Followers

Monday, May 25, 2009

hari nie

Harie nie aq bosan kat rumah.. X tahu apa mau wat. Dri pagi ke tgh arie. Cuma check Fs aje.. Bosan... Bosan... Bosan... Apa aq mau wat nie? Kerja? Emm. Lum tentu lagi dapat. Cuma tidur, makan, tgok tv, sms girl aq aje... BORINGGGGGGGGGGGG!!!!!

Boring Nya

TNB sasar guna loji nuklear menjelang 2025

TERENGGANU: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menetapkan sasaran memulakan operasi loji tenaga nuklear pertamanya menjelang 2025, jika kerajaan memutuskan untuk menjadikan nuklear senagai opsyen tenaga yang boleh diterima.

Ketua Unit Tenaga Nuklear TNB, Dr Mohd Zamzam Jaafar, berkata TNB tidak dapat mengetepikan tenaga nuklear ketika berlaku ketidaktentuan bekalan tenaga untuk masa depan serta harga bahan api fosil yang turun naik, selain sumber gas.

"Bagi memastikan bekalan elektrik boleh dipercayai dan harga yang munasabah, opsyen nuklear bebanan asas yang sudah terbukti, tidak boleh dinafikan," katanya pada talimat media mengenai pelan masa depan tenaga TNB, di Pulau Perhentian Besar, sebuah resort kepulauan di Terengganu.

Dr Mohd Zamzam berkata menjelang 2019, sumber bekalan tenaga alernatif akan menjadi kritikal memandangkan sumber gas akan susut pada masa itu.

Harga arang batu katanya juga sentiasa turun naik.

Penggunaan tenaga TNB meliputi gandingan gas (kira-kira 50 peratus), arang batu (35 peratus), hidro (14 peratus dan minyak (lebih daripada satu peratus).

Menerusi pembukaan loji nuklear pertama di Malaysia, Dr Mohd Zamzam berkata TNB akan menyertai senarai negara yang sudah membuka loji tenaga nuklear seperti Kanada, Perancis, Jerman, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Jepun dan China.

Dari segi kos bekalan elektrik, beliau berkata tenaga nuklear juga lebih kompetitif berbanding sumber tenaga lain.

"Berdasarkan harga jualan di Bursa Tenaga Korea, harga jualan nuklear hanya 3.9 USsen/kwh berbanding 71.1 USsen/kwh bagi solar (paling mahal), minyak 11.7 USsen/kwh, angin 10.7 USsen/kwh, LNG 10.4 USsen/kwh, hidro 9.4 USsen/kwh, arang batu lembut 4.1 USsen/kwh dan arang batu keras 6.5 USsen/kwh," katanya.

Dr Mohd Zamzam berkata penggunaan tenaga nukluar juga menangani isu keperluan tanah dan sumber memandangkan ia tidak memerlukan tanah yang luas dan faktor kapasiti berbanding sumber tenaga lain seperti angin, fotovoltaik, biomass, biominyak dan bioalkohol.

Tenaga nuklear juga mempunyai pendedahan radioaktif yang rendah.

"Paras radiasi sasaran di sekitar stesen loji nuklear ialah 0.05 mSv setahun berbanding kira-kira 2.4 mSv/setahun (purata dunia) pendedahan radiasi semula jadi daripada pengimbas CT dada x-ray dengan pendedahan 6.9 mSv setiap pemeriksaan, radiasi dari kawasan tapak ialah 0.48 mSv setahun berbanding kajian baru-baru ini," katanya.

Dr Mohd Zamzam berkata kos loji tenaga nuklear menurut reka bentuk China bagi 1,000 MW akan menelan belanja AS$2 bilion manakala reka bentuk Russia pula menelan kos dua bilion euro.

Kos aktiviti penyelidikan dan daya maju katanya berkemungkinan mulai RM2 juta.

"Kami akan bekerjasama dengan Korea Electric Power Corporation bagi melaksanakan kajian awal mengenai daya maju projek nuklear itu," katanya.

Beliau berkata menerusi tenaga nuklear, sumber tenaga akan lebih stabil, yang menjurus kepada tarfi elektrik yang lebih stabil.

Dr Mohd Zamzam menegaskan kejayaan projek tenaga nuklear memerlukan pembabitan kerajaan yang menyeluruh serta berstruktur.

Beberapa inisiatif diperlukan untuk melaksanakan loji tenaga nuklear dengan jayanya di Malaysia termasuk dasar prasarana dan fi pelesenan.

"Dalam pemerolehan, Malaysia perlu memberi perhatian khusus kepada reka bentuk reaktor standard yang baru muncul. Rujukan juga perlu dibuat terhadap garis panduan Agensi Tenaga Nuklear Antarabangsa (IAEA)," katanya.

IAEA ialah pusat kerjasama dunia dalam bidang nuklear. Agensi itu bekerjasama dengan rakan usaha samanya di seluruh dunia bagi menyediakan teknologi nuklear uang selamat, terjamin serta aman.

Naib Presiden Kanan (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid berkata kerajaan belum membuat sebarang kenyataan dasar mengenai nuklear.

"Kami mempunyai opsyen yang kecil dan berhadapan dengan kekangan dengan pilihan tenaga yang lain. Arang batu sebagai contoh, tertakluk kepada harga pasaran dunia dan keputusan geopolitik," kata Abdul Razak pada sidang media selepas taklimat oleh Dr Mohd Zamzam. - Bernama

Komunis tiada tempat di Malaysia: Rais

KUALA LUMPUR: Komunis tidak boleh diberi tempat di negara ini kerana dosa mereka membunuh beribu-ribu rakyat Tanah Melayu pada ketika itu tidak boleh dilupai, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin yang melahirkan perasaan positif terhadap bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng, supaya menyatakan pendirian mereka dengan jelas dan tidak berlindung di belakang tabir parti politik masing-masing.

"Komen saya mudah, Chin Peng dan komandonya yang bunuh ramai orang dahulu sekali-kali tidak ada tempat bagi kita untuk bermuafakat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan 1Malaysia kepada para pegawai kanan kementerian itu di Angkasapuri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan Parti Gerakan Pulau Pinang supaya Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia atas sebab kemanusiaan.

Rais juga menyeru kepada rakyat Malaysia agar tidak terburu-buru mengikuti dan meminati pembaharuan yang dibuat sesetengah pihak khususnya penulis blog yang cuba mendewa-dewakan fahaman komunisme.

"Komunis telah mendera negara ini dan kita telah dibelenggu melalui pembunuhan dan pelbagai tindakan dahsyat, ribuan yang telah mati di tangan komunis sudah cukup bagi kita untuk insaf supaya kita tidak keluarkan sesuatu yang menyamarkan fikiran kita terhadap satu rejim yang begitu dahsyat ketika dulu," katanya.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan mengambil tindakan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap pihak yang cuba memberi gambaran positif terhadap komunis, Rais berkata beliau akan membawa perkara itu pada mesyuarat Kabinet nanti.

"ISA bukan di bawah bidang tugas saya, tapi saya sedang berurusan dengan menteri berkenaan supaya dia juga bersiap siaga melihat kecenderungan seperti ini.

"Apa-apa maklumat yang kita miliki kita akan sampaikan kepada pihak berkuasa pada mesyuarat jemaah menteri minggu ini kerana didapati ada beberapa blog yang sudah mula muncul seolah-olah beri pujian melahirkan perasaan nostalgia kepada komunisme serta angkara yang mereka lakukan," katanya.

Baru-baru ini, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan meminta kerajaan membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia atas sebab kemanusiaan memandangkan keganasan komunis sekitar tahun 50-an tidak lagi diamalkan dan komunisme di seluruh dunia termasuk di China serta Russia juga sudah mengalami transformasi. - Bernama

Sabah&Sarawak: Perbanyak rawatan percuma di kampung

PAPAR: Jabatan Kesihatan perlu menganjurkan lebih banyak program pendidikan di kawasan kampung bagi menyebarkan maklumat berkaitan kesihatan dan menyediakan rawatan atau pemeriksaan percuma kepada penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Manis, Datuk Abdul Rahim Ismail, berkata langkah itu perlu bagi mendidik penduduk kampung mengenai pelbagai aspek kesihatan dan menyedarkan mereka kepentingan penjagaan kesihatan diri dan keluarga.

Katanya, kebanyakan penduduk kampung tidak mendapat maklumat lengkap mengenai kesihatan atau tidak membuat pemeriksaan kesihatan dan jarang berkunjung ke klinik atau hospital kecuali apabila sakit.

"Justeru, Jabatan Kesihatan perlu mengadakan program di kampung supaya penduduk diberi maklumat lengkap mengenai kesihatan sebagai panduan.

"Selain itu, penduduk kampung juga boleh memanfaatkan program berkenaan untuk memeriksa tahap kesihatan mereka dan mendapatkan nasihat pakar mengenai penjagaan kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan program pendidikan kesihatan anjuran Jabatan Kesihatan Papar yang dihadiri kira-kira 500 penduduk di Dewan Mini Kampung Kelanahan di sini, kelmarin.

Katanya, kerajaan sentiasa menyokong usaha Jabatan Kesihatan meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan di kalangan rakyat, khususnya penduduk kampung di kawasan luar bandar.

“Selaku wakil rakyat, saya mengalu-alukan pendekatan turun padang yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan bagi meningkatkan kesedaran penduduk mengenai penjagaan kesihatan," katanya.

Abdul Rahim turut mengingatkan ibu bapa supaya mengambil berat penjagaan kesihatan anak mereka, khususnya bayi berumur tiga hingga enam bulan.

Katanya, bayi dan kanak-kanak memerlukan pemeriksaan dan penjagaan kesihatan yang rapi bagi memastikan pembesaran fizikal dan mental mereka tidak terjejas.

“Jangan ragu untuk datang ke klinik kerana kakitangan kesihatan di sana mempunyai kepakaran dan peralatan yang cukup. Ia memang tugas mereka untuk memeriksa tahap kesihatan dan merawat orang ramai,” katanya.

Sabah&Sarawak: DBKK saman peniaga di kaki lima tiada permit

Tindakan pastikan barang jualan tak halang laluan

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengambil tindakan terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan penggunaan kaki lima kedai selepas peraturan mewajibkan peniaga mendapatkan permit dikuatkuasakan, Januari lalu.

Ketua Bahagian Pelesenan DBKK, Sairullizam Sukor, berkata pihaknya sudah memberi notis terhadap peniaga yang dikesan menggunakan kaki lima kedai bagi meletak barangan jualan, termasuk peniaga di pekan pinggir bandar seperti Inanam dan Telipok.

Katanya, langkah itu bertujuan memastikan penggunaan kaki lima kedai oleh peniaga tidak menghalang laluan orang ramai dan dibuat secara teratur supaya kelihatan kemas bagi menjaga imej bandar raya.

"Sebelum ini hanya peniaga kedai makanan dan minuman atau restoran diwajibkan mendapatkan permit DBKK jika hendak menggunakan kawasan kaki lima atau ruang kosong depan kedai bagi menjalankan perniagaan.

“Bagaimanapun, kami mengambil keputusan memperluaskan cakupan peraturan itu kepada jenis perniagaan lain seperti kedai runcit, barangan keperluan rumah dan pakaian kerana ramai pemilik kedai terbabit dikesan menggunakan kawasan kaki lima kedai meletak barangan jualan," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Beliau berkata, setakat ini 12 peniaga dikenakan kompaun maksimum RM500 manakala barangan jualan mereka dirampas berikutan kegagalan mendapatkan permit meletak barangan di kawasan kaki lima kedai daripada DBKK.

Katanya, sejak dikuatkuasakan 14 Januari lalu, kira-kira 200 permohonan diterima daripada peniaga sekitar bandar raya untuk menggunakan kawasan kaki lima kedai sebagai tempat meletak barangan.

"Kita sudah mengedarkan notis dan borang permohonan kepada semua pemilik kedai yang dikesan meletak barangan di kaki lima tetapi tidak semua memohon permit.

“Ini kerana ada yang tidak lagi meletak barangan di kawasan kaki lima selepas notis itu dikeluarkan.

"Bagaimanapun, kami yakin masih ramai peniaga yang menggunakan kawasan kaki lima kedai tetapi belum mendapatkan permit daripada DBKK. Kami minta mereka segera berbuat demikian sebelum dikenakan tindakan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam DBKK, Syron Tunggolou, berkata peraturan penggunaan kawasan kaki lima kedai dan ruang kosong berhadapan kedai di bandar raya ini asalnya diwujudkan berikutan pelaksanaan projek Medan Mesra Pejalan Kaki di Jalan Gaya pada 2000.

Ketika itu, katanya, DBKK mengeluarkan polisi baru mengenai penggunaan kawasan berkenaan dengan membenarkan peniaga kedai makanan dan minuman atau restoran menggunakan ruang kosong di hadapan kedai untuk menempatkan meja dan kerusi.

Sebelum polisi itu dilaksanakan, katanya, peniaga di bandar raya ini dilarang menggunakan kaki lima dan ruang kosong di hadapan kedai untuk kegiatan perniagaan mereka.

"Walaupun projek Medan Mesra Pejalan Kaki itu gagal, polisi berkenaan masih diguna pakai. Ia mewajibkan peniaga memohon permit daripada DBKK sebelum menggunakan kawasan kaki lima atau ruang kosong di hadapan kedai.

"Kini polisi itu diperluaskan kepada jenis perniagaan lain yang ada menggunakan kawasan kaki lima atau ruang kosong hadapan kedai," katanya.

Sabah&Sarawak: RM18.3j tingkat perikanan jana ekonomi nelayan

KOTA KINABALU: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyalurkan RM18.3 juta bagi melaksanakan projek pembangunan perikanan untuk masyarakat nelayan di Sabah sepanjang empat bulan pertama tahun ini.

Pengerusi LKIM, Datuk Abdul Rahim Ismail, berkata peruntukan itu bertujuan memajukan industri perikanan di Sabah, selaras usaha meningkatkan pendapatan nelayan dan menyumbang kepada peningkatan perolehan ekonomi negeri.

Antara projek itu, katanya, ialah Pakej Rangsangan Ekonomi, Pembangunan Masyarakat dan Institusi Nelayan, Pinjaman Dana Nelayan, Program Transformasi Nelayan, Penangkapan Ikan, Akuakultur dan Pembangunan Industri Nelayan.

“Penyaluran peruntukan itu membuktikan iltizam LKIM dalam usaha membangunkan industri perikanan di Sabah yang masih ketinggalan berbanding negeri lain," katanya di sini, kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Manis, berkata masih banyak ruang dan peluang boleh dimanfaatkan LKIM dalam mengembangkan industri perikanan di Sabah.

Katanya, antara pendekatan yang dilaksanakan LKIM ialah memperkenalkan program transformasi nelayan iaitu menukar kaedah menangkap ikan secara tradisional kepada kaedah moden yang lebih cekap dan menguntungkan.

“Menerusi program ini, nelayan tradisional akan bergabung seramai tiga hingga empat orang dan mengusahakan sebuah bot yang lengkap dengan peralatan dan teknologi canggih.

“Dengan cara ini, mereka akan keluar ke laut dalam supaya dapat menangkap banyak ikan. Tangkapan yang banyak menjanjikan pendapatan yang lumayan kepada mereka," katanya.

Setakat ini, katanya, seramai 22 kumpulan transformasi nelayan diwujudkan di Sabah dengan pembabitan 70 nelayan tradisional.

“Saya menggesa kepada nelayan tradisional di negeri ini supaya memanfaatkan peluang yang disediakan oleh LKIM ini bagi mengubah masa depan mereka agar tidak lagi kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang,” katanya.

Sabab&Sarawak: Air bersih ke seluruh Ranau 2010

RM70j bina Loji Pemprosesan Air Kundasang dalam RMK-9

RANAU: Masalah bekalan air bersih di daerah ini akan berakhir selewat-lewatnya hujung tahun depan menerusi peruntukan RM70 juta untuk pembinaan Loji Pemprosesan Air Kundasang menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata projek itu akan dimulakan dalam tempoh terdekat manakala tapak pembinaan sudah dikenal pasti yang memiliki takungan air mencukupi untuk menampung keperluan pengguna di daerah ini serta daerah kecil Kundasang.

"Kita akan memastikan projek itu siap mengikut jadual demi kepentingan rakyat yang sudah lama mengidamkan kemudahan bekalan air bersih," katanya perasmian Perayaan `Tadau Kaamatan' (Pesta Menuai) Pertubuhan Kebangsaan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu (Upko) 2009 di Dewan Masyarakat Ranau di sini, kelmarin.

Hadir sama Presiden Upko yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Giluk Dompok dan Naib Presiden Upko yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Ewon Ebin.

Musa berkata, bagi kawasan terpencil yang berdepan masalah pemasangan paip bagi dihubungkan dengan Loji Pemprosesan Air Kundasang, ia akan diatasi menerusi pembinaan projek paip air graviti.

"Ranau adalah kawasan luas dan meliputi kawasan lembah serta berbukit yang sudah tentu memerlukan bekalan air alternatif menggunakan paip air graviti," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Musa berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM20 juta untuk pembinaan Kompleks Sukan Ranau bagi kemudahan masyarakat setempat bersukan dan riadah.

Katanya, projek sedang dalam pembinaan itu berupaya melahirkan masyarakat cergas dan cerdas, sekali gus menyumbang kepada kemajuan negeri kerana golongan itu produktif dalam pelbagai bidang seperti perkhidmatan awam, sektor swasta dan menjalankan kegiatan pertanian, perikanan serta kraf.

Beliau berkata, peruntukan dua projek demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat luar bandar itu adalah sejajar pendekatan kerajaan negeri iaitu kurang bercakap dan banyak bekerja untuk membela rakyat yang setia menyokong BN sejak sekian lama.

"Peruntukan ini jelas membuktikan pemimpin kerajaan dan penjawat awam sentiasa bekerjasama bagi memastikan pembangunan rakyat.

"Pelbagai projek dan agenda pembangunan di seluruh negeri dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan. Saya harap kerjasama ini terus ditingkatkan seiring gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” katanya.

Mengenai `Tadau Kaamatan' yang diraikan setiap Mei, Musa berkata, ia tidak terhad kepada etnik Kadazandusun dan Murut sebaliknya meliputi semua lapisan kaum dan keturunan di Sabah, sejajar pengiktirafannya sebagai perayaan nasional.

Pusat Permata realisasi konsep 1Malaysia: Rosmah

KUALA LUMPUR: Pusat Anak Permata Negara (PAPN) akan merealisasikan konsep "1Malaysia" di kalangan kanak-kanak di negara ini melalui sukatan pelajarannya.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata sukatan pelajaran yang sedang diguna pakai oleh Pusat Permata sememangnya menerapkan proses pembelajaran yang tidak membezakan sesuatu kaum, latar belakang mahupun agama.

"Usia satu hingga lima tahun adalah peringkat paling sesuai untuk membentuk kemahiran berfikir dan daya ketahanan diri pada anak-anak dengan pendedahan awal berkomunikasi dan bergaul secara semulajadi," katanya kepada pemberita selepas ditemubual oleh Radio 24 di Wisma Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, di pusat asuhan Permata, kanak-kanak melalui persekitaran selesa dan menyeronokkan tanpa merasakan perbezaan antara kaum itu seperti bersama-sama menyanyi lagu Negaraku dan mempelajari Rukun Negara.

"Di pusat Permata kita mahukan kanak-kanak melalui cara (proses) berinteraksi yang baik tanpa perlu dipaksa-paksa atau mengkehendaki mengadakan suatu program khas untuk membentuk semangat perpaduan di kalangan mereka," katanya.

Rosmah yang juga penaung dan pengerusi Jawatankuasa Kerja Permata Negara berkata melalui laporan yang diterima terhadap perkembangan pusat itu, kanak-kanak yang diasuh di pusat Permata melalui proses pergaulan sihat di mana mereka sudah pandai berbahasa dalam dialek kaum lain.

PAPN adalah projek perintis yang beroperasi sejak 1 Mac 2007, yang memberikan perkhidmatan pengasuhan dan didikan awal untuk kanak-kanak di bawah umur lima tahun, dengan keutamaan diberikan kepada ibu bapa berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan.

Pengasuhan di PAPN berbeza dengan taska biasa kerana ibu bapa perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya sejam setiap minggu untuk bersama dengan anak mereka di pusat itu selain melawat pada waktu makan tengah hari untuk mewujudkan hubungan lebih erat antara ibu bapa dan anak.

Rosmah mengharapkan satu kementerian akan membentuk satu jabatan khas bagi menyelia silibus yang diguna pakai pusat Permata ke peringkat yang lebih meluas kepada semua tadika dan pusat asuhan kanak-kanak yang lain.

Katanya, menjelang hujung tahun ini, lebih 300 tabika Kemas dikenali sebagai Permata dan menjelang tahun depan semua tabika Kemas akan mengikuti sukatan pelajaran Permata. - Bernama

Korea Utara jalankan ujian senjata nuklear

SEOUL: Korea Utara dipercayai menjalankan ujian senjata nuklear pagi tadi, lapor agensi berita Korea Selatan, Yonhap.

Namun, tiada sebarang ulasan atau pengesahan daripada pegawai presiden.

Yonhap yang memetik sumber parti untuk laporan itu menyatakan Presiden Lee Myung-Bak memanggil mesyuarat tergempar keselamatan negara.

Agensi berita itu menyatakan pegawai kerajaan mengesan apa yang dinamakan "gempa bumi tiruan" di Korea Utara sejurus sebelum jam 10 pagi (0100 GMT) tadi.

Ia memetik sumber perisikan sebagai berkata ujian itu dipercayai dilakukan berhampiran bandar Kilju di timur laut negara itu, tempat sama di mana Korea Utara menjalankan ujian pertama pada October 2006.

Korea Utara sebelum ini mengancam untuk menjalankan ujian kedua itu sebagai protes terhadap keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengecam ujian roket pada 5 April lalu. - AFP

H1N1: 22 kes disahkan di Korea Selatan

SEOUL: Wabak influenza A H1N1 di Korea Selatan terus menyaksikan peningkatan mendadak dengan 22 kes dijangkiti disahkan setakat hari ini.

Jurucakap Kementerian Kesihatan berkata, mangsa terbaru seorang guru lelaki berbangsa Amerika berusia 24 tahun.

Guru mengajar bahasa Inggeris itu tinggal di bangunan sama dengan seorang lagi guru perempuan berbangsa Amerika yang sebelum ini turut disahkan dijangkiti H1N1.

Guru lelaki itu kini dikuarantin di hospital di ibu negara, sejak semalam. - AFP

Pulau Pinang minta dana RM5 bilion

GEORGETOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini menghantar cadangan dan surat kepada Pejabat Perdana Menteri meminta kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan jaminan RM5 bilion bagi penubuhan Dana Harta Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata dana itu yang akan dikenali sebagai Pihak Berkuasa Pelaburan Pulau Pinang akan dipermodalkan pada RM5 bilion, dikumpul menerusi terbitan Bon Islam dan dijamin sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

"PIA sama dengan Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA), di mana dana itu akan diberikan kepada Pulau Pinang untuk melaksanakan projek ekonomi mega negeri dengan nilai tinggi," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan delegasi Jawatankuasa Senat Hal Ehwal Asing Thailand, di sini, hari ini.

TIA, yang ditubuhkan pada Februari tahun ini, akan mempunyai saiz dana awal RM11 bilion, dengan RM5 bilion akan dikumpul daripada pasaran modal dengan sokongan daripada jaminan kerajaan dan baki dikumpul menerusi pemindahan kepada TIA sebahagian daripada royalti minyak masa depan yang sepatutnya diberikan kepada kerajaan negeri Terengganu.

Lim berkata, sekiranya Kerajaan Persekutuan boleh memberi jaminan sokongan PIA dengan RM5 bilion, kerajaan negeri yakin dapat mengumpul RM5 bilion lagi.

"Dengan jaminan RM5 bilion daripada Kerajaan Persekutuan, kami yakin kami boleh mengumpul RM5 bilion lagi untuk menjalankan projek prasarana, penyelidikan dan pembangunan dan projek pendidikan bagi Pulau Pinang.

"Kami tidak meminta RM11 bilion lagi, kami hanya meminta jaminan RM5 bilion daripada Kerajaan Persekutuan," katanya. Dalam surat kepada Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan, Lim menyatakan bahawa kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa aktiviti ekonomi sebagai pemacu pertumbuhan utama bagi negeri itu dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Beliau berkata, semua projek tersebut penting bagi menjadikan Pulau Pinang sebuah bandar raya antarabangsa, destinasi pilihan pelancong, serta lokasi pilihan pelabur. - Bernama

Alamak!!

Tolong selesai kan problem nie. Saya mau beli sepasang kasut bernilai RM 97. Tapi saya x ada duit, so saya pinjam kat mama sebanyak RM 50. Saya pinjam kat abg sebanyak RM 50. Saya p kedai 2k beli kasut tersebut. Jadi baki yang saya dapt RM 3. Saya bagi RM 1 kat mama dan RM 1 kat abg. Dalam tangan saya ada RM 1. Hutang saya kat mama, RM 49 dan abg, RM 49. Dalam tangan ada RM 1. Masalahnya, jika hutang tersebut ditambah, hasilnya dapat RM 98. So, dalam tangan saya ada RM 99. Saya binggung ke mana hilangnya RM 1 tu?

Tolong nyer...