggungjawab, relevan dan menyeluruh serta mengambil kira maklum balas penjawat awam.

Kakitangan Gred 54 ke bawah, pesara terima bantuan khas RM500

KUALA LUMPUR: Kerajaan setuju memberi Bantuan Kewangan Khas RM500 kepada kakitangan awam Gred 54 ke bawah, termasuk petugas kontrak dan pesara yang dibayar Disember ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Batu Sapi: Penamaan calon 26 Okt, pengundian 4 Nov

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Oktober tarikh penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah manakala 4 November hari pengundian, serentak dengan DUN Galas, di Kelantan.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebentar tadi.
Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah daripada Barisan Nasional (BN) pada Sabtu lalu kerana terbabit dalam kemalangan motosikal berkuasa tinggi.

Inti pati laporan ekonomi 2010/2011

Berikut ialah inti pati Laporan Ekonomi 2010/2011 yang dibentangkan oleh Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini:

* Rizab minyak mentah sebanyak 5.8 bilion tan sehingga 1 Januari 2010, yang dianggarkan bertahan selama 24 tahun berdasarkan paras pengeluaran semasa.
* Pengeluaran minyak mentah dijangka susut 1.3 peratus kepada 633,100 bpd (tong sehari) berikutan aktiviti penyelenggaraan berjadual loji dan pelaksanaan Pelan Pengurusan Empangan oleh Petronas untuk mengekalkan pengeluaran minyak mentah dalam jangka panjang.
* KDNK dijangka berkembang 7.0 peratus tahun ini daripada penguncupan 1.7 peratus pada 2009, dirangsang oleh permintaan domestik yang kukuh dan prestasi eksport yang padu.

* Defisit bajet yang rendah sebanyak 5.4 peratus daripada unjuran pengeluaran kasar domestik pada 2011 berbanding tujuh peratus pada 2010 meskipun peningkatan 2.8 peratus dalam perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM212 bilion.

* Peruntukan untuk Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sebanyak RM9.5 bilion, RM6 bilion untuk 12 projek menerusi Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

* Peruntukan RM22 bilion untuk menyiapkan projek dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10)
* Perbelanjaan operasi dalam Bajet 2011 akan meningkat sebanyak 7.0 peratus kepada RM162.8 bilion dan perbelanjaan pembangunan turun 9.0 peratus kepada RM49.2 bilion.

* Jumlah pembayaran subsidi sebanyak RM14.7 bilion.

* Keutamaan untuk melaksanakan NKRA berjumlah RM8.3 bilion dan inisiatif NKEA sebanyak RM5.5 bilion.

* Sektor perkhidmatan dijangka berkembang 5.3 peratus tahun depan serentak pelaksanaan program dan inisiatif dalam tujuh perkhidmatan berkaitan Bidang Ekonomi Utama Negara.

* Sektor pertanian dijangka berkembang 4.5 peratus tahun depan berbanding 3.4 peratus yang diunjurkan dalam 2010, disumbang oleh subsektor komoditi dan bukan komoditi.

* Keluaran Minyak Sawit Mentah (MSM) dijangka meningkat 3.4 peratus kepada 18.4 juta tan berbanding 17.8 juta tan pada 2010, susulan hasil tandan buah segar (FFB) berikutan kawasan pokok matang yang bertambah, terutama di Sabah dan Sarawak.

* Sektor perlombongan dijangka berkembang 2.9 peratus tahun depan berbanding satu peratus pada 2010 berikutan pengeluaran gas asli yang lebih tinggi.

* Keluaran gas asli dijangka meningkat sebanyak 6.1 peratus kepada 2,364,840 juta kaki persegi standard (mmscf) pada 2011 hasil daripada prestasi tinggi industri petrokimia tempatan selain permintaan global yang tinggi terutama dari China dan India.

* Sektor pembinaan dijangka berkembang 4.4 peratus tahun depan daripada 4.9 peratus pada 2010 yang disokong oleh peningkatan projek semasa.

* Jumlah dagangan Malaysia dijangka berkembang 18.7 peratus kepada RM1.173 trilion pada 2010 berbanding RM988.2 bilion tahun lepas hasil daripada ekonomi global yang meningkat, selain aktiviti domestik yang pesat.

* Akaun semasa imbangan pembayaran negara diunjur mencatat lebihan yang lebih tinggi untuk tahun ke-14 berturut-turut, berjumlah RM114.2 bilion atau 14.1 peratus Pendapatan Kasar Negara (GNI).

* Permintaan domestik dijangka merekodkan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 5.8 peratus pada 2011, disokong oleh sektor swasta yang semakin dinamik dengan perbelanjaan meningkat tujuh peratus.

* Penggunaan swasta dijangka berkembang 6.3 peratus, hasil daripada pendapatan yang lebih baik dan prospek pekerjaan berikutan pertumbuhan ekonomi yang menyeluruh dan pada masa yang sama perbelanjaan awam dijangka berkembang pada tahap yang perlahan sebanyak 2.8 peratus.

* Aset perbankan Islam berjumlah RM337.6 bilion pada akhir Julai 2010, yang menyumbang 20.1 peratus daripada jumlah aset sistem perbankan.

* Kerajaan akan membelanjakan RM24.933 juta ke atas semua jenis subsidi utama pada 2010.

* Pertumbuhan global diunjur berkembang pada tahap yang perlahan sebanyak 4.2 peratus pada 2011 berbanding 4.8 peratus pada 2010. - BERNAMA

Cuti bersalin sehingga 90 hari untuk kakitangan awam wanita

KUALA LUMPUR: Penjawat awam wanita diberi pilihan tentukan sendiri tempoh cuti bersalin bergaji penuh tidak melebihi 90 hari.

Perkara ini diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat

Kerajaan tingkatkan usaha modenkan sektor pertanian

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengenal pasti beberapa langkah dalam usaha memodenkan sektor pertanian demi meningkatkan tahap sara diri dan memastikan bekalan makanan terjamin, demikian menurut Laporan Ekonomi 2010/2011 yang dikeluarkan hari ini.
Antara rancangan tersebut ialah program Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara di mana RM190.8 juta sudah diperuntukkan dalam Bajet 2010 untuk menaiktaraf dan meningkatkan infrastruktur dalam sistem saliran dan pengairan bagi penanaman padi.
Bagi meningkatkan mutu bekalan air pula, Skim Pengairan Padi di Besut dimulakan tahun ini dan dijangka siap menjelang 2014 melalui projek Empangan Paya Peda.
Selain itu, industri akuakultur dalam tujuh bulan pertama tahun ini telah membabitkan 47 program latihan keusahawanan membabitkan 800 pembiak baka.

Dalam usaha berterusan, kerajaan melaksanakan program inkubator yang melatih dan membimbing golongan belia untuk melahirkan golongan usahawan yang berjaya.

Justeru, sebuah pusat inkubator di Kuala Kedah sedang dibina dan dijangka siap menjelang April 2011 ini bagi membolehkan usahawan mengeksport lebih banyak hasil pertanian negara.

Sehubungan itu, kerajaan mengambil langkah untuk menaiktaraf kemudahan kargo udara melalui MASkargo dengan kemudahan kargo udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan memperluaskan kawasan gudang yang meliputi 5,700 meter persegi dengan pelbagai inisiatif IT untuk meningkatkan kecekapan serta mematuhi piawaian antarabangsa. - BERNAMA

Gaji pokok minimum pengawal keselamatan naik sehingga RM700 sebulan

KUALA LUMPUR: Gaji pokok minimum pengawal keselamatan dinaikkan kepada RM500 hingga RM700 sebulan mengikut kawasan mulai Januari 2011, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2011.

Kadar tol PLUS tak dinaikkan dalam masa 5 tahun

KUALA LUMPUR: Bagi meringankan beban pengguna lebuh raya, kerajaan mengumumkan kadar tol di empat lebuh raya milik PLUS Expressway Berhad tidak akan dinaikkan bagi tempoh lima tahun akan datang bermula serta-merta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2011 di Parlimen hari ini, berkata langkah itu adalah kerana kerajaan amat prihatin terhadap rakyat yang terpaksa menanggung kos pengangkutan yang semakin meningkat.
Bagi memperluas perkhidmatan kesihatan awam, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata sebanyak RM15.2 bilion diperuntukkan bagi membina hospital baru, menambah bilangan doktor dan jururawat serta mendapatkan bekalan ubat serta peralatan perubatan.
Beliau berkata sejak tahun lalu, sejumlah 51 Klinik 1Malaysia sudah beroperasi dan kerajaan akan menambah lagi sebanyak 25 buah klinik berkenaan.

"Kerajaan komited untuk memastikan akses kepada kesihatan berkualiti dapat dinikmati oleh segenap lapisan rakyat," katanya. - BERNAMA

Dua dihukum penjara 7 tahun lupus bahan bukti kes bunuh Sosilawati

BANTING: Dua lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pagi ini atas empat tuduhan berasingan melupuskan bahan bukti pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain.
Mereka ialah U Suresh, 26, dan K Sarawanan, 19, kedua-duanya pekerja ladang
masing-masing menghadapi empat pertuduhan melupuskan bahan bukti, didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.Majistret Hurman Hussain menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap.

Kelmarin, seorang peguam, N. Pathmanabhan didakwa di mahkamah sama dengan niat bersama-sama dengan tiga lelaki lain termasuk seorang remaja belasan tahun membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.

Semua mereka juga didakwa membunuh pemandu Sosilawati, Kamarudin Shamsudin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB, Norhisham Mohammad, 38.

Mengikut pertuduhan, Pathmanabhan dan tiga lagi tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 8.30 hingga 9.45 malam, 30 Ogos lalu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat.

2 pekerja ladang suspek bunuh Sosilawati tiba di mahkamah

BANTING: Dua suspek pekerja ladang dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain tiba di Mahkamah Majistret di sini, jam 8.20 pagi, dipercayai untuk didakwa hari ini.

Mereka tiba dengan tangan bergari, menaiki jip biru polis serta diiringi dua kereta peronda Waja dan Evo Mitsubishi.

Duti import 300 barangan kegemaran pelancong dimansuhkan

KUALA LUMPUR: Duti import kira-kira 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan di antara 3 dan 5 peratus dimansuhkan bagi menjadikan Malaysia syurga beli belah.

Perkara ini diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat.

Satu lagi pencakar langit, Warisan Merdeka di KL

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan membangunkan projek bersepadu berharga RM5 bilion, yang membabitkan menara 100 tingkat, yang dijadual siap pada 2020, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Kita berasa sungguh bangga kerana ke mana sahaja kita pergi, semua orang mengetahui tentang Menara Berkembar Petronas.
"Satu lagi mercu tanda yang akan dibangunkan oleh Permodalan Nasional Bhd ialah Warisan Merdeka, yang dijadual siap pada 2020," katanya semasa membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini.
Menara itu akan menjadi menara tertinggi di Malaysia.

Projek itu akan mengekalkan Stadium Merdeka dan Stadium Negara sebagai warisan negara.

Kos projek berjumlah RM5 bilion, dengan menara dijangka siap pada 2015.
- BERNAMA

KWSP kini boleh labur hingga 20 peratus dalam pasaran luar negara

KUALA LUMPUR: Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kini boleh melabur sehingga 20 peratus daripada jumlah aset yang diurus berbanding tujuh peratus sebelum ini.
"GLIC akan dibenarkan menambah pelaburan di luar negara bagi meneroka peluang pulangan pelaburan yang lebih baik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semasa membentangkan Bajet 2011 di dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri berkata, GLIC juga akan mengurangkan pegangan saham dalam syarikat utama di Bursa Malaysia bagi meningkatkan kecairan dan halaju dagangan pasaran. - BERNAMA

4 strategi utama Bajet 2011 bertema Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi

KUALA LUMPUR: Bajet 2011 bertema "Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi" dengan empat strategi utama, dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

RM450 juta bil pembetungan belum dijelaskan: IWK

KUALA LUMPUR: Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), syarikat pembetungan nasional milik Menteri Kewangan DiPerbadankan, menyeru kesedaran pengguna untuk menjelaskan bil pembetungan tertunggak yang kini mencecah RM450 juta bagi membantu syarikat melaksanakan perkhidmatan dengan lebih baik.
"Kerajaan telah memberi subsidi yang begitu tinggi kepada rakyat dan kesedaran rakyat amat diperlukan bagi menolong IWK menjalankan operasi dengan lebih lancar," kata Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Ir. Abdul Kadir Mohd Din.
Katanya, kos operasi yang semakin tinggi setiap tahun dan IWK tidak mampu menjalankan tugas mereka dengan hanya bersandarkan kepada bayaran bil yang dikenakan kepada pengguna.
"Walaupun caj perkhidmatan yang dikenakan oleh IWK kepada pengguna amatlah minimum iaitu 27 sen sehari atau RM8 sebulan dan bersamaan RM96 sebulan, tetapi masih ramai yang gagal untuk menjelaskan bil tertunggak yang telah terkumpul dari 1997," katanya selepas majlis menandatangani perjanjian pajakan tanah rizab sistem pembetungan awam di antara IWK dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan di sini hari ini.

Oleh yang demikian, katanya, IWK amat mengharapkan agar pengguna yang menikmati kemudahan sistem pembentungan dapat menjelaskan caj perkhidmatan demi memelihara kebersihan alam sekitar, melindung sumber air dan melindungi kesihatan awam.

Bagaimanapun katanya, kutipan caj pembetungan telah meningkat sebanyak 80 peratus berbanding 30 peratus pada 1994 ekoran pelbagai kempen kesedaran yang dijalankan oleh syarikat.

Setakat ini pendapatan IWK hanyalah daripada kutipan bil pembetungan dan sumber ini tidak cukup bagi menampung kos-kos operasi yang makin meningkat, katanya. Ditanya berapakah caj perkhidmatan yang sewajarnya dikenakan oleh IWK kepada pengguna, Abdul Kadir berkata untuk "break-even" IWK perlu mengenakan caj sebanyak RM18 bagi setiap rumah.

Abdul Kadir berkata IWK juga sedang berusaha untuk mengurangkan subsidi yang diberikan oleh kerajaan dan sedang berbincang untuk menaikkan caj perkhidmatan yang dikenakan.

"Sehingga September 2010, IWK mengendali dan menyelenggarakan 6,358 loji olahan kumbahan awam termasuk stesen pam dan lebih 14,213km rangkaian saliran paip pembetungan," katanya.

Sementara itu, Perjanjian Pajakan yang ditandatangani pada hari ini, katanya adalah untuk kumpulan pertama melibatkan sejumlah 1,384 tapak sistem pembetungan awam di semua negeri merupakan usaha IWK ke arah memastikan perkhidmatan pembetungan yang lebih efisien.

Pajakan tanah adalah untuk tempoh sehingga 31 Disember, 2034 dan dijalankan secara berperingkat.

Katanya lagi, sejumlah 80 buah tapak rizab sistem pembetungan awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sedang di dalam proses mendapatkan kebenaran Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bagi membolehkan ianya dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk pajakan kepada IWK.

Perjanjian turut ditandatangani Datuk Abdul Halim Ain, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, juga Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan. - BERNAMA

PM mula bentang Bajet 2011 di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak mula membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

573 mangsa pemerdagangan manusia sejak Februari 2008: KDN

IPOH: Seramai 573 orang dari 19 negara termasuk seorang mangsa kanak-kanak tempatan menjadi mangsa kegiatan pemerdagangan manusia di negara ini sejak Februari 2008 hingga bulan ini dan diberi status Perintah Perlindungan (PO) oleh mahkamah.
Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi, berkata mereka antara 1,838 orang yang diselamatkan oleh pihak berkuasa dalam tempoh berkenaan kerana disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
"Mengikut statistik 1,838 mangsa diselamatkan dan diberi Perintah Perlindungan Sementara (IPO) oleh mahkamah. Daripada jumlah itu hanya 573 mangsa dikenal pasti sebagai mangsa sebenar pemerdagngan manusia dan diberikan status PO. "Jenayah penyeludupan manusia adalah yang kedua terbesar di kebanyakan negara membangun mahupun dunia selepas penyeludupan dadah dan senjata.

"Jadi ia mesti dibanteras dengan kerjasama pelbagai pihak," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Kempen Kesedaran Anti Pemerdagangan Orang peringkat negeri di sini, hari ini.

erajaan berhati-hati beri taraf kewarganegaraan

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan amat berhati-hati dalam membuat pertimbangan untuk memberi kelulusan kewarganegaraan Malaysia kerana penganugerahan itu memberi implikasi besar kepada penerima dan negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong, berkata ketelitian itu perlu bagi memastikan penerima anugerah taraf kewarganegaraan Malaysia akan benar-benar menghargainya dan berusaha menjaganya dengan baik.
Katanya oleh itu, tempoh masa yang agak panjang diperlukan untuk memberi kelulusan sebarang permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia.
"Memohon taraf kewarganegaraan ialah anugerah tertinggi dan kerana itu kita perlu meneliti setiap permohonan dengan terperinci dan berlandaskan syarat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sijil warganegara kepada 20 pemohon di sini, hari ini.

Katanya setiap tahun Kementerian Dalam Negeri (KDN) banyak menerima permohonan dari warganegara asing untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia dan pada tahun ini sahaja kementerian menerima sebanyak 15,000 permohonan.

Sementara itu, beliau berkata sejak Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 920 permohonan sijil kewarganegaraan diterima di Pejabat Pendaftaran Negara Pulau Pinang. - BERNAMA

Cukai perkhidmatan naik kepada 6 peratus

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mencadangkan cukai perkhidmatan ke atas semua perkhidmatan yang dikenakan cukai meningkat kepada enam peratus daripada lima peratus pada masa ini untuk menjana pendapatan cukai tambahan bagi pembangunan nasional.

Tarikh berkuatkuasa pelaksanaan cadangan ini ialah pada 1 Januari 2011.
Ia terkandung dalam cadangan Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Dewan Rakyat hari ini.
Kadar ini tidak diaplikasikan ke atas kad kredit di mana cukai perkhidmatan dicajkan pada kadar khusus RM50 setahun ke atas kad utama dan RM25 untuk kad kedua. - BERNAMA

Majlis Konsultasi Gaji Negara ditubuh untuk tetapkan upah pekerja

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara untuk menjadi platform utama dalam penetapan upah golongan pekerja di negara ini.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, majlis berkenaan akan diwakili oleh majikan, kesatuan pekerja, kumpulan pekerja tanpa persatuan, agensi kerajaan, akademia, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu.
Beliau berkata, sekretariat bagi majlis berkenaan adalah Kementerian Sumber Manusia.
"Selaras dengan peningkatan produktiviti, golongan pekerja seharusnya mendapat upah dan ganjaran yang lebih tinggi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Najib berkata, kadar dan mekanisme penetapan gaji minimum akan ditentukan oleh majlis berkenaan.

Beliau berkata, pada masa ini, gaji pokok permulaan posmen telah dinaikkan kepada RM710 sebulan berbanding RM610 sebulan pada 1 Julai lalu dan dengan kenaikan itu, upah keseluruhan posmen meningkat daripada RM1,035 sebulan kepada RM1,285 termasuk elaun tetap.

Bagi pengawal keselamatan pula, beliau berkata kerajaan akan menguatkuasa gaji pokok minimum kepada RM500 hingga RM700 sebulan mengikut kawasan berbanding RM300 dan RM400 pada masa ini.
"Dengan kenaikan ini, pendapatan keseluruhan pengawal keselamatan termasuk elaun adalah melebihi RM1,000 sebulan. Kenaikan ini berkuatkuasa mulai Januari tahun depan," katanya.

Selain itu, Najib berkata kerajaan akan meneruskan langkah pengurangan bilangan pekerja asing dengan menaikkan levi secara berperingkat mengikut sektor dan pada masa sama, majikan akan diwajibkan memperoleh insurans kesihatan bagi pengambilan pekerja asing mereka.

Najib berkata, kerajaan juga akan mewujudkan Program Latihan 1Malaysia yang akan dilaksanakan mulai Januari tahun depan dengan peruntukan sebanyak RM500 juta.

Beliau berkata, program latihan itu mempunyai tiga komponen iaitu sebanyak RM200 juta untuk menjalankan latihan sambilan di sebelah malam dan hujung minggu di pusat latihan terpilih di seluruh negara.

"Ia akan dikendalikan oleh Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara, Pusat Giat Mara dan Institut Latihan Perindustrian dengan kemudahan sedia ada," katanya.

Najib berkata, antara kursus yang ditawarkan pada sebelah malam ialah Bahasa Melayu, Mandarin, Tamil, Inggeris, Arab dan kelas muzik manakala di hujung minggu, kursus berbentuk kemahiran dan teknikal akan dilaksanakan termasuk memasak, menjahit, spa, mekanik, elektrik dan kimpalan.

Katanya, program berkenaan juga mencakupi peruntukan RM200 juta daripada Tabung Pembangunan Sumber Manusia yang membolehkan syarikat membiayai program latihan khusus bagi pekerja mereka.

Selain itu, katanya, Kementerian Sumber Manusia juga menyediakan RM100 juta untuk membolehkan pekerja meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang teknikal. - BERNAMA