Followers

Wednesday, March 24, 2010

Gempa bumi 6.2 gegar Manila

MANILA: Institut seismologi Filipina menyatakan satu gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter menggegarkan barat Manila awal tengah hari tadi.

Bangunan di ibu negara itu bergoncang selama 30 saat dan ramai pekerja bergegas keluar meninggalkan pejabat masing-masing.

Tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa. Pengarah institut itu, Renato Solidum, berkata gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 10 kilometer di bawah dasar laut.

Pusat Kajian Geologikal (USGA) pula menyatakan gempa bumi itu berukuran 6.1 dan pada kedalaman 33 kilometer. - AP

Kekuatan ekonomi, kewangan kukuh asas pemulihan cepat: BNM

KUALA LUMPUR: Kekuatan ekonomi dan kewangan yang kukuh telah menyediakan asas bagi pemulihan yang cepat, kata Bank Negara Malaysia (BNM) di dalam Laporan Tahunan 2009.

Kekuatan dan kestabilan sistem kewangan domestik sepanjang tempoh itu memastikan pengantaraan kewangan tidak terganggu dan sektor swasta boleh terus mendapat akses kepada kredit.

"Bersama-sama dengan kedudukan kewangan swasta yang kukuh, situasi ini akan mendorong pemulihan yang cepat dalam permintaan dalam negeri sebaik sahaja krisis kewangan global terkawal dan ekonomi global kembali stabil. "Melangkah ke hadapan, asas-asas ini akan mencerahkan lagi prospek pemulihan yang lebih kukuh," kata BNM.

Sebagai ekonomi yang amat terbuka, BNM berkata, Malaysia turut terjejas oleh kemelesetan ekonomi global yang bermula pada suku ketiga 2008 dan berterusan hingga suku pertama 2009.

Dengan penstabilan pasaran kewangan global yang disusuli oleh pemulihan dalam ekonomi maju, tindak balas dasar yang pantas melalui dasar fiskal dan monetari telah memainkan peranan penting dalam mengekalkan permintaan dalam negeri sepanjang tempoh itu.

"Asas-asas ekonomi Malaysia yang kukuh, sistem kewangan yang teguh dan pelaksanaan langkah sokongan dasar komprehensif yang proaktif telah berjaya menghindarkan ekonomi negara daripada tergelincir ke kancah pertumbuhan negatif yang lebih buruk dan berpanjangan," katanya.
BNM berkata, sistem perbankan Malaysia berada pada aras yang kukuh semasa krisis kewangan global meletus.

Tahap permodalan sistem perbankan Malaysia terus kukuh, dengan nisbah modal wajaran risiko pada 14.7 peratus pada akhir Disember 2009 daripada 12.6 peratus pada akhir 2008.

Nisbah pinjaman tak berbayar bersih, kata BNM adalah rendah pada 1.8 peratus daripada 2.2 peratus pada akhir 2008.

Memandangkan Malaysia adalah ekonomi yang sangat terbuka, Bank Negara berkata, kesan kemelesetan global begitu dirasai oleh sektor yang berkaitan dengan perdagangan luar.

Eksport dan pengeluaran perkilangan masing-masing menurun 7.4 peratus dan 11.1 peratus, manakala aktiviti pelaburan swasta menjadi lembap oleh keadaan perniagaan yang semakin merosot.

Bagaimana pun, menurutnya, permintaan dalam negeri yang berterusan, khususnya penggunaan swasta, memberi sokongan kepada ekonomi lantas mengelakkannya daripada mengalami penguncupan ekonomi pada suku keempat 2008. - Bernama

Isu KPN permainan politik: Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata isu dakwaan beliau berselisih faham dengan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan, adalah permainan politik sesetengah pihak untuk melaga-lagakan mereka.

"Bagi saya isu ini bukan satu kebetulan. Orang boleh nilai isu ini memang disasarkan tetapi bukan kepada Hishammuddin atau Musa jadi sasaran...Sasaran adalah kepada sesiapa yang mengisi jawatan itu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, yang sebelum itu mengatakan hubungan mesra antara beliau dan Musa yang dipaparkan dalam sidang media semalam hanyalah lakonan. Dalam sidang media semalam, Hishammuddin menafikan dakwaan bahawa beliau berselisih faham dengan Musa berikutan kenyataan Ketua Polis Negara itu bahawa terdapat "pihak ketiga" yang mencampuri urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, isu itu sengaja dilagakan kerana KPN adalah pemimpin tertinggi dalam menjaga keselamatan negara.

"Kalau tak KPN dengan saya, KPN dengan Timbalannya, kalau tidak Perdana Menteri dengan Timbalannya ataupun Timbalan Perdana Menteri dengan Menteri lain. Itu modus operandi mereka," katanya.

Katanya, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sendiri permainan politik sesetengah pihak berhubung isu itu.
"Saya rasa isu ini dieksploitasi sebegitu rupa namun rakyat boleh melihat sendiri perkara ini tidak mempunyai asas langsung. Lebih baik teruskan agenda kita dalam membangunkan negara," katanya.

Katanya, sebelum ini Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur mendakwa Ketua Pengarang China Press diarah meletak jawatannya atau akhbar itu akan digantung tiga hingga enam bulan berhubung isu itu namun perkara itu telah diselesaikan secara baik.

"Bagi saya, lagi banyak tuduhan sebegini, lebih mudah kita nak menunjukkan bahawa mereka lakukan kerana kepentingan politik dan pemikiran yang sempit dan tidak rasional kerana berdepan dengan realiti pun mereka tidak boleh menerima hakikat," katanya. - Bernama

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.5 hingga 5.5 peratus pada 2010: BNM

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia bersedia untuk terus berkembang, disokong permintaan dalam negeri yang bertambah kukuh dan persekitaran luar yang semakin baik, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan berkembang 4.5 hingga 5.5 peratus tahun ini, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporan tahunan 2009.

Tahun lalu, KDNK menguncup 1.7 peratus berikutan kemelesetan ekonomi dunia, yang dianggap bank pusat sebagai “kemerosotan terburuk dalam sejarah moden”.

Ekonomi susut 6.2 peratus pada suku pertama tahun lepas, menjadikan penguncupan pertama berbanding tahun sebelumnya dalam KDNK sebenar sejak suku ketiga 2001. Dalam laporannya yang dikeluarkan hari ini, bank pusat berkata, ekonomi Malaysia kembali mencatatkan momentum pertumbuhan pada suku keempat 2009, berkembang sebanyak 4.5 peratus dengan pengukuhan pemintaan dalam negeri dan luar menyumbang kepada pertumbuhan.

Menurut laporan berkenaan, kestabilan ekonomi dalam negeri pada suku kedua dan pemulihan seterusnya pada separuh kedua tahun lalu adalah hasil pakej rangsangan fiskal, dasar monetari yang agresif dan langkah-langkah komprehensif bagi memastikan akses kepada pembiayaan yang berterusan.

"Di samping perbelanjaan awam yang lebih tinggi, langkah-langkah dasar juga membantu memulihkan sentimen sektor swasta, yang bersama-sama dengan keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik, menyebabkan pengembangan penggunaan swasta pada separuh kedua tahun lepas," kata laporan itu.

“Tanda-tanda bahawa aktiviti pelaburan swasta mula stabil semakin jelas menjelang akhir tahun 2009. Selain itu permintaan luar negeri menjadi pemangkin pertumbuhan selanjutnya apabila ekonomi global, terutama ekonomi serantau, beransur-ansur pulih,” jelas Bank Negara.
Menurut Bank Negara, dengan sektor awam akan kekal menyokong, pertumbuhan dijangka didorong oleh aktiviti sektor swasta yang lebih besar dan permintaan luar yang kukuh daripada negara-negara serantau.

Asas makro ekonomi yang kukuh, kedudukan kewangan sektor swasta yang baik dan sistem kewangan yang teguh akan menyokong kepada pemulihan yang dipacu sektor swasta, manakala persekitaran monetari yang menyokong, termasuk akses berterusan kepada pembiayaan kompetitif akan kekal untuk mengukuhkan pemulihan dalam aktiviti sektor swasta.

Sumbangan utama kepada pertumbuhan tahun ini akan diperoleh daripada jangkaan pengukuhan dalam permintaan dalam negeri, dipacu terutamanya oleh sektor swasta dengan keadaan dalam negara yang baik termasuk peningkatan dalam pasaran pekerja, pendapatan boleh guna yang bertambah baik dan keyakinan pengguna yang semakin meningkat akan terus menyokong penggunaan swasta.

Menurut Bank Negara, seiring dengan pengukuhan permintaan luar dan peningkatan aktiviti dalam negeri, pelaburan swasta dijangka kembali pulih pada 2010. Tambahan pula, perbelanjaan modal yang lebih tinggi oleh perusahaan awam bukan kewangan dan kepantasan pelaksanaan baki projek di bawah pakej rangsangan kedua, akan terus memperkukuhkan permintaan dalam negara.

Pemulihan dalam ekonomi global, katanya akan menyediakan dorongan kepada pertumbuhan pada 2010, terutamanya daripada pengembangan yang lebih kukuh dalam ekonomi serantau.

Memandangkan sektor luar yang agak besar dalam ekonomi, pengukuhan permintaan luar akan memberi kesan limpahan yang positif kepada ekonomi yang lebih luas, dari segi pekerjaan, pengeluaran dan sentimen keseluruhan dengan ini menyokong pelaburan dan penggunaan swasta dengan lebih lagi, kata bank pusat itu.

Menurut laporan berkenaan, unjuran pertumbuhan 4.5 hingga 5.5 peratus pada 2010 bagi ekonomi domestik adalah berdasarkan kepada jangkaan pemulihan ekonomi global secara beransur-ansur dan tidak sama, dengan ekonomi dunia masih berdepan dengan beberapa risiko terutama di dalam ekonomi maju.

“Dalam hal ini, permintaan dalam negeri akan menjadi faktor utama dalam memacu pertumbuhan pada 2010. Dalam persekitaran ini, dasar akan kekal menyokong pertumbuhan, terutamanya bagi memastikan aktiviti sektor swasta terus kukuh dan pulih.

Mengenai monetari, dasar monetari akan kekal akomodatif di samping akan terus memberi tumpuan untuk memastikan sektor swasta terutama perusahaan kecil dan sederhana mempunyai akses kepada pembiayaan.

Menurut bank pusat, asas kewangan dan ekonomi Malaysia yang kukuh, meletakkan ekonomi domestik dalam kedudukan yang baik untuk pemulihan yang lebih kukuh memandangkan keadaan dunia yang terus bertambah baik.

Dengan ekonomi terus pulih pada 2010, dasar fiskal akan kekal bersedia ke arah penyediaan asas untuk pemulihan permintaan sektor swasta yang lebih teguh.

Menurut bank pusat itu lagi, perkara utama kepada pemulihan ekonomi mampan ialah pemulihan kukuh pelaburan dan penggunaan swasta.
Oleh itu dasar fiskal diberi keutamaan ke arah meningkatkan peranan sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi. - Bernama

Spesies dinosaur baru ditemui di Amerika Syarikat

WASHINGTON: Saintis menemui spesies baru dinosaur yang mempunyai saiz badan seperti biri-biri, leher yang panjang dan hidup kira-kira 185 juta tahun lalu dan skeleton yang jarang ditemui bagi spesis itu.

Ahli Paleontologi berkata, ia adalah makhluk yang memakan tumbuh-tumbuhan dikenali 'Seitaad ruessi'. Penemuannya membabitkan sebahagian rangkanya dikenal pasti di sekitar batu merah wilayah Navajo, Utah, barat Amerika Syarikat.

Katanya, Tulangnya ditemui dibawah batu dan batu jemur di kawasan pedalaman golongan Anasazi purba di kawasan yang dikenali Eagles Nest Menurut jurnal akses terbuka dalam talian Perpustakaan Awam Sains, kajiselidik yang diterbitkan 24 Mac edisi PLoS ONE, Seitaad adalah nenek moyang kepada gergasi berleher panjang, dinosaur berekor panjang seperti Diplodocus, Apatosaurus dan Brachiosaurus yang berada di bumi pada penghujung tempoh jurasik. - AFP

Rukun Negara tak perlu dipinda: Pak Lah

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, berkata tiada keperluan untuk meminda perkara pertama Rukun Negara kerana sebarang pindaan hanya akan menimbulkan satu lagi polemik.

Katanya, kepercayaan kepada Tuhan boleh dipegang bersama oleh seluruh rakyat Malaysia iaitu sama ada beragama Islam, Kristian, Hindu atau Buddha.

"Apabila Jawatankuasa Rukun Negara bincang perkara ini dulu, ia mahu dijadikan satu rukun yang akan dipegang oleh rakyat tanpa menentukan mereka mesti menganuti sesuatu agama yang tertentu," katanya pada sidang media selepas merasmikan seminar Kebangkitan Gerakan Islah Di Alam Melayu di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) di sini, hari ini. Katanya, Rukun Negara telah lama menjadi pegangan dan dihayati seluruh rakyat Malaysia sebagai salah satu lambang perpaduan yang mesti diteruskan.

"Apa yang dikehendaki adalah supaya rakyat Malaysia menjadi rakyat yang ada agama. Rakyat mempercayai Tuhan. Itu yang telah ditekankan semasa perbincangan Rukun Negara," katanya.

Beliau yang juga pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) berkata, demikian ketika diminta mengulas cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, semalam supaya dipinda perkara pertama Rukun Negara kerana nama "Allah" telah digunakan secara meluas termasuk di kalangan bukan Islam.

Hadi meminta kerajaan mengubah Rukun Negara pertama daripada percaya kepada Tuhan kepada percaya kepada Allah.
Seminar selama dua hari itu bertujuan menghargai pemikiran dan sumbangan tokoh pemimpin masyarakat terdahulu terutama dalam membawa kegemilangan Islam di Nusantara.

Sebanyak 10 kertas kerja dibentangkan dalam seminar itu oleh cendekiawan daripada pelbagai latar belakang dan institusi. - Bernama

Pastikan Gagasan 1Malaysia tidak gugat Islam, orang Melayu dan Raja-Raja

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen hari ini mahu kerajaan memberi jaminan bahawa gagasan 1Malaysia tidak akan menggugat kedudukan agama Islam, orang Melayu dan Raja-Raja seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) berkata, menerusi gagasan yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu, kerajaan perlu memastikan hak dan keistimewaan bangsa Melayu tidak diganggu gugat tanpa menjejaskan usaha pembelaan terhadap masyarakat Cina dan India yang memerlukan.

"Masih ramai orang kampung yang miskin, yang masih perlukan pembelaan kerajaan Barisan Nasional (BN), kita tidak memilih bulu, warna kulit, bangsa dan agama, 1Malaysia adalah gagasan yang baik dan dialu-alukan semua pihak. "Pada masa sama, saya ingin mengingatkan Perdana Menteri dan kerajaan supaya benar-benar mempertahankan kedudukan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan," katanya ketika membahaskan usul titah ucapan Yang di-Pertuan Agong yang merasmikan pembukaan penggal ketiga Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat di sini.

Tajuddin berkata, beliau juga mahu tiada pihak yang menghina dan mempersenda institusi Raja-Raja selain kedudukan dan kesucian agama Islam sebagai agama rasmi terpelihara.

"Kita juga tidak mahu mana-mana golongan mempolitikkan agama untuk kepentingan politik sempit," katanya.

Selain itu, Tajuddin juga mahu kerajaan mempertahankan pendirian dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam dengan memastikan kalimah itu tidak digunakan secara sembarangan sehingga boleh menjejaskan akidah di kalangan generasi muda.
"Kita hairan kenapa mereka mahu guna perkataan Allah, sedangkan selama ini mereka tidak pernah guna, kenapa hari ini sibuk nak guna, persoalannya kita sudah mencium bau busuk...tindakan perlu dibuat supaya kita tidak disalahkan generasi akan datang," katanya.

Sementara itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan mengembalikan pengajaran Jawi di sekolah supaya generasi akan datang mampu menguasai Jawi sekali gus mampu membaca Al-Quran dengan baik.

"Ramai murid tidak boleh baca al-Quran, bagaimana nak dirikan solat kalau tidak boleh membaca Al-Quran," katanya. - Bernama

Serbuk emas 3.5kg lesap dari stor kilang

MELAKA: Serbuk emas seberat 3.5 kilogram yang dianggarkan bernilai kira-kira RM400,000, dilaporkan hilang dari stor penyimpanan sebuah kilang di kawasan perindustrian Krubong, dekat sini, antara malam Ahad lalu hingga awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata kejadian antara jam 7.30 malam hingga 8 pagi itu disedari seorang penyelia kilang berkenaan ketika melakukan pemeriksaan di stor itu.

"Pemeriksaan lanjut selepas itu turut mendapati seorang pekerja warga Myanmar yang diberi tanggungjawab menyimpan kunci stor itu turut hilang. Beliau kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu," katanya pada sidang media di sini hari ini. Mohd Adnan berkata, siasatan awal pihaknya mendapati serbuk emas yang hilang itu dalah hasil daripada kitar semula barangan terpakai seperti elektronik, logam, kertas dan plastik.

Polis Pulau Pinang tahan 21 pelacur warga asing

GEORGETOWN: Polis menahan 21 wanita warga asing yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pelacuran di sebuah pusat hiburan dalam Ops Noda di Jalan Burmah di sini, malam semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC II Wan Abdullah Tunku Said, berkata mereka yang ditahan dalam serbuan kira-kira 11.45 malam itu terdiri daripada 13 warga China dan lapan warga Vietnam berusia antara 20 dan 30 tahun.

Beliau berkata, turut ditahan tiga lelaki berusia 30 an yang dipercayai penjaga dan pembantu penjaga pusat hiburan berkenaan. "Polis turut merampas kondom yang sudah dan masih belum digunakan, wang tunai hasil pelacuran serta resit," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua wanita itu berjaya ditahan meskipun cuba melarikan diri dan bersembunyi dalam premis terbabit.

"Tiga lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa permit kerja sah manakala wanita pula kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen," katanya.

Wan Abdullah berkata, antara kesalahan itu ialah tidak memiliki dokumen perjalanan sah, pas lawatan tamat tempoh dan menyalahgunakan pas lawatan.
Katanya, dalam serbuan yang dilakukan oleh Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang itu, polis turut mengambil keterangan 17 lelaki dipercayai melanggani pelacur di pusat hiburan berkenaan.

"Kesemua yang diambil keterangan itu telah dibebaskan dan siasatan lanjut berhubung aktiviti pelacuran di pusat hiburan berkenaan sedang dijalankan," katanya. - Bernama