Followers

Tuesday, July 27, 2010

Wakil politik, pendidikan mahu UPSR/PMR dikekalkan

PUTRAJAYA: Sebahagian wakil politik dan pendidikan yang menyertai perbincangan meja bulat kali kedua mengenai cadangan pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) hari ini, cenderung kepada pengekalan kedua-dua peperiksaan itu tetapi dengan beberapa penambahbaikan.
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, berkata segala pendapat yang diberikan pada perbincangan hari ini amat baik, boleh dikatakan sebahagian bersetuju dimansuhkan dan sebahagian lagi beranggapan perlu dikekalkan tetapi dengan beberapa perubahan.
"Ada juga pendapat mahu UPSR dihapuskan dan kekalkan PMR dan ada juga yang berpendapat sebaliknya," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Dr Abdul Rahman berkata banyak juga wakil berpendapat apa juga perubahan atau pemansuhan yang akan dilaksanakan, penekanan kepada kualiti guru perlu dititikberatkan.

"Terdapat juga cadangan agar kemahiran teknikal perlu diperkenalkan sebaik selepas UPSR, jangan tunggu terlalu lama kerana jika selepas tingkatan empat baru diperkenalkan, masanya terlalu singkat," katanya.

Profesor Emeritus Datuk Isahak Haron dari Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) berkata, kedua-dua peperiksaan itu tidak perlu dimansuhkan tetapi perlu diubah pendekatan serta fungsinya kerana fungsi sekarang lebih berorientasikan peperiksaan.

"Kekalkan UPSR dan PMR berdasarkan pendekatan rujukan-norma yang sedia ada dan mengekalkan fungsi pendidikan di sekolah sebagai alat pemilihan seperti sekarang," katanya.
Isahak yang juga pakar rujuk Majlis Perundingan Melayu, urut mencadangkan UPSR dan PMR dikekalkan sebagai peperiksaan awam tetapi penaksirannya dibuat berdasarkan ''standard-based assesment'' ke arah menentukan kualiti pendidikan negara.

"Atau pun memansuhkan UPSR dan PMR dan biarkan sekolah masing-masing melaksanakan peperiksaan atau penaksiran, tidak ada peperiksaan atau penaksiran awam untuk melihat secara makro sejauh mana pelajar kita menerima pendidikan yang diharapkan.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga dan Pengurus Sekolah China Malaysia (Dong Zong), Poh Chin Chua berpendirian bahawa pendidikan peringkat rendah memerlukan satu sistem penilaian standard untuk seluruh negara memandangkan keadaan yang unik di negara ini.

"Jadi sebelum UPSR dimansuhkan, Kementerian Pelajaran seharusnya mengumumkan satu formula alternatif yang baru agar masyarakat umum dapat meneliti dan mengkaji secara mendalam, lalu mengemukakan maklum balas yang membina untuk rujukan kementerian pula," katanya.

Beliau berkata Kementerian Pelajaran tidak harus membuat keputusan dengan tergesa-gesa mengenai pemansuhan UPSR, malah seharusnya mengumumkan formula alternatif terlebih dahulu dan mendengar pandangan pelbagai lapisan masyarakat secara menyeluruh.

"Keputusan sama ada UPSR dimansuhkan atau tidak boleh ditetapkan kemudian. Sebelum terhasilnya formula alternatif baru yang mendapat sokongan umum, seluruh masyarakat persatuan kami dengan tegasnya tidak menyetujui langkah kementerian memansuhkan UPSR," katanya.

Pengerusi Biro Pendidikan MIC Tan Sri T Marimuthu berkata kedua-dua peperiksaan terutamanya UPSR perlu dikekalkan untuk menilai produktiviti sekolah dan pelajar di negara ini.

"Lebih penting daripada memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu, kita seharusnya memperbaiki sistem penilaian sedia ada dan memfokuskan kepada pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan seharusnya menjalankan kajian terperinci terlebih dulu berhubung pemansuhan kedua-dua peperiksaan berkenaan dan mencari sistem alternatif yang lebih baik sekiranya mahu memansuhkannya.

Perbincangan meja bulat kali kedua itu dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, disertai 75 termasuk wakil politik, tokoh pendidikan, pemimpin pelajar, badan bukan kerajaan, wakil pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, pegawai tinggi Kementerian Pelajaran, wartawan dan wakil daripada industri buku. - BERNAMA

Kerajaan teruskan sistem sekolah pelbagai aliran

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus berpegang kepada sistem persekolahan pelbagai aliran selagi tiada sebarang cadangan baru yang disepakati oleh semua kaum, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.
Oleh itu, katanya Kementerian Pelajaran tidak bercadang untuk mengadakan persidangan meja bulat bagi mendapatkan pandangan berhubung cadangan mewujudkan sekolah satu aliran di negara ini.
"Apa sahaja inisiatif untuk mewujudkan sistem persekolahan satu aliran perlu dimulakan pemimpin masyarakat yang mewakili setiap kaum," katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi Kementerian Pelajaran di Dewan Negara di sini hari ini.
Semasa mencelah perbahasan semalam, Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah mencadangkan supaya diwujudkan sekolah satu aliran, kerana menurutnya sistem pelbagai aliran sedia ada bercanggah dengan semangat gagasan 1Malaysia untuk mewujudkan perpaduan kaum.

Mohd Puad berkata Kementerian Pelajaran telah mengambil langkah untuk menambahbaik kurikulum di sekolah kebangsaan dan sekolah-sekolah jenis kebangsaan selaras dengan matlamat meningkatkan perpaduan kaum.

"Misalnya, di peringkat sekolah jenis kebangsaan, kita telah menambah masa pengajaran bahasa kebangsaan dan telah menyerapkan unsur-unsur cinta negara dan semangat 1Malaysia dalam kurikulum sedia ada.

"Kita juga akan memperkenalkan mata pelajaran bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan bagi membolehkan orang Melayu bergaul dengan lebih rapat dengan kaum Cina dan India," katanya.
Mohd Puad turut menegaskan bahawa isu polarisasi kaum yang berlaku di negara ini bukan disebabkan oleh sistem persekolahan pelbagai aliran. - BERNAMA

PAS tidak perlu orang tengah bincang perpaduan: Nik Aziz

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata PAS tidak memerlukan sebarang orang tengah termasuk Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria untuk berbincang mewujudkan perpaduan dengan UMNO.
Nik Aziz berkata, jika perpaduan antara dua parti itu mahu diwujudkan, perbincangan mesti dilakukan secara terus antara Presiden kedua-dua parti berkenaan.
Sehubungan itu, katanya tawaran Harussani untuk menjadi orang tengah membentuk perpaduan antara dua parti terbabit adalah satu kesilapan kerana tidak memahami politik.
"Saya berasakan Harussani sudah tidak senang diri atau berasa tidak betul sekiranya beliau tidak campur tangan dalam politik dan tindakannya untuk terbabit dalam isu ini dilihat sebagai satu tindakan betul.

"Setiap orang alim (mufti) mesti campur tangan dalam politik, bukan hanya dihadkan kepada perkara agama seperti nikah kahwin saja, malah mereka perlu campur tangan juga dalam politik, maka betul tindakan Harussani itu.

"Namun begitu, disebabkan dia (Harussani) tidak biasa dengan politik, maka dia sanggup menjadi orang tengah antara parti terbabit (PAS dan UMNO), di sini silapnya, mana boleh jadi orang tengah (bagi isu ini).

"Kalau saya hendak mengadakan rundingan dengan UMNO, saya akan berunding terus dengan Presidennya, Najib (Datuk Seri Najib Razak). Salahnya (Harussani) sebab cuba jadi orang tengah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), di sini, hari ini.
Beliau memberitahu demikian apabila diminta mengulas mengenai tindakan Harussani yang sanggup menjadi orang tengah bagi menyatukan PAS dan UMNO.

Demam denggi: 91 kematian antara Januari hingga kelmarin

PUTRAJAYA: Sebanyak 27,415 kes demam denggi termasuk 6,636 pelajar direkodkan antara Januari hingga kelmarin di seluruh negara membabitkan 91 kematian termasuk 14 pelajar kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.

Kerajaan kaji bina stadium khusus untuk bola sepak

KOTA BHARU: Kajian akan dibuat bagi kemungkinan membina stadium khusus untuk bola sepak seperti yang diamalkan di negara maju, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata, ia bukan saja dapat mengurangkan kos penyelenggaraan sesebuah stadium tetapi juga bagi membiasakan pemain dengan konsep padang bola sepak sebenar yang tidak berkongsi dengan pelbagai acara sukan lain.
“Ia adalah antara kajian yang diambil kira kementerian dalam agenda pembangunan sukan di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-10," katanya selepas merasmikan Karnival Red Wariors di sini malam tadi.
Pada majlis itu, beliau turut menandatangani sijil Malaysia Book of Records kerana kejayaan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memperkenalkan produk sendiri berkaitan sukan bola sepak.

Selain itu, Ahmad Shabery berkata, kerajaan juga bercadang mewujudkan akademi bola sepak di setiap daerah untuk melatih generasi muda dalam sukan berkenaan.

“Setakat ini kita telah menubuhkan jawatankuasa khas yang dinamakan Jawatankuasa Tabung Pembangunan Bola Sepak Negara, yang membabitkan pihak berkaitan seperti Kementerian Pelajaran, FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan media,“ katanya.

Katanya, kerajaan memerlukan RM50 juta setahun untuk mengendalikan program akademi berkenaan. - Bernama