Followers

Tuesday, June 15, 2010

Piala Dunia: Ivory Coast 0, Portugal 0 (separuh masa pertama)

PORT ELIZABETH: Ivory Coast dan Portugal terikat 0-0 pada separuh masa pertama perlawanan Kumpulan G, Piala Dunia 2010, di Stadium Nelson Mandela Bay malam ini.

Piala Dunia: New Zealand 1, Slovakia 1

ROBERT Vittek (tengah), menanduk masuk pada minit ke-50 untuk Slovakia mendahului New Zealand, pada perlawanan Kumpulan F. - Foto AFP
ROBERT Vittek (tengah), menanduk masuk pada minit ke-50 untuk Slovakia mendahului New Zealand, pada perlawanan Kumpulan F. - Foto AFP
RUSTENBURG: New Zealand bangkit pada saat akhir untuk mengikat Slovakia 1-1 pada perlawanan Kumpulan F, Piala Dunia 2010, di Stadium Royal Bafokeng sebentar tadi.

Slovakia mendahului 1-0 pada minit ke-50 menerusi jaringan Robert Vittek.
Ketika Slovakia di ambang kemenangan selepas perlawanan memasuki minit ketiga masa tambahan, Winston Reed menyamakan kedudukan untuk New Zealand mencuri mata.

Piala Dunia: New Zealand 0 - Slovakia 0 (separuh masa pertama)


PEMAIN New Zealand, Simon Elliott (kanan), mengekang pemain Slovakia, Zdeno Strba (tengah), dalam perlawanan Kumpulan F, di Stadium Royal Bafokeng, Rustenburg, Afrika Selatan. - Foto Reuters
PEMAIN New Zealand, Simon Elliott (kanan), mengekang pemain Slovakia, Zdeno Strba (tengah), dalam perlawanan Kumpulan F, di Stadium Royal Bafokeng, Rustenburg, Afrika Selatan. - Foto Reuters
RUSTENBURG, Afrika Selatan: New Zealand dan Slovakia terikat 0-0 pada separuh masa pertama perlawanan Kumpulan F, Piala Dunia 2010 di Stadium Royal Bafokeng.

Kerajaan akan tambah biasiswa pengajian lepasan ijzah: PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menaikkan bilangan biasiswa seberang laut secara berperingkat bagi pengajian lepasan ijazah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Pendirian kerajaan ialah untuk menumpukan perhatian yang lebih bagi pemberian biasiswa seberang laut pada peringkat lepasan ijazah, ia akan dilaksanakan secara berperingkat supaya kita dapat membangunkan institusi yang mempunyai ranking dan standard yang tinggi di negara ini.
"Tetapi pada masa yang sama, kursus kritikal akan diteruskan buat sementara sehingga kita dapat membangunkan kemampuan penduduk tempatan," katanya pada sidang akhbar selepas menemui guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) peringkat kebangsaan di sini hari ini.
Najib mengulas laporan yang memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, bahawa 1,500 biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk ijazah sarjana muda seberang laut akan dikurangkan mulai tahun depan.

Pengumuman itu menyebabkan ramai pihak termasuk Pemuda Umno, MCA dan MIC meminta kerajaan untuk menimbangkan semula keputusan itu. - BERNAMA

Usul Gaza: OIC akan bekerjasama dengan Malaysia

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) akan bekerjasama dengan Malaysia untuk melaksanakan usul yang diluluskan di Parlimen minggu lalu, mengutuk serangan Israel terhadap kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, Freedom Flotilla.
Setiausaha Agung OIC, Prof Ekmeleddin Ihsanoglu, berkata usul itu sangat penting kerana ia perlu untuk menunjukkan kepada dunia mengenai komitmen negara Islam besar dunia mengenai perkara ini.
"Kita di OIC bekerja selari dan menghargai kenyataan ini (usul) dan kita akan bekerjasama dengan Malaysia untuk pelaksanaan keputusan ini," katanya kepada pemberita selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Sains Politik oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dekat sini hari ini.
Ijazah Kehormat itu disampaikan oleh Presiden UIAM, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, yang juga Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Ihsanoglu berkata, Malaysia mempunyai tempat dan peranan khas dalam sejarah OIC dan juga kepada perkembangan terkini pertubuhan yang mempunyai 57 negara anggota dan beribu pejabat di Jeddah, Arab Saudi.

"Dan sebab itu suara negara menerusi Parlimen dan resolusi kuat ini...idea dan cadangan dalam resolusi itu sangat penting," katanya.

Usul 15 perkara yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 7 Jun lalu, menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengutuk serangan rejim zionis di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, yang menyerang Mavi Marmara di perairan antarabangsa pada 31 Mei lalu.
Sambil memberikan sokongan terhadap gesaan masyarakat antarabangsa bagi satu siasatan bebas dan bertanggungjawab terhadap serangan itu, Malaysia juga menyeru negara yang sependapat untuk membawa resolusi itu ke Majlis Keselamatan itu bagi merujuk rejim zionis ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Ia juga mencadangkan negara sependapat untuk mengemukakan resolusi ini kepada Perhimpunan Agung PBB bagi mendapatkan pandangan nasihat daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Ketika menjawab satu soalan, Ihsanoglu berkata Malaysia telah memberikan sumbangan besar kepada OIC dan antara negara utama dalam penubuhan OIC pada September 1969.

Beliau juga berkata, OIC sangat berjaya semasa Malaysia menjadi pengerusi pertubuhan itu dari 2003 hingga 2008.

Setiausaha Agung OIC itu juga berharap media Malaysia akan menyediakan lebih banyak ruang terhadap aktiviti dan berita OIC.

Beliau berkata, OIC boleh mencapai lebih banyak kejayaan jika ia menerima lebih banyak sokongan pandangan politik dan awam untuk projek dan programnya.

Mengenai penganugerahan Ijazah Kehormat itu, Ihsanoglu berkata beliau merasa terharu dan bangga dengan ijazah tersebut atas khidmatnya kepada umat Muslim.

"Saya telah menerima banyak doktor kehormat daripada pelbagai universiti...tetapi ini pertama kali saya terima untuk ummah daripada universiti yang berprestij ini," katanya. - BERNAMA

Pelajar program ijazah lanjutan diberikan biasiswa JPA: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan membuat keputusan untuk memberikan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hanya kepada pelajar yang mengikuti program Ijazah Lanjutan ke luar negara.
Perdana menteri berkata, kepada pelajar yang mengikut program ijazah, kerajaan akan memberikan biasiswa bagi kursus kritikal.
Perdana Menteri berkata demikian pada majlis perjumpaan perdana menteri bersama guru KAFA Peringkat Kebangsaan 2010 di Dewan Muktamar Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Kuala Lumpur.

Krisis ekonomi Greece tidak beri kesan kepada negara: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata krisis ekonomi yang melanda Greece tidak memberi kesan yang ketara kepada negara ini berikutan eksport Malaysia ke negara berkenaan hanya 0.1 peratus daripada jumlah eksport tahun lalu.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, berkata kedudukan kewangan negara kekal kukuh dan mantap disebabkan usaha kerajaan yang berterusan dalam mengekalkan hutang negara pada paras yang terkawal.
"Di samping itu, negara mempunyai peraturan yang mencukupi bagi memastikan tahap hutang kekal mapan dan mampu membuat bayaran khidmat hutang," katanya dalam jawapan bertulis kepada Lim Guan Eng (DAP-Bagan) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Lim meminta Perdana Menteri menyatakan kesan krisis ekonomi yang berlaku di Greece serta langkah pencegahan yang bakal diambil kerajaan bagi membolehkan negara berdepan dengan krisis sedemikian.

Beliau berkata, peraturan ini termasuk had maksimum 55 peratus nisbah hutang domestik kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) manakala jumlah pinjaman luar negeri oleh kerajaan Pusat dihadkan kepada RM35 bilion.

Najib berkata, sehubungan itu, peraturan berkenaan telah dapat meminimumkan risiko hutang luar negeri dan domestik yang berlebihan.

"Pada masa ini, 96 peratus negara adalah dibiayai melalui sumber tempatan dan oleh itu, risiko pertukaran mata wang asing adalah minimum. Sehingga 31 Mei tahun ini, rizab antarabangsa negara berjumlah RM312.3 bilion (AS$95.5 bilion), mampu untuk menampung 4.4 kali hutang luar negeri jangka pendek," katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa komited untuk memastikan perbelanjaan yang dibuat adalah berhemat, berkualiti dan efisien termasuk usaha melaksanakan sistem tender terbuka dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan yang tidak begitu kritikal.

Beliau berkata, kerajaan juga sedang berusaha memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan menambah baik pentadbiran cukai untuk meningkatkan hasil kerajaan.

"Dengan pertumbuhan ekonomi yang semakin kukuh, pengurusan kewangan terus berhemat serta inisiatif baru di bawah Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi yang sedang berjalan, kedudukan kewangan negara dijangka bertambah baik.

"Dengan pengurusan hutang luar negeri yang berhemat dan pragmatik, kerajaan yakin negara tidak akan mengalami krisis hutang seperti Greece," katanya.

Najib berkata, negara mempunyai asas ekonomi yang kukuh sepertimana yang ditunjukkan oleh pertumbuhan KDNK sebanyak 10.1 peratus pada suku pertama tahun ini dengan semua sektor ekonomi mencatatkan kadar pertumbuhan positif.

"Pertumbuhan kukuh dan menyeluruh ini dipacu oleh permintaan domestik dan disokong oleh permintaan luar semakin baik.

"Di samping itu, daya saing negara juga telah meningkat dengan ketara kepada kedudukan ke-10 berbanding ke-18 pada tahun lepas mengikut IMD World Competitiveness Yearbook 2010," katanya. - BERNAMA

KDN kesan kumpulan militan Islam, bukan Islam jadikan Malaysia tapak operasi

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengesahkan wujudnya kumpulan militan Islam dan bukan Islam serta golongan yang memperjuangkan ideologi dan fahaman politik negara asal yang menjadikan Malaysia sebagai tapak kegiatan mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata maklumat risikan mendapati kumpulan itu tidak hanya menjadikan negara ini sebagai tapak operasi tetapi ia turut melibatkan pertukaran transaksi kewangan dan maklumat dan menubuhkan kumpulan.
"Kumpulan-kumpulan militan ini, bukan sahaja terlibat dengan agama Islam, tapi juga yang bukan Islam pun ada dan ada juga yang memperjuangkan ideologi dan politik negara asal mereka.
"Kadang-kadang mereka menggunakan negara ini sebagai pangkalan sama ada untuk pertukaran transaksi kewangan, untuk bertukar-tukar maklumat atau menubuhkan kumpulan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata kumpulan militan itu juga dikatakan tidak hanya fokus dalam merekrut pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan sebagai anggota mereka malah ia turut melibatkan pelbagai pihak.

Justeru itu, katanya, KDN kini giat menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi keselamatan termasuk Kastam Diraja Malaysia dan agensi perisikan antarabangsa dalam berkongsi data-data kemasukan warga asing ke negara ini dan pergerakan mereka bagi membendung kegiatan yang boleh mengancam keselamatan negara dan rantau ini.

"Kita juga menjalinkan hubungan dengan badan-badan perisikan dan keselamatan antarabangsa dari negara yang mempunyai hubungan rapat dengan kita bagi membanteras kegiatan ini.
"Ini adalah fenomena antarabangsa dan ancaman ini melibatkan jaringan di seluruh dunia dan ini adalah perkara yang kita tidak boleh kompromi," katanya.

Ditanya mengenai penglibatan kumpulan Jemaah Islamiah (JI) dalam merekrut pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dan remaja tempatan untuk menyertai kumpulan itu, beliau berkata ia bukan perkara baru.

"Laporan itu bukan perkara baru, tapi apa yang dibimbangi perkara ini ia melibatkan jenayah yang merentasi sempadan iaitu ancaman yang kita tak boleh lihat ia sebagai perkara kecil.

"Namun kami akan terus melaksanakan tanggungjawab kami bagi memastikan keadaan dan rakyat adalah selamat, " katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dilaporkan berkata kumpulan Jemaah Islamiah (JI) warga asing dikesan cuba menghidupkan kembali perjuangan mereka dengan merekrut golongan remaja di negara ini termasuk pelajar IPT.

Perkara itu terbongkar ekoran penahanan 10 anggota JI sejak awal tahun ini dan mereka telahpun diusir.

Musa juga dilaporkan berkata bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kehadiran beberapa pemimpin kanan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang cuba menjadikan negara ini sebagai tempat perlindungan dan pangkalan logistik mereka. - BERNAMA

Layanan adil untuk semua negeri: Muhyiddin

GEORGETOWN: Kerajaan akan terus memberi layanan adil dan saksama kepada semua negeri di Malaysia sama ada terletak di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, kerajaan pusat SUDAH memberi peruntukan yang adil kepada semua negeri menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10), yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Khamis lalu.
"Kita sebagai rakyat Malaysia harus mempunyai tempat serta kedudukan, dan seharusnya diberi layanan adil dan saksama untuk sama-sama maju dalam arus perdana pembangunan dalam negara kita.
"Kerajaan pusat tidak pernah menganiaya mana-mana negeri, walaupun negeri itu diperintah oleh pembangkang, dan kalau nak kata kerajaan pusat meminggirkan negeri pembangkang, itu tidak benar," katanya selepas merasmikan Persidangan Pelajar Antarabangsa 2010 anjuran Sekolah Perempuan St George di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab dakwaan bahawa sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang tidak mendapat peruntukan setimpal dalam RMKe-10.

Beliau berkata, sebagai contoh, untuk bersikap adil kepada semua, kerajaan pusat mengumumkan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) bagi memastikan semua negeri mendapat faedah.

"Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang terkenal dalam industri pelancongan, dan secara langsung, ianya akan mendapat faedah daripada NKEA," katanya.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, negeri itu juga bakal mendapat faedah menerusi aktiviti yang digalakkan kerajaan dalam NKEA terutama sektor pembuatan dan pelancongan.

"Negeri ini kekal maju sehingga sekarang bukan disebabkan oleh apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri sekarang, tetapi kerana apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dulu," katanya.

Beliau juga menasihatkan pemimpin pembangkang supaya berhenti mempolitikkan agenda penting pembangunan negara.

"Dakwaan mereka ini seolah-olah menunjukkan kerajaan pusat menganiaya orang Pulau Pinang dan negeri ini telah terkeluar daripada radar pembangunan negara, itu tidak betul," kata Muhyiddin.

Katanya, beliau amat yakin penduduk Pulau Pinang tidak akan terpedaya dengan tipu helah pemimpin pembangkang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, terpulang kepada Perdana Menteri bila pilihan raya umum ke-13 (PRU13) akan diadakan.

"Sebagai ketua kerajaan pusat, Perdana Menteri mempunyai kuasa dan hak mutlak untuk menentukan bila masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum," katanya.

Beliau diminta mengulas pendapat bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa sekarang adalah masa yang sesuai untuk mengadakan PRU13 kerana sokongan terhadap Najib telah meningkat. - Bernama

Kerajaan mahu laksana Dasar Bahasa Ibunda Pelajar di semua sekolah kebangsaan

GEORGETOWN: Kementerian Pelajaran mahu melaksanakan sepenuhnya dasar Bahasa Ibunda Pelajar (POL) di semua sekolah kebangsaan bagi memudahkan pelajar bukan Melayu mempelajari bahasa ibunda mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata dasar itu sudah lama diperkenalkan dan setakat ini ada beberapa sekolah yang mempunyai guru mengajar bahasa Mandarin dan Tamil.
"Kenyataan ini bagi membetulkan kenyataan yang dibuat sebelum ini, iaitu mewajibkan sekolah kebangsaan mengajar matapelajaran Mandarin dan Tamil, yang penting sekarang ini perkukuhkan pembelajaran bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan.
"Dasar itu sudah ada bukan saya buat pengumuman dasar baru tetapi dasar yang ada hendak cuba laksanakan sepenuhnya, pelajar mempunyai pilihan, apabila mereka mahu menguasai bahasa ibunda...mereka boleh memperolehnya menerusi sistem pendidikan kebangsaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Muhyiddin sebelum itu merasmikan persidangan antarabangsa pelajar 2010 anuran St George''s Girl School (SGGS) di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.

Muhyiddin berkata apa yang berlaku pada masa lepas berkemungkinan di peringkat sekolah terdapat pengetua atau guru besar yang tidak memberi perhatian terhadap soal itu, oleh itu terdapat ibu bapa berbangsa Cina dan Tamil kurang berpuas hati.

"Dengan adanya kemudahan ini pelajar Cina dan India tidak perlu bersesak di Sekolah Jenis Kebangsaan yang kadang-kadang tidak cukup tempat, selain itu pelajar Melayu juga boleh ambil kesempatan untuk pelajari bahasa Mandarin dan Tamil," katanya.
Beliau berkata setakat ini terdapat 373 orang guru yang mengajar bahasa Mandarin dan 163 guru mengajar bahasa Tamil di sekolah kebangsaan di bawah dasar POL.

Kementerian Pelajaran juga sedang berusaha menyediakan tenaga pengajar yang mencukupi untuk mengajar kedua-dua bahasa itu.

Katanya, langkah yang perlu diambil sekarang ialah memastikan setiap sekolah mempunyai guru terlatih dalam bahasa Mandarin dan Tamil kerana terdapat lebih 7,000 sekolah rendah di seluruh negara.

"Kita akan melatih guru yang berkelayakan dan mereka nanti akan ditempatkan di semua sekolah yang ada diseluruh negara, sama ada mereka mahu belajar atau tidak...itu soal kedua," katanya. - BERNAMA

Piala Dunia: Jepun 1 Cameroon 0

MANGAUNG: Jepun mengejutkan "Singa Afrika" Cameroon dengan kemenangan 1-0 dalam perlawanan peringkat Kumpulan E di Stadium Free State, sebentar tadi.
Gol Jepun diperoleh menerusi Keisuke Honda pada minit ke-39.

Piala Dunia: Itali 1, Paraguay 1


GELAGAT penyokong kedua-dua pasukan ketika perlawanan Kumpulan F, Piala Dunia 2010 FIFA membabitkan Itali dan Paraguay di Stadium Green Point, Afrika Selatan, awal pagi tadi. - Foto AFP
GELAGAT penyokong kedua-dua pasukan ketika perlawanan Kumpulan F, Piala Dunia 2010 FIFA membabitkan Itali dan Paraguay di Stadium Green Point, Afrika Selatan, awal pagi tadi. - Foto AFP
CAPETOWN: Juara Piala Dunia 2006, Itali dipaksa berkongsi mata dengan Paraguay selepas seri 1-1 dalam perlawanan bola sepak kumpulan F Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan di Stadium Green Point, sebentar tadi.

Paraguay mengejutkan pasukan Azzurri dengan mendahului 1-0 pada separuh masa pertama hasil tandukan Alcaraz pada minit ke-39 daripada sepakan percuma.
Bagaimanapun, De Rossi menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-63 hasil sepakan sudut dengan mudah menolak masuk selepas tidak dikawal pemain Paraguay