Followers

Saturday, May 8, 2010

'Bina ekosistem perniagaan kita sendiri'


BUKIT MERTAJAM 8 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu usahawan Melayu membina ekosistem sendiri bagi memastikan perniagaan mereka mampu bertahan dalam apa juga cabaran seterusnya bersaing sehingga ke peringkat global.

Menurut Perdana Menteri, menerusi ekosistem, lebih banyak syarikat bumiputera serta usahawan Melayu dapat dilahirkan dan berkembang menjadi sebuah rangkaian perniagaan yang teguh.
Beliau menambah, dengan adanya rangkaian itu, usahawan Melayu akan mampu berdiri teguh tanpa perlu mengharap bantuan daripada kerajaan lagi pada masa depan.
"Kalau kita mahu pembangunan yang mapan serta kekal dan dalam apa juga cabaran kita boleh berjaya, maka kita perlu bina ekosistem bumiputera dalam bidang perniagaan.
"Inilah hasrat kita bila kita bentang Model Ekonomi Baru (MEB), kita kata yang mesra perniagaan dan mesra pasaran, kita kata berdasarkan merit dan lebih telus, tidak lain dan tidak bukan untuk bangunkan ekosistem supaya dapat menentukan kejayaan kita berterusan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Ekonomi Melayu Pulau Pinang bertajuk Menggarap Peluang Dalam Cabaran anjuran Badan Perhubungan UMNO negeri di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Badan Berhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop serta Pengerusi Sekretariat Ekonomi dan Keusahawanan, Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Norraesah Mohammad.
Konvensyen selama dua hari itu mengandungi enam bengkel yang membentangkan kertas kerja bagi mencari penyelesaian terhadap permasalahan orang Melayu di negeri ini dan mendedahkan peluang-peluang perniagaan kepada mereka.
Najib menjelaskan, untuk tujuan itu, kerajaan akan mengenal pasti usahawan-usahawan Melayu yang berpotensi untuk dibantu sehingga mereka berjaya di peringkat nasional seterusnya rantau dan global.
Katanya, setelah perniagaan mereka berkembang maka akan wujud rangkaian yang berpanjangan iaitu dapat menawarkan kontrak sebagai penjual dan pembekal kepada peniaga-peniaga Melayu lain.
"Bila ini berlaku maka akan memberi peluang perniagaan kepada peniaga Melayu lain dan mereka tidak lagi perlu bergantung kepada kerajaan semata-mata.
"Ini kerana sudah ada syarikat yang boleh memberi tawaran kontrak sebagai penjual dan pembekal kepada mereka.
"Selama ini banyak syarikat-syarikat bumiputera terpaksa bergantung kepada kerajaan, kalau kerajaan tidak beri kontrak maka lumpuhlah pemborong dan pembekal Melayu ini," katanya.

Orang Melayu perlu sedar mengenai asal-usul, elak pertikai institusi Diraja

KUALA LUMPUR: Orang Melayu perlu sedar mengenai asal-usul mereka dan sentiasa merujuk kepada Perlembagaan negara bagi mengelakkan berlakunya pertikaian terhadap institusi Diraja dan istana, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
"Pokoknya orang Melayu sudah lupa asal-usul dan dahan bergantungnya. Orang Melayu sendiri harus sedar, penjelmaan sejarah harus kita pegang dengan kukuh," katanya selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada agensi dan jabatan yang menyumbang kepada Pameran Keranda di Muzium Negara di sini, hari ini.
Rais berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keadaan semasa di mana rakyat kini semakin berani mempertikaikan titah Sultan dan Raja serta konflik dalam sistem beraja itu sendiri.
Beliau berkata, penguatkuasa undang-undang juga perlu mengambil tindakan segera terhadap pihak-pihak yang cuba mencabul dan mencaci institusi Raja-Raja.

"Yang timbul sekarang adalah bagaimana kita dapat menjamin supaya Perkara 181, 153, 152 dan lain-lain (dalam Perlembagaan) yang berkaitan dengan kuasa Diraja termasuk Perkara 38 dan 43 di mana Yang di-Pertuan Agong mempunyai kedudukan tertinggi dalam sistem beraja di negara ini.

"Harus ditetapkan penguatkuasaan undang-undang itu kalau dicabul sahaja institusi itu menerusi hasutan maka tindakan harus lekas diambil, ini pun satu hal yang seharusnya ditegur dan dijalankan tindakannya," katanya.

Rais berkata, imej dari istana juga mesti kental dan boleh dicontohi bagi mengelakkan rakyat jelata kecewa dengan cara pentadbiran dalam institusi tersebut.
"Kalau dalam institusi itu sendiri berkecamuk, rakyat di negara itu akan kehilangan keteguhan atau pegangan tradisi mereka, ini harus kita jaga betul-betul," katanya. - Bernama

Hampir 48 juta kanak-kanak lakukan kerja berbahaya di Asia

NEW DELHI: Masalah kemiskinan terus memaksa ramai kanak-kanak di rantau Asia Pasifik membanting tulang melakukan kerja-kerja berbahaya, dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menganggar 48 juta kanak-kanak terpaksa terjerumus ke dalam bentuk pekerjaan sedemikian.

Ketua Pengarah ILO, Juan Somavia dalam satu kenyataan hari ini, berkata seorang daripada setiap lapan kanak-kanak di rantau Asia Pasifik terbabit dalam bentuk pekerjaan, dan orang muda di rantau ini berdepan dengan ketidaktentuan yang tinggi yang berkaitan dengan konflik dan bencana alam.
"Kemajuan dalam menangani perkara ini tidak sekata, ia tidak cukup pantas dan tidak cukup menyeluruh untuk mencapai matlamat yang kami tetapkan," katanya.
"Gerakan besar-besaran yang baru diperlukan. Keadaan ini memerlukan kempen yang hebat membanteras gejala buruh kanak-kanak. Tindakan tegas dan pantas perlu digembleng bagi menangani perkara ini dengan lebih efisyen," tambahnya.

Menurut laporan global baru ILO berhubung Buruh Kanak-kanak, konflik baru-baru ini dan bencana alam seperti banjir, gempa bumi, di Afghanistan, Indonesia, Nepal, Pakistan, Sri Lanka dan Filipina, memusnahkan sekolah memecah belah keluarga, dan sekali gus menjejaskan kebajikan kanak-kanak.

Asia Selatan yang memiliki hampir 1.5 bilion penduduk dikenal pasti sebagai kawasan yang paling banyak dibelenggu dengan gejala buruh kanak-kanak.

"Perjuangan kritikal menentang gejala buruh kanak-kanak perlu dimenangi di Asia Selatan, di mana jumlah buruh kanak-kanak paling ramai dikesan. Ia sering kali berkaitan dengan masalah dasar dan bukan hanya berkisar mengenai kemiskinan yang mengakibatkan ramai kanak-kanak tidak bersekolah dan terjerumus ke kancah buruh kanak-kanak," kata ILO.
Selain itu, kanak-kanak dari komuniti yang miskin di kawasan berkenaan turut terdedah kepada gejala pemerdagangan manusia bagi tujuan buruh murah serta eksploitasi seks, dan rata-rata jenayah ini terlepas susulan masalah pihak berkuasa untuk sampai kepada mangsa. - Bernama

Gempa bumi sederhana melanda Indonesia

JAKARTA: Gempa bumi sederhana pada magnitud 5.9 melanda wilayah Barat Nusa Tenggara, Indonesia, hari ini.
Agensi meteorologikal dan geofizik tempatan, berkata tiada amaran tsunami dikeluarkan susulan gempa bumi sedalam 10 kilometer itu yang berlaku jam 10.22 pagi tadi.
Sehingga kini, tiada laporan kerosakan diterima. - AFP