Followers

Monday, August 23, 2010

Murid cedera di mata terkena serpihan mercun

KOTA BHARU: Seorang pelajar tahun dua cedera di mata, muka dan tangan kirinya apabila mercun bola yang dijumpainya meletup di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini, semalam.
Dalam kejadian 4.30 petang itu, Muhammad Aman Azrol Che Senik, 8, sedang bermain di padang permainan dan terjumpa mercun berkenaan.
Mangsa dan adiknya, Muhammad Azin, 5, cuba menyalakan mercun itu dengan mencampakkan ke dalam nyalaan api pada kertas yang terbakar menyebabkan mercun itu meletup dan serpihannya terkena mangsa.
Ibu mangsa, Yusnita Abas, 39, berkata anaknya itu berlari pulang ke rumah yang terletak 50 meter dari padang berkenaan sambil menangis dan menutup mata kirinya yang berair.

"Saya juga lihat ada kesan putih dan kemerahan pada pipi dan jari tangan kirinya melecur. Saya kemudian meminta bantuan adik ipar saya untuk menghantarnya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di hospital HRPZ II, di sini, semalam.

Katanya, doktor mengesahkan anaknya itu tidak mengalami kecederaan serius dan hanya memerlukan rawatan susulan bagi memulihkan kecederaan. - BERNAMA

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dilempar najis

JAKARTA: Kedutaan Besar Malaysia ke Indonesia di sini telah dilempar najis manusia oleh penunjuk perasaan daripada kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) pada satu demonstrasi petang ini.
Seorang daripada 37 penunjuk perasaan itu telah melemparkan najis itu ke dalam perkarangan kedutaan itu melepasi pintu pagar hadapan dan di atas kepala barisan anggota polis Indonesia yang sedang mengawal ketat di hadapan bangunan itu.
Mereka turut melepaskan najis itu ke atas bendera Malaysia yang dipijak-pijak di atas jalan tempat mereka berkumpul di hadapan kedutaan itu.
Kumpulan itu sebelumnya telah membawa lima bungkusan najis itu, ada yang diletakkan dalam kertas bungkusan makanan, dalam plastik dan dalam kotak polisterin dan dinyatakan sebagai "hadiah" untuk Duta Besar Malaysia ke Indonesia kerana Malaysia selama ini telah beberapa kali memberi "najis" yang lebih kotor kepada Indonesia.

Dengan tiba-tiba seorang daripada mereka melempar bungkusan kertas berisi najis itu ke dalam pagar kedutaan itu dan pada masa yang sama, najis turut dilepaskan ke atas bendera Malaysia yang mereka sedang pijak itu.

Demonstrasi itu diadakan bagi menandakan kemarahan mereka terhadap Malaysia yang mereka dakwa telah merendahkan maruah Indonesia dalam insiden di perairan Bintan pada 13 Ogos lalu apabila polis Malaysia menahan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia.

Ia juga untuk menyatakan kekecewaan rakyat terhadap kepemimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, yang dikatakan sangat lemah menghadapi Malaysia.
Berikutan kejadian lempar najis itu polis Indonesia menangkap tiga orang pelaku berkenaan.

Demonstrasi itu berlangsung selama sejam.

Seorang wakil kumpulan itu kemudian memberitahu wartawan yang meliputi peristiwa itu bahawa mereka telah memberi kata dua kepada polis Indonesia iaitu lepaskan rakan-rakan mereka itu daripada tahanan atau mereka akan melakukan operasi usir rakyat Malaysia petang ini.

Operasi yang dinamakan "Sweeping Rakyat Malaysia" itu dirancang akan dilakukan di hadapan bangunan kumpulan itu di Jalan Diponegoro, Menteng, di sini.

Polis Indonesia telah menugaskan ramai anggota untuk mengawal ketat di hadapan bangunan kedutaan Malaysia, setelah mendapat maklumat bahawa demonstrasi berkenaan akan disertai antara 300 dan 500 penunjuk perasaan.

Dalam insiden di perairan Malaysia-Indonesia itu, bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan menahan tujuh nelayan Malaysia manakala Polis Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai pengkuatkuasa kementerian dari Indonesia itu, masing-masing kerana didakwa menceroboh wilayah masing-masing.

Kedua-dua negara kemudian membebaskan tahanan-tahanan itu pada 17 Ogos lalu. - BERNAMA

Malaysia di kedudukan ke-37 senarai 'Negara Terbaik Dunia' Newsweek

KUALA LUMPUR: Malaysia berada di kedudukan ke-37 dalam senarai "Negara Terbaik Dunia" majalah Newsweek dari segi penyediaan ekonomi, politik, pendidikan, kesihatan dan kualiti kehidupan.

Di kalangan jiran, Singapura di kedudukan ke-20, Thailand (58), Filipina (63) dan Indonesia (73).
Dalam senarai membabitkan 100 negara itu, Finland di kedudukan pertama, diikuti Switzerland dan Sweden.
Dalam keluaran khas pertama "Negara-negara Terbaik" Newsweek, mereka diminta menjawab satu soalan sederhana tetapi agak kompleks - jika anda dilahirkan hari ini, negara mana yang akan menyediakan anda peluang terbaik untuk menjalani kehidupan yang sihat, selamat, makmur, dan bergerak maju.

Bagi tinjauan khas ini, Newsweek memilih lima kategori kesejahteraan negara - pendidikan, kesihatan, kualiti kehidupan, daya saing ekonomi, dan persekitaran politik.

Majalah itu juga menyenaraikan Malaysia sebagai lapan terbaik dalam kategori pendidikan di kalangan negara berpendapatan sederhana atas.

Tiga negara teratas dalam kategori itu ialah Kazakhstan, Poland dan Cuba. - BERNAMA

Tindakan tegas terhadap pihak yang bangkit sensitiviti kaum, agama: Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan bertindak tegas terhadap pihak yang cuba mengancam keharmonian dengan cara membangkitkan sensitiviti kaum dan agama, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, walaupun laporan mengatakan isu itu tidak begitu ketara di peringkat bawahan tetapi ia perlu dibendung supaya keselesaan rakyat terjamin.
"Laporan yang saya terima tidak melihat satu keadaan yang tegang dan membimbangkan tetapi dalam hal ini, dari dulu lagi saya telah tunjukkan bahawa kita ambil tindakan yang tegas.
"Saya memang tak suka dan tak akan benarkan perkara sebegini mengeruhkan keadaan," katanya ketika diminta mengulas kejadian sebuah surau baru di Taman Impian Pulai Impian, Temiang, Seremban, yang disimbah cat merah awal pagi tadi.

Terdahulu, Hishammuddin menghadiri majlis berbuka puasa dan penyerahan bantuan kepada ibu tunggal dan anak yatim di sini malam ini.

Sehubungan itu, beliau berkata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, dan semua ketua polis negeri telah diarah supaya bertindak sekiranya berlaku keadaan yang menimbulkan rasa tidak selesa kepada rakyat oleh individu atau kumpulan tertentu.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat usaha, sama ada dirancang atau secara kebetulan, yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab untuk memecah-belahkan keharmonian kaum di negara ini.
"Cuma dalam siasatan, kita kena pastikan tidak ada pihak yang dianiaya," katanya.

Hishammuddin turut ditanya sama ada kejadian itu mempunyai kaitan dengan isu penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dalam khutbah Jumaat di beberapa kawasan di negeri itu baru-baru ini.

Katanya, perkara itu susah untuk dikatakan tetapi dalam soal yang menyentuh agama, semua pihak perlu bertindak secara rasional dan bijaksana kerana apa yang berlaku bukanlah sesuatu yang unik, kerana suasana seumpama itu pernah dilalui sebelum ini.

"Maka dalam hal ini, saya percaya pihak berkuasa mampu memastikan bahawa keselamatan akan terjamin, orang ramai akan berada dalam keadaan selesa dan pihak tidak bertanggungjawab itu akan dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Mengenai isu doa dalam khutbah Jumaat, Hishammuddin berkata apa yang lebih penting ketika ini adalah memastikan siapa yang bercakap benar.

Katanya, sudah menjadi tugas polis untuk menyiasat sekiranya laporan telah dibuat kerana hanya dengan siasatan yang terperinci, berani dan telus serta tidak condong kepada mana-mana pihak, barulah sesuatu kebenaran itu dapat diketahui.

"Jadi, biarlah ia berjalan dalam proses biasa...kita nak siasat kerana nak tahu apa yang sebenarnya berlaku, kerana dalam kes ini, ada yang menyokong, ada yang kata fitnah, disalah erti, dan ada yang kata ia disalah lapor," katanya. - BERNAMA

Malaysia, Indonesia muktamad MoU pembantu rumah

JAKARTA: Malaysia dan Indonesia hari ini sepakat memuktamadkan peruntukan dalam memorandum persefahaman (MoU) mengenai pengambilan dan penempatan pembantu rumah Indonesia yang antara lain menetapkan satu kadar bayaran pengambilan yang lebih rendah daripada kadar pasaran sekarang.
Dengan tidak menyatakan kadar yang dipersetujui itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap, berkata ia lebih rendah daripada RM8,000 hingga RM9,000 seperti yang perlu dibayar oleh majikan sekarang tetapi lebih tinggi daripada kadar RM4,000 yang ditetapkan dalam MoU 2006.
"MoU baru itu juga menggariskan dengan jelas perlindungan kepada majikan terutamanya jaminan penggantian yang dipanjangkan kepada enam bulan daripada tiga bulan yang ditetapkan sebelum ini.
"Apa yang berlaku sekarang ialah majikan bukan sahaja perlu membayar kos pengambilan yang tinggi sebagai bayaran pendahuluan, malah mengalami kerugian tidak mendapat pengganti pembantu rumah apabila pembantu rumah mereka lari pada bulan keempat kerana jaminan sekarang hanya tiga bulan," katanya selepas mesyuarat keenam Kumpulan Kerja Bersama Malaysia-Indonesia mengenai pengambilan pekerja domestik Indonesia di sini hari ini.

Beliau berkata, MoU itu juga memperuntukkan bahawa majikan boleh dibayar balik bayaran pendahuluan mereka jika tidak mendapat pembantu rumah gantian.

"Ia turut mengambilkira kepentingan tiga pihak iaitu pekerja, majikan dan agensi pekerjaan selain menggariskan dengan jelas tanggungjawab mereka," katanya.

Raja Azahar berkata mesyuarat hari ini juga bersetuju membentuk pasukan petugas di Malaysia dan di Indonesia yang akan menjadi badan pemantau bagi pelaksanaan MoU itu.
Beliau mengetuai delegasi 11 orang dari Malaysia pada mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama itu hari ini, mesyuarat keenam selepas kedua-dua negara bersetuju meminda MoU 2006 berkenaan Pengambilan dan Penempatan Pembantu Domestik Indonesia.

Malaysia dan Indonesia telah menandatangani Surat Hasrat (LOI) untuk MoU baru itu pada 18 Mei lalu ketika rundingan tahunan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono di Kuala Lumpur.

LOI itu ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Muhaimin Iskandar. - BERNAMA

Surau di Sikamat dilempar botol arak, cat merah

SEREMBAN: Surau Taman Pulai Impian, Sikamat dekat sini disimbah dengan cat merah dan dibaling dengan botol arak hari ini.

Pengerusi jawatankuasa surau itu, Mohd Hasbi Ismail, berkata jenayah itu disedari jemaah surau pada waktu subuh pagi tadi.
"Kejadian ini saya rasa berlaku antara 3.30 pagi dan 4 pagi dan saya telah membuat laporan polis secara rasmi," katanya.
Mohd Hasbi berkata, selain empat botol arak dibaling di hadapan bangunan surau, terdapat kesan cat warna merah di dinding, lantai dan pintu cermin bahagian kanan surau.

"Saya rasa amat sedih dan kesal atas kejadian yang berlaku kerana mencemari rumah ibadat orang Islam dan kesucian bulan Ramadan," katanya.

Surau yang tidak berpagar itu baru digunakan pada 24 Julai lalu.

"Saya anggap ini adalah satu perbuatan khianat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Saya tidak tahu apakah motif sebenar mereka yang melakukan kerja ini dan berharap pihak polis akan menyiasat sehingga tertangkapnya mereka yang terbabit dan dihadapkan ke muka pengadilan," katanya. - BERNAMA

Murid cedera di mata terkena serpihan mercun

KOTA BHARU: Seorang pelajar tahun dua cedera di mata, muka dan tangan kirinya apabila mercun bola yang dijumpainya meletup di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini, semalam.
Dalam kejadian 4.30 petang itu, Muhammad Aman Azrol Che Senik, 8, sedang bermain di padang permainan dan terjumpa mercun berkenaan.
Mangsa dan adiknya, Muhammad Azin, 5, cuba menyalakan mercun itu dengan mencampakkan ke dalam nyalaan api pada kertas yang terbakar menyebabkan mercun itu meletup dan serpihannya terkena mangsa.
Ibu mangsa, Yusnita Abas, 39, berkata anaknya itu berlari pulang ke rumah yang terletak 50 meter dari padang berkenaan sambil menangis dan menutup mata kirinya yang berair.

"Saya juga lihat ada kesan putih dan kemerahan pada pipi dan jari tangan kirinya melecur. Saya kemudian meminta bantuan adik ipar saya untuk menghantarnya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di hospital HRPZ II, di sini, semalam.

Katanya, doktor mengesahkan anaknya itu tidak mengalami kecederaan serius dan hanya memerlukan rawatan susulan bagi memulihkan kecederaan. - BERNAMA