Followers

Saturday, July 25, 2009

H1N1: Virus kini merebak setiap negara di dunia

GENEVA: Selesema babi atau Influenza A (H1N1) kini merebak hampir ke setiap negara di dunia, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam sambil mengakui virus berkenaan boleh matang dan berkembang di benua sejuk utara hemisfera.

Kebimbangan WHO itu berdasarkan angka kematian akibat H1N1 yang kini terus menunjukkan peningkatan mendadak.

Malah, WHO berkata, kini hanya masa menentukan virus itu merebak ke setiap negara di dunia sejak ia dikesan Mac lalu.

"Penularan virus ini terus berlaku dan kini 160 daripada 193 negara WHO mempunyai kes H1N1.

"Jadi, kita sudah hampir kepada angka 100 peratus," kata jurucakap WHO, Gregory Hartl di sini.

Hartl berkata, virus H1N1 virus yang diisytiharkan sebagai pandemik Jun lalu kini sudah mengorbankan sekitar 800 nyawa.

Awal minggu ini, WHO mengeluarkan angka kematian lebih 700 orang.

Kebanyakan kes kematian akibat H1N1 ialah di negara benua Amerika dengan Amerika Syarikat, Argentina dan Mexico antara tiga negara mempunyai kes kematian tertinggi setakat ini. - AFP

Politeknik Sultan Mizan ditutup akibat H1N1

KUALA TERENGGANU: Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun ditutup selama lapan hari berkuatkuasa hari ini berikutan empat pelajarnya disyaki menghidap selesema babi atau Influenza A (H1N1).

Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajarnya, Khairul Azhar Mohamed, berkata penutupan kampus berkenaan berikutan kebimbangan penularan wabak itu di kalangan pelajarnya.

Beliau berkata empat pelajar berkenaan, yang juga pelajar semester pertama dan mula mendaftar di kampus berkenaan pada 6 Julai lalu, kini dikuarantin di asrama kampus berkenaan.

"Selepas mendapat nasihat daripada Pegawai Kesihatan Daerah Dungun, kita mengambil tindakan menutup kampus ini serta-merta sehingga 1 Ogos depan.

"Sehubungan itu, pihak Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin telah mengarahkan semua pelajar, pengajar dan kakitangan supaya tidak berada di kawasan kampus untuk tempoh berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berharap dalam tempoh penutupan kampus itu, kerjasama daripada pelajar, kakitangan dan tenaga pengajar diperlukan untuk mematuhi peraturan-peraturan bagi mengawal penularan wabak itu.

Khairul Azhar berkata pendaftaran pelajar lepasan industri yang sepatutnya pada Isnin ini (27 Julai) ditangguhkan sehingga 2 Ogos manakala pelajar lama akan mendaftar pada 3 Ogos depan.

Dua hari lalu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun ditutup selama 10 hari bagi mengawal penularan virus berkenaan di kalangan pelajarnya. - Bernama