Followers

Sunday, June 20, 2010

Piala Dunia: Itali 1, NZ 1 (separuh masa pertama)

NELSPRUIT, Afrika Selatan: Itali dan New Zealand terikat 1-1 pada separuh masa pertama perlawanan Kumpulan F, Piala Dunia 2010 di Stadium Mbombela.

New Zealand mendahului pada minit ketujuh menerusi gol Shane Smeltz.

Itali menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Vincenzo Iaquinta pada minit ke-29.

Piala Dunia: Slovakia 0, Paraguay 2

BLOEMFONTEIN, Afrika Selatan: Paraguay menewaskan Slovakia 2-0 pada perlawanan Kumpulan F, Piala Dunia 2010, di Stadium Free State sebentar tadi.
Gol dijaringkan Enrique Vera pada minit ke-27 dan Cristian Riveros pada minit ke-86.

Piala Dunia: Slovakia 0, Paraguay 1 (separuh masa pertama)

BLOEMFONTEIN, Afrika Selatan: Paraguay mendahului Slovakia 1-0 pada separuh masa pertama perlawanan Kumpulan F, Piala Dunia 2010, di Stadium Free State. 


Gol dijaringkan Enrique Vera pada minit ke-27.

Amah: Malaysia, Indonesia dijangka meterai MoU dalam masa sebulan

KUALA LUMPUR: Pembekuan penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia dijangka ditarik balik apabila kedua-dua negara menandantangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam masa sebulan, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.
Beliau berkata, MoU itu akan ditandatangani apabila isu penstrukturan kos seperti kos pengambilan dan kos membawa masuk pembantu rumah Indonesia diselesaikan.
"Kami sedang menyelesaikan isu pembantu rumah Indonesia...kami berharap dapat menyelesaikannya dalam masa sebulan lagi," katanya kepada pemberita selepas penyampaian biasiswa Yayasan Amma kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia, di sini hari ini.
Subramaniam berkata, kebanyakan isu utama telah diselesaikan dan isu penstrukturan kos masih dibincang antara pegawai kedua-dua negara.

Indonesia menghentikan penghantaran pembantu rumahnya ke Malaysia pada Jun lepas ekoran beberapa insiden penderaan amah selain ketiadaan faedah pekerjaan seperti gaji minimum dan hari rehat.

Subramaniam turut mengulas mengenai sesi ke-99 Persidangan Buruh Antarabangsa yang diadakan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa di Geneva baru-baru ini yang antara lain menyaksikan beberapa negara dari Afrika dan Timur Tengah berminat untuk meningkatkan kerjasama dengan Malaysia dalam bidang seperti latihan kemahiran.

Selain itu, katanya, Malaysia juga memberitahu persidangan bahawa dalam isu pekerja asing Malaysia mengenakan syarat tertentu yang berasaskan isu setempat khususnya mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.
"Oleh sebab itu kita meminta supaya apa juga polisi masyarakat antarabangsa, ianya harus mempertimbangkan keadaan dan undang-undang setempat. Ini akan memudahkan kita untuk memenuhi apa juga standard yang ditetapkan mereka," katanya.

Mengulas gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, supaya pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) berhenti bertelagah secara terbuka, Subramaniam yang juga Naib Presiden MIC, berkata beliau menyambut baik saranan itu.

"Memang betul...mana-mana parti dalam BN perlu kukuh kerana bila tiap-tiap parti kukuh maka BN akan kukuh dan kuat. Nasib baik dalam MIC kita tidak ada masalah itu," katanya.

Mengulas isu lain, Subramanian berkata pada tahun ini seramai 361 pelajar India menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam berbanding 354 pada tahun lalu dan daripada jumlah itu 161 adalah untuk belajar di luar negara, sementara bakinya belajar di institusi tempatan. - BERNAMA

Piala Dunia: Paraguay mendahului Slovakia 1-0

BLOEMFONTEIN, Afrika Selatan: Paraguay mendahului Slovakia 1-0 dalam perlawanan Kumpulan F, Piala Dunia 2010, di Stadium Free State.
Gol dijaringkan Enrique Vera pada minit ke-27.

UMNO harus berubah untuk tawan hati rakyat: Najib

BAGAN DATOH: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, berkata persepsi terhadap politik UMNO ialah ia harus berubah mengikut trend terkini dalam usaha menawan kembali hati rakyat menyokong Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, UMNO perlu sentiasa dalam keadaan segar melalui pembaharuan yang mengikut persekitaran politik yang berbeza dan sentiasa berubah-ubah mengikut kehendak rakyat.
Katanya, trend perubahan perlu dilakukan untuk menangkis segala tohmahan daripada pembangkang yang sentiasa mengelirukan rakyat dengan persepsi yang munasabah.
“Walaupun UMNO telah berusia 64 tahun dan produk yang telah berusia tetapi ia perlu diubah mengikut suasana politik supaya rakyat terus menyokong UMNO,” katanya merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Bagan Datoh di Wisma UMNO di sini hari ini.

Perdana Menteri mengakui politik mengalami pasang surut kerana ia adalah lumrah dalam politik malah dalam sistem demokrasi berparlimen atau pun demokrasi berdasarkan persepsi sistem adalah satu perkara biasa yang tidak dapat dielakkan.

“Apa yang penting bagi kita ialah menerima turun naik kedudukan politik akan tetapi suatu keadaan yang kurang selesa maka kita perlu menguatkan iltizam, bertekad untuk berusaha bekerja lebih kuat lagi dalam merangka strategi politik, mengukuhkan barisan bekerja dalam satu pasukan agar kesedaran kebangkitan ini kita akan capai kejayaan.

“Kalau kita melihat dari segi sejarah perkembangan politik UMNO, bermula dari Parti Perikatan hingga BN, tiada siapa yang dapat menafikannya dengan jasa dan pengorbanan yang banyak disumbangkan untuk kesejahteraan rakyat di bumi yang bertuah ini.
“Yang menjadi masalah kepada kita ialah pemikiran rakyat yang sentiasa berubah-ubah dari masa ke satu masa kerana angkatan lama yang terdiri daripada pejuang kemerdekaan semakin berkurangan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pemimpin politik mesti turun padang melihat kesusahan rakyat kerana rakyat tidak mahu pemimpin yang bersikap bersikap angkuh dan ego.

Beliau juga meminta anggota UMNO mengambil iktibar dalam keseronokan menyokong pasukan yang mengambil bahagian dalam perlawanan bola sepak piala dunia.

“Tidak semestinya pasukan yang kita sokong selalu menang akan terus bertahan saja tetapi satu hari ia akan bolos juga (gol), ada masa kena serang dan ada masa kita menyerang balas," katanya kerana adanya pihak yang suka untuk memutar belitkan fakta.

Sebagai contoh, katanya, dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu yang lepas, DAP telah memutar belit fakta dengan mendakwa kapal selam Scorpene tidak boleh menyelam sedangkan ia hanya masalah teknikal bukannya tidak boleh menyelam langsung.

Oleh itu, katanya, UMNO mesti buktikan kekuatannya selaras dengan teknologi terkini supaya maklumat dapat disampaikan secara telus kepada rakyat.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dan Ketua Umno Bahagian Bagan Datoh yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - BERNAMA

Isu JI: Hishammuddin bidas Anwar

KLUANG: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, membidas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana mengeluarkan kenyataan yang "gila dan tidak bertanggungjawab" berhubung ancaman kumpulan pengganas di negara ini.
Beliau berkata, kenyataan Anwar bahawa pendedahan tentang ancaman kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) baru-baru ini adalah cubaan pihak kerajaan untuk mengalih perhatian rakyat langsung tidak boleh diterima.
"Ia adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab langsung, satu kenyataan yang saya percaya telah menidakkan kesungguhan pihak berkuasa yang berada di dalam keadaan tertekan, di mana kita tidak boleh mendedahkan (maklumat tentang keselamatan) kepada khalayak ramai," katanya.
Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno dan Ketua Umno Bahagian Semberong, berkata polis berbuat apa sahaja untuk memastikan rakyat negara ini termasuk Anwar "dapat tidur lena pada waktu malam."

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Semberong di Taman Sri Lambak di sini, yang dirasmikan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno yang juga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Hishammuddin berkata, kerajaan tidak tergamak untuk mempermain-mainkan isu keselamatan negara dan dakwaan Anwar itu hanya membuktikan bahawa pemimpin pembangkang itu sanggup "berkata dan berbuat apa sahaja" untuk menidakkan tindakan serta kejayaan kerajaan.

"Jikalau itu pun dia (Anwar) boleh tuduh kita mereka-reka, satu hari nanti jika JI (Jemaah Islamiah) meletup dekat rumah dia, itu pun dia akan tuduh Umno juga," katanya.
Hishammuddin juga mencabar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu untuk menjelaskan sama ada bekas pemimpin PKR seperti Dr Halili Rahmat, Dr Chandra Muzaffar dan Sallehuddin Hashim turut ditawarkan RM2 juta untuk keluar daripada parti pembangkang.

"Semua mereka mempunyai hubungan rapat dengan Anwar, tetapi mereka bukan wakil rakyat. Kita hendak tahu sama ada tuduhan yang serupa turut dilemparkan terhadap mereka," katanya. - BERNAMA

JI di IPT bukan rekaan untuk alih perhatian rakyat: Najib

BAGAN DATOH: Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang kononnya isu Jemaah Islamiah (JI) di institusi pengajian tinggi (IPT) sengaja diada-adakan untuk alih perhatian rakyat terhadap isu semasa.
Perdana Menteri sebaliknya meminta rakyat beri kepercayaan kepada polis khususnya anggota perisik untuk menangani isu itu.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sini sebentar tadi.

UPSR, PMR mungkin dimansuhkan: Muhyiddin

MUAR: Kementerian Pelajaran membayangkan kemungkinan akan memansuhkan Ujian Pecapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di masa hadapan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau melihat ada kewajaran untuk berbuat demikian kerana aspek pembelajaran ketika ini lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.
"Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu sahaja peperiksaan awam, seperti di peringkat SPM sahaja," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata peperiksaan UPSR dan PMR mungkin akan diteruskan tetapi sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja dan bukannya sebagai peperiksaan awam.

"Pihak kementerian tidak akan gopoh dalam membuat keputusan dan sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak mengenainya," katanya.

Muhyiddin berkata, secara peribadi beliau berpendapat hanya perlu ada satu peperiksaan awam sahaja bagi menilai pencapaian pelajar iaitu di peringkat akhir persekolahan atau sebelum memasuki institusi pengajian tinggi kerana di dalam soal kerjaya pun hanya SPM sahaja yang digunakan.

Namun, katanya, UPSR dan PMR diperlukan untuk membuat penempatan pelajar ke sekolah berasrama penuh atau sekolah aliran tertentu.
Beliau berkata, dengan hanya satu sahaja peperiksaan awam, guru dan pelajar boleh menumpukan usaha ke arah menggilap kreativiti, sifat interaktif dan aktiviti ko-kurikulum lain, serta sukan.

Kepada satu soalan, Muhyiddin berkata keadaan di mana jumlah pelajar perempuan cemerlang di dalam pelajaran meningkat bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja tetapi di seluruh dunia.

"Kira-kira 70 hingga 80 peratus pelajar yang memasuki universiti adalah perempuan dan trend ini berlaku bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia," katanya. - BERNAMA

Piala Dunia: Denmark bangkit atasi Cameroon

GOL kedua Denmark dijaringkan Dennis Rommedahl (dua dari kanan), melepasi penjaga gol Cameroon, Hamidou Souleymanou, dalam perlawanan peringkat Kumpulan E, Piala dunia 2010 di Stadium Loftus Versfeld, Pretoria, awal pagi ini. - Foto Reuters
GOL kedua Denmark dijaringkan Dennis Rommedahl (dua dari kanan), melepasi penjaga gol Cameroon, Hamidou Souleymanou, dalam perlawanan peringkat Kumpulan E, Piala dunia 2010 di Stadium Loftus Versfeld, Pretoria, awal pagi ini. - Foto Reuters
PRETORIA, Afrika Selatan: Dennis Rommedahl menjaringkan satu gol dan mengumpan satu lagi untuk Denmark bangkit mengatasi Cameroon 2-1 dalam perlawanan Kumpuan E, sekali gus menyingkirkan pasukan Afrika itu dan melayakkan Denmark ke pusingan 16 pasukan.

Cameroon mendahului pada minit ke-10 apabila Samuel Eto’o menjaringkan gol hasil kesilapan pertahanan lawan tetapi Denmark menyamakan kedudukan pada minit ke-33 apabila Rommedahl mengumpan dari kanan untuk Nicklas Bendtner menolak bola ke gawang.
Rommedahl menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-61 selepas menerima hantaran Jesper Gronkjaer dan melepasi Jean Makoun sebelum merembat menewaskan Hamidou Souleymanou.
“Ia adalah permainan yang sukar sehingga minit terakhir. Tetapi kami mencipta banyak peluang pada separuh masa kedua," kata Rommedahl. - AP

Piala Dunia: Denmark 2 Cameroon 1

GOL kedua Denmark dijaringkan Dennis Rommedahl (dua dari kanan), melepasi penjaga gol Cameroon, Hamidou Souleymanou, dalam perlawanan peringkat Kumpulan E, Piala dunia 2010 di Stadium Loftus Versfeld, Pretoria, awal pagi ini. - Foto Reuters
GOL kedua Denmark dijaringkan Dennis Rommedahl (dua dari kanan), melepasi penjaga gol Cameroon, Hamidou Souleymanou, dalam perlawanan peringkat Kumpulan E, Piala dunia 2010 di Stadium Loftus Versfeld, Pretoria, awal pagi ini. - Foto Reuters
PRETORIA: Cameroon menjadi pasukan pertama tersingkir daripada saingan Piala Dunia Afrika Selatan selepas tewas 1-2 kepada Denmark pada perlawanan Kumpulan E, di Stadium Loftus Verfeld, awal pagi tadi.

Pasukan "Singa Afrika" itu menyerlah dengan Samuel Eto’o membuka pada minit ke-10 namun tidak mampu mengekalkan rentak selepas Nicklas Bendtner menyamakan kedudukan untuk Denmark pada minit ke-33.
Cameroon terus dihukum menerusi jaringan kemenangan Denmark menerusi Nadan Dennis Rommedahl pada minit ke-61.
Dengan keputusan itu, Belanda menjadi pasukan pertama mengesahkan tempat ke pusingan kedua Piala Dunia 2010 setelah mengutip enam mata hasil dua kemenangan ke atas Denmark dan Jepun dalam Kumpulan E.

Piala Dunia: Ghana 1 Australia 1

HERRY Kewell, pemain Australia (kanan), menampan bola, menyebabkan dia dilayangkan kad merah, manakala Ghana diberi sepakan penalti untuk menyamakan kedudukan 1-1, dalam perlawanan Kumpulan D, Piala Dunia 2010, di Stadium Royal Bafokeng, malam tadi. - Foto AP
HERRY Kewell, pemain Australia (kanan), menampan bola, menyebabkan dia dilayangkan kad merah, manakala Ghana diberi sepakan penalti untuk menyamakan kedudukan 1-1, dalam perlawanan Kumpulan D, Piala Dunia 2010, di Stadium Royal Bafokeng, malam tadi. - Foto AP
RUSTENBURG: Ghana melonjak ke kedudukan teratas Kumpulan D meskipun mencatat keputusan seri 1-1 bertemu Australia di Stadium Royal Bafokeng, sebentar tadi.

Semua gol dijaringkan pada separuh masa pertama dengan gol awal oleh Australia menerusi Holman pada minit ke-11.
Ghana menyamakan kedudukan menerusi penalti oleh A Gyan pada minit ke-25.
Dengan keputusan itu, Ghana kini teratas dengan memperoleh empat mata, diikuti Jerman di tempatkedua yang berkongsi tiga mata dengan Serbia tetapi dipisahkan dengan kelebihan jaringan gol.