Followers

Wednesday, August 25, 2010

Indonesia diminta pastikan keselamatan rakyat Malaysia

PUTRAJAYA: Kerajaan Indonesia diminta memastikan keselamatan rakyat Malaysia di republik itu serta mengambil tindakan terhadap kumpulan yang melempar najis manusia ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata bukan sahaja nama baik Malaysia malah reputasi Indonesia turut tercemar akibat perbuatan sebegitu keji oleh segolongan rakyat negara itu baru-baru ini.
"Saya juga telah meminta kerajaan Indonesia memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Indonesia dipelihara, demi menjaga hubungan baik kedua-dua negara yang amat kita hargai," katanya kepada pemberita selepas bertemu Timbalan Duta Indonesia ke Malaysia, Tatang B Razak di Wisma Putra bagi mendapat penjelasan berkaitan perkara itu.
Beliau berkata tindakan berunsur provokasi seperti membakar dan memijak bendera Malaysia serta membaling najis, adalah satu penghinaan kepada Malaysia, malah perbuatan itu mencabar kedaulatan negara.

Beberapa pihak di Indonesia telah mengadakan demonstrasi sebagai tanda kemarahan terhadap Malaysia yang didakwa telah merendahkan maruah Indonesia dalam insiden penahanan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan negara tersebut oleh Polis Marin Malaysia di perairan Bintan pada 13 Ogos lalu. - BERNAMA

Malaysia minta UNESCO iktiraf Lembah Lenggong tapak warisan dunia

KUALA LUMPUR: Kabinet hari ini meluluskan rancangan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan supaya kawasan Lembah Lenggong di Perak dijadikan Tapak Warisan Dunia selepas Georgetown dan Melaka.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata Malaysia akan mengemukakan laporan dan cadangan kepada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) untuk mengiktiraf kawasan berkenaan sebagai tapak warisan.
"Kabinet telah meluluskan rancangan kementerian ini untuk menjadikan Lembah Lenggong sebahagian tapak warisan dunia bagi dikaji oleh UNESCO dan diiktiraf sebagai tapak sejarah dan tapak yang penting dari segi warisan Malaysia sendiri.
"Sekiranya UNESCO bersetuju, kita akan beroleh satu tapak lagi di mana zaman paleolitik, neolitik dan gangsa dapat disatukan sejarahnya dan juga artifaknya di Malaysia," katanya di sini, hari ini.

Rais berkata, penemuan rangka manusia purba “Perak Man” di kawasan Lembah Lenggong adalah antara faktor yang akan menarik perhatian UNESCO untuk menjadikan kawasan itu sebagai tapak warisan dan lokasi pelancongan dunia.

"Kita akan mendapat satu tambahan daya tarikan kepada Malaysia selain menunjukkan tamadun di Malaysia sudah berkembang dan kemanusiaannya diterima sebagai fakta sejarah.

"Yang ini baru dicadangkan kepada UNESCO...yang di Melaka dan Pulau Pinang sudah diterima. Jadi ini aspeknya sama tahap dengan Lembah Bujang, Kedah, tetapi di Kedah, isiannya berbeza, yang itu mengandungi artifak-artifak tamadun, tetapi di Lembah Lenggong, kita dapati artifak rangka manusia itu sendiri yang usianya sekitar 10,000 hingga 11,000 tahun yang lampau.
"Bukan itu saja, di Lenggong kita dapati beberapa tapak yang mungkin dapat menonjolkan tamadun lama dan sebab itu kita memohon kepada Unesco untuk mengiktiraf kawasan ini sebagai kawasan warisan dunia, yang boleh dijadikan sebagai aspek penceritaan sejarah dan aspek penceritaan warisan," katanya.

Ditanya berapa tempoh masa untuk UNESCO memberikan jawapan terhadap cadangan Malaysia itu, Rais berkata, keputusan berkemungkinan selepas satu tahun.

"Tetapi gerak kerja itu dilangsungkan sekarang sampailah dalam tempoh 10 hingga 11 bulan dan laporan itu akan diteliti oleh pakar-pakar dunia yang berpusat di Paris.

"Mereka akan buat keputusan sama ada persembahan kita menurut fakta sejarah atau keunikan aspek sejarah dan peninggalan arkeologi dapat dirumus sebagai tanda-tanda tamadun yang harus dikekalkan dan harus dipulihara," katanya. - Bernama

Rakyat Malaysia tidak digalak berkunjung ke Indonesia: Anifah

PUTRAJAYA: Wisma Putra tidak menggalakkan rakyat Malaysia daripada berkunjung ke Indonesia kecuali jika mempunyai urusan yang perlu disegerakan, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini Wisma Putra belum lagi mengeluarkan nasihat perjalanan rasmi ke Indonesia.
Ini berikutan tindakan 37 penunjuk perasaan mewakili Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) kelmarin yang melempar najis manusia di Kedutaan Malaysia di Jakarta dan memijak Jalur Gemilang.

Kafe tawar khidmat seks diserbu, 10 pelacur ditahan

PETALING JAYA: Dengan berselindung di sebalik lesen perniagaan restoran, tetapi satu sindiket pelacuran ligat menjalankan kegiatan urut seks dan servis pelacur di sebuah bangunan berdekatan Taman Bukit Mayang, di sini sejak tiga bulan lalu.

Difahamkan pemilik restoran terbabit memperoleh lesen bagi menjalankan perniagaan makan dan minum di tingkat dua bangunan itu, tetapi telah menyalahgunakan lesen itu dengan menawarkan khidmat pelacuran kepada pelanggan di tingkat tiga bangunan berkenaan yang turut dilengkapi dengan asrama untuk pelacur terbabit.
Dalam serbuan yang dilakukan pada 9.30 malam tadi yang diketuai Pegawai Operasi, Asisten Komisioner Lim Chee Wah dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, seramai 10 orang pelacur warga asing ditahan.
Mereka yang berumur antara 20 hingga 38 tahun membabitkan lima orang warga Indonesia, empat orang warga Vietnam dan seorang warga China.

Turut ditahan dua lelaki tempatan berumur 20 dan 40 tahun yang bertindak sebagai penjaga restoran berkenaan.

Katanya ketika diserbu, terdapat lima orang pelanggan di dalam premis berkenaan, bagaimanapun mereka dibebaskan selepas keterangan mereka diambil.

"Sebelum ini, serbuan yang sama telah dilakukan pada Mac lalu di restoran berkenaan namun kegiatan pelacuran masih lagi berlaku dan kita sedang memburu pemilik restoran bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 373 Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan kegiatan pelacuran. - BERNAMA

Malaysia disenaraikan 37 terbaik dunia buktikan tuduhan pembangkang tidak benar

BACHOK: Penyenaraian Malaysia ke-37 terbaik di dunia dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan kualiti hidup membuktikan tuduhan buruk parti pembangkang terhadap kerajaan adalah tidak benar.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata perspektif korup dan bankrupsi yang dilemparkan parti pembangkang selama ini terhadap pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) juga ternyata meleset.
"Mereka sepatutnya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan, bukan mengutuk dan melemparkan tuduhan yang tidak berasas," katanya pada majlis berbuka puasa bersama warga kerja Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Tangok di sini, semalam.
Majalah Newsweek dalam laporannya dua hari lalu antara lain menyatakan Malaysia kini menduduki tangga ke-37 terbaik di dunia mengatasi Indonesia, Thailand, China, Filipina, India dan Vietnam dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan kualiti hidup.

Majalah itu turut meletakkan Malaysia di tangga kelapan terbaik di dunia dalam bidang pendidikan berbanding negara membangun yang lain.

Awang Adek, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, berkata berasaskan laporan itu diharap parti pembangkang menghentikan pelbagai dakyah yang ditaburkan kepada rakyat supaya membenci kerajaan termasuk dakwaan FELDA bankrap, zalim dan tidak memberi perhatian untuk membela rakyat miskin dan orang Melayu.

Katanya, reformasi kerajaan itu kini telah menampakkan hasil apabila ramai di kalangan anak petani, pekebun kecil dan nelayan telah mendapat pendidikan tinggi dan mengecapi kualiti hidup lebih baik.
"Saya sendiri anak nelayan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed anak penanam tembakau dan ia sukar dicapai di negara lain yang kebanyakannya mereka yang berjaya dalam kualiti hidup terdiri daripada anak-anak golongan bangsawan," katanya.

Awang Adek berkata, ia akan menyerlahkan lagi dasar kerajaan seperti Model Ekonomi Baru (MEB), Pelan Transformasi Ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10). - Bernama

Polis tingkat kawalan penjualan, permainan mercun: Musa

KOTA BHARU: Berikutan kejadian menjual dan bermain mercun di musim perayaan ini sehingga mengakibatkan ada nyawa yang terkorban, pihak polis akan memperketatkan kawalan bagi mengekang kemasukan dan penjualan mercun serta bunga api.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata beliau telah mengarahkan ketua-ketua polis negeri dan daerah terutama di kawasan sempadan supaya segera bertindak membanters kegiatan tersebut.
"Mereka perlu memastikan tiada tempat yang boleh dijadikan lokasi menjual dan menyimpan mercun seperti yang berlaku di Terengganu dua hari lalu yang mengorbankan nyawa seorang kanak-kanak.
"Saya telah mengarahkan semua anggota saya supaya memeriksa di semua tempat termasuklah di pasar Ramadan. Jual mercun sahaja kita akan segera ambil tindakan.

"Ketua-ketua polis di sempadan perlu awasi jangan berlaku penyeludupan mercun dan kita akan bekerjasama dengan semua pihak seperti kastam (Kastam Diraja Malaysia) bagi menangani masalah ini," katanya kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Ihya Ramadan bersama Pemangku Raja Kelantan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kelantan di sini malam tadi.

Turut hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalannya, Datuk Ahmad Yacob, dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Mengenai tragedi di Terengganu itu, Musa berkata ia perlu dielakkan sementara ibu bapa pula perlu sentiasa mengawasi anak-anak mereka daripada bermain mercun dan bunga api.
"Apa yang berlaku di Terengganu itu amat menyayat hati termasuk juga beberapa kes kecederaan lain akibat bermain mercun. Kita tidak mahu ada anak-anak kita yang tersadai di hospital kerana bermain mercun," katanya.

Dalam kejadian di Kampung Makam Lama, Cabang Tiga di Kuala Terengganu pada Ahad lalu, Khairul Arif Ayub, 6, maut dalam kejadian letupan di sebuah rumah tinggal yang dipercayai menjadi gedung simpanan bunga api dan mercun.

Dua orang lagi iaitu Mohd Asrizan Muda, 22, dan Mazlan Abdullah, 29, mengalami cedera parah dan masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Sehubungan kejadian itu, bapa kepada kanak-kanak berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan.

Mengenai pencegahan kemalangan jalan raya semasa musim perayaan ini, Musa berkata kira-kira 4,000 anggota polis akan diarahkan berkawal bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas dan seterusnya dapat mengelak kemalangan termasuk yang mengorbankan nyawa.

"Saya rasa jalan akan begitu sesak dan pengguna perlu ikut peraturan lalu lintas. Kita tidak mahu banyak kemalangan jalan raya berlaku sehingga kehilangan nyawa," katanya.

Mengenai isu yang membabitkan jawatan beliau yang dijadual tamat bulan depan dan terdapat pihak yang mahu ia dilanjutkan kerana prestasi beliau yang menyakinkan selama memegang jawatan Ketua Polis, beliau berkata perkara itu terserah kepada kerajaan.

"Saya tak boleh nak cakap apa. Ini kerajaan yang tentukan," katanya. - BERNAMA

Kediaman Duta Besar Malaysia di Jakarta pula diancam

JAKARTA: Setelah melempar najis manusia ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia di sini Isnin lalu, kumpulan penunjuk perasaan yang sama mengugut untuk berbuat demikian di kediaman Duta Besar Malaysia pula.
Kali ini, penunjuk perasaan dari kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) itu dilaporkan akan disertai kumpulan gabungannya yang menamakan diri sebagai Pemuda Pemudi Anti Malaysia.
Sementara itu, 25 penunjuk perasaan Bendera merancang berdemonstrasi di hadapan Bank CIMB Niaga petang ini dan mengulangi aksi sama di pejabat Petronas kemudian.
Polis Indonesia yang mendapat maklumat mengenai rancangan demonstrasi haram di hadapan kediaman Duta Besar Malaysia di Patra Kuningan, bertindak mengetatkan kawalan dengan menempatkan lebih 200 anggota di sekeliling rumah berkenaan sejak 9.30 pagi tadi.

Sejak malam tadi, Polis Indonesia telah menempatkan anggotanya bagi menjaga keselamatan di kawasan kediaman Duta Besar Malaysia itu.

Pada masa sama, polis Indonesia turut menempatkan ramai anggotanya di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, sebagai persediaan menghadapi kumpulan sama, yang dilaporkan turut merancang mengadakan sekali lagi demonstrasi di situ.

Kedutaan Besar Malaysia menghargai langkah yang diambil polis Indonesia dalam menjaga keselamatan di kawasan kediaman Duta Besar dan bangunan kedutaan.
Setakat 3.30 petang waktu Indonesia Barat, demonstrasi di hadapan kediaman Duta Besar Malaysia dan Kedutaan Besar Malaysia belum diadakan.

Isnin lalu, 37 anggota Bendera berdemonstrasi di hadapan bangunan kedutaan berkenaan dan membawa lima bungkus najis manusia sebagai "hadiah" kepada Malaysia, yang didakwa telah mencemarkan maruah Indonesia dengan cara lebih kotor daripada itu.

Seorang daripada mereka sempat melempar bungkusan najis ke dalam pintu pagar Kedutaan Besar Malaysia manakala yang lain bertindak melepaskan kotoran itu ke atas Jalur Gemilang yang mereka pijak di atas jalan raya.

Mereka melepaskan kemarahan terhadap Malaysia berikutan insiden di perairan Malaysia-Indonesia berhampiran Bintan, Kepulauan Riau pada 13 Ogos yang menyaksikan bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia menahan tujuh nelayan Malaysia, sementara Polis Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai penguatkuasa kementerian Indonesia itu.

Kedua-dua pihak mendakwa melakukan penahanan itu kerana pencerobohan dalam wilayah masing-masing.

Ekoran kejadian lempar najis itu, polis Indonesia menahan empat anggota Bendera, tetapi membebaskan mereka beberapa jam kemudian atas alasan mereka belum melakukan perbuatan berkenaan.

Seorang pegawai di Kedutaan Besar Malaysia yang dihubungi pada hari berkenaan, telah mengesahkan bahawa najis yang dibungkus dalam kertas pembalut makanan berwarna coklat itu, telah dilempar masuk ke kawasan kedutaan.

Pada hari sama, sebelum bersurai, kumpulan Bendera telah memberi kata dua kepada polis Indonesia supaya melepaskan anggota mereka yang ditahan, atau mereka akan bertindak mengusir rakyat Malaysia, yang dinamakan sebagai "Sweeping Rakyat Malaysia".

Polis Indonesia turut mendapat maklumat mengenai rancangan kumpulan Bendera untuk mengusir rakyat Malaysia yang berada di Jakarta hari ini, dan wartawan Malaysia telah dinasihatkan agar tidak menghampiri kumpulan penunjuk perasaan itu bagi mengelakkan tindakan "sweeping" dilakukan.

Berikutan itu, semua pelajar Malaysia di Jakarta dinasihatkan supaya tidak melalui kawasan Jalan Diponegoro, Menteng, Jakarta bagi mengelak tindakan "sweeping" oleh anggota Bendera.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Indonesia Datuk Dr Junaidy Abu Bakar juga
menasihatkan pelajar supaya keluar rumah secara berkumpulan, dan segera menghubungi beliau atau pemimpin pelajar jika diancam mana-mana pihak.

"Saya minta seluruh mahasiswa Malaysia agar menghindari dan menjauhi kawasan Menteng, khususnya Jln Diponegoro.

"Kawasan berkenaan telah dikenal pasti antara kawasan yang akan dilakukan sweeping rakyat Malaysia oleh kumpulan Bendera," katanya. - BERNAMA