Followers

Sunday, January 3, 2010

Gempa 7.2 magnitud gegar Kepulauan Solomon

HONIARA (Kepulauan Solomon): Gempa kuat berukuran 7.2 magnitud menggegarkan Kepualauan Solomon di barat Pasifik, awal pagi ini dengan berpotensi menyebabkan tsunami.

Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat berkata, gempa berlaku jam 8.48 pagi waktu tempatan (2148 GMT), berpusat di kedalaman 30 kilometer dan terletak di 103 kilometer dari Bandar Gizo.

Tiada amaran tsunami dikeluarkan sejurus gempa tetapi Pusat Amaran Tsunami Pasifik berkata, gempa berkekuatan seperti itu biasanya akan menyebabkan tsunami bersifat tempatan.

Pusat Geosains Australia pula berkata, gempa yang berlaku di 80 kilometer dari tanah besar pulau berkenaan boleh menyebabkan tsunami tempatan tetapi bukannya ombak besar. - AFP

PM ajak rakyat fikirkan keperluan untuk subsidi bagi gula

PEKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengajak rakyat Malaysia sama-sama berfikir apakah perlu kerajaan terus memberikan subsidi harga gula, satu bahan makanan yang ternyata boleh mendatangkan kemudaratan kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata, kerajaan membelanjakan hampir RM1 bilion setiap tahun untuk subsidi harga gula, sedangkan bilangan pesakit kencing manis di negara ini adalah antara yang tertinggi di dunia.

"Apa yang patut dilakukan kita perlu mengubah cita rasa kita supaya kita kurangkan gula, saya sendiri tak guna gula kalau minum teh. Maknanya kita boleh ubah cita rasa kita, tak perlu gula terlalu banyak.

"Tidak ada logiknya kerajaan keluarkan subsidi hampir RM1 bilion setahun untuk subsidi satu bahan makanan yang boleh mendatangkan mudarat kepada rakyat," katanya selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Parlimen Pekan, di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenaikan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram yang diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkuat kuasa 1 Januari yang turut disifatkan ramai pihak sebagai "hadiah" tahun baru kepada rakyat.

Ditanya kesan kenaikan harga barangan lain berikutan kenaikan harga gula berkenaan, Najib berkata:

"Kita akan kawal, mana (barang) (di) bawah harga kawalan tak boleh dinaikkan, kita akan pantau perkara ini.

"Kita akan kawal, ada barang komoditi yang kita kawal, ada yang terpaksa kita kaji dari semasa ke semasa, ada yang kita buat untuk kebaikan rakyat," kata Najib.

Perdana Menteri berkata, rakyat juga perlu melihat secara positif kenaikan harga gula iaitu berazam mengubah cita rasa mereka demi kesejahteraan kesihatan.

"Kenaikan harga kenaikan gula untuk kebaikan rakyat, insiden (statistik) kencing manis di Malaysia antara yang tertinggi di dunia," katanya.

Beliau menegaskan sekalipun berlaku kenaikan harga gula, harga bahan berkenaan sebenarnya masih murah di negara ini berbanding negara Asean yang lain.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, seramai 371 pelajar UPSR tahun 2009 yang memperoleh keputusan 5A menerima anugerah kecemerlangan daripada Perdana Menteri.

Ketika berucap, Najib mahu warga pendidik lebih kreatif dan inovatif dalam usaha mendidik anak bangsa.

"Kita perlu lihat bahawa proses pembelajaran juga perlu unsur kreativiti dan inovasi sebagai dimensi baru dalam proses pendidikan kita.

"Saya percaya perubahan seperti ini akan jadikan sistem pembelajaran kita lebih menarik dan para pelajar akan lebih dinamik dan segar," katanya.

Najib berkata, golongan pendidik juga perlu menggunakan pelbagai perantara termasuk internet bagi mencapai tahap kecemerlangan lebih tinggi. - Bernama

Kalimah Allah dikhuatiri pendakwah agama bagi tujuan tersirat: Ahmad Zahid

BAGAN DATOH: Penggunaan kalimah "Allah" dikhuatiri digunakan oleh pendakwah agama bukan Islam yang mahu mengelirukan umat Islam dengan tujuan tersirat mereka, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan gereja Katolik menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya telah menyinggung perasaan umat Islam di negara ini.

"Sebagai sebuah negara yang majmuk, mempunyai pelbagai agama, harus elakkan perkara sensitif ditimbulkan di mana-mana platform perundangan," katanya selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada pelajar miskin di kawasan Parlimen Bagan Datoh di sini, hari ini.

Dr Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lalu yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan "Allah".

Pada 16 Februari lalu, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Dr Ahmad Zahid berkata, umat Islam di negara ini amat menghormati kedudukan agama lain dan tidak mahu ada pihak mencampuri urusan agama Islam.

Katanya, sebelum ini, Majlis Fatwa Kebangsaan sudah menetapkan dengan jelas bahawa perkataan "Allah" adalah khusus untuk orang Islam kerana ia adalah perkataan khas sementara "Tuhan" adalah nama Am.

"Kalau selama ini tidak ada penulisan yang menggunakan perkataan "Allah" (bagi agama bukan Islam) mengapa pula akhbar mingguan “Herald-The Catholic Weekly” terlalu ghairah hendak menggunakan perkataan "Allah".

"Dalam Perlembagaan Persekutuan menetapkan agama Islam adalah agama rasmi sementara agama lain boleh diamalkan di Malaysia tetapi tidak boleh disebarkan di kalangan orang Islam," katanya.

Beliau dengan itu menggesa semua tokoh ulama, pertubuhan bukan kerajaan dan seluruh umat Islam bersatu dalam hal membabitkan kesucian agama Islam.

Di KOTA BHARU, Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Majlis Raja-Raja menyelesaikan segera isu pertikaian penggunaan kalimah Allah supaya tidak berlanjutan.

Presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, jika tidak diselesaikan segera ia bakal mengundang masalah kepada negara yang dikhuatiri boleh menjejaskan keamanan.

"Dalam soal ini KDN perlu memfailkan segera rayuan bagi menggantung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini manakala Majlis Raja-Raja boleh memutuskan siapa yang berhak menggunakan kalimah suci ini.

"Ini kerana Majlis Raja-Raja dianggotai semua ketua-ketua agama Islam di negeri masing-masing," katanya. - Bernama

Majlis Raja-Raja diminta campur tangan bagi pelihara kesucian kalimah Allah

CHANGLUN: Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharum meminta Majlis Raja-Raja, Majlis Fatwa Kebangsaan serta Majlis Agama Islam Negeri campur tangan bagi memelihara kesucian kalimah Allah selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan ia bukan hak eksklusif agama Islam.

Beliau yang pernah terbabit dalam pengharaman penggunaan kalimah Allah dalam isu membabitkan permit akhbar Herald-The Catholic Weekly ketika menjawat jawatan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) pada 2007 berpendapat, isu itu tidak sepatutnya di bangkitkan semula kerana ia sensitif dan boleh mengundang kemarahan umat Islam di negara ini.

Sehubungan itu, beliau berharap campur tangan pihak berkenaan segera dilakukan kerana ia mampu meredakan situasi yang disifatkan boleh meletus pada bila-bila masa.

"Ketika saya membuat keputusan membatalkan permit akhbar itu sebelum ini saya mengambil kira keputusan Kabinet pada 1986 yang menetapkan empat istilah iaitu Allah, Baitullah, Kaabah dan Solat diharamkan dalam penerbitan atau digunakan agama lain.

"Ia jelas dan keputusan itu dibuat berdasarkan kepentingan untuk menjaga keamanan serta perpaduan negara yang selama ini tidak pernah menghalang mana-mana agama di negara ini mengamalkan ajaran mereka.

"Kita hidup harmoni dan bebas mengamalkan ajaran masing-masing selama ini sambil menerima Islam sebagai agama rasmi negara ini, jadi mengapa perlu isu ini ditimbulkan lagi...cukuplah," katanya selepas melancarkan program kembali ke sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Wan Kemara di sini, hari ini.

Selain SK Datuk Wan Kemara program itu turut membabitkan SK Malau dan SK Jitra Tiga yang terletak di Parlimen Kubang Pasu.

Dalam program anjuran bersama Biro Pendidikan Umno Kubang Pasu dan Persatuan Pendidikan Cemerlang Negeri Kedah (Cerdik) itu seramai 500 murid dari tiga SK terbabit menerima pelbagai kelengkapan untuk menempuh alam persekolahan.

Sementara itu, Mohd Johari yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, keadaan yang berlaku ketika ini adalah berikutan sikap ambil ringan pihak berkaitan mengenai pentingnya tindakan awal diambil supaya ia tidak dibangkitkan lagi.

"Ketika KKDN membatalkan permit akhbar berikutan penggunaan kalimah Allah dulu sepatutnya badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkaitan bangkit menyatakan sokongan serta mengambil tindakan susulan bagi memastikan ia tidak berbangkit lagi.

"Sekarang ini ia dibangkitkan kembali walaupun ia tidak sepatutnya dilakukan. Jadi saya rasa campur tangan pihak berkenaan adalah penting bagi menjamin kesucian Islam terus terpelihara," katanya.

Kem latihan PLKN baru perlu keluasan 12 hektar

KOTA BHARU: Setiap kem latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dibina selepas 2007 perlu mempunyai keluasan minima 12 hektar bagi membolehkan pelatih mengikuti program dengan selesa dan selamat.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata peraturan itu bagi menyediakan ruang selesa untuk pelatih mengikuti pelbagai modul dan aktiviti sepanjang program itu.

“Bagaimanapun, kem latihan yang dibina sebelum 2007 perlu mempunyai keluasan minima lapan hektar,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pelepasan Kumpulan Pertama siri 7/2010 peserta PLKN di sini hari ini.

Pada majlis itu, 712 peserta dihantar ke beberapa kem di Kelantan dan Pahang dengan menaiki 17 bas bagi mengikuti latihan selama tiga bulan itu.

Ketika berucap pada majlis itu, Abdul Hadi berkata, kira-kira 80 peratus daripada 38,000 pelajar yang dipilih untuk mengikuti PLKN telah mendaftar diri semalam.

"Selebihnya mungkin mendapat penangguhan seperti mengikuti pengajian atau akan mengikuti latihan itu pada musim akan datang," katanya. - Bernama

Golongan berpendapatan rendah rayu kerajaan kaji semula harga gula

KEMAMAN: Kerajaan diminta mengkaji semula harga gula yang dinaikkan sebanyak 20 sen bagi setiap kilogram berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Pengumuman yang dibuat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu, disambut dengan perasaan terkejut pengguna dan peniaga yang rata-ratanya menganggap langkah itu akan menimbulkan banyak kesan negatif.

Kebanyakan pengguna dan peniaga di negeri ini yang ditemui menganggap kadar kenaikan 20 sen itu adalah terlalu tinggi terutama bagi golongan berpendapatan rendah.

Bagi Zahari Awang, 39, seorang nelayan di Pantai Kemasik, di sini, kenaikan harga gula akan menambah lagi beban sedia ada dalam menyediakan keperluan harian kepada keluarga.

"Mungkin bagi sesetengah orang, jumlah 20 sen itu tak beri kesan apa-apa, tetapi dengan hanya bekerja sebagai nelayan, pendapatan saya tidak seberapa.

"Sebelum ini kalau kami anak beranak nak makan kuih, isteri saya terpaksa buat sendiri untuk jimatkan kos, kalau beli kuih di kedai, sekarang ini empat keping RM1, memang tak cukup untuk anak-anak yang seramai enam orang. Lepas ini tentu harga kuih pun naik lagi sebab harga gula sudah naik," katanya.

Justeru, beliau meminta kerajaan mengkaji semula keputusan berkenaan atau sekurang-kurangnya tidak menaikkan harga bahan asas itu sehingga 20 sen sekilogram.

Seorang peniaga kedai runcit di pekan Paka, Mohd Hanafi Yusof 45, pula menjangkakan harga barangan lain terutama makanan dan minuman yang berkait secara langsung dengan gula, akan turut naik.

"Kalau harga gula naik, semua barang lain juga akan naik. Kedai-kedai makan, warung juga akan naikkan harga pada bila-bila masa kerana kuih dan air naik kerana gula keperluan asas, itu yang berlaku sebelum ini," katanya.

Pengusaha restoran, Zuraidah Abdullah, 30, berkata beliau terkejut dengan kenaikan harga yang disifatkan mendadak dan terlalu tinggi.

"Biasanya harga untuk 24 kampit gula satu kilogram setiap sekampit hanya RM34 namun kini harganya sudah naik kepada RM39. Bagi saya harganya naik tinggi sangat," katanya.

Katanya, setakat ini, beliau tidak berhasrat untuk menaikkan harga makanan di restorannya namun langkah itu mungkin terpaksa diambil berikutan peningkatan kos yang terpaksa ditanggungnya.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua Persatuan Pengguna Terengganu, Othman Abdullah, berkata kenaikan harga 20 sen sekilogram itu disifatkan agak tinggi.

"Kita tidak nafikan keperluan kerajaan untuk menaikkan harga bahan itu. Tetapi kalau boleh, kurangkan sedikit, jangan sampai 20 sen kerana dalam keadaan sekarang ia begitu tinggi," katanya dan menurutnya keadaan itu akan memberi kesan kepada orang ramai terutama penduduk miskin yang tinggal di kampung-kampung.

Kenaikan harga sebanyak 20 sen itu menjadikan harga bahan berkenaan naik kepada RM1.65 sekilogram di Semenanjung dan RM1.75 sekilogram di Sabah dan Sarawak.

KPDNKK bagaimanapun menegaskan kerajaan masih menanggung kos subsidi gula yang besar sebanyak RM1.008 bilion walaupun selepas harga gula dinaikkan sebanyak 20 sen.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Mohd Zain Mohd Dom, ketika mengumumkan perkara itu berkata, kenaikan harga gula tidak dapat dielakkan berikutan kenaikan harga gula mentah dunia terutama sejak Ogos lalu. - Bernama

Gunung berapi paling aktif di Colombia meletus

BOGOTA: Pihak berkuasa Colombia berkata, gunung berapi Galeras di tenggara Colombia meletus,tetapi tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan sehingga kini.

Pengarah Bantuan Kebangsaan Palang Merah, Carlos IVan Marquez, berkata pihak berkuasa mungkin sudah mengeluarkan 8,000 mangsa sebagai langkah berjaga-jaga selepas gunung berapi berkenaan meletus pada jam 7.43 petang Sabtu (waktu Colombia).

Gunung Galeras setinggi 14,110 kaki adalah paling aktif di negara itu dan terletak 10 kilometer dari Pasto, iaitu ibu kota yang diduduki 500,000 penduduk.

Ia juga terletak berdekatan sempadan Ecuador. - AP

Ahli Parlimen Afghanistan tolak calon kabinet Hamid Karzai

KABUL: Ahli Parlimen Afghanistan menolak hampir kesemua calon bagi kabinet baru yang dicadangkan presiden negara itu, Hamid Karzai, termasuk seorang wanita dan ketua puak.

Hanya tujuh daripada 24 calon diluluskan oleh lebih 200 penggubal undang-undang dalam pembuangan undi secara rahsia yang diadakan semalam.

Ia menyebabkan Afghanistan berdepan dengan ketidakstabilan politik baru, iaitu hanya beberapa minggu berlangsungnya persidangan antarabangsa.

"Daripada 24 calon yang diketengahkan di parlimen, hanya tujuh berjaya mendapatkan undi," kata Speaker parlimen, Mohammad Yunus Qanoni, selepas pengiraan berakhir.

Senarai kabinet Karzai dilihat barat sebagai ujian terhadap komitmennya dalam membina negara yang bersih dan boleh dipercayai dalam memerangi rasuah yang menyelubungi negara itu serta membanteras penentangan daripada Taliban. - AFP

2010 ada signifikan pelaksanaan FTA: Mukhriz

KUALA LUMPUR: Bagi 2010 ia mempunyai satu signifikan besar kepada pelbagai pihak dengan pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan diharapkan pengeksport Malaysia akan mengambil kesempatan penuh peluang yang ditawarkan oleh pelbagai perjanjian berkenaan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Muhkriz Mahathir.

Katanya, Malaysia mendapat manfaat daripada liberalisasi perdagangan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), Perjanjian Perdagangan Bebas Asean (AFTA) dan banyak peraturan dua hala.

Pada 2008, jumlah dagangan keseluruhan Malaysia adalah 160.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

"Sambil kita mencatatkan eksport yang lebih rendah pada 2009," Mukhriz berkata, Malaysia sudah mencatatkan peningkatan dari segi prestasi eksport sejak beberapa bulan lalu.

"Bagi meningkatkan lagi eksport walau pun berdepan keadaan luar yang mencabar, pengeksport Malaysia digalakkan menggunakan sepenuhnya pelbagai FTA yang telah ditandatangani kerajaan," katanya.

"Ini termasuk AFTA, FTA serantau seperti Asean-China, Asean-Korea, Asean-Jepun, yang dikuatkuasakan dan Asean-India serta Asean-Australia/New Zealand, yang berkuat kuasa 1 Januari tahun ini," katanya.

Mukhriz mendedahkan bahawa Malaysia telah juga memuktamadkan FTA dua hala dengan Jepun, Pakistan dan New Zealand.

Katanya, banyak pengeksport Malaysia mendapat manfaat daripada FTA dengan Jepun dan Pakistan.

"Perjanjian dengan New Zealand akan berkuat kuasa pada 2010. Perundingan sedang dilakukan dengan aktif untuk memuktamadkan perjanjian dua hala dengan India, Chile dan Australia," katanya.

Menurut Muhkriz, FTA berkenaan bukan saja membuka peluang pasaran baru bagi produk Malaysia, "malah, ia menjadikan harga produk kita kompetitif berikutan layanan duti keutamaan yang ditawarkan oleh rakan perdagangan kita."

Secara bersama, FTA yang dimuktamadkan meliputi 60 peratus daripada perdagangan global Malaysia dan akhirnya menyediakan pasaran bebas duti kepada lebih 3.2 bilion penduduk.

Perjanjian Afta, sebagai contoh, katanya menawarkan layanan bagi hampir keseluruhan produk.

"China dan enam anggota awal Asean akan memberikan layanan bebas duti ke atas 90 peratus produk.

"Bilangan persijilan tempasal (COO) yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kepada pengeksport kita di bawah skim keutamaan FTA telah meningkat 13.0 peratus kepada 222,476 pada 2008 daripada 196,856 pada 2007.

"Ketika separuh pertama 2009, sambil eksport keseluruhan ke pasaran rakan FTA telah merosot berbanding dengan tempoh yang sama 2008, berlaku peningkatan di dalam agihan eksport yang menggunakan skim keutamaan di bawah FTA," kata Mukhriz.

Mulai Januari hingga Jun 2009, beliau mendedahkan bahawa eksport yang menggunakan kadar keutamaan di bawah AFTA berjumlah RM10.61 bilion berbanding dengan tempoh yang sama 2008 manakala eksport ke Korea dicatatkan RM9.98 bilion berbanding dengan RM6.6 bilion.

Mukhriz turut menyatakan bahawa Miti akan meningkatkan program capaiannya kepada syarikat Malaysia untuk mewujudkan kesedaran lebih tinggi peluang yang besar yang dihasilkan oleh FTA berkenaan.

Katanya, banyak perbincangan dan program bersama dengan pelbagai Dewan Perniagaan dan persatuan perdagangan yang lain dijangka membantu pengeksport Malaysia kekal berdaya saing di tengah-tengah persekitaran pasaran asing yang mencabar. - Bernama

JPM akan kemuka rayuan berhubung kalimah Allah

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai penggunaan perkataan "Allah" di Mahkamah Rayuan bagi tindakan dan pembelaan sewajarnya demi memastikan kesucian Islam di Malaysia terpelihara.

Justeru itu, Menteri di JPM, Datuk Jamil Khir Baharom meminta semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan umat Islam di negara ini supaya bertenang dan menghormati keputusan mahkamah serta memberi peluang perkara itu diselesaikan melalui proses perundangan.

"Dalam hal ini, saya akan mengambil langkah untuk mengadakan pertemuan dengan pihak NGO dalam masa terdekat bagi mendengar pandangan mereka dan membincangkan perkara ini selanjutnya, " katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lalu yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catolic Weekly menggunakan perkataan "Allah".

Pada 16 Febuari tahun lalu, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Jamil Khir juga berkata Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang kali ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 mencapai keputusan bersetuju bahawa lafaz "Allah" adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam.

Kandungan itu berbunyi: "Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa lafaz Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

"Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya. - Bernama