Followers

Monday, December 21, 2009

Amaran angin kencang, laut bergelora di perairan pantai timur

KUALA LUMPUR: Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 km sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter yang berlaku di perairan Kelantan dan Terengganu dijangka berterusan hingga Khamis ini.

Jabatan Meteorologi dalam kenyataannya hari ini, berkata berikutan itu kawasan pantai Kelantan, Terengganu dan Pahang kini terdedah kepada kenaikan paras air laut dan berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora kategori kedua itu juga turut melanda perairan Tioman yang merangkumi Pahang dan Johor Timur, Condore, Layang-Layang dan Reef North.

Jabatan itu juga turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter di perairan Sarawak, Labuan, Sabah yang merangkumi kawasan Pantai Barat Kudat dan Sandakan, Reef South, Bunguran dan Palawan yang dijangka berterusan hingga Khamis ini.

Ia berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. - Bernama

Gunung berapi utama dijangka meletus di Manila

LEGAZPI (Filipina): Gunung berapi paling aktif di Filipina dijangka meletus dalam beberapa hari lagi, menurut amaran yang dikeluarkan pegawai negara itu.

Amaran itu dikeluarkan susulan gempa bumi yang meningkat secara drastik dikesan dan bunyi yang menyeramkan di sekitar kawasan bukit kaki kawasan berkenaan.

Ia menyebabkan kira-kira 10,000 penduduk kampung di sekitarnya dikeluarkan daripada kawasan itu sebagai langkah berjaga-jaga.

Ketua Institut gunung berapi dan seismologi Filipina, Renato Solidum, berkata pakar sains yang mengesan 453 gempa bumi gunung berapi sepanjang tempoh lima jam semalam berbanding lebih 200 Sabtu lalu meningkatkan peringkat amaran kepada tahap berwaspada.

Sistem amaran lima peringkat kini dinaikkan kepada peringkat keempat, memberi gambaran ia akan meletus dalam beberapa hari.

Peringkat kelima adalah apabila letusan gunung berapi bermula.

Anggota keselamatan yang terdiri daripada askar dan polis meningkatkan rondaan setiap masa bagi menghalang penduduk bergerak dalam lingkungan 8 km daripada zon merbahaya, iaitu kira-kira 340km tenggara Manila. - AP