Followers

Sunday, December 27, 2009

Salleh cadang logo baru untuk BN

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, mencadangankan Barisan Nasional (BN) merintis usaha penjenamaan semula termasuk memperkenalkan logo baru yang lebih menarik serta mempunyai ciri dan pengertian gagasan 1Malaysia.

"Dalam proses penjenamaan semula itu untuk mendekatkannya dengan hati rakyat, Barisan Nasional hanya perlu "dipasarkan" dengan singkatan BN saja," katanya dalam laman web beliau, www.keruak.com.

Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, berkata penjenamaan BN itu amat penting kerana dalam suasana politik sekarang, rakyat sudah mempunyai pilihan, iaitu BN dan Pakatan Rakyat.

Katanya, untuk memastikan BN terus unggul dan relevan, sistem keahlian secara terus perlu diwujudkan.

"Menerusi kaedah baru ini, mereka yang komited atau minat dengan BN dan dasar serta pemimpinnya, tetapi tidak menyukai parti komponen tertentu kerana terlalu banyak politiking, akan dapat terus bersama kita," katanya.

Namun, katanya, cadangan itu memerlukan perincian lanjut dengan mengambil kira sistem dan perlembagaan dalam BN. - Bernama

Harga minimum rokok RM6.40 mulai Jumaat ini

KUALA LUMPUR: Mulai Jumaat ini harga minimum rokok ditetapkan RM6.40 bagi 20 batang apabila Kementerian Kesihatan menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau(Pindaan)(No.2) 2009 yang diwartakan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata dengan penguatkuasaan peraturan itu semua rokok yang dijual dalam negara hendaklah pada harga tidak kurang daripada harga minimum ditetapkan yang dikira 32 sen bagi setiap batang rokok.

"Ini menjadikan harga minimum bagi paket yang mengandungi 20 batang rokok ialah RM6.40, 21 batang rokok (RM6.70), 22 batang rokok (RM7.05), 23 batang rokok (RM7.35), 24 batang rokok (RM7.70) dan RM8 bagi paket yang mengandungi 25 batang rokok," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, mereka yang sabit kesalahan melanggar mana-mana peruntukan di bawah peraturan itu boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Liow berkata, dengan berkuatkuasanya peraturan itu juga semua syarikat rokok dikehendaki mengisytiharkan senarai harga jualan runcit produk keluaran mereka kepada kementerian sebelum 15 Januari ini.

Katanya, semua rokok di pasaran tempatan hendaklah dijual pada harga tidak kurang daripada harga minimum rokok dan notis harga minimum itu hendaklah dipamerkan secara jelas di kaunter jualan tanpa logo, jenama, tanda niaga atau deskripsi berkaitan rokok yang dijual.

Liow juga, berkata penjualan rokok pada harga yang lebih rendah adalah dilarang.

Bagaimanapun, katanya, syarikat rokok dibenarkan membuat pelarasan harga hanya sebanyak tiga kali setahun dan perbezaan harga tidak boleh melebihi 5 peratus.

Katanya, peraturan itu juga melarang penjualan rokok yang mempunyai label "diskaun, harga istimewa, tawaran istimewa, promosi, promo, edisi terhad dan tawaran" atau apa-apa perkataan lain yang membawa erti diskaun atau jualan murah berbanding harga jualan runcit pada bungkusan atau label rokok atau tempat jualan rokok tersebut.

Liow berkata, tujuan peraturan itu dikuatkuasakan adalah untuk mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan membeli rokok terutamanya oleh kanak-kanak, remaja dan golongan berpendapatan rendah selain membendung aktiviti promosi rokok melalui pemberian diskaun yang berlebihan.

"Demi menjaga kepentingan kanak-kanak dan remaja dari terjebak dengan ketagihan rokok dan seterusnya kemungkinan risiko menyalahgunaan dadah dan penularan penyakit kronik, kerajaan komited untuk mengambil pendekatan mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan membeli rokok oleh golongan ini," katanya.

Liow berkata, banyak kajian membuktikan bahawa peningkatan cukai dan harga rokok mampu mengurangkan kadar merokok dalam masyarakat terutamanya di kalangan kanak-kanak, remaja dan golongan berpendapatan rendah.

"Hasil kajian yang dibuat pada 2004 di Malaysia menunjukkan bahawa dengan peningkatan harga rokok sebanyak 10 peratus, ia akan dapat mengurangkan penggunaan terhadap rokok 3.8 peratus," katanya. - Bernama

3 maut, 22 hilang feri Filipina karam

MANILA: Pengawal Pantai Fiipina berkata sebuah feri penumpang tenggelam berhampiran sebuah pulau di selatan Manila, menyebabkan tiga penumpang lemas dan 22 lagi hilang.

Seramai 63 penumpang berjaya diselamatkan di perairan Batangas di mana feri itu karam malan tadi.

Punca kejadian masih belum jelas.

Pada malam menjelang Natal, sebuah ferivkayu berlanggar dengan sebuah bot nelayan berhampiran Teluk Manila dan 24 penumpang masih hilang. - AP

Penerbangan KL-London lewat akibat cuaca sejuk

KUALA LUMPUR: Jadual penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke London mengalami kelewatan berikutan cuaca sejuk melampau yang melanda England sejak minggu lalu.

Beberapa ejen pelancongan dan syarikat penerbangan ketika dihubungi Bernama memberitahu bahawa setakat ini berlaku kelewatan jadual penerbangan ke lapangan terbang Heathrow dan lapangan terbang Stansted di London, England, akibat kesesakan trafik dan masalah salji tebal yang menutupi landasan kedua-dua lapangan terbang itu.

Perunding ejen pelancongan Reliance Travel, Jamie Lee, berkata pihaknya tidak menerima maklumat mengenai sebarang pembatalan penerbangan kecuali kelewatan untuk penerbangan ke London.

"Pihak kami (Reliance) sentiasa mendapat maklumat terkini dari Persatuan Agensi-agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa dari masa ke semasa mengenai sebarang perubahan atau pembatalan penerbangan.

"Kami akan menghubungi pelanggan sekiranya berlaku sebarang perubahan atau pembatalan penerbangan," katanya.

Jamie berkata, penerbangan dari Malaysia ke beberapa destinasi di negara-negara Eropah yang dilanda cuaca sejuk melampau sejak kebelakangan ini, belum sampai ke peringkat pembatalan penerbangan.

Sementara itu, seorang jurucakap Penerbangan Malaysia (Mas) berkata setakat ini hanya penerbangan ke lapangan terbang Heathrow sahaja mengalami kelewatan akibat cuaca buruk di sana.

Beliau berkata, Mas akan sentiasa mengikuti perkembangan situasi di semua destinasi penerbangannya ke luar negara termasuk penerbangan ke Los Angeles, Amerika Syarikat, dan negara lain yang terjejas teruk akibat faktor cuaca itu.

"Penumpang Mas yang ingin maklumat terkini mengenai jadual penerbangan boleh menghubungi talian 1-300-88-3000 yang beroperasi selama 24 jam," katanya.

Seorang jurucakap AirAsia pula berkata jadual penerbangan antarabangsanya juga tidak terjejas dan hanya mengalami kelewatan ke lapangan terbang Stansted di London sejak akhir-akhir ini akibat cuaca buruk di sana.

Beliau berkata, sekiranya berlaku sebarang perubahan dan pembatalan dalam jadual penerbangan antarabangsa Air Asia, pihaknya akan menghantar maklumat mengenainya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada penumpang.

"Maklumat terkini mengenai jadual penerbangan boleh didapati dengan melayari laman web www.airasia.com atau pun menghubungi pusat panggilan Air Asia di 03-21719222 yang dibuka dari jam 8 pagi hingga 9 malam setiap hari," katanya. - Bernama

4 beranak maut dalam nahas 4 kenderaan

TANGKAK: Empat beranak terbunuh dengan tiga daripada mereka rentung manakala dua lagi cedera selepas van yang mereka naiki terbakar dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di KM6.4, Jalan Parit Bunga-Tangkak, di sini, malam tadi.

Ketiga-tiga mangsa rentung selepas terperangkap dalam van Nissan Vanette yang terbalik dan terbakar selepas bertembung dengan sebuah Toyota Innova dan kemudiannya berlanggar dengan dua lagi kenderaan.

Mangsa yang rentung adalah Ong Buu Siong, 46, dan dua anak lelakinya, Zhen Hui, 7, dan Zhen Zhee.

Manakala seorang lagi anaknya, Zhen Jie, meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar.

Isteri Ong, Tan Yee Kiang, 32, dan anak bongsu mereka, Ong Zhen Ki yang berumur satu setengah tahun berjaya diselamatkan oleh orang ramai dan kini dirawat di hospital sama dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Pegawai Penyiasat Trafik Daerah Ledang Insp Sayuti Mohamad, berkata sembilan penumpang dalam tiga kenderaan yang terbabit dalam kemalangan kira-kira 10.30 malam itu hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar.

Sayuti berkata, kemalangan tersebut berlaku ketika mangsa sekeluarga yang berasal dari Jalan Kim Kee, Muar dalam perjalanan ke Tangkak.

"Setiba di tempat kejadian, van mangsa bertembung dengan kenderaan Toyota Innova yang datang dari arah Tangkak. Van tersebut kemudian terbalik dan terbakar selepas berlanggar dengan dua lagi kenderaan lain, Toyota Wish dan Toyota Vios," katanya kepada pemberita di sini.

Ketiga-tiga mayat yang rentung dibawa ke Hospital Daerah Ledang di sini untuk bedah siasat. - Bernama