Followers

Tuesday, September 7, 2010

Tiada perkembangan terbaru kes kehilangan Sosilawati

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Sabtu Osman, berkata masih belum ada perkembangan terbaru mengenai kes kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, dan tiga rakannya.

"Polis sedang giat menjalankan siasatan dengan mengambil beberapa keterangan dari keluarga dan rakan-rakannya.
"Siasatan ini juga merangkumi pemeriksaan terhadap dua kereta yang ditemui semalam termasuk cap jari yang terdapat pada kereta berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini petang ini.
Semalam, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya.

Sosilawati, 44, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak Isnin lalu semasa ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor akan bekerjasama dengan IPK Kuala Lumpur dan Bukit Aman dalam menyelesaikan kes itu.

Bercakap kepada media selepas merasmikan Kempen Balik Kampung Dengan Selamat bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia di sini, beliau berkata keseluruhan kontinjen bersiap sedia membantu IPK Kuala Lumpur jika telah menemui sebarang petunjuk baru daam kes itu. - BERNAMA

Sosilawati dilihat beli kerepek, kuih untuk kakitangan

KUALA LANGAT: Hartawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dilihat membeli kerepek dan kuih di sebuah kedai di Kampung Sungai Lang, Banting di sini untuk diberikan kepada kakitangannya sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelma sebelum dilaporkan hilang sejak seminggu lalu.

Menurut seorang pekerja di kedai kerepek berkenaan, Kerepek House Fazz Enterprise, kira-kira dua kilometer dari pekan Banting, Sosilawati dan seorang lelaki datang ke kedai itu Khamis lalu.
Pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Ina itu berkata Sosilawati datang kira-kira 2 petang sebelum membeli beberapa jenis kerepek termasuk kerepek pisang, bawang, jejari bilis serta kuih dam, sanggul mak dara dan almond london.
"Dari perbualan saya dengan Datuk (Sosilawati) ada beritahu kuih itu untuk kakitangannya, saya berbual kerana sebagai pekerja saya melayan Datuk selaku pelanggan.

"Lebih-lebih lagi saya pengguna produk kecantikan yang diasaskan Datuk iaitu Nouvelle Visages," katanya yang menambah Sosilawati memakai baju warna merah jambu dan seluar jenis legging hitam ketika datang ke kedai itu.

Ina berkata, dalam perbualan itu, Sosilawati hanya memaklumkan beliau ada urusan perniagaan di pekan Banting.

Katanya, Sosilawati dan lelaki yang dipercayai peguamnya itu beredar dari kedai berkenaan dua jam kemudian.
Ahad lalu, Sosilawati dilaporkan hilang oleh anggota keluarganya selepas dikatakan keluar dari rumahnya di Gombak.

Difahamkan Sosilawati tidak pulang ke rumah selepas memberitahu salah seorang anak perempuannya yang beliau mahu ke Banting atas urusan kerja selama tiga hari, namun selepas tiga hari, beliau tidak pulang ke rumahnya sehingga ke hari ini.

Semalam, dua kereta mewah dipercayai milik Sosilawati dan seorang peguamnya ditemui oleh orang awam di dua lokasi berbeza di Subang Jaya.

Kereta terbabit iaitu BMW X5, dipercayai milik Sosilawati ditemui di parkir kenderaan di Pangsapuri Angsana, USJ 1, Subang Jaya manakala BMW 5 siri dipercayai milik peguamnya ditemui berhadapan sebuah rumah teres berdekatan sebuah hotel di Subang Jaya. - BERNAMA

Agensi kerajaan diminta pastikan status halal premis jamuan raya

KUALA LUMPUR: Semua agensi dan badan kerajaan yang ingin mengadakan sesuatu majlis termasuk jamuan hari raya di sesebuah premis dinasihatkan memastikan tempat itu mempunyai logo halal yang sah.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah, berkata Datuk Seri Najib Razak memberi perhatian serius terhadap status halal ini selain menitikberatkan aspek itu dalam majlis atau upacara yang dihadirinya.
"Usaha melakukan pemeriksaan ke atas premis makanan dan restoran yang mencurigakan menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menangani isu halal yang banyak berlaku sejak kebelakangan ini yang mana mereka menyalahgunakan logo halal untuk kepentingan sendiri," katanya kepada pemberita selepas menyertai pemeriksaan terhadap dua premis makanan di Jalan Pudu Ulu, Cheras, di sini hari ini.
Pemeriksaan mengejut itu disertai 15 petugas dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berikutan aduan orang ramai berkaitan penyalahgunaan sijil halal di kedua-dua premis makanan berkenaan.

"Pemeriksaan sebegini akan kerap dijalankan bagi menunjukkan kerajaan tegas dalam menangani gejala pengeluaran logo palsu yang semakin berleluasa," katanya.

Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal JAKIM, Mohd Amri Abdullah, berkata melalui pemeriksaan pertama di sebuah restoran Cina Muslim yang menawarkan "dim sum" dan "steamboat" halal milik sebuah hotel, mendapati premis itu dalam proses mendapat kelulusan halal JAKIM.

"Jakim tidak mengeluarkan kelulusan sijil dan logo halal ke atas restoran itu dan adalah menjadi kesalahan menggunakan logo tanpa kebenaran pihak kami," katanya selepas pemeriksaan selama tiga jam sejak 11 pagi itu.
Beliau berkata pengurusan premis itu masih dalam proses permohonan mendapatkan pensijilan halal.

Ketua Penguatkuasaan KPDNKK Negeri Cawangan Kuala Lumpur, Othman Nawang, berkata premis itu dikenakan tindakan kerana risalahnya menyalahi Seksyen 31B dan Seksyen 15 Akta Perihal Dagangan 1972 kerana menggunakan logo tanpa kebenaran Jakim.

Pemeriksaan selanjutnya di sebuah restoran masakan Thai berdekatan mendapati premis itu menggunakan logo palsu menyerupai logo JAKIM.

Restoran itu telah diberi amaran dan logo palsu itu ditanggalkan oleh pihak JAKIM. - BERNAMA

Musa kenang masa menyamar penarik beca

SHAH ALAM: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, yang akan bersara pada 13 September ini berkata antara kenangan manis sepanjang 41 tahun perkhidmatannya ialah kejayaan memberkas seorang pengedar dadah semasa beliau menyamar sebagai seorang penarik beca.
"Kejayaan itu dicapai sekitar tahun 1981 dan 1982 semasa beliau bertugas di Pulau Pinang dalam satu operasi dadah, katanya kepada pemberita semasa lawatan ke Ibupejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
"Itu (kenangan) paling manis kerana saya tangkap pengedar dadah semasa menyamar sebagai penarik beca," katanya.
Musa berkata, semasa bertugas di Pulau Pinang bersama-sama Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar yang pada masa itu baru sahaja menyertai polis, mereka turut menyamar sebagai penjual air tebu dalam usaha memberkas pengedar dadah di sana.

Mengenai rancangan beliau selepas bersara nanti, Musa berkata beliau akan berehat dan mungkin akan mengajar orang atau cucunya mengaji, selain daripada menjaga cucunya.

"Tak ada masalah, kita reda dengan apa yang Allah dah beri," katanya.
Ditanya sama ada beliau akan mengadakan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri ini, Musa berkata beliau akan mengerjakan umrah pada hari raya dan mahu berehat di Makkah.
Ditanya mengapa beberapa kekosongan jawatan seperti Ketua Polis Daerah Cheras yang sehingga kini belum diisi, Musa berkata perkara itu perlu dirujuk kepada Kementerian Dalam Negeri.

Katanya, beliau telah menghantar nama pegawai yang telah dicadangkan bagi mengisi kekosongan itu sejak November tahun lalu.

"Saya tak tahu mengapa tidak diisi. Saya tak mahu pula nanti orang kata saya tidak buat kerja, bukan? Saya dah hantar awal dulu," katanya. - BERNAMA

Malaysia guna kaedah rukyah dan hisab: JAKIM

KUALA LUMPUR: Malaysia menggunakan kaedah rukyah (cerapan) dan hisab berpandukan kriteria imkanur rukyah (kebolehcerapan) untuk menentukan awal Syawal, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.
Beliau berkata, perbezaan penentuan tarikh hari raya antara negara Islam termasuk Malaysia disebabkan wujudnya perbezaan matlak iaitu perbezaan terbit dan terbenamnya hilal (anak bulan).
"Perkara itu juga bergantung kepada penentuan pihak berkuasa agama di negara masing-masing sama ada menggunakan kaedah rukyah sahaja, hisab sahaja atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, hasil mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kalender Islam pada 13 April lalu, satu laporan penetapan tarikh awal anak bulan syawal telah dikemukakan kepada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bagi rujukan untuk menentukan awal syawal.

"Kriteria imkanur rukyah ketika matahari terbenam, ketinggian hilal di atas ufuk tidak kurang daripada dua darjah dan jarak lengkung (hilal dan matahari) tidak kurang daripada tiga darjah," katanya.

Wan Mohamad berkata, satu lagi kaedah ialah ketika hilal terbenam apabila umur hilal tidak kurang daripada lapan jam (kaedah ini diambil kira selepas ijtimak berlaku).

Di Malaysia, katanya, data kajian bagi tiga bulan utama iaitu Ramadan, Syawal dan Zulhijjah berpandukan koordinat dua titik rujukan iaitu melihat kepada koordinat Tanjung Atiam, Sabah (stesen paling timur) dan koordinat Tanjung Chincin, Pulau Langkawi (stesen paling barat). Bagi menentukan awal Syawal 1431, proses cerapan akan dilakukan pada petang hari merukyah hilal (cerapan anak bulan) Syawal pada 29 Ramadan bersamaan 8 September (esok).

Cerapan itu akan dilakukan di 30 tempat cerapan rasmi yang dimaklumkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan proses cerapan di peringkat negeri lazimnya diketuai oleh mufti negeri.

"Hasil cerapan akan dipanjangkan segera ke pengetahuan Penyimpan Besar Mohor Raja-raja serta diumumkan segera setelah mendapat perkenan raja-raja," katanya.
- BERNAMA

Penunjuk perasaan ceroboh lagi Kedutaan Malaysia di Jakarta

JAKARTA: Sejumlah penunjuk perasaan sekali lagi menceroboh dengan memanjat pintu pagar dan bangunan pos pengawal keselamatan Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan dalam satu demonstrasi hari ini.

Berikutan itu Malaysia akan menghantar nota bantahan kepada Kementerian Luar Negeri Indonesia dan Polis Indonesia kerana perbuatan penunjuk perasaan itu tidak dihalang oleh anggota polis yang mengawal di hadapan kedutaan itu.
Duta Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin, berkata penghantaran nota bantahan itu akan dibuat sesuai dengan pengakuan pihak berkuasa Indonesia untuk melindungi Kedutaan Besar Malaysia dan warga negara Malaysia yang berada di Indonesia.
Jaminan itu sekali lagi ditegaskan pada mesyuarat Menteri Luar Indonesia dan Malaysia di Kota Kinabalu semalam.

Di akhir mesyuarat itu semalam, Indonesia menegaskan bahawa ia akan melindungi kedutaan besar dan rakyat Malaysia di negara itu, begitu juga dengan Malaysia yang turut memberi jaminan untuk melindungi kedutaan besar dan warga Indonesia di Malaysia.

Dalam demonstrasi selama sejam mulai pukul 11.40 pagi ini, 170 anggota kumpulan Laskar Merah Putih (LMP) serta beberapa kumpulan lain dalam gerakan bersama "ganyang Malaysia", datang ke Kedutaan Besar Malaysia ketika hujan lebat.

Sejurus tiba, beberapa anggota kumpulan yang berpakaian seragam LMP terus memanjat pintu pagar dan berdiri di atas bangunan pos pengawal keselamatan sambil mengibarkan bendera Indonesia.
Mereka turut merentangkan sepanduk bertulisan "Ganyang Malaysia" di pintu pagar itu dan dalam pidatonya kumpulan itu meminta agar kerajaan Indonesia melancarkan perang terhadap Malaysia dan mereka sendiri bersedia turut serta bagi mempertahankan Indonesia.

Kumpulan itu juga cuba merentangkan bendera Merah Putih yang panjang di pintu pagar itu namun dihalang oleh Polis Indonesia yang kemudian meminta mereka turun daripada atas bangunan pos pengawal keselamatan itu.

Pasukan polis yang datang awal menunggu penunjuk perasaan dengan beberapa kenderaan termasuk sebuah gerabak kenderaan yang membawa tiga gulung kawat berduri tetapi ia tidak direntangkan di hadapan kedutaan besar itu.

Ini adalah kejadian kedua membabitkan anggota LMP memanjat pintu pagar dan berdiri di atas bangunan pos pengawal keselamatan yang sama di Kedutaan Besar Malaysia di sini.

Kali pertamanya ialah pada 16 Ogos lalu dan dalam kejadian itu, selain menceroboh, mereka turut merosakkan plak nama Kedutaan Besar Malaysia dengan menggunakan batang buluh serta mengotor plak itu dengan lumpur longkang.

Sebelum mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia hari ini, kumpulan itu telah berdemonstrasi di hadapan Kementerian Luar Negeri Indonesia dan selepas aksi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia, mereka meneruskan aksi sama di hadapan Istana Negara, iaitu pejabat dan kediaman rasmi Presiden Indonesia.

Selain kumpulan LMP, dua kumpulan lain iaitu Kesatuan Aksi Lintas Mahasiswa (Kalam) dan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) dilaporkan akan turut mengadakan demonstrasi di hadapan kedutaan Besar Malaysia hari ini. - BERNAMA

Rumah terbuka PM, Kabinet di Seri Perdana pada raya pertama

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Jemaah Menteri akan mengadakan rumah terbuka Aidilfitri pada raya pertama bertempat di kediaman rasminya di Seri Perdana di sini dari 11.30 pagi hingga 5 petang.
Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri hari ini, bagi memastikan kelancaran trafik, orang ramai dinasihatkan menggunakan perkhidmatan bas Nadi Putra yang disediakan secara percuma.
Sebanyak 16 bas disediakan dari 10.30 pagi hingga 6 petang di empat lokasi iaitu berhadapan Sekolah Menengah Alam Shah, Masjid Putra, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Putrajaya Sentral.
Menurut kenyataan itu, sekiranya hari raya jatuh pada Jumaat, Perdana Menteri bersama menteri Kabinet beragama Islam akan meninggalkan majlis pada 1 hingga 2 petang untuk menunaikan solat Jumaat.

Perkhidmatan bas juga disediakan bagi umat Islam lain yang hadir di rumah terbuka tersebut untuk menunaikan solat Jumaat.

Pada 18 September pula, Najib selaku Ahli Parlimen Pekan akan mengadakan rumah terbuka di Pekan dari 10 pagi hingga 2 petang. - BERNAMA

Gunung berapi Sinabung meletus lagi

TANAH KARO (Sumetera): Gunung berapi Sinabung meletus lagi awal pagi ini dengan mengeluarkan debu panas hitam sehingga mencapai ketinggian 5,000 meter di udara, letusan terkuat sejak empat dekad lalu.
Debu itu dijangka memenuhi ruang angkasa sehingga jarak melebihi lapan kilometer.
Seorang penduduk, Anissa Siregar, 30, berkata letusan pagi ini amat kuat dan menakutkan.
“Kali ini ia amat menakutkan. Nampaknya keadaan semakin buruk," katanya sehingga mengejutkan dua anaknya yang kini menetap di khemah sementara.

Gunung berapi yang terletak di Sumatera Utara itu kali terakhir meletus pada 1600.

Selepas empat dekad dikatakan 'mati' ia meletus semula minggu lalu sehingga menarik minat saintis menyaksi dan mengkaji fenomena letusan terbaru itu.

Ketika ini wujud kebimbangan gunung berapi yang kembali aktif itu memuntahkan lebih banyak debu dan lahar untuk beberapa minggu lagi atau kemungkinan ia 'mati' semula.
Lebih 30,000 penduduk yang tinggal di sekitar Sinabung kini berada di pusat pemindahan di kem sementara, masjid dan gereja. - AP