Followers

Monday, June 14, 2010

161 orang kebanyakannya gadis diperalat sindiket antarabangsa

KUALA LUMPUR: Seramai 161 rakyat tempatan, termasuk 97 daripadanya gadis dan wanita diperalatkan sindiket dadah serta pemalsuan kad kredit antarabangsa, dengan kebanyakannya ditahan di luar negara.
Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong pada sidang media di sini, hari ini.

Mesir usah ikut pelunjuk Israel: Tun M

KUALA TERENGGANU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menggesa Mesir agar tidak terlalu mengikut telunjuk Israel dengan mengenakan pemeriksaan ketat ke atas bantuan kemanusiaan yang disalurkan kepada penduduk Palestin di sempadan Rafah.
Pengerusi Perdana Global Peace Organisation (PGPO) itu berkata, Israel akan melakukan pelbagai cara bagi memastikan bantuan tersebut tidak sampai atau lambat tiba kepada penduduk Palestin yang memerlukannya.
"Walaupun pintu sempadan Rafah dibuka, Israel akan desak Mesir untuk memeriksa dengan ketat dengan alasan bantuan itu turut ada senjata, sedangkan kita memang sudah pastikan tidak ada senjata dihantar.
"Ini adalah helah Israel sahaja. Saya berharap kerajaan Mesir tidak akan memberi kerjasama kepada Israel," katanya kepada pemberita selepas berucap lebih sejam pada perhimpunan Melayu Bangkit anjuran Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) di Stadium Negeri di sini.

Beliau berkata Israel melakukan tekanan itu sebagai tindakan halus rejim berkenaan bagi memusnahkan bangsa Palestin secara beramai-ramai atau genosid.

Dr Mahathir berkata sehubungan itu, Israel akan cuba sedaya upaya menyekat bekalan makanan, ubat-ubatan dan sebagainya dalam usaha mengurangkan jumlah penduduk di Semenanjung Gaza.

"Bila mereka tidak dapat makanan yang cukup, ubat-ubatan, tidak dapat (menikmati) hidup sempurna, tidak ada rumah dan terpaksa hidup dalam khemah, dalam musim sejuk umpamanya, yang tua dan daif akan mati kerana kesejukan," katanya.
Beliau berkata walaupun sukarelawan gagal menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini, namun apa yang berlaku kepada mereka berjaya membuka mata masyarakat dunia terhadap kezaliman Israel yang tergamak membunuh orang tidak bersenjata.

"Dunia sekarang ini dapat tahu bahawa rejim Israel bukan sahaja sanggup bunuh musuh mereka iaitu orang-orang Palestin, tetapi kawan kepada orang Palestin pun mereka sanggup bunuh," katanya.

Beliau merujuk kepada tragedi 31 Mei lalu yang menyaksikan tentera regim Zionis itu membunuh sembilan aktivis serta menahan puluhan sukarelawan, termasuk 12 rakyat Malaysia, yang berada di atas kapal "Mavi Marmara" di perairan antarabangsa ketika ia dalam perjalanan ke Gaza untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan.

Mavi Marmara adalah sebahagian daripada konvoi misi bantuan kemanusiaan membabitkan beberapa kapal yang membawa kira-kira 700 sukarelawan dari 50 negara.

Pada 5 Jun lalu, askar Israel menahan kapal MV Rachel Corrie tajaan PGPO yang turut serta dalam konvoi itu.

Enam sukarelawan negara yang berada di atasnya turut ditahan, bagaimanapun mereka dibebaskan sehari kemudian.

Hadir sama pada perhimpunan Melayu Bangkit hari ini ialah Menteri Besar Datuk Ahmad Said dan pengerusi Gertak Razali Idris serta lebih 2,000 wakil badan bukan kerajaan (NGO).

Gertak kemudiannya menyampaikan sumbangan sebanyak RM121,258.80 rakyat Terenganu untuk Tabung Gaza kepada Dr Mahathir. - BERNAMA

Kerajaan pertimbang sertai instrumen hak asasi manusia antarabangsa

KUALA LUMPUR: Kerajaan kini menimbang kemungkinan menyertai instrumen hak asasi manusia antarabangsa, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohillan Pillay, berkata bagaimanapun kerajaan perlu terlebih dulu melihat beberapa faktor sebelum membuat keputusan termasuk aspek perundangan negara supaya tidak bertentangan dengan peruntukan di bawah instrumen berkenaan.
"Bukan mudah untuk merafitikasi instrumen tersebut dan proses ini memakan masa yang agak lama," katanya ketika menjawab soalan Azmin Ali (PKR-Gombak), di sini hari ini.
Azmin ingin tahu mengapa kerajaan belum menandatangani Deklarasi Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu seperti “International Covenant on Civil and Political Rights”, dan “International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights”.

Selain itu, Kohillan berkata, kerajaan juga perlu menimbang faktor sosial, budaya dan sejarah masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa sebelum memutuskan penyertaan di dalam instrumen terbabit. - Bernama

Kedudukan Malaysia meningkat ke tahap dua laporan pemerdagangan manusia

KUALA LUMPUR: Malaysia kini berada pada Tahap Dua berdasarkan Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2010 oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat atas usahanya yang signifikan untuk mematuhi Akta Perlindungan Pemerdagangan dan Keganasan (TVPA).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu melalui surat dari Kedutaan Amerika Syarikat pagi ini.
"Ini adalah pengiktirafan kepada kita yang telah membuat akta (Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007), mewujudkan Majlis Antipemerdagangan Orang dan tindakan nasional yang melibatkan kementerian berkaitan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Kedudukan Malaysia sebelum ini jatuh dari Tahap Dua ke Tahap Tiga mengikut laporan TIP 2009 yang dikeluarkan pada 16 Jun tahun lalu.

Laporan TIP menyenaraikan negara-negara berdasarkan tahap pematuhan standard minimum bagi memerangi pemerdagangan manusia.

Tahap Satu merujuk kepada pematuhan sepenuhnya dan Tahap Dua pula bagi usaha yang signifikan untuk mematuhi Akta Perlindungan pemerdagangan dan Keganasan (TVPA).

Tahap adalah negara-negara yang tiada usaha untuk mematuhi standard minimum TVPA.
Terdahulu dalam jawapannya kepada soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) pada persidangan Dewan Rakyat, Hishammuddin berkata seramai 1,447 orang telah diberikan Perintah Perlindungan Sementara (IPO) di bawah Seksyen 44 (2) Akta Antipemerdagangan Orang 2007, dari tempoh 28 Feb 2008 hingga 30 Mei tahun ini.

"Dari jumlah itu, seramai 338 mangsa telah dikenalpasti sebagai mangsa sebenar pemerdagangan orang dan telah diberikan Perintah Perlindungan (PO) di bawah Seksyen 51(3) akta yang sama," katanya.

Tan ingin tahu antara masalah yang dihadapi untuk menangani permasalahan ini dan bilangan mangsa yang dapat dikesan.

Hishammuddin berkata kerajaan menghadapi pelbagai cabaran dan masalah dalam menangani jenayah pemerdagangan manusia kerana ia adalah jenayah yang kompleks dan melibatkan jenayah rentas sempadan, selain mempunyai hubung kait dengan jenayah lain seperti pelacuran, sindiket dadah dan pengubahan wang haram.

"Kebanyakan mangsa masuk ke negara ini secara sah sebagai pelancong tetapi kemudiannya menjadi sasaran sindiket pemerdagangan orang sehingga menyebabkan anggota penguatkuasa menghadapi kesukaran untuk mengenalpasti mangsa.

"Kurang kerjasama dan penyampaian maklumat daripada orang ramai dan mangsa juga menjadi masalah kepada kita untuk membanteras jenayah ini. Terdapat juga situasi di mana sindiket antarabangsa yang mengancam mangsa hingga menyebabkan mangsa takut membuat laporan," katanya.

Beliau berkata terdapat juga beberapa faktor dalaman dan luaran yang menyebabkan masalah ini berterusan.

"Antaranya jenayah ini merupakan jenayah global yang berlaku di kebanyakan negara di dunia termasuk negara-negara maju. Ia mudah dilakukan dan memberikan pulangan hasil yang lumayan iaitu AS$38 bilion setiap tahun.

"Kedudukan ekonomi negara yang terus berkembang baik telah menarik minat warga asing datang ke negara ini untuk mencari pekerjaan. Di samping itu, iklim politik dan ekonomi yang kurang selesa di negara asal mangsa menyebabkan ramai yang sanggup memperjudikan nasib di negara ini," katanya.

Beliau berkata walaupun kerajaan telah melaksanakan mekanisme dalaman bagi membendung jenayah ini, namun ketidakupayaan dan kelemahan yang serius di negara asal untuk mencegah atau mendidik rakyat mereka mengenai risiko pemerdagangan manusia menyebabkan mangsa mudah diperdaya pihak sindiket.

"Tahap kerjasama di antara orang awam dengan agensi penguatkuasa masih perlu dipertingkatkan kerana kerjasama ini amat penting untuk menangani jenayah pemerdagangan orang," katanya. - BERNAMA

Jualan kondom meningkat selepas Korea Selatan cipta kemenangan

SEOUL: Kadar jualan kondom naik lima kali ganda di Korea Selatan apabila peminat dan penyokong skuad bola sepak negara itu meraikan kemenangan pertama di Piala Dunia Afrika Selatan, kelmarin.

Kira-kira sejuta peminat yang berbaju merah di seluruh negara termasuk 200,000 di Seoul membanjiri dataran, stadium dan taman rekreasi malam Sabtu lalu untuk meraikan kejayaan Korea Selatan menewaskan juara Eropah 2004, Greece 2-0.
Jualan kondom paling laris dicatat di kedai mesra dan pusat makanan segera selepas peminat menyambung untuk meraikan kejayaan itu di jalan raya, demikian lapor akhbar JoongAng Daily.
Akhbar itu memberi contoh, di kedai rangkaian Bokwang Family Mart menunjukkan jualan kondom meningkat dua kali ganda.

Kedai di kawasan perumahan juga melonjak dari segi jualan terutama jualan arak dan bir yang meningkat tiga kali ganda dan dua kali ganda untuk makanan ringan.

Selepas perlawanan tamat, peminat yang masih dalam semangat bergembira, membeli lima kali ganda kondom berbanding ketika meraikan prestasi Korea Selatan beraksi di Piala Dunia 2006 lalu. - AFP

Piala Dunia: Jerman 4 Australia 0

REAKSI penyerang Jerman, Miroslav Klose selepas membolosi gawang Australia dalam saingan Kumpulan D di pusingan pertama di Durban, awal pagi tadi. - Foto AFP
REAKSI penyerang Jerman, Miroslav Klose selepas membolosi gawang Australia dalam saingan Kumpulan D di pusingan pertama di Durban, awal pagi tadi. - Foto AFP
JERMAN menjadi pasukan pertama di Piala Dunia Afrika Selatan mencatat kemenangan terbesar 4-0 mengalahkan Australia dalam saingan Kumpulan D, awal pagi tadi.

Gol jaringan Lukas Podolski pada minit ke-8 diikutiiroslav Klose (m-26); Thomas Mueller (m-68) dan Cacau (m-70).

Piala Dunia: Serbia 0 Ghana 1

PRETORIA: Ghana menjadi negara pertama dari benua Afrika mencatatkan kemenangan di Piala Dunia 2010 selepas menewaskan Serbia 1-0 dalam saingan Kumpulan D di Stadium Loftus Versfeld, sebentar tadi.

Gol kemenangan itu diperoleh menerusi sepakan penalti oleh Asamoah Gyan pada minit ke-85.
Sebelum itu, Serbia terpaksa bermain 10 orang apabila Aleksandar Lukovic diperintah keluar padang selepas mendapat kad kuning kedua pada minit ke-74.

Parti komponen BN perlu lakukan transformasi politik: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Parti komponen Barisan Nasional (BN) harus melakukan transformasi politik selaras dengan transformasi kerajaan supaya membuahkan hasil yang lebih berkesan.
Walaupun terdapat parti komponen yang berasaskan kaum, namun perjuangan parti haruslah untuk kepentingan semua kaum tanpa mengira agama.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Pengerusi BN, ketika merasmikan konvensyen PPP wilayah persekutuan, sebentar tadi.