Followers

Monday, August 17, 2009

H1N1: 2 lagi kematian disahkan

BUKIT MERTAJAM: Dua lagi mangsa H1N1 meninggal dunia menjadikan keseluruhan 64 kematian setakat ini manakala 33 lagi masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Korban terbaru itu membabitkan seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan dan seorang wanita warga emas berumur 74 tahun.

Daripada 33 kes di ICU pula, 17 didapati mempunyai faktor risiko.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd ismail Merican, berkata bayi terbabit yang menghidap asma dimasukkan ke ICU hospital pada 7 Ogos lalu kerana demam, batuk dan sesak nafas selama dua hari.

"Bagaimanapun bayi tersebut meninggal dunia pada 15 Ogos lalu disebabkan pneumonia teruk dengan kegagalan pernafasan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, wanita warga emas itu pula yang menghidap diabetes dan kegagalan jantung, dimasukkan ke hospital pada 10 Ogos setelah pengsan di rumahnya dan meninggal dunia pada 12 Ogos disebabkan pneumonia teruk.

H1N1: IPTA tak perlu tunggu arahan kerajaan tutup kampus

PUTRAJAYA: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pengurusan semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tidak perlu menunggu arahan kerajaan untuk menutup kampus masing-masing sekiranya wabak H1N1 menular dengan serius.

Bagaimanapun, katanya setakat ini tiada IPTA yang membuat laporan mengenai langkah mereka untuk menutup kampus.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Liberalisasi Pengajian Tinggi di sini, pagi ini.

H1N1: Mereka tak pakai topeng boleh dikenakan tindakan

BUKIT MERTAJAM: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap mereka yang mempunyai simptom H1N1, tetapi enggan memakai topeng mulut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini, pagi ini.

Jepun keluar amaran tsunami selepas gempa kuat di perairan selatan

TOKYO: Agensi Meteorologi Jepun melaporkan gempa bumi berukuran 6.8 magnitud melanda perairan selatan negara ini, awal pagi ini serta mengeluarkan amaran tsunami.

Gempa melanda pesisir Pulau Ishigaki di selatan Okinawa, kira-kira 1,600 kilometer (km) di selatan Tokyo.

Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan segera mengenai kerosakan dan mangsa yang terbabit. - AFP

Jepun tarik balik amaran tsunami

TOKYO: Gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter berlaku di antara kepulaun selatan Jepun dan pantai Taiwan pagi ini, menyebabkan amaran sementara tsunami, kata Agensi Meteorologi Jepun.

Gempa bumi berlaku pada jam 9,06 pagi (0006 GMT) kira-kira 130 kilometer di tengara Ishigaki.

Pulau peranginan itu terletak kira-kira 200 kilometer di timur Taiwan dan kira-kira 1,600 kilometer di selatan Tokyo.

Naoto Otake, pegawai polis di Ishigaki, berkata tiada laporan awal kemusnahan atau kemalangan jiwa di pulau dengan 40,000 penduduk itu.

“Tiada yang jatuh semasa gempa bumi itu. Bekalan elektrik, air dan gas berfungsi seperti biasa," katanya. - AP

H1N1: MB Kedah mahu kerajaan isytihar darurat kesihatan

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, mendesak Kementerian Kesihatan mengumumkan darurat kesihatan dalam tempoh terdekat berikutan penularan wabak Influeza A (H1N1) yang disifatkan serius dan memerlukan langkah drastik bagi menyelamatkan nyawa rakyat.

Azizan berkata, beliau difahamkan Malaysia adalah negara keempat mencatat angka kematian dan jangkitan tertinggi H1N1 dan keadaan ini sekali gus mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersedia untuk membatalkan semua program dan keraian yang membabitkan majlis sosial, termasuk sambutan hari kemerdekaan jika keadaan dilaporkan semakin meruncing.

"Saya hanya menunggu keputusan Kerajaan Pusat, jika kerajaan memutuskan darurat kesihatan, kerajaan negeri sedia membatalkan semua keraian yang membabitkan majlis sosial termasuk sambutan hari kemerdekaan.

"Perkara ini perlu dipandang serius kerana kematian akibat penyakit terbabit semakin tinggi dan jika langkah pencegahan tidak diambil kita bimbang lebih ramai nyawa akan terkorban," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kakitangan Awam di Wisma Darulaman di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan perlu mendedahkan laporan sebenar mengenai tahap penularan penyakit itu di negara ini bagi menyedarkan rakyat betapa penting mengamalkan kaedah perlindungan, termasuk pemakaian topeng ketika ini.

"Saya berpendapat kerajaan perlu telus dan tidak perlu menyembunyikan perkara sebenar (penularan H1N1) kerana ia hanya akan memburukkan keadaan.

"Saya percaya, jika keadaan sebenar didedahkan termasuk laporan tahap penularan wabak ini dan kawasan panas, mungkin rakyat tidak akan memandang sambil lewa dan akan mengamalkan langkah perlindungan untuk menyelamatkan nyawa mereka.

"Saya kira ia (mendedahkan perkara sebenar) dianggap satu kaedah positif mengekang penularan virus berbahaya itu," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai potensi calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang, Azizan berkata, beliau tidak menganggap faktor umur antara kedua-dua calon sebagai satu modal kemenangan.

"Soal umur bukan faktor untuk menang atau kalah dalam pilihan raya. Tetapi mungkin itu kelebihan kepada calon (Pas)," katanya enggan mengulas lanjut.

Pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, BN menurunkan Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, sebagai calon, manakala Pas pula meletakkan Pesuruhjaya Pas Pusat Pulau Pinang, Salleh Man, 52.