Followers

Tuesday, February 9, 2010

Malaysia perlu transformasi ekonomi utama

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu melaksanakan transformasi utama dalam ekonomi, walaupun ia membabitkan kos jangka pendek atau menghadapi gangguan awal, bagi mencapai status negara maju pada 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata Malaysia memerlukan transformasi itu kerana negara tidak mampu tersekat di tengah-tengah, sebagai negara berpendapatan sederhana, sekalipun negara berpendapatan pertengahan tinggi.

"Bagi memperoleh status negara maju, model ekonomi kita perlu beralih ke arah menjadi negara berintensifkan pengetahuan dan dipacu inovasi," katanya pada hari kedua Persidangan Ekonomi 1Malaysia di sini hari ini

Persidangan itu dianjurkan oleh Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM).

Nor Mohamed menjelaskan transformasi ekonomi membabitkan perubahan yang ketara.

Beliau berkata, usaha untuk menyesuaikan model ekonomi negara memerlukan pelaburan, yang mungkin tidak mendapat hasil serta-merta, namun memberi pulangan yang baik dalam jangka panjang.

"Dalam melaksanakan transformasi ekonomi, kita memerlukan komitmen untuk menjayakannya di peringkat awal dan terus kekal untuk kemajuan jangka panjang," katanya. - Bernama

Dr Mahathir senang kepemimpinan Najib

KULIM: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau gembira dengan kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak kerana mempraktikkan ciri-ciri pentadbiran yang memenuhi kehendak serta kepentingan rakyat dan negara.

"Saya telah beberapa kali menemui Najib sejak beliau mengambil alih kepimpinan negara dan merasa senang dengan cara beliau mentadbir sehingga kini," katanya ketika berucap pada program Mesra Rakyat anjuran bersama Umno Bahagian Padang Serai dan Yayasan Pembangunan Insan Pulau Pinang di sini malam tadi.

Beliau berharap Najib akan meneruskan tradisi bekerja dan berjasa kepada rakyat.

Dr Mahathir juga berkata beliau yakin krisis dalaman melibatkan beberapa parti komponen Barisan Nasional akan selesai sebelum pilihan raya umum ke-13 nanti.

Katanya pemimpin parti berkenaan sedar bahawa penyelesaian segera pergeseran dalaman akan menjamin masa depan BN kembali cerah untuk menang pilihan raya akan datang dengan majoriti lebih baik.

Dr Mahathir berkata pemimpin yang bertelagah sedar bahawa mereka tidak ada pilihan kecuali untuk berbaik-baik semula.

Katanya rakyat Malaysia harus bersyukur kerana pembangunan dalam pelbagai bidang sejak negara Merdeka hampir 53 tahun lalu banyak mengatasi negara-negara lain di dunia yang merdeka dalam tempoh sama. - Bernama

Gempa bumi 5.7 gegar selatan Mexico

MEXICO CITY: Gempa bumi berukuran 5.7 pada skala Richter menggegarkan selatan Mexico berhampiran pantai Oaxaca.

Pusat Maklumat Gempa Bumi Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS) menyatakan gempa bumi itu berpusat di 55 kilometer ke utara bandar perikanan Puerto Angel.

Ia berlaku pada Isnin 6.47 malam waktu tempatan dan dirasai di Mexico City yang terletak 455 kilometer dari situ.

Bangunan di bandaraya itu juga bergoyang.

Tiada laporan segera berhubung kerosakan atau kecederaan. - AP.

Gempa kuat pada magnitud 6.3 gegar Taiwan, Jepun

TAIPEI: Gempa bumi kuat pada magnitud 6.3, menggegarkan dasar laut Taiwan dan Jepun, hari ini, kata pakar seismologi.

Katanya, setakat ini tiada laporan mangsa terbunuh dalam kejadian itu.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik berpangkalan di Hawaii dan perkhidmatan seismologi Taiwan tidak mengeluarkan amaran tsunami.

Bagaimanapun, agensi cuaca Jepun mengeluarkan amaran tsunami kecil.

Jabatan Kajiselidik Amerika Syarikat (USGS), berkata gempa yang melanda jam 3.10 petang (waktu Taiwan) pada kedalaman 16.5km di bawah dasar laut, berlaku di pulau Ishigaki, Jepun dan 225km tenggara utara Taiwan. - AFP

Gempa bumi kuat di barat daya kepulauan Jepun

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi berukuran 6.2 skala Richter berlaku di barat daya kepulauan Ryukyu, Jepun, 275km dari tenggara Taipei, Taiwan dan 1,987km dari timur laut Kudat, Sabah pada jam 2.10 petang ini.

Bagaimanapun, menurut kenyataan Jabatan Metereologi Malaysia hari ini, gempa bumi itu tidak menyebabkan ancaman tsunami. - Bernama