Followers

Friday, June 5, 2009

AS, dunia Islam perlu jalin hubungan baru


CENDEKIAWAN dan wartawan Indonesia menonton ucapan Obama.

Obama cuba pulih imej Washington

KAHERAH: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, menyarankan satu 'permulaan baru' dalam hubungan di antara negaranya dengan dunia Islam dalam ucapan di sini yang membincangkan isu nuklear Iran, operasi tentera negaranya di Iraq, Afghanistan dan Pakistan serta mengulangi sokongan kepada pembentukan negara Palestin.

“Kita bertemu ketika hubungan di antara Amerika dan orang Islam di seluruh dunia tegang, berpunca daripada faktor sejarah yang melampaui mana-mana perdebatan semasa.

“Saya datang untuk menggerakkan hubungan baru di antara Amerika dan orang Islam seluruh dunia berdasarkan prinsip kepentingan bersama dan saling menghormati.

“Amerika dan Islam bukanlah sesuatu yang eksklusif dan tidak perlu bersaing,” katanya di Dewan Besar Universiti Kaherah, di sini semalam.

Tepukan gemuruh dan jeritan ‘Saya cinta kamu’ kedengaran sekali sekala ketika Obama berucap. Jelas, misi utamanya ialah memu-lihkan imej Amerika yang tercalar di mata satu bilion penduduk Islam di seluruh dunia kerana melancarkan perang di Afghanistan serta Iraq selain isu seksaan terhadap tahanan Islam.

Ali Khamenei

Mesej Obama, bagaimanapun, disanggah Iran, Osama bin Laden dan Hamas. Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dalam ucapannya menyifatkan Amerika amat dibenci di Asia Barat dan hanya tindakan bukannya slogan dapat mengubahnya.

Pemimpin al-Qaeda dalam mesej di laman webnya memberi amaran kepada orang Islam supaya tidak bekerjasama dengan orang Kristian dan Yahudi kerana itu akan menyebabkan mereka murtad, sebaliknya menggesa mereka memerangi ‘kafir.’

Hamas pula enggan menerima bulat-bulat kata-kata Obama meskipun ia diterima baik Presiden Mahmud Abbas.

Obama yang berharap dapat membina sokongan daripada kerajaan negara Islam untuk inisiatif diplomatiknya, mengesahkan sekali lagi komitmennya kepada penubuhan negara Palestin.

“Penubuhan negara Palestin memenuhi kepentingan Israel, Palestin, Amerika dan dunia. Itulah sebabnya saya berhasrat menangani perkara ini,” katanya.

Katanya lagi, penduduk Palestin perlu menamatkan keganasan di Kaherah dan menerima hak Israel untuk wujud manakala Israel wajar berhenti membina penempatan Yahudi.

“Amerika tidak menerima kegiatan membina penempatan Yahudi yang tidak sah.”

Obama juga berkata, Iran sepatutnya mendapat akses penuh mengenai kuasa nuklear tetapi ia mesti akur kepada perjanjian tidak menyebar senjata nuklear. Sambil menyokong penubuhan negara Palestin, Obama juga mendesak Israel berhenti membina penempatan Yahudi.

“Ia adalah kepentingan Israel, kepentingan Palestin, kepentingan Amerika dan dunia,” katanya sambil berjanji berusaha mencapai penyelesaiannya.

‘Merujuk kepada operasi tentera di Afghanistan, Obama berkata, Amerika tidak berminat terus menempatkan askarnya di negara Teluk itu. - Reuters

0 comments: