Followers

Wednesday, October 6, 2010

EU-Malaysia akan mulakan rundingan FTA Disember

BRUSSELS: Malaysia dan Suruhanjaya Eropah melancarkan rundingan untuk Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (EU)(MUEFTA) dan Perjanjian Kerjasama dan Persahabatan (PCA) di sini pada Selasa, yang menandakan kerjasama baharu antara kedua-dua pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata rundingan itu akan dimulakan pada Disember ini, dan menyuarakan harapan supaya ia diselesaikan dalam tempoh 18 bulan atau tidak lewat dari dua tahun.
"Mandat saya kepada mereka ialah supaya kreatif dalam mencari penyelesaian dan dapat memuktamadkannya dalam tempoh yang ditetapkan," katanya pada persidangan media bersama dengan Presiden Suruhanjaya Eropah, Jose Manuel Barroso di sini.
Najib yang sebelum itu bermesyuarat dengan Barroso, berkata beliau yakin kedua-dua perjanjian itu akan meletakkan hubungan Malaysia-EU "pada lonjakan yang tepat."

Perdana Menteri berkata Malaysia berpandangan bahawa EU adalah rakan yang bermakna.

Barroso pula berkata FTA akan memberi rangsangan sebenar untuk perdagangan antara EU dan Malaysia dan menyuarakan harapan supaya para pegawai kedua-dua pihak dapat mencapai keputusan konkrit.

EU menyumbang 11.2 peratus dagangan global Malaysia dan 10.8 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.
Pelaburan langsung asing (FDI) yang direalisasikan dari EU ke Malaysia sehingga 31 Dis tahun lepas bernilai US$13.6 bilion, dengan sebahagian besarnya dalam sektor pekilangan.

Dalam kumpulan serantau, EU merupakan sumber terbesar FDI Malaysia.

PCA dijangka memperkukun lagi kerjasama antara Malaysia dan EU dalam bdiang seperti perhubungan politik, perdagangan dan pelaburan, sains dan teknologi, kesihatan, tenaga, pengangkutan, pertanian, perbankan, maritim dan bidang lain menerusi sesi dialog.

MUEFTA dijangka meningkatkan akses peluang pasaran untuk perdagangan barangan dan perkhidmatan, meliberalisasikan regim pelaburan di Malaysia dan EU selain menyediakan kerjasama ekonomi. - BERNAMA

Najib selamat pulang ke tanah air dari Brussels

SEPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selamat pulang ke tanah air hari ini, selepas mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) Ke-8 di Brussels, Belgium selama dua hari bermula Isnin lalu.

Pesawat khas yang membawa beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, kira-kira jam 6.20 petang.
Penyertaan Malaysia di Sidang Kemuncak ASEM ke-8 itu dilihat memberi peluang di mana pandangan Malaysia dapat disuarakan serta pendirian negara terpelihara terutamanya bagi isu-isu antarabangsa.
Ia juga dapat meningkatkan peranan dan komitmen Malaysia yang berterusan terhadap ASEM secara keseluruhan.

Dengan tema "Kualiti Hidup, Pencapaian Kesejahteraan yang Besar dan Lebih Bermartabat untuk Semua Rakyat", atau secara ringkasnya "Kualiti Hidup", sidang kemuncak itu membahaskan pelbagai isu yang menjadi perhatian bersama masyarakat Asia dan Eropah.

Sepanjang berada di sana, Najib mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawat dari Asia dan Eropah, membincangkan pelbagai isu yang menjadi perhatian bersama, selain menyampaikan ucapannya semasa perbincangan topik "Urus Tadbir Kewangan dan Ekonomi".

Beliau juga menyertai pemimpin ASEM dalam Forum Perniagaan Asia-Eropah yang terdiri daripada ahli perniagaan dan tokoh industri ekonomi serta kewangan dari Asia dan Eropah.
Selasa, Malaysia dan Suruhanjaya Eropah (EC) turut melancarkan rundingan untuk Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (EU)(MUEFTA) dan Perjanjian Kerjasama dan Persahabatan (PCA), menandakan kerjasama baru antara kedua-dua pihak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, rundingan itu akan dimulakan pada Disember ini, dan menyuarakan harapan supaya ia diselesaikan dalam tempoh 18 bulan atau tidak lewat dari dua tahun. - BERNAMA

Hentikan spekulasi calon BN di Galas: Mustapa

PUTRAJAYA: Ketua Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed hari ini meminta semua pihak menghentikan spekulasi mengenai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Gua Musang, pada 4 November depan.

F1: Korea Selatan tingkatkan kerja pembinaan litar sebelum pemeriksaan

SEOUL: Litar Formula 1 (F1) pertama Korea Selatan akan siap minggu ini, sebelum pemeriksaan terakhir badan pengendali sukan permotoran itu, kata pihak penganjur, hari ini.
Jurutera Eropah dan Korea Selatan sudah menjalankan kerja-kerja terakhir pada permukaan litar yang dibina Korea Auto Valley Operation (KAVO), di Yeongam 320 kilometer selatan Seoul.
“Kerja-kerja terakhir membabit permukaan lapisan litar dijangka siap menjelang Jumaat,” kata jurucakap KAVO, Kim Jae-Ho
Prasarana lain seperti tempat menonton mudah alih, kawasan tempat letak kereta dan laluan pejalan kaki masih belum boleh digunakan apabila anggota pemeriksa daripada Federation Internationale de l’Automobile (FIA) membuat lawatan ke litar itu pada 11 Oktober ini. - AFP

AS masukkan Malaysia dalam Rundingan Dagangan Antara-Pasifik

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Barack Obama setuju untuk memasukkan Malaysia dalam rundingan perdagangan dalam membentuk rakan kerjasama ekonomi negara itu di rantau Asia-Pasifik.

Wakil Perdagangan Amerika, Ron Kirk memberitahu Malaysia dimasukkan dalam kerjasama rundingan itu menerusi satu surat yang diedarkan kepada pemimpin Senat dan Parlimen negara itu.
“Bagi pihak presiden, ia ingim mengumumkan kepada Kongres bahawa kami mahu memasukkan Malaysia dalam rundingan yang berjalan membabitkan Perjanjian Kerjasama Antara Pasifik (TPP)," kata Kirk dalam suratnya kepada Senator Daniel Inouye dan Speaker Parlimen, Nancy Pelosi.
Pentadbiran Amerika pada Disember tahun lalu memberitahu Kongres bahawa negara itu akan memasuki rundingan TPP berikutan perjanjian itu 'memberi banyak manfaat kepada peningkatan ekonomi Amerika' selepas Asia-Pasifik terbukti sebagai rantau yang berkembang pantas dari segi ekonomi.

“Pembabitkan Malaysia dalam rundingan TPP ini akan menambahkan lagi kejayaan dan makna lebih meluas kepada bentuk kerjasama ekonomi ini," katanya.

Wakil Perdagangan Amerika juga memberitahu, Malaysia kini bergerak lebih pantas selepas melakukan reformasi ekonomi domestik dan Amerika mempunyai beberapa isu yang perlu ditangani membabitkan perdagangan dua hala. - AFP

Pemimpin Asia-Eropah desak bebaskan tahanan politik Myanmar

BRUSSELS: Pemimpin Asia dan Eropah mahu pemerintah Junta Myanmar membebaskan tahanan politik bagi memastikan pilihan raya negara itu pada bulan depan dapat dilakukan dengan bebas dan adil.

Desakan itu dikeluarkan pada hari terakhir Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) membabitkan komitmen 46 negara Asia dan Eropah itu, lewat malam tadi.
Pemimpin ASEM mahu rejim tentera di Myanmar itu mengambil langkah perlu untuk memastikan pilihan raya negara itu dapat berjalan dengan bebas, adil dan telus.
Sidang Kemuncak Asem turut dihadiri Menteri Luar Myanmar, Nyan Win.


Amnesty International berkata, kira-kira 2,200 tahanan politik berada di penjara di seluruh Myanmar ketika ini.

Myanmar sedang bersiap untuk melaksanakan pilihan raya pada 7 November depan dengan kritikan dilempar ke atas pemerintah Junta berikutan penahanan di rumah ketua pembangkang, Aung San Suu Kyi.
Minggu lalu, pemerintah Junta mengumumkan Suu Kyi hanya akan dibebaskan selepas pilihan raya itu selesai. - AFP

AS kutuk serangan ke atas masjid di Tebing Barat

WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika hari ini mengutuk keras perbuatan membakar sebuah masjid Palestin di Tebing Barat.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan ini dan mahu dalang disebalik perbuatan ini dibawa ke muka pengadilan," kata jurucakap jabatan itu,
Philip Crowley. Beliau berkata, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak “juga mengutuk serangan dan dan mahu siasatan dijalankan."

Penyerang dilaporkan menyembur cat dan membakar masjid yang terletak di selatan Tebing Barat itu, Isnin lalu, dipercayai perbuatan penduduk Israel di penempatan itu. - AFP