Followers

Wednesday, March 3, 2010

Mufti perjelas isu murtad pembunuh zuriat

KUALA LUMPUR: Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad, hari ini menjelaskan bahawa pelaku yang membuang dan membunuh bayi mereka hanya akan terkeluar daripada Islam jika mereka beriktikad bahawa ia adalah halal.

Beliau berkata, iktikad bermaksud dengan yakin beranggapan bahawa perbuatan haram yang dilakukan itu adalah halal dan secara tidak langsung mereka telah murtad atau terkeluar daripada Islam.

"Jika ia telah disepakati oleh ulama dan diketahui umum bahawa perbuatan membunuh itu haram tetapi pelakunya dengan yakin beranggapan ia adalah halal, ia boleh membawa seseorang itu kepada murtad," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata jika pesalah yang melakukan pembunuhan tetapi tidak beriktikad sedemikian maka mereka menanggung dosa besar.

Semalam, Hassan menjelaskan perbuatan membunuh terutama zuriat sendiri oleh mereka yang siuman dan bukan cacat akal amat ditegah oleh agama Islam dan diketahui ia adalah dosa besar hanya disebabkan oleh gagal mengawal emosi.

Beliau turut menasihati golongan muda supaya mendalami ilmu dan berpegang kepada ajaran agama Islam supaya tidak terus hanyut dengan nafsu muda. - Bernama

Jadikan al-Quran sumber ilmu, intelektual: PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak meminta umat Islam menjadikan al-Quran sebagai sumber ilmu dan intelektual dalam kehidupan di samping membaca dan menghafaz kitab suci itu.

Perdana Menteri berkata, al-Quran mengandungi mutiara pengetahuan amat berharga untuk manusia, manakala membaca dan menghafaz ayat suci adalah sesuatu yang afdal kerana diberikan pahala oleh Allah.

Beliau berkata, ilmuan Islam terdahulu menjadikan al-Quran sebagai sumber berfikir dan mencetuskan anjakan perubahan dalam kehidupan bagi menyelesaikan kemaslahatan ummah.

"Al-Quran juga membimbing kita bagaimana memahami definisi kemajuan dan modenisasi serta pedoman kepada kita (mengenai) pengertian sains dan teknologi," katanya pada majlis penyampaian imbuhan khas kepada johan qari dan qariah Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa, di sini hari ini.


Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Seramai sembilan qari dan 11 qariah menerima imbuhan khas masing-masing RM2,000, manakala dua qariah tidak hadir. Najib menyerahkan imbuhan itu kepada qari manakala Rosmah kepada qariah.

Pada 5 Februari lalu, Najib mengumumkan pembayaran imbuhan khas kepada johan qari dan qariah tilawah al-Quran peringkat antarabangsa secara tetap seumur hidup sebanyak RM2,000 sebulan berkuat kuasa Oktober lalu.

Beliau berkata tradisi membudayakan al-Quran di kalangan masyarakat Islam akan menjadikan ilmu Islam berkembang dan menunjangi cabang ilmu serta kemajuan.

"Ia akan membuahkan ilmu tentang akidah, ibadat, akhlak, syariah dan fekah berserta akar kekarnya yang mampu memayungi peribadi manusia yang unggul umpama pohon rendang tempat manusia menumpang teduh," katanya.

Najib berkata, imbuhan khas itu menunjukkan keprihatinan tinggi dan komitmen kerajaan dalam mengiktiraf dan menghargai sumbangan penggiat dan pendidik al-Quran, sekali gus akan menggalakkan masyarakat Islam membudayakan kitab suci itu menerusi membaca, mempelajari dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian.

Alasan Mohsin keluar parti tidak kukuh: Nizar

IPOH: Kepemimpinan Pakatan Rakyat Perak berpendapat alasan yang diberikan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri, untuk keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai tidak kukuh dan cuba menyembunyikan fakta sebenar.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata alasan bahawa rungutan mengenai penggunaan kalimah Allah kepada saluran dalaman parti yang tidak diendahkan

oleh kepemimpinan PKR tidak harus dijadikan sebab untuk Mohsin keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.

"Jika beliau berpendapat kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam, isu ini perlu dibincangkan semula kerana ada nas yang menunjukkan Allah boleh digunakan oleh bukan Islam," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Selain isu kalimah Allah, Mohsin juga mengatakan beliau bosan dengan Pakatan Rakyat di Perak yang bertindak seperti merendah-rendahkan institusi kehakiman dan Raja-raja Melayu.

Sementara itu, Pengerusi DAP Perak yang juga Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, berkata pemimpin Pakatan Rakyat hanya menyatakan pendapat masing-masing berikutan beberapa keputusan mahkamah yang tidak mengikut duluan.

"Kami tidak pernah menghina institusi beraja kerana hak dan kuasa Raja-raja Melayu sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Pakatan Rakyat bersetuju dengan institusi kesultanan yang kukuh.

"Mohsin sepatutnya berbincang dan membuat keputusan secara bersama, bukan bertindak keluar parti selepas pendapat peribadinya tidak dipenuhi," katanya.

Ahli Parlimen Taiping yang juga Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming, pula berkata Mohsin sebenarnya sudah dinilai oleh kepemimpinan PKR yang menunjukkan beliau tidak berkhidmat secara berkesan sebagai wakil rakyat.

Katanya, Mohsin sedar beliau akan digugurkan daripada dicalonkan semula dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 dan bertindak keluar parti.

"Pakatan Rakyat bersyukur Ahli Parlimen 'opportunist' seperti ini keluar sekarang kerana Pakatan Rakyat akan bersih dan menjadi lebih kukuh selepas ini.

"DAP masih menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen dan bakal Perdana Menteri," katanya.

Manila, MILF sambung rundingan damai di Malaysia

KUALA LUMPUR: Pengerusi Panel Rundingan Damai Kerajaan Filipina, Rafael Seguis, dijadual tiba di sini malam ini untuk menghadiri rundingan damai dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) esok.

Menurut sumber Kedutaan Filipina di sini berdasarkan maklumat yang diperoleh dari Manila, Seguis yang juga Timbalan Menteri Luar Filipina akan mengetuai rombongan kira-kira 10 anggota bagi menyambung semula rundingan damai, dengan Malaysia sebagai tuan rumah.

"Hakikat bahawa penal rundingan damai kerajaan berada di sini... kami menganggap MILF juga akan menyertai rundingan ini. MILF tidak memaklumkan kepada kami bila mereka akan datang ke sini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau, bagaimanapun, berkata kedutaan tidak mengetahui di mana mesyuarat itu akan diadakan kerana kedua-dua belah pihak iaitu panel rundingan damai kerajaan dan MILF seperti masa lalu, lebih cenderung menyimpan maklumat mengenainya.

Tiada sebarang butiran lanjut mengenai mesyuarat itu termasuk berapa lama ia akan diadakan.

"Kami hanya dimaklumkan bahawa mereka (panel rundingan damai) akan tiba hari ini... tiada maklumat lain diberikan," katanya.

Bagi tempoh 12 tahun lalu, Kerajaan Filipina dan MILF telah beberapa kali mengadakan rundingan damai untuk menamatkan konflik di selatan Filipina yang telah berlarutan selama empat dekad.

Rundingan damai itu diaturkan oleh Malaysia sejak 2001, bertujuan menamatkan pemberontakan penduduk Islam selama empat dekad yang telah meragut 120,000 nyawa.

Pada 17 Februari, MILF mengumumkan bahawa cadangan Manila semasa rundingan di Malaysia pada Januari "tidak dapat diterima" dan menjadikan perjanjian damai untuk dicapai semasa pemerintahan Presiden Gloria Macapagal Arroyo adalah sukar.

Arroyo akan menamatkan perkhidmatannya pada 30 Jun ini.

Malaysia juga adalah Ketua Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) di Mindanao.

IMT memainkan peranan penting bagi menyokong rundingan damai antara Kerajaan Filipina dan MILF serta dalam meneruskan momentum bagi mencapai resolusi konflik di Mindanao. - Bernama

12 Ahli Parlimen PKR nafi akan keluar parti

PETALING JAYA: Dua belas Ahli Parlimen PKR hari ini menyuarakan sokongan terhadap parti dan menyelar spekulasi mereka akan keluar parti seperti yang didakwa dalam beberapa laman blog.

Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas, yang mewakili Ahli Parlimen terbabit, berkata mereka masih berpegang teguh terhadap pucuk kepimpinan parti itu.

"Kami mengambil ketetapan sekeras-kerasnya menolak dakwaan bahawa kami akan meninggalkan parti sepertimana yang dispekulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab semata-mata untuk mengganggu kesatuan dan perpaduan dalam parti," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Tropicana hari ini.

Pada sidang media itu, 10 Ahli Parlimen hadir manakala dua lagi iaitu Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh, dan Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan, tidak hadir kerana mempunyai urusan luar.

Mereka yang hadir ialah Ahmad Kassim (Kuala Kedah), Yusmadi Yusoff (Balik Pulau), S Manikavasagam (Kapar), Datuk Rashid Din (Merbok), Azan Ismail (Indera Mahkota), Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan), Abdullah Sani Abdul Hamid (Kuala Langat), Ab Aziz Ab Kadir (Ketereh) dan Amran Ab Ghani (Tanah Merah).

Mengulas mengenai tindakan ahli yang keluar parti, Kamarul Baharin berkata kemungkinan ia disebabkan masalah peribadi yang tidak dimaklumkan kepada pimpinan parti.

"Saya tak menduga kemungkinan itu (masalah peribadi) menjadi tugas kepimpinan parti untuk ambil tahu. Tapi kalau masalah berkaitan dengan parti, saya ingat parti tidak mengabaikan tanggungjawab," katanya.

Sementara itu, Yusmadi berkata PKR perlu melihat dan memperbaiki segala kesilapan kerana tindakan keluar parti sering berlaku. - Bernama

Gempa di Chile: Angka korban meningkat 795

SANTIAGO: Angka korban rasmi gempa bumi kuat di Chile, Sabtu lalu kini mencecah kepada 795 orang, demikian statistik kematian terbaru dikeluarkan kerajaan hari ini.

Angka korban itu diumumkan Presiden Chile, Michelle Bachelet dalam sidang akhbar selepas melawat mangsa terselamat di Hospital Wilayah Curico.

“Angka kematian kini menghampiri 800 orang,” kata Bachelet. Wilayah Curico antara yang mengalami kesan teruk akibat gempa terburuk 8.8 skala Richter yang menimpa Chile serta menyebabkan tsunami. - AFP