Followers

Monday, September 13, 2010

Zeti dipilih antara ketua bank pusat terbaik dunia

KUALA LUMPUR: Majalah yang beribu pejabat di New York, Global Finance, menamakan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sebagai seorang daripada ketua bank pusat terbaik dunia sepanjang setahun lalu di kalangan lima ketua bank pusat yang lain daripada lima negara dan Presiden Bank Pusat Eropah, Jean-Claude Trichet.
Zeti dan enam ketua bank pusat yang lain itu diberikan gred "A" dalam rencana tahunan terbitan majalah berkenaan yang bertajuk Kad Laporan Ketua bank Pusat bagi kejayaan dalam bidang seperti kawalan inflasi, sasaran pertumbuhan ekonomi, kestabilan mata wang dan pengurusan kadar faedah.
Gred berkenaan adalah antara A hingga F, dengan A yang tertinggi manakala F terendah.
“A menunjukkan prestasi cemerlang dan F pula kegagalan,” demikian menurut Global Finance dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua bank pusat yang lain yang menerima gred tertinggi ialah Ketua Bank Pusat Australia, Glenn Stevens, Stanley Fischer (Israel), Lee Seong-tae (Korea Selatan), Fai-Nan Perng (Taiwan), Durmus Yilmaz (Turki) dan Trichet (Kesatuan Eropah).

Majalah berkenaan mempunyai pembaca di 163 negara yang terdiri daripada pengamal kewangan syarikat-syarikat multinasional, dan mempunyai pejabat di London dan Milan, selain ibu pejabat di New York. - Bernama

Isteri mangsa bunuh, bakar tidak mampu baca akhbar atau tonton TV

KUALA LUMPUR: Isteri kepada salah seorang mangsa yang dipukul, dibunuh dan dibakar di Banting Selangor, Suzana Radim Pangat, tidak mampu lagi membaca surat khabar atau melihat berita televisyen untuk mengetahui perkembangan kes tersebut.

Isteri kepada Noorhisham Mohammad, 38, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru di sini yang dipercayai mati dipukul, dibunuh dan dibakar dengan kejam itu berkata, kesedihan dan tekanan yang dialami menyebabkan Suzana hanya mampu mendengar perkembangan terkini melalui ahli keluarga terdekat.
"Selepas kejadian, minta maaf saya tak boleh tengok TV atau surat khabar. Segala perkembangan terkini hanya ahli keluarga saya yang akan maklumkan. Saya tak boleh nak tempuh keadaan ini," katanya dalam keadaan sebak ketika ditemui di rumah beliau di Taman Seraya, Ampang, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Suzana, 38 masih melahirkan harapan tinggi untuk melihat Noorhisham masih hidup selagi masih belum ada pengesahan dari Unit Forensik.

"Sehingga kini tiada sebarang pengesahan dari Forensik, mayat suami saya, jadi sehingga itu, saya percaya suami saya masih hidup," katanya.

Noorhisham dikatakan sepatutnya membawa Suzana dan keluarga pulang berhari raya di Muar, Johor serta menyambut hari jadinya pada hari ini, tetapi segalanya menjadi hambar apabila beliau hilang bersama jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47; pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shansuddin, 44, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, pada 30 Ogos lalu.

Bagaimanapun, semalam polis mengesahkan kes tersebut semakin hampir kepada penyelesaian berikutan penemuan lokasi tempat mangsa-mangsa dibunuh dan kesemua mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat.
Berikutan kejadian itu, polis menahan seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya serta enam orang termasuk pekerja kebun kelapa sawit milik mereka di Banting bagi membantu siasatan.

Suzana menegaskan pihak yang bertanggungjawab melakukan perkara ini sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan.

"Saya boleh terima kalau mereka setakat bunuh suami saya, jika ada mayatnya saya masih boleh lihat saya terima, tetapi cara pembunuhan ini menyebabkan mayatnya tidak sempurna, dan tidak ada kubur untuk saya ziarah.

Ibu kepada tiga orang anak, Mohamad Azri Shahzan,14; Mohamad Faiz Ridzmi, 5, dan Nur Aneesa Salbiah, 11’ itu berkata, jika benar suaminya dibunuh begitu kejam, beliau berharap polis dapat membawa kesemua yang terbabit ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman sewajarnya. - Bernama

Gempa bumi sederhana 5.9 skala Ritcher melanda Peru

WASHINGTON: Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 skala Ritcher melanda selatan Peru awal hari ini, kata jabatan Kajiselidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS).
Katanya, pusat gempa bagi gegaran yang dikesan jam 2.15 pagi (waktu tempatan), bertempat di kawasan pergunungan 123 kilometer barat laut Juliaca, Peru dan 168 km tenggara pusat bersejarah Cuzco. - AFP

Ops Sikap 22: 15 terkorban hari ke-10

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 kematian dicatat pada hari ke-10 Ops Sikap ke-22 semalam, menjadikan jumlah korban kemalangan jalan raya sejak operasi itu bermula 3 Sept lepas kepada 169 orang. 
Laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan mereka yang terkorban melibatkan 10 penunggang motosikal, dua masing-masing pengguna kereta dan pejalan kaki dan satu basikal.
Jumlah kematian yang dicatat pada hari kesembilan kempen itu ialah 15 orang.
Selain itu, sebanyak 874 kemalangan dilaporkan berlaku semalam dengan 74 di lebuh raya, 321 di jalan persekutuan, 158 jalan negeri, 280 jalan bandaran dan 41 lagi di jalan-jalan lain. 

Sebanyak 7,676 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya. 
Ops Sikap ke-22 akan berakhir Jumaat ini. - Bernama

Tiga remaja perempuan hilang selepas beraya di rumah rakan


« sebelum  
  • Foto
    Nurulashiqin Kamarazmi dan kembarnya Nurulain.
  • Foto
    Suhaili Abdul Razak
IPOH: Dua beradik kembar perempuan dan seorang rakan mereka dilaporkan hilang selepas beraya di rumah kawan mereka di Kampar, kira-kira 45 km dari sini, pada hari raya kedua Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh, berkata mereka dikenal pasti sebagai Nurulashiqin Kamarazmi dan kembarnya Nurulain dan rakan mereka Suhaily Abdul Razak, masing-masing berusia 14 tahun berasal dari Taman Sentosa, Kampar.
“Mereka bertiga dikatakan pergi beraya di rumah rakan-rakan di sekitar Kampar pada jam 11 pagi tetapi tidak pulang sehingga jam 11 malam pada hari sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, ibu dua beradik kembar itu, Harliza Samah, 44, membuat laporan polis mengenai kehilangan mereka.

Abdul Aziz berkata, ketiga-tiga remaja itu bersekolah di Sekolah Menengah Sentosa, Pekan Baru, Kampar.

Sementara itu, Harliza berkata, anaknya meminta izin keluar pada hari raya kedua untuk mengunjungi rumah rakan-rakannya.

"Mak cik telefon mereka pada jam 11 pagi dan mereka menjawab masih berada di pekan Kampar bersama rakan-rakan dan sekali lagi menghubungi mereka pada jam 3 petang dan 7 petang, tetapi mereka tidak menjawab sehingga jam 11 malam, lalu membuat laporan polis", katanya di sini, hari ini.
Beliau meminta orang ramai membantu mengesan anak kembarnya itu dan rakan mereka. - Bernama