Followers

Wednesday, August 12, 2009

H1N1: Kedah catat 3 kes kematian

ALOR SETAR: Kedah mencatat tiga kematian akibat wabak Influenza A (H1N1), membabitkan dia wanita dari daerah Baling dan seorang lelaki dari daerah Kuala Muda, setakat ini.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata dua wanita terbabit masing-masing berusia 37 dan 56 tahun, manakala mangsa lelaki pula berusia 43 tahun dan semua mereka dikesan turut menghadapi masalah kesihatan, sama ada kencing manis, darah tinggi atau sakit jantung.

Katanya, keadaan mangsa yang mempunyai masalah kesihatan itu turut meningkatkan risiko kematian akibat H1N1, selain mereka dikesan lewat mendapatkan rawatan.

"Selain itu, 14 lagi mangsa sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), masing-masing tujuh di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

"Tujuh pesakit yang dirawat di HSB ialah kanak-kanak berusia kurang 12 tahun, manakala mangsa di HSAH adalah dewasa.

"Sejak penyakit itu merebak, sebanyak 80 sekolah diarah bercuti sementara," katanya di sini, hari ini.

Azizan berkata, sehingga kini sebanyak 49 mangsa disahkan positif H1N1 di Kedah.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang mengalami demam atau memiliki simptom H1N1 supaya segera mendapatkan rawatan di hospital bagi membolehkan rawatan awal diberikan.

Katanya, kerajaan negeri juga buat masa ini belum bercadang membatalkan majlis yang membabitkan perkumpulan orang ramai, tetapi akan mematuhinya jika Kementerian Kesihatan melarang aktiviti keramaian.

H1N1: 6 lagi kes kematian, keseluruhan 44

PUTRAJAYA: Enam lagi kes kematian terbaru, termasuk dua bayi akibat H1N1 dilaporkan di negara ini dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah keseluruhan 44 kes sehingga semalam.

Empat daripada enam kes kematian terbabit membabitkan mereka yang berisiko termasuk ibu mengandung berusia 18 tahun, bayi lelaki berusia 12 bulan dan bayi perempuan berusia 10 bulan.

Perkara itu diumumkan pada sidang media Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, di sini, sebentar tadi.

Presiden Costa Rica disahkan hidap H1N1

SAN JOSE: Presiden Costa Rica, Oscar Arias, semalam disahkan menghidap selesema babi atau Influenza A (H1N1).

"Pada sebelah petang, beliau dimaklumkan dijangkiiti H1N1," kata Rodrigo Arias, abang kepada presiden yang juga ketua staf di pejabat presiden.

Arias, 6, yang dalam rawatan kini dikuarantinkan di kediamannya untuk sekurang-kurangnya tujuh hari lagi.

Beliau bagaimanapun tidak menyerahkan kuasanya kepada sesiapa sepanjang ketiadaannya, kata seorang menteri.

Arias adalah pemenang Hadiah Nobel Keamanan dan menjadi orang tengah dalam krisis politik di Honduras. - AFP

Gempa gegar sempadan Myanmar-India

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi melaporkan gempa bumi sederhana berukuran 5.7 pada skala Richter berlaku di sempadan wilayah Myanmar-India pada jam 5.44 pagi ini.

Ia berlaku di sekitar 220 kilometer (km) dari barat daya Mandalay, Myanmar dan 1,993km dari barat daya Kangar, Perlis.

Gempa itu bagaimanapun tidak mendatangkan ancaman tsunami. - Bernama