Followers

Wednesday, November 24, 2010

Atlet karate Ku Jin Keat raih emas ketujuh

GUANGZHOU: Atlet karate, Ku Jin Keat berjaya meraih emas ketujuh negara di Sukan Asia sebentar tadi apabila menewaskan atlet Jepun, Oki Itaru 3-2 dalam final Individu Kata.

Lebih banyak kes HIV dijangkiti melalui hubungan seks

KUALA LUMPUR: Orang ramai khasnya kaum wanita di negara ini dinasihati agar menyedari cara dan trend HIV menjangkiti mereka, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Heng Seai Kie.
Katanya, ini kerana kini lebih ramai wanita dan remaja perempuan di negara kini dijangkiti HIV menerusi hubungan seks berbanding melalui suntikan sebelum ini.
"Kini trend baru pesakit HIV baru di negara ini dijangkiti menerusi hubungan seks berbanding sebelum ini jangkitan HIV di kalangan penagih dadah melalui suntikan," katanya dalam ucapan pada pelancaran perbincangan meja bulat mengenai kedudukan Wabak HIV dan Aids di Malaysia di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara, Datuk Aminah Abdul Rahman.

Heng berkata, kebanyakan wanita dan budak perempuan di Asia kini dijangkiti virus itu menerusi hubungan seks dengan suami atau teman lelaki mereka yang menghidapi HIV.

Katanya, menurut laporan Suruhanjaya Mengenai AIDS di Asia 2008, lelaki yang telah dijangkiti HIV menerusi penggunaan dadah suntikan (IDU) dan mengadakan hubungan seks rambang, akan meningkatkan lagi jumlah wanita dijangkiti penyakit itu pada masa akan datang.

Sehubungan itu, katanya, sukatan mata pelajaran mengenai Kesihatan Reproduktif dan Pendidikan Sosial akan diperkenalkan di semua sekolah menengah pada tahun hadapan.
"Sukatan mata pelajaran itu akan membolehkan remaja kita lebih melindungi diri mereka daripada gejala sosial seperti mengadakan hubungan seks haram dan memastikan mereka berpengetahuan dalam peranan dan tanggungjawabnya sebagai seorang lelaki, wanita, remaja lelaki dan remaja perempuan," katanya.

Perbincangan meja bulat itu yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Malaysia dihadiri 100 orang pegawai kanan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertujuan menyediakan satu landasan bagi membincangkan pembangunan dan kemajuan wabak HIV di Malaysia. - BERNAMA

AS tetap pertahankan Korea Selatan: Obama

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama hari ini menyatakan bahawa AS akan mempertahankan Korea Selatan selepas Rumah Putih menyifatkan serangan terbaru Korea Utara terhadap jirannya sebagai 'provokatif dan biadab'.

Sehubungan itu katanya, AS lebih cenderung kepada kaedah diplomatik berbanding penggunaan ketenteraan bagi menyelesaikan pertikaian membabitkan kedua-dua negara itu yang berlarutan sejak berdekad lamanya. “Korea Selatan adalah sekutu kami dan ia sejak Perang Korea lagi," kata Obama dalam komen pertamanya terhadap serangan terbaru itu semalam.

"Saya ingin menyatakan bahawa komitmen kami untuk mempertahankan Korea Selatan sebagai sebahagian sekutu kami," katanya.

Bercakap kepada stesen televisyen ABC News, beliau bagaimanapun tidak mahu membuat spekulasi apabila ditanya mengenai apa pilihan yang ada bagi pihak tentera sekarang. - AP

AS, Korea Selatan setuju selaras tindakan

SEOUL: Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan bersetuju dengan untuk menyelaraskan sebarang tindakan terhadap Korea Utara selepas Pyongyang melancarkan serangan artileri terhadap pulau Korea Selatan, semalam.
Bedilan meriam ke atas Pulau Yeonpyeong itu mengorbankan dua askar marin Korea Selatan - serangan di sempadan yang dianggap serius sejak perang 1950-1953.
Angkatan tentera Korea Selatan terus diletakkan dalam keadaan siap sedia dengan askarnya membalas serangan itu dengan tembakan meriam.
Korea Utara pula mendakwa, Korea Selatan terlebih dulu melepaskan tembakan dan mereka mendakwa perlu membalas bagi mempertahankan perairan negaranya daripada ditakluki.

Serangan itu mencetuskan kecaman AS yang kini mempunyai 28,500 askarnya di Korea Selatan bersama Russia, Jepan dan negara Eropah Barat.

Rumah Putih pula mengadakan mesyuarat peringkat atasan tentera, perisikan dan awam bagi membincangkan serangan itu.

Pada masa sama, Pentagon berkata, panglima angkatan tentera AS dan Korea Selatan bersetuju dalam rundingannnya untuk menyelaraskan semua bentuk tindakan terhadap serangan terbaru Pyongyang itu.
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Robert Gates berkata, beliau memberitahu rakan sejawatnya dari Korea Selatan, Kim Tae-young bahawa serangan itu jelas satu 'pelanggaran persetujuan' gencatan senjata antara kedua-dua negara terbabit. - AFP

Malaysia pandang berat situasi tegang di Semenanjung Korea

KUALA LUMPUR: Malaysia memandang berat terhadap situasi tegang di Semenanjung Korea akibat serangan artileri oleh Korea Utara ke atas Pulau Yeonpyeong di Korea Selatan dan berikutan balasan tembakan artileri dari Korea Selatan.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata Malaysia juga mengecam insiden ini yang mengakibatkan tragedi kehilangan beberapa nyawa tentera Korea Selatan dan mencederakan beberapa orang yang lain.
"Malaysia menggesa semua pihak terbabit untuk mengelak daripada mengambil tindakan yang boleh menyebabkan bertambah lagi ketegangan dan menimbulkan ketidakstabilan di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata Malaysia berharap semua pihak akan berusaha untuk memastikan keamanan dan kestabilan di Semenanjung Korea serta menumpukan usaha ke arah langkah-langkah membina kepercayaan dan keyakinan. - BERNAMA

Daerah di India haram penggunaan telefon mudah alih

NEW DELHI: Majlis kerajaan tempatan Baliyan, utara India mengharamkan wanita yang tidak berkahwin membawa telefon mudah alih, bagi menghentikan kejadian hubungan percintaan haram antara pasangan yang berbeza kasta.
Majlis kerajaan tempatan di daerah Uttar Pradesh, membuat keputusan itu selepas sekurang-kurangnya 23 pasangan muda melarikan diri untuk berkahwin dengan tidak mendapat restu keluarga, bagi tempoh tahun lalu.
“Dewan Undangan Panchayat yakin pasangan yang terbabit menggunakan telefon mudah alih bagi merancang melarikan diri bersama pasangan mereka,” kata warga emas perkampungan itu, Jatin Raghuvanshi.
Peraturan berkahwin yang membabit kasta berbeza adalah rumit dan sangat sukar di kebanyakan komuniti pedalaman di India, di mana ada di kalangan pasangan itu dibunuh oleh ahli keluarga kerana cuba melindungi reputasi keluarga.

Bagaimanapun, peraturan baru itu mengecualikan anak lelaki yang masih dibenar menggunakan telefon mudah alih, hanya dengan pemantauan ibu bapa. - AFP

Sukan Asia: Malaysia raih tempat kelima hoki wanita

GUANGZHOU: Malaysia sekadar berpuas hati di tempat kelima selepas mengalahkan Thailand 3-0 dalam perlawanan penentuan hoki wanita Sukan Asia ke-16 yang berlangsung di Padang Hoki Aoti di sini, hari ini.
Malaysia menguasai sejak awal permainan dan memperoleh gol pertama pada minit ke-13 menerusi Siti Noor Amarina Ruhaini.
Sejurus sebelum tamat separuh masa, ketua pasukan Nadia Abdul Rahman menyumbangkan gol kedua menerusi pukulan penalti untuk membolehkan pasukan negara mendahului dengan dua gol.
Pada separuh masa kedua, Malaysia meneruskan penguasaan dan Fazilla Sylvester Silin yang mendapat hantaran dari arah kiri berjaya menjaringkan gol pada minit ke-57.

Pasukan Thai cuba melakukan serangan balas namun gagal membolosi gawang Malaysia.

Nadia berkata, selepas persembahan yang mengecewakan pada temasya Sukan Komanwel di New Delhi bulan lalu dengan berkesudahan di tempat ke-10, pasukan itu menggandakan usaha untuk memberi saingan pada Sukan Asia.

"Sasaran kami ialah untuk mara ke separuh akhir dan menamatkan saingan di tempat keempat. Sungguhpun kami hanya berada di tempat kelima, kami semua gembira dengan keputusan itu. Namun, kami perlu beraksi dalam lebih banyak perlawanan bagi menimba lebih banyak pengalaman dalam pertandingan di peringkat antarabangsa," katanya.
Jurulatih Malaysia, Yahya Atan, berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya itu dan berharap agar Majlis Sukan Negara dapat menghantar pasukan berkenaan untuk mengambil bahagian dalam lebih banyak kejohanan antarabangsa. - BERNAMA