Followers

Thursday, November 26, 2009

Keputusan rayuan SPRM 17 Disember

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 17 Disember ini untuk mendengar permohonan pendakwaan yang memfailkan petisyen rayuan yang sudah melebihi jangka masa yang ditetapkan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Ketua Pengarah Tourism MalaysIa, Datuk Mirza Mohammad Taiyab Beg, kerana tuduhan rasuah Ogos lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Zainal Azman Abdul Aziz menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Fariza Hamzah daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan peguam bela Saseedharan Menon yang mewakili Mirza, selaku responden.

Terdahulu Fariza dalam hujahannya berkata, pihaknya sudah memfailkan notis rayuan pada 29 Julai lalu dan setelah menerima nota keterangan dan alasan penghakiman pada 21 Ogos lalu, kemudian memfailkan petisyen rayuan pada 4 Sept lalu.

Mengenai serahan oleh SPRM di kaunter pengawal pada 19 Ogos yang hanya diterima di bahagian perundangan dua hari kemudiannya, beliau berkata, jika mahkamah berpendapat bahawa penyerahan di kaunter pengawal itu adalah sempurna, maka isu kelewatan tidak timbul, dan ia berbentuk tidak memudaratkan kerana berlaku salah faham berhubung tarikh serahan itu.

Fariza berkata, pihaknya berpendapat Mirza tidak akan diprejudiskan kerana beliau mempunyai hak untuk menjawab segala persoalan dan jawapan yang akan dikemukakan nanti.

Saseedharan pula membantah dengan alasan prosedur yang dilakukan tidak mengikut Seksyen 310 Kanun Acara Jenayah iaitu kegagalan untuk memfailkan apa-apa dokumen dalam masa yang telah ditetapkan oleh mahkamah iaitu 14 hari dari tarikh 19 Ogos lalu.

Katanya, Seksyen 310 Kanun Acara Jenayah menyerahkan kuasa kepada hakim sama ada menerima atau menolak rayuan yang difailkan lewat.

"Perayu dalam kes ini iaitu SPRM perlu mengemukakan alasan munasabah atas kegagalan memfailkan petisyen rayuan itu dalam jangka masa yang dibenarkan iaitu faktor-faktor di luar kawalan mereka. Di samping itu mereka perlu ada merit dalam rayuan itu untuk mendapatkan keadilan," kata Saseedharan.

Pada 24 Julai lalu, Mirza, 51, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada tuduhan bersetuju menerima rawatan pergigian bernilai RM13,860. - Bernama

EGM kedua MCA Sabtu ini dibatalkan: Liow

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA kedua yang dijadualkan Sabtu ini dibatalkan, sebaliknya akan digantikan dengan sesi perbincangan khas bersama perwakilan.

Perkara itu diumumkan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, di Ibu Pejabat MCA di sini, sebentar tadi.

Kemelut Pas di Kelantan boleh jejas kepentingan rakyat: Mustapa

RANTAU PANJANG: Kemelut dalam Pas mengenai siapa pengganti Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan boleh menjejaskan kepentingan rakyat kerana parti itu lebih memberi tumpuan kepada soal politik daripada menyelesaikan masalah rakyat, kata Ketua Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, penduduk Kelantan sudah jemu dengan keadaan demikian kerana Pas tidak memberikan banyak masa untuk rakyat.

"Sehingga kini kita tidak nampak kemelut ini dapat selesai," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di stesen kereta api di sini, hari ini.

Isu mengenai pengganti Nik Aziz timbul apabila Datuk Husam Musa, Exco Kerajaan Kelantan yang disebut-sebut antara tokoh yang bakal mengisi jawatan itu, telah secara terbuka berkata beliau tidak mahu dipertimbangkan. - Bernama

PM tiba di Trinidad dan Tobago hadiri CHOGM

PORT OF SPAIN (Trinidad dan Tobago): Datuk Seri Najib Razak tiba di sini, awal pagi tadi untuk menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) yang bermula esok.

Ketibaan Perdana Menteri pada jam 5.20 petang (5.20 pagi waktu Malaysia) bagi menghadiri mesyuarat CHOGM pertama sebagai ketua kerajaan bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dengan disambut Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

CHOGM yang diwakili 53 pemimpin negara berlangsung sehingga Ahad ini bertemakan Perkongsian Untuk Masa Depan Lebih Saksama dan Mapan.

Harga beras Siam di Kelantan naik kerana banjir

RANTAU PANJANG: Kesukaran membawa masuk bekalan beras Siam dari Thailand ke Kelantan berikutan kawasan sempadan dilanda banjir menyebabkan harga beras itu naik di negeri ini.

Tinjauan di sekitar daerah Rantau Panjang mendapati kebanyakan peniaga menaikkan harga beras terbabit sehingga RM5 bagi setiap kilogram.

Seorang peniaga, Mustapa Dollah, 45, berkata beliau terpaksa menaikkan harga beras itu kerana kesukaran untuk membawa masuk bekalan.

"Beras naik bukan sebab nak raya haji, tetapi sebab banjir, payah kami nak bawa bekalan beras masuk ke sini.

"Kalau ikutkan malas mahu bersusah-susah ketika banjir ini tetapi ramai peniaga beras yang lain tutup kedai kerana nak membersihkan rumah yang kotor akibat banjir. Terpaksalah saya usaha dapatkan juga beras Siam kerana pelanggan," katanya.

Seorang guru, Miza Morni Azmi, 36, berkata meskipun harga beras itu boleh dikatakan mahal, beliau tetap membelinya untuk keperluan harian dan menyambut hari raya Aidil Adha esok.

"Memang terasa agak mahal kerana selalunya saya beli sepuluh kilogram beras pada harga RM34 kini naik sehingga RM39 dan RM40," katanya. - Bernama

Taun mula menular ke Kelantan

PAPAR: Kementerian Kesihatan mengesahkan wabak taun yang sebelum ini dikesan di Terengganu dan Sabah mulai menular ke Kelantan berikutan 14 kes dilaporkan sejak petang kelmarin dengan lima pesakit dimasukkan ke hospital akibat jangkitan manakala tujuh lagi sebagai pembawa.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata Terengganu merekodkan 185 kes dengan 47 dimasukkan ke hospital kerana positif taun manakala 41 lagi ditahan wad selepas disahkan sebagai pembawa.

Katanya, kes taun di dua negeri Pantai Timur Semenanjung yang sedang dilanda banjir itu dipercayai berpunca daripada bakteria yang tidak pernah dikesan di negara ini tetapi dikatakan banyak dikesan di negara jiran.

"Wabak taun di Sabah adalah kes biasa dan tidak mengandungi bakteria seperti di Terengganu dan Kelantan," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Projek Stesen Janakuasa Kimanis di Kampung Kuala Benoni dekat sini, hari ini.