Followers

Monday, June 8, 2009

Sabah & Sarawak: Mangsa tragedi pesawat terhempas dikenang

KOTA KINABALU: Walaupun sudah 33 tahun berlalu, tragedi 11 mangsa termasuk empat anggota Kabinet Sabah terkorban dalam nahas pesawat Nomad buatan Australia milik Sabah Air terhempas ke dalam laut di Sembulan, di sini, tidak luput dari ingatan terutama keluarga mangsa.

Nahas ngeri jam 3.50 petang tanggal 6 Jun 1976 atau lebih dikenali sebagai `Double Six' itu mengorbankan Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens; Menteri Kewangan negeri, Datuk Salleh Sulong; Menteri Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Peter Mojuntin; Menteri Perhubungan dan Kerja Raya negeri, Datuk Chong Thian Vun dan Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Darius Binion.

Turut terkorban ialah Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sabah, Syed Hussin Wafa; Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan negeri, Wahid Andu; Setiausaha Sulit kepada Tengku Razaleigh Hamzah, Ishak Atan; Pengawal Peribadi Stephens, Korporal Mohammad Said; juruterbang, Kapten Ghandi J Nathan dan anak Stephens, Johari.

Seperti tradisi tahun sebelumnya, majlis memperingati mangsa nahas diadakan di Tugu Peringatan Double Six Sembulan kelmarin.

Selain ahli keluarga, hadir sama memberi penghormatan dengan meletak kalungan bunga ialah Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Edward Yong Oui Fah dan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Illiyas Ibrahim.

Warga Britain, Dr Richard Dingley, 78, dan isterinya, Sylvia, 76, mempunyai sebab tersendiri untuk menghadiri upacara bermakna itu.

"Ketika itu, saya berkhidmat dengan pasukan St John Ambulans. Saya ingat lagi... semuanya terkejut dan tidak tahu apa patut dilakukan ketika mendapat berita itu.

"Kami mengenali keluarga beberapa mangsa dan mayat mangsa dibawa ke dewan masyarakat selepas nahas itu. Saya dan isteri hanya mampu mencuba untuk mententeramkan mereka," katanya.

Sabah & Sarawak: Perancis minat labur, wujud komuniti di Sabah

KOTA KINABALU: Perancis berminat menjalin kerjasama lebih erat dan melabur di Sabah, selain berhasrat mewujudkan komuniti warga negara itu seiring operasi Akademi Laut di Teluk Sepanggar kelak.

Duta Perancis ke Malaysia, Marc Barety, berkata sejarah hubungan baik di antara Malaysia dan negaranya membolehkan lebih banyak bidang diterokai demi manfaat kedua-dua pihak.

"Saya yakin rakyat Perancis boleh menyesuaikan diri dengan cepat dengan suasana kehidupan di Sabah.

"Hubungan Perancis-Malaysia semakin berkembang. Saya beri jaminan warga Perancis akan datang membawa keluarga mereka menetap di sini sebaik Akademi Perkapalan bagi melatih rakyat tempatan dalam bidang kapal selam di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sepangga beroperasi tahun depan.

"Malah, ada syarikat Perancis turut berminat meninjau peluang perniagaan di sini," katanya selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, di kediaman rasminya di Sri Gaya, kelmarin.

Ia adalah lawatan sulung Barety ke Sabah sejak mula bertugas di Malaysia, lapan bulan lalu.

Sementara itu, Musa menyambut baik hasrat Perancis ingin menerokai industri tempatan di Sabah.

"Sudah pasti ia akan memanfaatkan kedua-dua pihak kerana banyak yang boleh ditawarkan Sabah, terutama dalam sektor pelancongan dan hospitaliti.

"Saya harap Sabah dan Perancis dapat mengenal pasti bidang yang boleh menjadi titik permulaan ke arah kerjasama itu," katanya.

Beliau berkata, Sabah mempunyai tarikan tersendiri di bidang perniagaan berikutan kestabilan politiknya dan faktor pengurusan ekonomi yang baik.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi tumpuan terhadap usaha membangunkan kawasan luar bandar dan membasmi kemiskinan menerusi pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

Sabah & Sarawak: Nelayan kecil dakwa dipinggir

Permohonan tingkat kemudahan tangkap ikan ahli Pengasah tak dilayan

KOTA KINABALU: Persatuan Nelayan Negeri Sabah (Pengasah) yang dianggotai 15,000 nelayan Bumiputera, kecewa dengan tindakan kerajaan negeri yang didakwa meminggirkan persatuan itu sehingga ahlinya gagal menerima kemudahan untuk meningkatkan sosioekonomi kerana terpaksa mengekalkan operasi secara tradisi.

Pengerusinya, Madrah Talih, mendakwa jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerajaan negeri dalam bidang perikanan tidak memberi pertimbangan terhadap permohonan persatuan itu untuk meningkatkan infrastruktur penangkapan ikan dan pelbagai kemudahan diperlukan ahlinya di seluruh negeri.

"Majoriti ahli kami adalah nelayan kecil hidup miskin yang memerlukan kemudahan seperti subsidi sampan, pukat, petrol dan penyediaan jeti pendaratan ikan yang sempurna.

"Malangnya, permohonan kami tidak mendapat perhatian kerajaan negeri sehingga kami berasa Pengasah dianaktirikan.

"Kerajaan negeri juga tidak meluluskan permohonan kami menjadi pembekal subsidi diesel (e-diesel) dan petrol (e-petrol) kepada nelayan di seluruh negeri hingga ramai anggota kami gagal memanfaatkan kemudahan itu.

"Ini tidak adil kepada nelayan terutama nelayan kecil Bumiputera yang beroperasi di pesisir pantai menggunakan sampan," katanya selepas perasmian mesyuarat agung tahunan Pengasah yang disempurnakan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Abdul Rahim Ismail, kelmarin.

Madrah berkata, nelayan kecil sepatutnya dibantu bagi memastikan mereka bebas daripada status Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) yang disasarkan kerajaan negeri.

Katanya, Pengasah menyokong kenyataan Abdul Rahim bahawa perniagaan diesel dan petrol layak ditadbir urus Pengasah berikutan kelemahan Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) mengurusnya sehingga ramai nelayan tidak mendapat kemudahan itu, terutama nelayan kecil Bumiputera hidup miskin yang beroperasi di pesisir pantai.

"Walaupun e-diesel dan e-petrol diperkenalkan pada 1 Jun 2006, ramai nelayan belum menikmatinya selain kekerapan kehabisan bekalan minyak.

"Mungkin ada pihak tertentu menyeleweng kemudahan itu dengan menjualnya kepada pihak industri dan ini perlu disiasat segera kerana tindakan mereka merugikan nelayan kecil.

"Kami memberi jaminan, ahli yang menjual semula diesel dan petrol kepada pihak industri akan dikenakan tindakan termasuk menghantar senarai nama mereka kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna untuk tindakan lanjut. Bagaimanapun, sehingga kini tiada yang dikesan berbuat demikian," katanya.

Madrah berkata, nelayan kecil pesisir pantai turut berdepan masalah kekurangan tangkapan akibat tindakan pemilik kapal pukat tunda beroperasi di pesisir pantai dan kegiatan pengeboman ikan yang merosakkan terumbu karang sehingga kekurangan ikan.

"Kami harap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mempergiatkan operasi memburu kapal pukat tunda yang beroperasi di pesisir pantai bagi memastikan nelayan kecil tidak kehilangan sumber pendapatan," katanya.

H1N1: 6 kes baru disahkan di Nicaragua

MANAGUA: Nicaragua semalam mengesahkan enam lagi kes Influenza A (H1N1)di negara itu, meningkat kepada 26 orang setakat ini.

Jirannya, Argentina juga mengesahkan 13 kes H1N1 di negara berkenaan, sekali gus menyaksikan virus itu kini merebak ke benua Amerika Latin.

Pegawai kesihatan Uruguay pula melaporkan tiga kes terbaru H1N1, menjadikan semua 25 kes manakala pihak berkuasa Peru mengesahkan 12 kes terbaru, menjadikan 61 setakat semalam.

Menteri Kesihatan Nicaragua, Guillermo Gonzalez, berkata pihaknya semakin serius memantau mereka yang mempunyai simptom H1N1 sejak kes pertama dilaporkan tujuh hari lalu. - AFP