Followers

Tuesday, June 22, 2010

Piala Dunia: Mexico 0, Uruguay 1 (separuh masa pertama)


PENYERANG Uruguay, Luis Suarez (kiri), meledak gol pasukannya, dalam perlawanan Kumpulan A, menentang Mexico, di Stadium Royal Bafokeng, Rustenburg, malam tadi. - Foto AFP
PENYERANG Uruguay, Luis Suarez (kiri), meledak gol pasukannya, dalam perlawanan Kumpulan A, menentang Mexico, di Stadium Royal Bafokeng, Rustenburg, malam tadi. - Foto AFP


RUSTENBURG: Uruguay mendahului Mexico 1-0 pada separuh masa pertama perlawanan Kumpulan A, Piala Dunia 2010 di Stadium Royal Bafokeng.

Gol dijaringkan Luis Suarez pada minit ke-43.

Piala Dunia:Perancis 0 Afrika Selatan 2 (separuh pertama)

MANGAUNG: Tamat separuh masa pertama Perancis ketinggalan 0-2 kepada tuan rumah Afrika Selatan pada perlawanan terakhir Kumpulan A di Stadium Free State, sebentar tadi.
Gol pembukaan Afrika Selatan diperoleh menerusi tandukan Bungani Kumalo pada minit ke-20 selepas mendapat bola sepakan sudut.
Selang empat minit kemudian, Perancis menerima kejutan kedua apabila pemain tengahnya, Yoann Gourcuff diperintah keluar padang selepas dilayangkan kad merah.
Derita Perancis ditambah lagi menerusi jaringan kedua Afrika Selatan pada minit ke-36 menerusi penyerang Katlego Mphela.

Calon lulus kursus perguruan terus dilantik guru tetap: Muhyiddin

PUTRAJAYA: Calon yang telah lulus kursus perguruan akan terus dilantik sebagai guru tetap dan bukan lagi sebagai Guru Sandaran Terlatih, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu akan dilaksanakan dalam pengambilan yang akan datang, yang bukan sahaja akan menjimatkan kos dan masa, tetapi memberikan status perjawatan yang lebih baik kepada guru terlatih itu.
"Kita tidak perlu ada guru sandaran terlatih lagi dan kalau ada jawatan yang kita perlukan, penempatan boleh dibuat secara langsung ke mana-mana sekolah yang sesuai.
"Apa yang penting, kita mahukan guru yang cukup baik dan terpilih, diberikan jawatan yang tetap selepas proses tapisan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Perkhidmatan Pendidikan 2010 di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi; dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), Datuk Kusaini Hasbullah.

Terdahulu, i dalam ucapannya, Muhyiddin berkata dalam melaksanakan tindakan itu, perkongsian maklumat dari segi data pelatih antara Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan SPP dapat diperkemaskan.

Katanya, langkah itu bagi membolehkan proses pelantikan ke jawatan tetap itu dapat dilaksanakan dengan cekap, pantas dan berkesan.
"Buat masa ini, pemilihan calon untuk mengikuti kursus perguruan dikendalikan Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran dan Unit Pusat Universiti, Kementerian Pengajian Tinggi.

"Mereka yang telah lulus latihan kemudiannya akan dilantik sebagai guru oleh SPP," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan sedang melaksanakan lima syor yang dihasilkan oleh makmal khas yang ditubuhkan bagi membincang kaedah dan cara untuk meningkatkan kualiti guru.

"Lima syor itu adalah mengadakan kempen merekrut calon guru terbaik untuk mengikuti kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institusi Pengajian Tinggi Awam; memastikan guru menumpukan sepenuhnya kepada tugas mengajar dan bukannya tugas perkeranian.

"Selain itu, meningkatkan akauntabiliti IPG melalui pengenalan sistem penarafan berdasarkan tahap kecemerlangan masing-masing; merekrut guru berkualiti dalam bidang kritikal dan menambahbaik laluan kerjaya guru," katanya. - BERNAMA

Program Permata diambil alih dua kementerian mulai 2012: Rosmah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan hanya mengambil alih pelaksanaan Program Permata Negara mulai 2012 iaitu selepas dua akta berkaitan dipinda di Dewan Rakyat, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Rosmah yang juga Penaung Program Permata Negara berkata, mengikut perancangan awal, pengambilalihan itu dilaksanakan pada Mac tahun depan, tetapi pindaan kepada Akta Pelajaran 1996 dan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 memerlukan masa untuk diperhalusi.
"Kementerian Pelajaran akan mengambil alih program seperti pendidikan dan penjagaan kanak-kanak, namun pemantauan kekal oleh pihak Majlis dan jawatankuasa yang telah ditubuhkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pelaksanaan pemerkasaan program Permata Negara di kediamannya di sini, hari ini.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula akan mengambil alih pengendalian Taska.

Rosmah berkata, program Permata bagaimanapun tetap dipantau oleh Majlis Pelaksanaan Program Permata yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan Jawatankuasa Kerja Pemantauan Program Permata yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Katanya, perincian pelan pengambilalihan itu melibatkan aspek bidang kuasa agensi terlibat termasuk penyediaan tenaga pendidik Permata yang terlatih.

Beliau berkata, sebahagian Taska Kemas dan Taska Perpaduan telah mematuhi pendekatan kurikulum yang digunapakai oleh Permata Negara.
Mengenai rancangan memperkasakan Program Permata Rosmah berkata ia membabitkan pembinaan dan penaiktarafan 70 buah Taska Kemas, 27 buah Taska Perpaduan, lapan buah Taska Jabatan Ketua Menteri Sarawak dan 20 buah Taska Tempat Kerja/Komuniti.

Berhubung latihan tenaga pendidik Permata beliau berkata beberapa elemen baru ditambah dalam latihan itu seperti pemikiran kreatif dan kritis, pendidikan pelbagai budaya, pengenalan muzikal dan memupuk semangat cintakan negara.

Rosmah juga berkata, taska swasta yang berminat menggunapakai kurikulum Permata Negara boleh memohon lesen melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ataupun Kementerian Pelajaran untuk berbuat demikian. - BERNAMA

Perbelanjaan kerajaan ikut kemampuan dan keperluan: Muhyiddin

PUTRAJAYA: Perbelanjaan kerajaan untuk pembangunan sesuatu projek perlu dilihat daripada segi makro iaitu secara keseluruhan dan bukan secara satu persatu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap perbelanjaan itu adalah mengikut kemampuan, berdasarkan asas dan pertimbangan yang rasional, serta berdasarkan keperluan.
Katanya, setiap jabatan dan agensi yang bertanggungjawab juga harus mematuhi strategi yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang dijadikan panduan sebelum membuat sebarang perbelanjaan.
"Jadi, jika apa-apa perkara timbul, bila orang kata nak buat bangunan Parlimen baru, itu pandangan pihak tertentu, tetapi kita tak buat keputusan.

"Rakyat jangan tersalah faham hanya kerana ada pihak mengeluarkan pandangan, itu (dianggap) sudah jadi keputusan. Kerajaan sedar kita harus mengambil langkah yang wajar. Tunggu keputusan yang muktamad," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Perkhidmatan Pendidikan 2010 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pandangan pihak tertentu mengenai perbelanjaan yang dianggap membazir termasuk membina bangunan baru Parlimen di Putrajaya yang berkemungkinan menelan belanja sehingga RM800 juta.

Muhyiddin berkata, belum ada keputusan muktamad berhubung cadangan untuk membina bangunan Parlimen yang baru tetapi ada pihak yang sudah "memutarkan" cerita sehingga timbul tanggapan rakyat yang tidak tepat.
"Kita mahu supaya itu dielakkan, jadi bila sampai masa, kerajaan akan buat keputusan yang sesuai," katanya. - BERNAMA

Pemansuhan UPSR, PMR tidak jejas kemasukan pelajar MRSM

BANGI: Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), jika dilaksanakan, tidak akan menjejaskan kemasukan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata ini kerana pengambilan pelajar tingkatan empat ke MRSM sebelum ini membabitkan ujian khas manakala pengambilan bagi pelajar tingkatan satu juga akan menggunakan kaedah sama mulai tahun depan.
"(Ujian khas) ini akan terus digunapakai," katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas cadangan kerajaan untuk memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin berkata dua peperiksaan itu mungkin dimansuhkan kerana pembelajaran ketika ini lebih berorientasikan peperiksaan sehingga tujuan utama memberi pendidikan holistik tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

MRSM mengambil kira-kira 9,000 pelajar baru setiap tahun.

Terdahulu, Shafie melancarkan penjenamaan semula Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di Kampus KPTM Bandar Baru Bangi di sini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun, dan Pengerusi KPTM, Datuk Sohaimi Shahadan.

Mengulas mengenai penjenamaan semula KPTM yang juga institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Shafie berkata ia selaras dengan usaha kerajaan untuk melahirkan modal insan berkualiti di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).
Selain memperkenalkan logo baru, penjenamaan KPTM antara lain merangkumi pengenalan kursus baru yang mengikut kehendak pasaran selain memfokuskan kepada subjek keusahawanan. - BERNAMA

Malaysia akan putuskan tawaran tukar tanah dalam masa 3 bulan: PM

PUTRAJAYA: Malaysia akan memutuskan dalam masa tiga bulan cadangan pertukaran tanah oleh Singapura membabitkan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), kata Datuk Seri Najib Razak.

Bercakap pada sidang media selepas pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong, Perdana Menteri berkata kedua-dua negara bersetuju perkara itu dipertimbang dengan teliti.
"Malaysia akan pertimbang dan putuskan tawaran pertukaran tanah itu dalam masa tiga bulan," katanya.
Semasa lawatan Najib ke Singapura bulan lalu, kedua-dua pemimpin mengumumkan persetujuan untuk memindahkan stesen KTMB di Tanjong Pagar ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) menjelang 1 Julai 2011.

Malaysia akan juga menempatkan kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) kereta apinya di WTCP.

Tanah yang akan dikosongkan itu akan dimajukan oleh sebuah syarikat usaha sama Malaysia-Singapura dikenali M-S Pte Ltd yang akan ditubuhkan sebelum 31 Disember tahun ini.

Syarikat itu membabitkan Khazanah Nasional Berhad dari Malaysia yang akan memegang 60 peratus kepentingan dan Temasek Holdings Limited, cabang pelaburan kerajaan Singapura, yang akan memegang baki 40 peratus ekuiti dalam syarikat usaha sama itu.

UMNO tak halang sesiapa jadi ahli: Muhyiddin

PUTRAJAYA: UMNO tidak pernah menghalang atau menyekat sesiapa yang ingin menganggotainya, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata parti itu akan menerimanya dengan hati yang terbuka sesiapa saja, lebih-lebih lagi jika mereka berpendidikan tinggi, berilmu dan berkemahiran.
"Mungkin dengan penyertaan mereka itu, kita akan dapat memperkuatkan parti dan perjuangan kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Perkhidmatan Pendidikan 2010 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ura-ura mengenai seorang bekas mufti bersama 100 ulama berkelulusan tinggi yang dijangka menyertai UMNO Jumaat ini.

Mengenai keputusan UMNO Johor menolak sebarang pertaruhan dalam bidang sukan termasuk bola sepak, Muhyiddin berkata itu adalah pandangan UMNO negeri dan kepimpinan parti akan mengambil perhatian berhubung perkara seperti itu. - BERNAMA

Tempoh mansuh UPSR, PMR belum ditetapkan: Muhyiddi

PUTRAJAYA: Tiada penetapan tempoh masa berhubung keputusan sama ada untuk memansuhkan atau mengekalkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata kerajaan tidak perlu gopoh dalam membuat sebarang keputusan.
Katanya, beliau masih menunggu dan meneliti maklumat balas yang mula diterima daripada pelbagai peringkat masyarakat dan pihak yang berkepentingan berhubung perkara itu.
"Bila kita dah berpuas hati, kita akan maklumkan keputusannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Perkhidmatan Pendidikan 2010 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataannya sebelum ini yang mengajak pakar pendidikan dan masyarakat memberi respon tentang cadangan pemansuhan UPSR dan PMR.

Muhyiddin berkata, setakat hari ini, respon yang diterima adalah baik.

"Ada yang bersetuju kedua-dua peperiksaan itu dihapuskan, ada yang mahu tinggalkan satu peperiksaan sahaja.
"Apa-apa pun, kita akan menunggu selepas kita berpuas hati apabila semua pihak dapat menyuarakan pandangan," katanya.

Muhyiddin berkata maklumat yang diterima akan dikumpul dan perbincangan akan dilakukan di peringkat kementerian, yang membabitkan pihak yang berkepentingan. - BERNAMA

Tokoh guru sokong mansuh UPSR, PMR

KOTA BHARU: Cadangan kerajaan untuk memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mendapat sokongan Tokoh Guru 2010 peringkat kebangsaan, Awang Mohmad.
"Saya amat mengalu-alukan dan menyambut baik cadangan Kementerian Pelajaran demi masa depan pendidik dan pelajar di seluruh negara," katanya di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini berkata kementerian mungkin memansuhkan dua peperiksaan itu kerana pembelajaran ketika ini lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.
Awang berkata, langkah kerajaan itu wajar untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

"Lagipun kedua-dua peperiksaan itu menjadikan keputusan peperiksaan sebagai pengukur nilai dan tidak memberi gambaran sebenar prestasi seseorang pelajar secara menyeluruh," katanya. - BERNAMA

Zahid selar Anwar manipulasi isu keselamatan JI

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memanipulasikan soal keselamatan dengan mendakwa kononnya kerajaan sengaja mempolitikkan isu ancaman Jemaah Islamiah (JI).
Katanya sebagai bekas timbalan perdana menteri, Anwar seharusnya sedia maklum mengenai ancaman kumpulan berkenaan kerana ia juga sudah menular sejak beliau memegang jawatan itu.
"Bila berada di pihak pembangkang sekarang, jangan manipulasikan isu ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas dakwaan Anwar kononnya isu JI sengaja ditimbulkan oleh kerajaan untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu lain yang timbul ketika ini.
Pada 14 Jun lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata 10 warga asing ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan kumpulan JI sejak awal tahun ini. - BERNAMA

Hasil kajian angkasawan dipapar di laman web MOSTI, ANGKASA

KUALA LUMPUR: Kajian saintifik mengenai sains mikrograviti yang dilaksanakan dalam Program Angkasawan Negara Pertama akan dipaparkan pada laman web Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) bagi membolehkan orang ramai mengetahui hasilnya.
Sebelum ini, hasil kajian itu hanya dibentangkan kepada saintis tempatan dan antarabangsa pada Bengkel Sains Mikrograviti anjuran Angkasa di Universiti Malaysia Sabah tahun lalu dan di Putrajaya pada 2008.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Ongkili, berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Idris berkata, sehingga kini, hasil kajian itu tidak dapat dilihat di mana-mana laman web sehingga menimbulkan tanda tanya orang awam.

Ongkili berkata, bahawa pada dasarnya, kerajaan juga bersetuju untuk meneruskan Program Angkasawan Negara.

"Penghantaran angkasawan negara ke misi angkasa lepas, sama ada angkasawan kedua mahupun misi lain pada masa akan datang, akan ditentukan keperluannya oleh kerajaan dari semasa ke semasa," katanya.

Untuk memastikan kesinambungan program itu, beliau berkata aktiviti berkaitan program kesedaran awam seperti ceramah oleh angkasawan negara di sekolah dan universiti selain penerbitan buku dan sambutan minggu angkasawan diteruskan.
"Pada masa sama, penyelidikan bidang mikrograviti akan terus dipergiatkan selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan pembangunan keupayaan negara dalam bidang sains dan teknologi, khususnya berkaitan sains angkasa, akan berkesan," katanya. - BERNAMA

Konsensus Bebas tidak setuju UPSR, PMR dimansuh

KUALA LUMPUR: Konsensus Bebas hari ini tidak bersetuju dengan cadangan supaya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan.
Bercakap kepada pemberita di bangunan Parlimen, Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri, yang mengetuai sidang media bagi konsensus itu berkata peperiksaan awam UPSR adalah sebagai kayu pengukur tahap pencapaian persekolahan bagi Tahun Enam manakala PMR adalah bagi tahun kesembilan persekolahan.
"Lebih daripada itu, peperiksaan awam berkenaan adalah kayu pengukur untuk keberkesanan pembelajaran antara daerah dan negeri serta antara latar belakang sosio ekonomi sekolah.
"Rasional bahawa peperiksaan UPSR dan PMR mendorong kepada sistem pendidikan yang menjuruskan kepada peperiksaan tidak boleh dinafikan tetapi pemansuhan peperiksaan itu bukanlah penyelesaian terbaik dan hanya sistem pendidikan yang memberi penekanan seimbang antara pencapaian akademi dan aktiviti kokurikulum yang dapat membentuk ke arah satu sistem pendidikan yang holistik," katanya.

Beliau berkata, kaedah latihan perguruan dan silibus pembelajaran perlu dikaji semula bagi membentuk sistem pendidikan yang holistik.

Selain itu, Mohsin Fadzli berkata Konsensus Bebas berpendapat sistem pendidikan di negara ini seolah bergantung kepada citarasa Menteri.

"Dasar pendidikan berubah mengikut perubahan penjawat portfolio Menteri Pelajaran. Oleh itu, konsensus bebas menyarankan kepada kerajaan bahawa satu dasar pendidikan yang berjangka panjang, konsisten dan berkesinambungan perlu digubal," katanya.
Sidang media itu turut dihadiri Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim; Wee Choo Keong (Wangsa Maju), Zulkifli Noordin (Kulim Bandar Bharu) dan Tan Tee Beng (Nibong Tebal).

Konsensus Bebas ditubuh oleh lima wakil rakyat itu yang dahulunya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, dalam satu lagi sidang media berkata memansuhkan peperiksaan tidak akan mengubah kualiti pendidikan sekiranya tiada perubahan terhadap sistem pembelajaran dan pengajaran yang ada pada masa ini.

"Bagaimanapun, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kerana turut menyatakan bahawa kementerian mahu mendapat maklum balas daripada orang ramai bagi membantu memperbaiki sistem peperiksaan awam, sebelum memutuskan perkara itu," katanya. - BERNAMA

Israel beri amaran tahan kapal asing ke Gaza

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak memperbaharui amaran negara itu bahawa pihak keselamatannya akan mengambil tindakan terhadap kapal bantuan kemanusiaan yang mahu memasuki Gaza dari Lebenon.
“Mengenai kehadiran kapal bantuan itu, kami mendengarnya menerusi media bahawa ada pertubuhan tertentu yang disokong oleh badan militan mahu mencuba menghantar kapal ke Gaza," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon. “Perlu saya beritahu semua pihak bahawa kami fikir ia tindakan yang tidak bertanggungjawab," katanya. - AFP

Merpati lubuk kuman berbahaya: Kajian

LONDON: Ahli sains yang mengkaji merpati mendapati burung yang mendominasi dataran di bandaraya seluruh dunia membawa dua kuman penyebab penyakit, sekali gus menjadikan burung itu ancaman kepada kesihatan awam.
Penemuan kajian kumpulan ahli sains di Sepanyol itu menunjukkan walaupun bakteria berkenaan berbahaya kepada manusia, ia tidak mendatangkan mudarat kepada merpati.
Sehubungan itu, merpati yang sering digelar "tikus bersayap" oleh mereka yang mengesyaki burung berkenaan menyebarkan penyakit, boleh menjadi lubuk kuman berbahaya kepada manusia.
“Haiwan yang hidup berhampiran manusia boleh menjadi lubuk patogen berbahaya kepada manusia. Justeru, burung ini boleh menjadi risiko kesihatan kepada manusia," kata Fernando Esperon daripada Pusat Penyelidikan Kesihatan Haiwan di Madrid yang mengetuai kajian itu.

Dalam kajian yang disiarkan jurnal kesihatan Acta Veterinaria Scandinavica, Esperon dan rakan setugas menganalisis 118 merpati yang ditangkap sekitar Madrid.

Mereka menemui kuman dikenali sebagai Chlamydophila psittaci dalam 52.6 peratus merpati yang ditangkap dan Campylobacter jejuni dalam 69.1 peratus merpati berkenaan.

Jangkitan psittacosis pada manusia sering bermula dengan simptom seperti selesema dan boleh melarat menjadi pneumonia yang mengancam nyawa. Kuman spesis campylobacter pula adalah punca utama cirit birit teruk. - Reuters

Piala Dunia: Sepanyol 2, Honduras 0

PEMAIN tengah Sepanyol, Xavi (jersi 8) melompat melepasi pemain Honduras, Osman Chavez (2) pada perlawanan Kumpulan H, Piala Dunia 2010 FIFA, Sepanyol menentang Honduras di Stadium Ellis Park, Johannesburg, awal pagi tadi. - Foto AFP
PEMAIN tengah Sepanyol, Xavi (jersi 8) melompat melepasi pemain Honduras, Osman Chavez (2) pada perlawanan Kumpulan H, Piala Dunia 2010 FIFA, Sepanyol menentang Honduras di Stadium Ellis Park, Johannesburg, awal pagi tadi. - Foto AFP
JOHANNESBURG: Sepanyol menewaskan Honduras 2-0 dalam perlawanan Kumpulan H, Piala Dunia 2010 di Stadium Ellis Park sebentar tadi.

Kedua-dua gol Sepanyol dijaringkan David Villa masing-masing pada minit ke-17 dan ke-51.
Villa terlepas peluang keemasan untuk melakukan hatrik apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti 10 minit kemudian.

Piala Dunia: Chile 1 Switzerland 0

PORT ELIZABETH: Perlawanan kumpulan H menyaksikan Chile menang 1-0 ke atas Switzerland di Stadium Nelson Mandela Bay di sini, sebentar tadi.

Gol Chile dijaringkan M Gonzalez pada minit ke-75 selepas menanduk masuk hantaran lintang rakan sepasukannya.
Sementara itu, pemain Switzerland, Behrami dilayangkan kad merah pada minit ke-31 selepas menyiku pemain Chile.