Followers

Wednesday, January 27, 2010

Empat kepala babi diletak di dua masjid

KUALA LUMPUR: Empat kepala babi bersama wang tunai diletakkan di dua masjid di sini awal pagi tadi.

Masjid terbabit ialah Masjid Imam At-Tirmizi di Taman Seri Sentosa dan Masjid Jumkuriah Taman Dato' Haron di Petaling Jaya.

Masing-masing dua kepala dengan wang tunai RM35 dan RM40 diletakkan di setiap masjid berkenaan.

Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, meminta orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Kini waktu kemuncak denggi: Liow

SEREMBAN: Kerajaan mengambil langkah berjaga-jaga bagi menangani penyakit demam denggi kerana ketika ini adalah waktu kemuncak serangan penyakit itu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Katanya, sejak 1 Januari hingga 24 Januari sahaja, sudah ada 11 kematian dengan 3002 kes demam denggi.

"Ini adalah satu bilangan yang tinggi dan saya beri amaran kepada rakyat Malaysia bahawa ini perlu diberi perhatian dan ia lebih banyak mendatangkan kematian berbanding wabak H1N1 (wabak selsema babi)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program kebajikan dan kesihatan Magnum Cares 2010 di Hospital Mawar hari ini.

Beliau berkata, tahun lalu saja demam denggi mengorbankan 88 nyawa rakyat Malaysia berbanding hanya 77 kematian di kalangan pesakit H1N1.

"Cuma wabak H1N1 ini merebak dengan cepat sedangkan denggi ada kaitan dengan tempat pembiakan nyamuk aedes. Rakyat tidak melihat nyamuk aedes ini sebagai ancaman, dia ingat dia boleh tawan ini nyamuk," katanya.

Katanya, mereka bagaimanapun lupa bahawa walaupun kawasan itu habis dibersihkan daripada nyamuk dan larva aedes tetapi telur nyamuk itu boleh bertahan sehingga enam bulan di tempat kering.

"Bila hujan balik dan tempat yang sudah kering itu ditakung air, telur itu akan menetas dan keluar nyamuk baru kerana itu tidak mustahil, apabila wabak denggi ini datang dari kawasan yang kita sangka sudah selamat," katanya.

Sementara itu, Liow berkata masalah kerosakan buah pinggang di negara ini semakin serius dengan 20,000 rakyat Malaysia sedang menderita akibat penyakit itu berbanding hanya 836 orang 20 tahun lalu.

Beliau berkata, jumlah itu adalah angka yang dikumpul daripada mereka yang mendapat rawatan di pusat mencuci buah pinggang di klinik kerajaan, swasta atau pusat hemodialisis milik pertubuhan bukan kerajaan.

"Dahulu hanya ada 836 orang sahaja yang sakit buah pinggang pada 1990 tetapi hari ini jumlah itu semakin membesar," katanya.

Katanya, berikutan itu itu, kerajaan terpaksa mengeluarkan bantuan subsidi mulai 2001 dan sehingga sekarang, ia kini menjangkau RM145 juta.

"Subsidi itu dikeluarkan untuk golongan yang tidak bernasib baik kerana penyakit ini adalah penyakit yang mahal (kos rawatan)," katanya.

Katanya, setiap pesakit buah pinggang memerlukan lebih kurang RM160 untuk setiap kali rawatan mencuci organ itu dan kerajaan memberi subsidi sebanyak RM80.

"Jika memerlukan suntikan erythropoietin, kerajaan membantu rakyat sebanyak RM30 setiap suntikan dan pesakit buah pinggang memerlukan tiga suntikan setiap minggu," katanya.

Katanya, tinjauan kementeriannya mendapati 57 peratus kes kegagalan buah pinggang adalah disebabkan serangan kencing manis dan tujuh peratus lagi akibat penyakit darah tinggi manakala bakinya berpunca daripada penyalahgunaan dadah serta sebab-sebab lain. - Bernama

Kebebasan beragama, toleransi, kesaksamaan asas kukuh Malaysia: PM

KUALA LUMPUR: Nilai murni seperti kebebasan beragama, toleransi, keamanan dan kesaksamaan yang dipegang teguh oleh rakyat Malaysia selama ini akan terus menjadi asas kukuh kepada negara ini, walaupun berlaku perbuatan vandalisme terhadap gereja dan tempat ibadat lain di dalam negara baru-baru ini, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kepelbagaian penduduk yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama adalah kekuatan sebenar negara ini, yang juga asas di mana kerajaan akan terus membangunkan 1Malaysia, gagasan yang beliau lahirkan yang bertujuan menjadikan Malaysia negara yang kukuh dan saksama.

"Ia adalah cabaraan besar tetapi secara bersama ia boleh menjadi kejayaan terbesar kami," katanya ketika menulis dalam sudut pendapat dalam majalah The Wall Street Journal yang diterbitkan hari ini.

Najib menegaskan bahawa perbuatan vandalisme ke atas rumah ibadat dan membakar gereja Metro Tabernacle Church baru-baru ini dan dituruti dengan reaksi kuat daripada rakyat Malaysia, "boleh diubah menjadi detik yang boleh kami pelajari.

"Kami akan membawa petualangnya ke muka pengadilan. Ia juga masanya kami perlu berdiri teguh tanpa ragu-ragu untuk menolak keganasan dan komited untuk menjayakan usaha apa yang kami namakan 1Malaysia," katanya.

Dalam ruangan itu, Najib turut menjelaskan bahawa bertentangan dengan gambaran yang dibuat oleh sesetengah laporan antarabangsa, semangat luhur sebenar rakyat Malaysia jelas terpancar, sebaik sahaja berlaku perbuatan vandalisme ke atas gereja dan lain-lain tempat ibadat di dalam negara.

Katanya, rakyat pelbagai bangsa dan negara telah bercakap dengan suara yang senada mengutuk perbuatan keji tersebut dan menzahirkan bahawa vandalisme tidak boleh diterima dalam melahirkan pendapat yang bertentangan atau menyelesaikan sebarang perbezaan.

"Kumpulan orang Islam telah sukarela untuk melindungi gereja di kawasan mereka. Aktivis sosial Islam telah menulis menolak perbuatan vandalisme yang sia-sia itu. Kumpulan sivik Islam juga berganding bahu dengan orang Kristian, Hindu dan Buddha bagi memastikan semua orang bebas mengerjakan ibadat seperti yang mereka kehendaki," katanya.

Najib berkata, pemimpin masyarakat Kristian dan Islam juga menyeru semua pihak bertenang dan diadakan dialog antara agama, kerana mereka sedar bahawa orang yang melakukan perbuatan tersebut sebenarnya tidak mewakili majoriti masyarakat Islam di dalam Malaysia.

Beliau berkata, semua rakyat akan bekerjasama untuk menyelesaikan isu tersebut dan menegaskan bahawa Malaysia sudah tentu bukanlah negara pertama di mana terdapat sebilangan kecil individu melakukan jenayah mereka dengan alasan untuk menyokong agama tertentu.

Perdana Menteri berkata, ramai rakyat Malaysia yang kesal dengan tuduhan tidak bertanggungjawab dan bahaya yang dimainkan ahli politik tempatan yang telah meletak kepentingan politik peribadi mereka melebihi daripada kepentingan negara dengan memainkan isu sensitif berhubung kejadian tersebut.

"(Tetapi) kerajaan saya memilih jalan yang berbeza," katanya.

Beliau berkata kerajaan Malaysia akan mendekati rakyat dengan lebih dekat untuk mengadakan dialog terbuka dan berusaha untuk menyelesaikan isu sensitif.

Najib berkata, negara mesti mengekalkan masyarakat yang terbuka dan adil di mana peluang untuk semua akan terus subur.

"Perubahan telah dibuat seperti meliberalkan keperluan pemilikan dalam sektor utama ekonomi, menggalakkan pelaburan langsung asing, mewujudkan klinik-klinik 1Malaysia untuk memberi perkhidmatan kesihatan di samping memperluaskan peluang pelajaran kepada semua rakyat," katanya.

Namun beliau berkata, perubahan itu kadang-kala menjadi sukar kerana politik.

"Tetapi perubahan-perubahan ini adalah penting kerana taraf kesihatan dan ekonomi rakyat Malaysia dalam jangka panjang hanya boleh dibina berdasarkan kepada perpaduan daripada perpecahan.

"Kami tidak akan berganjak daripada hasrat untuk mencapai 1Malaysia," katanya. - Bernama