Followers

Friday, September 10, 2010

Ops SIkap ke-22: 23 terkorban pada hari ketujuh

KUALA LUMPUR: Hari ketujuh Ops Sikap ke-22 mencatatkan 23 lagi korban jalan raya menjadikan jumlah mereka yang maut sejak operasi dilancarkan pada Jumaat lalu meningkat kepada 118 orang.
Pegawai Perhubungan Ops Sikap Polis Diraja Malaysia, Asisten Superintendan Bakri Jainal Abidin, berkata pemandu dan penumpang kereta mencatatkan korban tertinggi dengan 12 kematian diikuti sembilan penunggang dan pembonceng motosikal, serta masing-masing satu pengguna lori dan pejalan kaki.
Sebanyak 1,269 kemalangan dilaporkan berlaku semalam, iaitu 578 di jalan persekutuan, 314 jalan bandaran, 192 jalan negeri, 99 di lebuh raya dan 86 di
lain-lain jalan, katanya.

Sebanyak 10,827 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya
melibatkan 6,609 dan 4,218.

Ops Sikap ke-22 sempena Hari Raya Aidilfitri ini akan berakhir pada 17 September. - Bernama

Rumah Putih gesa rancangan bakar al-Quran dibatalkan

GAINESVILLE (Florida): Rumah Putih meningkatkan gesaan terhadap pastor Florida bagi membatalkan rancangan untuk mengadakan majlis membakar al-Quran di tengah-tengah kebimbangan tindakan itu akan membentuk keganasan baru.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memberi amaran terhadap rancangan meneruskan membakar al-Quran sempena menyambut ulang tahun serangan 11 September.
"Ia adalah bonanza menrekrut untuk Al-Qaeda. Ia akan meningkatkan jumlah individu yang bersedia untuk meletupkan diri mereka sendiri di bandar AS atau Eropah," kata Obama kepada ABC, ketika Jabatan Kerajaan AS sudah mengeluarkan amaran perjalanan kepada warga AS seluruh dunia. - AFP

Umat Islam di Malaysia sambut hari lebaran dengan kemeriahan

KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia hari ini menyambut Aidilfitri dengan penuh kemeriahan bersama-sama keluarga dan tradisi rumah terbuka ketika negara terus menikmati keamanan, keharmonian serta dilimpahi kemakmuran.

Di setiap pelusuk negara, masjid menjadi tumpuan jutaan muslimin untuk menunaikan sembahyang Aidilfitri pada pagi Syawal selepas genap sebulan berpuasa.
Budaya balik kampung, satu ciri penting bagi memelihara hubungan antara mereka yang menetap di bandar dan kawasan maju dan mereka yang mengekalkan tradisi, budaya dan cara hidup di luar bandar, diteruskan sehinggakan ibu kota Kuala Lumpur lenggang pada pagi hari lebaran.
Amalan mengadakan rumah terbuka, sesuatu yang lumrah di kalangan pelbagai kaum di Malaysia semasa sambutan hari kebesaran masing-masing, menjadi antara tumpuan utama seperti kebiasaannya, dengan beribu-ribu orang mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama jemaah menteri di kediaman rasminya di Seri Perdana.

Di ibu negara, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri santapan pagi bersama-sama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah di Istana Negara.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Seri Paduka Baginda dan Tuanku Nur Zahirah kemudian berangkat ke Masjid Negara untuk menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri bersama-sama rakyat jelata.
Baginda diiringi Najib, Muhyiddin, beberapa menteri Kabinet serta para duta dan diplomat asing yang beragama Islam.

Khutbah disampaikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom.

Selesai solat, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri kemudiannya beramah mesra dan bersalaman dengan jemaah yang hadir. - Bernama

Tidak ada laporan demonstrasi terhadap Malaysia di Indonesia: Anifah Aman

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata tidak ada kekacauan ditimbulkan terhadap rakyat Malaysia di Indonesia sejak Selasa lalu.
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pagi ini.
"Sejak petang Selasa tidak ada yang berkumpul di hadapan bangunan kedutaan kita, saya gembira dan berharap suasana akan bertambah baik," katanya ketika ditemui pemberita di Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan ahli Kabinet, di Sri Perdana di sini.
Anifah berkata, beliau juga sentiasa berhubung dengan rakan sejawatan dari republik itu, Dr Marty Natalegawa bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Indonesia terjamin.

"Apa yang berlaku di Jakarta hanya membabitkan sekumpulan kecil dan tidak mencerminkan polisi kerajaan Indonesia terhadap Malaysia atau majoriti rakyatnya," kata beliau.

Mengulas perkembangan terkini rayuan pengampunan untuk rakyat Sabah, Yong Vui Kong, yang dijatuhkan hukuman mati oleh Singapura atas kesalahan dadah, Anifah berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa Singapura.

"Kita (kerajaan Malaysia) telah melakukan sedaya upaya untuk membantu Yong dan keluarganya dan kini kita cuma dapat menunggu hasil rayuan kita," kata Anifah yang telah menghantar sepucuk surat mengenai perkara itu kepada rakan sejawatannya di Singapura.
Yong, 22, dijatuhi hukuman mati pada 7 Januari tahun lalu selepas disabitkan kesalahan mengedar 47 gram dadah jenis diamorphine, mengikut Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura pada 13 Jun 2007.

Mahkamah Tinggi Singapura baru-baru ini menolak permohonan Yong untuk semakan semula kehakiman proses pengampunan itu. - Bernama