Followers

Monday, August 31, 2009

Peruntukan RM158j tingkat kemudahan, alat di hospital

IMR, pakar kaji sama ada genetik virus H1N1 sudah bermutasi

KUALA LUMPUR: Kabinet meluluskan peruntukan tambahan kecemasan sebanyak RM158 juta bagi meningkatkan kemudahan dan alat perlindungan kesihatan di hospital kerajaan seluruh negara untuk menangani penularan wabak Influenza A (H1N1) di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata langkah meningkatkan kemudahan di semua hospital kerajaan itu, termasuk menambah bilangan katil dan wad unit rawatan rapi (ICU), di samping tumpuan kepada keperluan alat perlindungan kesihatan untuk doktor dan juga jururawat.

"Ketika ini, ada kira-kira 350 katil dalam ICU di semua hospital kerajaan dan bilangan itu akan ditambah 350 katil lagi. Semua usaha ini akan dilaksanakan secepat mungkin," katanya kepada Berita Harian, semalam.

Laporan akhbar semalam memetik Liow sebagai berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan supaya lebih banyak katil ditempatkan dalam ICU kerana di sesetengah hospital kerajaan wad ICU terlalu sesak.

Akhbar semalam juga melaporkan WHO menerima laporan kemunculan virus H1N1 jenis teruk yang terus menyerang paru-paru menyebabkan penghidapnya sakit tenat dan perlu menjalani rawatan mahal di hospital.

Virus jenis teruk itu turut dilaporkan boleh menyebabkan pesakit muda yang tidak mempunyai masalah kesihatan, jatuh sakit tenat.

Mengulas lanjut, Liow berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan kumpulan pakar utama melakukan kajian serta pemantauan rapi bagi menentukan sama ada genetik virus H1N1 di negara ini sudah bermutasi atau berubah.

"Setakat ini, masih virus H1N1 yang sama dan Kementerian Kesihatan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga supaya virus jenis teruk itu tidak menular ke negara kita," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr David Quek Kwang Leng, berkata hospital swasta juga sedang berusaha meningkatkan bilangan katil dalam ICU masing-masing.

"Penyediaan kemudahan di ICU sebenarnya membabitkan kos yang tinggi. Justeru, ketika ini, rata-rata hospital besar hanya mempunyai antara 10 hingga 20 katil dalam ICU masing-masing," katanya.

Doktor mangsa terbaru selesema babi

KUALA LUMPUR: Seorang doktor wanita yang dimasukkan ke wad Hospital Pakar Seremban (SSH) sejak 21 hari lalu, meninggal dunia awal pagi semalam, dipercayai akibat dijangkiti wabak Influenza A (H1N1).

Dr Noorfiza Isa, 43, yang bertugas di hospital itu sejak lima tahun lalu, sebelum itu dikatakan koma sehingga menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.30 pagi semalam dan dikatakan doktor pertama di negara ini yang meninggal dunia akibat penyakit berkenaan.

Menurut sumber, Allahyarham bertugas di Unit Kecemasan dan mengalami tanda penyakit berbahaya itu pada 6 Ogos lalu dan dimasukkan ke wad tetapi dibenarkan keluar sehari selepas itu.

Bagaimanapun, keadaan mangsa yang tinggal di Taman Tasik Jaya, Senawang, semakin buruk dan dimasukkan semula ke wad hospital berkenaan pada malam 9 Ogos dan koma sehingga meninggal dunia awal pagi semalam.

"Mangsa adalah antara tiga doktor di hospital itu yang dijangkiti H1N1 tetapi keadaan mangsa yang paling teruk dan dirawat selama 21 hari sebelum meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, jurucakap Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, berkata setakat ini hanya 15 kakitangan yang terbabit dalam perkhidmatan kesihatan di seluruh negara dijangkiti wabak berbahaya itu tetapi tiada kematian dilaporkan setakat ini.

"Bagi kematian membabitkan doktor wanita itu, setakat ini tidak dapat disahkan punca kematiannya sehingga keputusan ujian mengenainya mungkin dikeluarkan esok (hari ini)," katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, dalam kenyataannya semalam, menyebut seorang lagi berusia 49 tahun dengan masalah kesihatan hepar (hati) menjadi mangsa korban terbaru jangkitan wabak itu.

75 bayi merdeka di Selangor, KL dan Terengganu

KUALA LUMPUR: Seramai 67 bayi merdeka, 37 daripadanya lelaki dan 30 lagi perempuan dilahirkan di 11 hospital kerajaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor dari 12.01 tengah malam tadi sehingga 12 tengah hari tadi.

Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang mencatatkan jumlah kelahiran tertinggi dengan 13 bayi diikuti Hospital Selayang (12), Hospital Kuala Lumpur (11), Hospital Sungai Buloh (8), Hospital Ampang (6), Hospital Serdang (6), Hospital Banting (4), Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam (3) Hospital Kajang (3) dan seorang di Hospital Kuala Kubu Bharu.

Daripada jumlah itu empat kelahiran dicatatkan melalui pembedahan cesarean masing-masing satu di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh, Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Jemaah.

Hospital Ampang juga turut mencatat kelahiran seorang bayi lelaki membabitkan warga Myanmar.

Bayi pertama Selangor dilahirkan dengan berat 3.1 kg pada pukul 12.10 minit pagi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hospital Kuala Lumpur pula menyambut kelahiran bayi pertama mereka Muhammad Adam Iskandar Abdul Aziz seberat 2.46 kg pada 12.17 pagi.

Tiada kes kematian sama ada ibu mahupun bayi dilaporkan sehingga ini di semua 11 hospital kerajaan berkenaan.

Di Kuala Terengganu, lapan bayi merdeka dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini bermula dari jam 12.41 hingga 6 pagi ini.

Bayi pertama dilahirkan lelaki pukul 12.41 seberat 2.29 kilogram oleh seorang guru yang mengajar di Sabah, Nafisah Ismail, 32, secara normal.

"Kami gembira dengan kelahiran bayi kami yang pertama ini dengan nama Fawwaz Hasbullah," kata suami wanita berkenaan Hasbullah Abu Bakar, 34, ketika ditemui di wad bersalin hospital itu.

Beliau yang tinggal di Kampung Tebakang, Manir dekat sini, berharap apabila besar nanti anaknya menjadi seorang hafiz Al-Quran dan yang mentaati ajaran agama.

Sementara itu, jurucakap wad bersalin hospital itu berkata, selain lapan bayi yang dilahirkan itu sehingga jam 6 pagi, lebih ramai bayi merdeka dijangka akan dilahirkan hari ini. - Bernama

Petrol RON95 RM1.80 seliter, RON97 RM2.05 seliter esok

KUALA LUMPUR: Mulai esok, petrol baru RON 95 yang diperkenalkan bagi menggantikan petrol RON92 akan dijual pada harga RM1.80 seliter manakala petrol RON97 pula pada RM2.05 seliter.

Perkara ini diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada sidang media sebentar tadi.

Sabah&Sarawak: Pembinaan jalan elak penduduk berperahu semula

Usaha memajukan kawasan terpencil sebagai tarikan pelancong asing

PENSIANGAN: "Kami tidak sanggup lagi berperahu ke Salong sebab minyak mahal. Kami berterima kasih kepada pemaju yang bermurah hati membuka semula laluan balak untuk dijadikan jalan dari pekan Sepulot ke kampung kami.

"Paling akhir kami gunakan laluan balak ialah 1994. Selepas itu tak boleh digunakan lagi kerana syarikat pembalakan sudah habis mengeluarkan balak di sini, jadi tiada siapa mahu menyelenggara laluan itu dan terpaksalah kami berperahu."

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pensiangan, Bluroh Angayang, 45, tidak putus-putus mengucapkan kesyukuran ketika ditemui Berita Harian di kampung itu baru-baru ini, mengenai pembinaan jalan tidak berturap sepanjang 34 kilometer (km) dari Sepulot ke kampung berkenaan.

Beliau berkata, sejak 1994, kira-kira 100 penduduk kampung itu dan ratusan lagi penduduk Kampung Sinakuluan, Sosoko, Kuyoh, Sikait, Sabinait, Sumolombong, Kapiasau, Binanding, Pegalungan, Silungai, Buntong, Sigatal, Sikalabut dan Sebuayoh tidak mampu menggunakan laluan balak ke Sepulot.

Selain ditutupi pokok, laluan itu tidak mampu digunakan kerana kebanyakan tebingnya runtuh akibat hakisan manakala ketiadaan penyelenggaraan memburukkan keadaan.

Bluroh berkata, penduduk seolah-olah sudah jemu meminta kerajaan menyediakan jalan berkenaan bagi kemudahan mereka dan beberapa kampung berhampiran.

"Rayuan kami tidak diberi perhatian. Kami faham, tiada apa yang ada di kampung kami. Tiada sumber ekonomi yang menguntungkan. Bagaimana kami hendak memajukan kebun getah dan tanaman lain kalau tiada jalan untuk mengangkut hasil pertanian kami keluar?

"Dengan adanya jalan ini, kami berjanji akan berusaha lebih gigih memajukan kebun getah dan tanaman lain," katanya.

Berita Harian sebelum ini melaporkan usaha syarikat pemaju hartanah yang beribu pejabat di Kota Kinabalu, Helang Biru Bumi Sdn Bhd (Helang Biru) membina semula jalan dari Sepulot ke Kampung Pensiangan.

Ini kerana syarikat itu bakal memajukan industri pelancongan berasaskan keindahan alam semula jadi dan projek penternakan kambing serta lembu di kawasan kira-kira 200 hektar di Kampung Siatoh, dekat sini.

Pengarah Urusannya, Rugayah Ali, dilaporkan berkata, pembinaan jalan menelan kos tinggi itu bertujuan memajukan kawasan terpencil berkenaan sebagai tarikan pelancong domestik dan antarabangsa yang gemarkan keindahan alam semula jadi.

Penduduk Kampung Pensiangan, Siguntang Ngilo, 46, berkata penduduk kampung terhutang budi kepada syarikat itu kerana dapat menumpang jalan yang dibina untuk tujuan komersial Helang Biru.

"Bayangkan, setiap kali kami pergi balik pekan kecil Salong dengan menaiki perahu, kami terpaksa habiskan RM80 untuk membeli petrol. Dengan nilai wang sama kalau kami menggunakan kenderaan darat, kami sudah boleh sampai ke Keningau.

"Susah untuk kami membawa hasil pertanian menggunakan perahu. Kalau arus terlalu deras, kami tidak dapat keluar. Kalau musim kemarau, sungai menjadi terlalu cetek dan tidak boleh dilalui perahu," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pembinaan jalan berkenaan secara tidak langsung memberi galakan kepada penduduk untuk memajukan kebun masing-masing, selain memudahkan penduduk membawa pesakit ke klinik di pekan Nabawan atau hospital di Keningau berbanding terpaksa menggunakan perahu.

Sabah&Sarawak: Agensi kerajaan sukar kesan golongan miskin

Kekurangan staf punca ramai rakyat belum dapat bantuan

PENAMPANG: Masih ramai rakyat Sabah yang tergolong dalam kategori miskin dan kurang berkemampuan belum mendapat pembelaan daripada kerajaan berikutan ketidakmampuan agensi bertanggungjawab mengesan golongan itu secara menyeluruh.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok, berkata keadaan itu bagaimanapun bukan bermakna kerajaan tidak mengambil berat nasib golongan berkenaan atau meminggirkan mereka daripada senarai penerima bantuan.

Sebaliknya, beliau berkata masalah kekurangan kakitangan menyebabkan agensi terbabit sukar mengesan golongan miskin dan kurang berkemampuan, sekali gus menyebabkan ramai rakyat yang tergolong dalam kategori itu belum mendapat bantuan.

"Saya yakin masih ramai rakyat miskin dan kurang berkemampuan di negeri ini belum dikesan dan diberi bantuan sewajarnya disebabkan ketidakmampuan jabatan mengesan mereka di semua tempat.

"Sehubungan itu, pihaknya sudah melaksanakan pendekatan baru mengesan mereka dengan memperkenalkan Projek Cari di semua kawasan Parlimen menerusi bantuan wakil rakyat dengan harapan dapat menyenaraikan setiap rakyat miskin di kawasan berkenaan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata demikian pada program Hari Bertemu Pelanggan atau Projek Cari Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah Cawangan Penampang di Kampung Putaton, di sini, kelmarin.

Hadir sama Pembantu Menteri Kewangan negeri, Donald Peter Mojuntin; Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am negeri, Mohd Noor Wahab; Pegawai Kebajikan Penampang, Norhayati Abdul Rahman dan Ketua Kampung Putaton, Michael Kubot.

Dompok berkata, menerusi Projek Cari, kerajaan berharap dapat mengesan setiap rakyat miskin dan kurang berkemampuan serta menyenaraikan mereka sebagai penerima bantuan Jabatan Kebajikan.

"Kakitangan Jabatan Kebajikan akan turun padang di lokasi yang ditetapkan untuk menemuduga penduduk kampung dan menentukan sama ada mereka layak diberi bantuan atau sebaliknya.

"Dengan pendekatan ini, rakyat miskin dan kurang berkemampuan yang sebelum ini tercicir dapat disenaraikan dan diberikan bantuan," katanya.

Bagi Parlimen Penampang, beliau menyasarkan lebih 1,000 golongan miskin dan kurang berkemampuan dapat disenaraikan menerusi Projek Cari sepanjang tahun ini.

Jika sasaran itu tercapai, katanya, ia mencerminkan masih ramai rakyat miskin belum mendapat pembelaan.

"Penampang adalah kawasan pinggir bandar dan ramai penduduknya berpendapatan di bawah garis kemiskinan. Kita akan kaji kedudukan mereka bagi menentukan layak diberikan bantuan atau tidak," katanya.

Mengenai sama ada penduduk dari daerah lain yang menetap di Penampang boleh disenaraikan dalam Projek Cari, Dompok berkata, ia boleh dilakukan asalkan mereka warga negara Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, Jabatan Kebajikan akan menyemak kelayakan penerima bantuan menerusi projek itu setiap tahun bagi memastikan mereka menepati syarat ditetapkan atau sebaliknya.

"Mungkin tahun ini mereka didapati layak tetapi tahun depan tidak lagi layak jika didapati taraf ekonomi mereka sudah meningkat. Langkah ini bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak mendapat bantuan," katanya.

Hampir 200 ditahan dalam operasi ambang merdeka

KUALA LUMPUR: Kira-kira 200 orang termasuk 60 remaja wanita ditahan di sekitar Lembah Klang kerana melakukan gejala sosial tidak bermoral dalam "Ops Masih Ada yang Sayang" yang dijalankan sempena ambang kemerdekaan negara ke-52, awal pagi ini.

Operasi selama lima jam bermula kira-kira 1 pagi itu membabitkan beberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (Perkid) Selangor dan turut disertai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan pegawai-pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang.

Pengerusi Perkid Selangor, Masridzi Sat, berkata semua mereka dalam lingkungan usia 20-an itu ditahan kerana melakukan gejala sosial tidak bermoral seperti berpeleseran bersama pasangan masing-masing dan melepak di tempat awam.

"Kita amat prihatin masalah sosial di kalangan masyarakat yang semakin meningkat, sebab itu operasi ini diadakan agar mereka disedarkan ke jalan hidup berlandaskan agama Islam terutama cara menyambut sesuatu perayaan (kemerdekaan negara) bukan untuk keseronokan semata-mata dan tanpa matlamat hidup," katanya kepada Bernama di Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang untuk diberi kaunseling dan ceramah agama berkenaan pegangan agama yang betul seperti cara meraikan kemerdekaan negara mengikut acuan agama Islam.

Masridzi berkata, mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila sesi kaunseling berakhir selepas solat Subuh.

Operasi yang membabitkan 90 anggota itu dijalankan di beberapa lokasi secara serentak termasuk di Bukit Langat, Taman Bukit Permai dan Taman Tasik Pandan bertujuan mencegah kegiatan maksiat dan gejala sosial. - Bernama

Sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 penuh semangat 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Biarpun ringkas dan sederhana, impak sambutan ulang tahun ke-52 kemerdekaan negara peringkat nasional hari ini tidak kurang dan tetap bersemarak dengan semangat 1Malaysia apabila pelbagai lapisan masyarakat, tanpa mengira kaum dan keturunan bersama-sama meraikannya.

Bertemakan "1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan", perayaan Hari Kemerdekaan kali ini mencipta sejarahnya tersendiri apabila buat julung kali di dalam sejarah sambutannya diadakan di Dataran Parlimen yang menjadi simbol demokrasi negara.

Dataran Parlimen yang sering menjadi lokasi acara menyambut pembesar luar, hari ini diwarnai dengan persembahan peserta berpakaian warna warni serta anggota pasukan keselamatan yang segak dengan seragam masing-masing.

Perhimpunan perbarisan bermula sebaik sahaja keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, tepat jam 8 pagi.

Kira-kira 10 minit sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersama isteri, Puan Sri Norainee Abd Rahman, tiba di perkarangan Parlimen.

Ketibaan tetamu kehormat disambut lambaian dan sorakan kira-kira 10,000 kontinjen pelambai yang berbaris di sepanjang jalan kira-kira 1.38 kilometer, bermula dari Bulatan Bank Negara Malaysia (BNM) hingga ke perkarangan Dataran Parlimen.

Kontinjen pelambai itu terdiri daripada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)seramai 210 orang, kementerian dan agensi awam (300), 28 kontinjen badan-badan berkanun (300), kontinjen swasta (992), kontinjen pelatih institut perguruan seluruh Malaysia (3,500) dan kontinjen khalayak kelolaan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (5,000).

Sebaik tiba, Yang di-Pertuan Agong menerima tabik hormat sebelum lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja di bawah pimpinan Mejar Zailani Mohd Okhtat.

Pada masa sama, tujuh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat lintas hormat dengan membawa Jalur Gemilang, bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Darat, TUDM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)sambil melepaskan asap berwarna merah, biru dan kuning yang melambangkan warna bendera Malaysia.

Seri Paduka kemudian memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Mohd Radzi Othman.

Acara diteruskan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang serentak dengan nyanyian lagu Negaraku dan tembakan meriam 14 das sebelum bacaan ikrar Rukun Negara dilafazkan oleh tujuh warga pendidik diketuai Norazmi Baba yang mewakili kaum utama di Malaysia.

Bacaan ikrar turut diiringi 52 peserta yang juga warga pendidik, berpakaian pelbagai kaum sebagai simbolik kemerdekaan negara yang ke-52.

Turut sama melafazkan ikrar ialah 500 anggota kontinjen keselamatan dari pasukan Tentera Darat, TUDM, TLDM, PDRM dan APMM yang diketuai Leftenan Kolonel Hishamudin Jumat Abas Jumat.

Laungan "merdeka" sebanyak tujuh kali, diikuti laungan "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" kemudian bergema di seluruh kawasan dan disambut orang ramai yang tidak melepaskan peluang mengikuti upacara gilang-gemilang itu di kawasan luar Parlimen.

Sambutan kali ini turut diserikan dengan nyanyian koir daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) yang mendendangkan lagu patriotik "Malaysia Tanah Airku".

Sebagai persembahan penutup, nyanyian koir Suara Warisan (Koswa), TLDM, Lumut menyemarakkan lagi Jalur Gemilang dan 1Malaysia bagi mengiringi persembahan 200 peserta persembahan rakyat yang menampilkan pelbagai gerak tari budaya.

Sambutan yang berlangsung kira-kira 40 minit itu hanya memperlihatkan elemen penting seperti perbarisan dan persembahan rakyat tanpa perarakan besar-besaran dan pembabitan kontinjen kanak-kanak sekolah seperti tahun-tahun sebelum ini, berikutan kebimbangan penularan wabak influenza A(H1N1) dan bagi menghormati Ramadan. - Bernama

H1N1: Tiada kematian tetapi 99 kes baru ILI dilaporkan

KUALA LUMPUR: Tiada kemataian akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan sehingga jam 9 pagi tadi dan angka korban kekal kepada 72 mangsa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata sejumlah 99 pesakit baru dengan gejala sakit seakan selesema (ILI) dimasukkan ke hospital untuk rawatan, manakala 240 kes telah dibenar keluar.

"Ini menjadikan baki seramai 1,374 pesakit ILI sedang dirawat di 98 hospital termasuk empat hospital swasta di seluruh negara. Dari jumlah ini, hanya 286 pesakit (21%) yang disahkan positif H1N1," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, daripada 286 kes yang disahkan H1N1, 46 kes berada di unit rawatan rapi (ICU) di mana lapan kes adalah kemasukan baru, sementara empat lagi kes telah keluar dari ICU. Katanya, daripada 46 kes yang sedang dirawat di ICU, 32 (70%) mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (9), obesiti (9), kanak-kanak/bayi (6), post-natal/hamil (3), penyakit jantung (2), asthma (1) dan immuniti rendah (2).

Kekejaman Bintang Tiga




Bau hanyir darah, sungai jernih bertukar merah, mayat bergelimpangan

DITANGKAP dan disembelih hidup-hidup, darah menyembur keluar dari leher yang hampir putus, tubuh terangkat ke atas dan menggelepar menahan seksa sakratulmaut. Bunyi geruh menarik nafas akhir amat gerun dan memilukan. Tidak cukup dengan itu, walaupun batang tubuh sudah tidak bergerak dan basah bermandi darah, dagingnya ditakik pula sebelum dibakar dan dihumban ke dalam lubang sedalam paras paha.

Perbuatan kejam dan di luar peri kemanusiaan itu adalah gambaran kekejaman komunis yang bermaharajalela ketika era darurat dari 1948 sehingga 1960.

Bagi Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Shafie Bakri menyifatkannya sebagai tindakan membalas dendam Parti Komunis Malaya (PKM) yang juga dikenali Bintang Tiga terhadap individu yang disyaki menjadi tali barut tentera Jepun. Tentera Jepun menguasai negara ini untuk tempoh tiga tahun lapan bulan.

“Jepun menyerah kalah selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom pada 6 Ogos 1945. Sebaik mendapat khabar, komunis keluar daripada tempat persembunyian di hutan dan menunjukkan kekuatan dengan membunuh sesiapa saja yang dipercayai bersekongkol dengan Jepun,” katanya.

Gambaran kekejaman Bintang Tiga dijelaskan beliau pada ceramah program Bicara Tokoh Darurat sempena pameran Darurat-Rentetan Sejarah 1948-1960 anjuran Muzium Negara yang berlangsung dari 30 Jun hingga 30 Ogos lalu.



Shafie berkata, keadaan huru-hara di Malaya ketika itu menyebabkan hubungan antara kaum tegang biarpun keanggotaan PKM bukan di kalangan kaum Cina saja.

“Hubungan antara kaum ibarat paku berselirat. Mereka terlalu berhati-hati baik dalam pergaulan mahupun percakapan kerana takutkan musuh dalam selimut.

“Si penjual sayur yang berjaja setiap pagi menjadi pembelot pada malam hari apabila membawa PKM mengepung kediaman penduduk yang lancang mengkritik komunis,” katanya. Disebabkan tidak mahu ditimpa kesusahan, masyarakat ketika itu rela bergelap dan berkurung di rumah biarpun Maghrib belum menjelang.

Shafie berkata, ancaman PKM tidak dihadapi orang Melayu saja, bahkan ada kaum Cina terutama suku Tionghua selalu menerima ugutan, diganggu malah harta mereka dirampas menyebabkan mereka memilih mendiami kawasan pinggir hutan.


Perang Vietnam memburukkan keadaan kerana memberi ilham untuk menghasilkan jerangkap samar atau bobby trap kepada pengganas komunis. Pemberontakan komunis ketika ini di seluruh dunia melalui fasa kedua dengan melakukan serangan lebih agresif dan membunuh.

“Permatang (laluan) tentera dan polis dipasang jerangkap samar menyebabkan ramai anggota keselamatan terkorban, kudung kaki dan tangan. Pemilik ladang dan lombong dikelar, tanaman getah ditetak, manakala kereta api yang membawa hasil komoditi itu diserang, diterbalikkan dan dibakar. Hakikatnya, ini cara komunis melumpuhkan ekonomi negara,” katanya.

Namun, kata Shafie, kekejaman komunis meragut kesabaran rakyat, terutama orang Melayu apabila balai polis diserang, dibakar dan menagih korban bukan saja di kalangan anggota bertugas, bahkan anak isteri dibunuh tanpa belas kasihan.

Balai Polis Bukit Kepong, Kuala Krai, Simpang Pertang dan Pekeliling musnah dihujani peluru dan bom tangan membangkitkan kemarahan masyarakat,” katanya ketika mengenang semula keganasan dicetuskan anak buah Chin Peng itu.

Sehubungan itu, katanya, Chin Peng tidak patut diberi peluang kembali ke negara ini biarpun perancang utama dan tulang belakang PKM itu sudah lanjut usianya.

“Bagaimana kita boleh memaaf dan melupakan kekejaman Chin Peng ketika itu. Dia bukan saja pencetus huru-hara bahkan menyebabkan ramai pejuang negara kehilangan anggota. Betapa menyedihkan keadaan tanah air ketika itu hingga tanah berbau hanyir darah, sungai jernih bertukar merah, mayat bergelimpangan dan mereput sendiri. Jelas kelihatan hutang darah dibayar darah, jika masih ada usaha membawa pulang pengkhianat itu, kami anggota keselamatan tidak akan berdiam diri,” katanya penuh semangat.

Bekas Panglima Medan Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Zaini Mohd Saidi walaupun ketika darurat masih kecil dan berusia dua tahun, namun beliau mengerti kesengsaraan dan ketakutan yang ditanggung orang sekelilingnya.

“Saya membesar dalam kekalutan, hilang kebebasan bahkan lebih teruk, melabelkan suku kaum tertentu sebagai komunis. Keadaan ketika itu sangat menekan perasaan sehinggakan untuk pulang ke kampung saya di Lenggeng, Negeri Sembilan dari Kuala Lumpur harus melalui tidak kurang 10 sekatan jalan raya, perintah berkurung dikenakan selepas jam 6 petang, manakala permit diperlukan bagi beras dan gula mempunyai berat lebih sekati,” katanya.

Namun, paling dikesali beliau ialah kesan pemberontakan komunis yang mencipta sentimen benci di antara kaum, khususnya Melayu dan cina.

“Angka korban darurat dianggarkan mencecah 2,542 orang membabitkan semua kaum terutama Melayu dan Cina. Pantang silap sikit ketika itu, akan tercetus perkelahian kaum yang berakhir dengan kematian,” katanya.

PKM di bawah pimpinan Chin Peng membiak ke angka 10,000 anggota pada akhir 60an berbanding 400 anggota asal. Matlamat awal untuk memerangi kuasa Jepun sebaliknya melahirkan gerombolan gerila yang berniat jahat menimbulkan huru-hara.

“Generasi kini patut mengenang semula pahit getir perjuangan dan kesediaan anggota keselamatan berkorban nyawa demi negara. Azab dua tiga bulan berkampung di hutan tidak terungkap dengan kata-kata, namun itu sudah menjadi tugas kami untuk melindungi keselamatan rakyat,” katanya.

Fahami sejarah kemerdekaan

KEMERDEKAAN dikecapi hari ini bukan diperoleh secara mudah tetapi dibina dengan keringat, darah dan air mata.

Penghayatan kemerdekaan tidak terhad dengan mengibarkan bendera, menganjurkan perarakan warna-warni, konsert dan menyanyikan lagu ‘Negaraku’ semata-mata tetapi sewajarnya rakyat dilatih mengenang semula perjuangan generasi terdahulu membebaskan negara daripada penjajahan, selain memahami proses bagaimana akhirnya kemerdekaan menjadi milik negara.

Kependudukan Jepun yang bertunjangkan slogan ‘Asia untuk Asia’ berjaya merubah senario politik Tanah Melayu apabila British tidak lagi dianggap kuasa imperialisme kebal. Bertujuan mengembalikan maruah peribadi, namun diuar-uarkan atas nama membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman Jepun, British menjalinkan kerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 8 Disember 1940.

Namun, British silap perhitungan apabila PKM yang sepatutnya menyebelahi mereka, sebaliknya bermaharajalela mengisi kekosongan ditinggalkan Jepun yang kalut dengan kemelut pengeboman Hiroshima dan Nagasaki pada Ogos 1946.

Pengaruh fahaman komunis semakin meluas menjelang 1948. Malah, untuk merealisasikan wawasan penubuhan Republik Komunis Malaya, PKM menukarkan namanya kepada Malayan People Anti-British Army (MPABA) sekali gus menjadi platform melancarkan serangan lebih agresif untuk melumpuhkan British.

Tiga peringkat strategi dirangka komunis untuk mengambil alih Tanah Melayu bermula dengan menghasut kesatuan sekerja mengadakan mogok. Usaha ini gagal apabila British meluluskan Trespass Law (undang-undang pencerobohan) yang menyekat kesatuan memasuki ladang bagi tujuan berceramah dan menstruktur organisasi pekerja. Ordinan persatuan yang mewakili pekerja juga dipinda dan dikemaskini pada 12 Jun 1948 iaitu mewajibkan semua kesatuan sekerja mendaftar dengan pihak berkuasa.

Strategi kedua PKM ialah menguasai bandar kecil, seterusnya mendirikan markas PKM yang diisytiharkan British sebagai kawasan putih. Bagi memastikan dasar dan rancangan mereka berjalan lancar, Gerakan Rakyat (Min Yuen) berciri serampang dua mata ditubuhkan.

Gerakan Rakyat ini bertanggungjawab membekalkan makanan kepada ahli PKM yang melarikan diri ke dalam hutan selepas pengharaman parti itu, selain mengumpul maklumat berkaitan strategi kerajaan menghapuskan mereka.

Pemberontakan bersenjata terkandung dalam strategi terakhir. Melaluinya, anggota dilatih menguasai taktik perang gerila, selain menubuhkan unit kecil berfungsi menakutkan penduduk Tanah Melayu membabitkan pertumpahan darah warga British dan sekutunya.

Kekejaman demi kekejaman yang dilakukan memaksa British mengambil pendekatan drastik mengisytiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu pada 18 Jun 1948.

Meskipun darurat menyusahkan rakyat kerana mengekang pergerakan, mengorbankan banyak nyawa serta menyebabkan kerosakan harta benda, dari perspektif lain, insiden darurat sebenarnya mempercepatkan lagi proses memerdekakan Tanah Melayu apabila British bersetuju ia ditadbir anak tempatan.

Info

Kes keganasan komunis


  • Serang hendap di Kelian Intan - 10 September 1947

    Peristiwa berlaku pada jam 7.30 pagi membabitkan serangan pengganas ke atas sebuah lori dan dua bas yang membawa anggota polis. Tiga anggota polis dan enam orang awam terkorban, manakala dua mata-mata polis serta 12 orang awam cedera parah.

    Segerombolan pengganas komunis dikatakan melepaskan tembakan bertubi-tubi selama 10 minit, merampas harta penumpang dan mengacukan senapang kepada mereka.

  • Pembunuhan di Sungai Siput, Perak - 16 Jun 1948

    Tragedi ini mengorbankan tiga pengurus ladang berbangsa Eropah iaitu T.G Christian, A.E Walker dan J.M Allison. Pembunuhan ini menggemparkan penduduk tempatan, seterusnya penyebab kepada pengisytiharan Undang-undang Darurat di Perak.

    Ia adalah pengumuman darurat pertama sebelum ia diperluaskan di seluruh Tanah Melayu pada 18 Jun 1948. Pembunuhan ini disifatkan sebagai kemuncak keganasan komunis yang mula berleluasa sejak tamat Perang Dunia Kedua di negara ini.

  • Serangan ke atas kampung Jeram Choh, Johor - 18 Jun 1948

    Ia dilakukan kira-kira 20 pengganas komunis lengkap bersenjata. Kemuncak kejadian ialah serangan ke atas balai polis yang menyebabkan kerajaan mengalih langkah mengumumkan perintah darurat berkuat-kuasa serta-merta.

  • Tragedi lombong Batu Arang, Selangor - 12 Julai 1948

    Lombong ini ditawan komunis sebagai strategi melumpuhkan ekonomi negara. Ia bukan saja mengakibatkan operasi kilang terhenti, malah seluruh kilang dimusnahkan manakala lima pekerja berbangsa Cina terkorban.

  • Sabotaj ke atas kuari Sungai Gepai, Tapah, Perak - 19 Januari 1950

    Serangan membabitkan kira-kira 20 pengganas itu memusnahkan beberapa kenderaan dan peralatan kuari.

  • Serang hendap di Seberang Perai - 22 Januari 1950

    Serangan ini mengorbankan lapan anggota polis termasuk seorang sarjan Inggeris manakala enam anggota polis Melayu cedera parah.

  • Serangan di Kampung Simpang Tiga, Setiawan, Perak - 4 Februari 1950

    Kira-kira 80 pengganas komunis menyerang dan membakar kampung yang mengakibatkan 1,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

  • Peristiwa Bukit Kepong - 23 Februari 1950

    150 pengganas komunis yang diketuai Mat Indra menyerang balai polis pada jam 4.30 pagi. Tragedi memilukan ini mengorbankan 23 mangsa membabitkan 13 anggota polis, enam pengawal kampung, tiga wanita dan seorang kanak-kanak.

  • Serang hendap di Sungai Semur, Kelantan - 25 Mac 1950

    Pertempuran antara kira-kira 250 pengganas komunis dengan platun Kompeni D Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja berjumlah 25 orang. Serangan berlaku pada jam 10.30 pagi ketika platun berkenaan menyusuri sungai. Sejumlah 17 orang anggota tentera terbunuh dengan lapan cedera.

  • Pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Henry Gurney di Batu 56 1/2, Jalan Kuala Kubu Bharu, Bukit Fraser - 6 Oktober 1951

    Sir Henry, Pesuruhjaya Tinggi British pada 1948 hingga 1951 diberi tanggungjawab membanteras ancaman komunis di Tanah Melayu. Dia dan isteri ditembak mati ketika dalam perjalanan ke Bukit Fraser dari Kuala Lumpur untuk bercuti.

  • Serang hendap kereta api, Tampin, Negeri Sembilan - 14 November 1951

    Serangan ini mengorbankan empat orang awam, termasuk pemandu kereta api, K Vettivelu. Kejadian berlaku pada waktu malam ketika kereta api berkenaan berada kira-kira sebatu dari Tebong berhampiran Tampin.

    Sabotaj dilakukan dengan mengalihkan landasan mengakibatkan kereta api tersasar, manakala sebahagian gerabak terbabas serta tergelincir kira-kira 10 meter ke bawah landasan. Kereta api itu ditembak bertubi-tubi sekali gus mencederakan 20 penumpang. Antara mangsa terselamat, termasuk Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dan isteri serta dua putera baginda.

  • Pokok getah seluruh Tanah Melayu ditetak (1948 - 1951)

    Ia adalah tindak balas pengganas komunis terhadap pemilik ladang yang enggan bekerjasama dengan mereka. Perbuatan menetak pokok juga bertujuan melumpuhkan ekonomi yang ketika itu banyak bergantung kepada hasil pengeluaran getah.
  •