Followers

Thursday, November 19, 2009

Sabah & Sarawak: Mangsa serangan 'mundu' masih trauma

KOTA BELUD: Penduduk di Pulau Mantanani, Kuala Abai dan Rampayan Laut, di sini, mengakui masih trauma dengan serangan lanun atau ‘mundu’ yang menyerang nelayan Kampung Kuala Abai dan Rampayan Laut walaupun kejadian itu berlaku kira-kira 15 tahun lalu.

Sehubungan itu, mereka meminta polis marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meningkatkan rondaan di perairan pulau dan kampung terbabit bagi mengelak tragedi hitam itu berulang.

Ia berikutan penduduk mendakwa sesekali melihat bot tidak dikenali memasuki perairan terbabit, bukan milik penduduk tempatan atau pihak berkuasa.

Imam Kariah Pulau Mantanani, Kennedy Ismail, yang mempunyai pengalaman ditawan lanun pada 19 April 1996 berkata, penduduk lega dengan langkah rondaan polis marin dan APMM secara konsisten di perairan itu hingga berjaya mengurangkan risiko serangan lanun.

Bagaimanapun, katanya, mereka berharap rondaan itu dapat dilakukan dengan lebih kerap demi keselamatan semua pihak.

"Kami bersyukur dengan kecekapan pihak berkuasa meronda, malah keadaan di perairan Kuala Abai dan Pulau Mantanani ketika ini memang baik kerana tiada lagi kedengaran pencerobohan lanun.

"Kegiatan lanun mungkin masih ada tetapi nelayan tidak bimbang kerana pihak berkuasa keselamatan sentiasa membuat rondaan.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh terlalu selesa kerana pihak tidak bertanggungjawab memang menunggu kita leka sebelum mengambil kesempatan," katanya kepada Berita Harian di sini, kelmarin.

Diminta menceritakan detik ditawan lanun, Kennedy berkata ia berlaku di Kampung Kuala Abai, di sini, pada 19 April 1996.

Katanya, sebelum itu empat lelaki bersenjata api automatik dan berpakaian celoreng merompak lapan nelayan tempatan di perairan Kuala Abai dan Rampayan Laut, di sini, termasuk melarikan lapan enjin bot sangkut milik nelayan terbabit.

Katanya, beliau mendengar suara riuh-rendah di tepi pantai Kuala Abai dan menyangka ada askar datang membuat pemantauan kerana ‘mundu’ berkenaan memakai pakaian pasukan keselamatan terbabit.

Apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila beliau ditawan lanun terbabit.

"Saya dibawa ke sebuah kedai runcit dan di situ saya nampak pemilik kedai terbabit juga sudah ditawan lanun. Saya dan tiga penduduk kampung diarah lanun terbabit memunggah semua barang termasuk beras, gula, kopi dan biskut di dalam kedai runcit itu ke dalam bot mereka.

"Lanun turut merompak barang kemas milik isteri dan anak pemilik kedai runcit berkenaan.

"Saya cuma pandang ke arah pemilik kedai terbabit kerana takut ditembak jika enggan menurut arahan ‘mundu,’ katanya.

Kennedy berkata, pemilik kedai itu memberi isyarat mengangguk tanda membenarkan beliau membantu memunggah barang dalam kedainya kerana bimbangkan keselamatan isteri dan anak gadisnya.

Beliau mengakui masih berasa serba salah terhadap pemilik kedai runcit terbabit kerana terpaksa `membantu' lanun merompak kedainya.

"Saya sudah memohon maaf kepada pemilik kedai runcit itu dan beliau memaafkan saya kerana bukan saya sengaja.

"Saya mengesyaki lanun terbabit diketuai ‘Moloi’ yang lakaran wajahnya disiarkan menerusi akhbar dua hari kemudian. Moloi memang terkenal dengan kelicikan melarikan diri daripada kepungan polis," katanya.

Kejadian berlaku antara jam 1 hingga 4 pagi ketika nelayan terbabit mencandat sotong apabila dalam dua kumpulan berasingan sebelum dihampiri kumpulan bersenjata.

Sabah & Sarawak: Gaji pekerja tak mahir lebih tinggi

KOTA KINABALU: Gaji pekerja tidak mahir dalam sektor perkilangan di Sabah adalah lebih tinggi iaitu minimum RM590 berbanding RM530 pada peringkat nasional berdasarkan data Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR).

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Michael Asang, berkata keadaan sama turut dikesan bagi pekerja separuh mahir di Sabah yang mendapat gaji minimum RM625 berbanding hanya RM588 di peringkat nasional.

Katanya, ia jelas menunjukkan gaji pekerja tidak mahir dan separuh mahir di Sabah jauh lebih baik berbanding peringkat nasional.

"Bagaimanapun, gaji minimum pekerja mahir juruelektrik di Sabah adalah lebih rendah iaitu RM670 dan peringkat nasional ialah RM873, sama seperti pekerja am di Sabah cuma menerima RM700 berbanding RM942 sebulan di peringkat nasional.

"Lazimnya gaji pekerja ditetapkan berdasarkan tahap kemahiran, pengalaman bekerja dan polisi syarikat berkaitan," katanya menjawab soalan Johnny Goh (BN-Inanam) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, semalam.

Asang berkata, kebanyakan syarikat yang beroperasi di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) turut mengiklankan jawatan kosong di syarikat mereka termasuk menerusi media.

Bagaimanapun, katanya, kaedah paling kerap dan banyak digunakan bagi mengiklankan jawatan kosong di syarikat dalam KKIP adalah menerusi kain rentang di jalan masuk utama ke KKIP di Jalan Sulaman.

Beliau berkata, beberapa syarikat turut menggunakan ekspo pekerjaan di perkarangan institusi latihan dan kemahiran di KKIP seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Politeknik untuk mengiklankan jawatan kosong.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Jainab Ahmad, berkata kerajaan mewujudkan pelbagai bantuan kepada penganggur termasuk di kawasan luar bandar bagi mengelak mereka terpinggir dari arus perdana.

"Ia termasuk program Tekun Nasional (Tekun) yang diadakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Pusat Bimbingan Usahawan Negeri Sabah (PBUNS) yang menawarkan pelbagai kursus," katanya menjawab soalan Datuk Syed Abbas Syed Ali (BN-Balung).

Beliau berkata, MECD menyediakan RM73.6 juta untuk Program Tekun Rakan Niaga menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Katanya, Tekun turut menawarkan kemudahan pinjaman RM50,000 kepada mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

"Selain itu, agensi kerajaan negeri seperti Koperasi Pembangunan Desa (KPD) turut bekerjsama dengan OISCA, sebuah badan kerajaan dari Jepun untuk melatih belia luar bandar dalam bidang pertanian asas," katanya.

Sabah & Sarawak: 1,000 murid sekolah rendah tunjuk kemahiran baca al-Quran

KOTA KINABALU: Seramai 1,000 murid sekolah rendah memperdengarkan bacaan al-Quran pada majlis Khatam al-Quran Perdana Sekolah Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) peringkat negeri Sabah, di Dewan Saadah, Wisma Muis, di sini baru-baru ini.

Bacaan al-Quran oleh 500 murid lelaki dan 500 murid perempuan itu diteliti sekumpulan ‘khalifah’ untuk membetulkan kesalahan.

Program yang disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman itu dianjurkan Jabatan Pelajaran Sabah.

Hadir sama, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Normah Gagoh dan timbalannya, Dr Muhyiddin Yussin serta Pengerusi Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Sabah (Sedco), Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif.

Berucap pada majlis itu, Musa berkata, tema ‘Al-Quran Pemangkin Modal Insan Cemerlang’ pada program itu harus digalas sebagai cabaran dan amanah oleh semua pihak.

Katanya, peserta program itu harus menjadikan tema itu sebagai titik tolak untuk mempelopori, menghayati dan mendalami ilmu melalui al-Quran.

Beliau berkata, kejayaan melahirkan murid terpilih menyertai majlis itu akan meningkatkan semangat guru untuk berusaha secara lebih gigih pada masa depan.

"Tanggungjawab melahirkan murid yang menyertai majlis khatam al-Quran hari ini tidak akan dicapai tanpa dedikasi guru yang cekap mendidik kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata, modal insan cemerlang yang diperlukan negara pada masa depan adalah mereka yang mempunyai pengetahuan tinggi, berpegang teguh kepada agama, berkemahiran, inovatif, memiliki jati diri, beretika dan mempunyai minda kelas pertama.

"Mereka bukan saja penting kepada pembangunan negara, malah berfungsi menjamin kesejahteraan dan perpaduan rakyat serta meningkatkan daya saing negara pada peringkat global," katanya.

Sabah & Sarawak: Kampung setinggan diisytihar kampung tradisi

KOTA KINABALU: Semua perkampungan setinggan yang didiami Bumiputera di seluruh Sabah akan diisytiharkan sebagai perkampungan tradisi seperti dilakukan di Kampung Air dan Kampung Landung Ayang, Kudat.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Ghulam Khaidar Khan Bahadar, berkata langkah itu dilaksanakan bagi memastikan penduduk kampung terbabit dapat menikmati kehidupan selamat dan selesa.

Beliau berkata, kaedah itu adalah lebih praktikal berbanding mendiami kawasan setinggan yang tidak teratur dari segi pembinaan struktur rumah dan terlalu berdekatan antara satu lain, sekali gus terdedah kepada bencana seperti kebakaran yang boleh memusnahkan keseluruhan penempatan.

Katanya, kampung tradisi juga akan melindungi penduduk daripada masalah diarah mengosongkan rumah oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana mendiami kawasan tanah rizab kerajaan.

"Justeru, adalah lebih baik bagi mereka menetap di kawasan perkampungan tradisi yang jauh lebih tersusun.

"Langkah ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) mengutamakan kepentingan rakyat dan mahu memberikan yang terbaik,” katanya menjawab soalan Teo Chee Kang (BN-Tanjong Kapor) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, semalam.

Ghulam berkata, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri akan mewartakan Kampung Gumpah, Kudat sebagai tanah Kampung Tradisi Gumpah.

Beliau berkata, lot di kampung itu akan dibahagikan kepada lot kediaman untuk menempatkan penduduk asal yang mendiami tapak setinggan.

Katanya, kementerian juga sudah mengenal pasti kawasan sesuai di Sikuati, Kudat untuk memindahkan setinggan dari kawasan Tanjung Kapor, Pantai Bahagia dan Pangaraban.

"Pada masa sama, sebanyak 500 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk disewa dibina di Taman Ehsan, Kudat bagi menempatkan setinggan di Kudat.

"Kerajaan berharap penduduk kawasan setinggan terbabit memberi kerjasama dengan memanfaatkan PPR disewa berkenaan.

"Kita melakukan semua ini kerana mahu rakyat berkeluarga tinggal bersama dalam suasana selesa dan dapat meningkatkan taraf hidup mereka secara beransur-ansur," katanya.

Sabah&Sarawak: Lanun mengganas


DOL menangkap ikan di pesisir pantai kerana khuatir diserang lanun.

Nelayan Tuaran takut tangkap ikan terlalu jauh dari pesisiran pantai

TUARAN: "Saya tak berani lagi turun ke laut jauh-jauh sebab takut diserang lagi. Saya takut dicederakan atau dibunuh dan perahu serta enjin kami dibawa lari. Kalau kena rompak dan dicampak di laut, siapa yang tahu?"

Itu yang diluahkan nelayan, Dol Padang, 46, dari Kampung Mengkabong, dekat sini, mengenai kebimbangan nelayan sekitar daerah itu turun ke laut terlalu jauh dari pesisir pantai, gara-gara keselamatan mereka diancam oleh apa yang didakwa sebagai perompak di laut atau lanun.

Dakwaan itu mungkin tidak masuk akal bagi sesetengah pihak, tetapi ia dialami kebanyakan nelayan yang menangkap ikan di perairan pesisir pantai.

Dol mendakwa, dalam kejadian terbaru kira-kira dua bulan lalu, beliau turun ke laut bersendirian di kawasan agak jauh dari pantai Lok Nunuk, dekat sini. Ketika itu beliau menangkap ikan dengan menggunakan kira-kira 300 mata kail yang diturunkan ke dasar laut atau istilah tempatan ‘merawai’ pada jam 11 malam.

Tiba-tiba beliau terlihat sebuah perahu dipercayai dinaiki tiga lelaki menghampirinya.

"Saya terus meninggalkan rawai dan melarikan diri ke tepi pantai. Mereka mengejar saya. Apabila saya tiba di pesisir pantai, mereka tak kejar lagi. Itu kali kedua saya dikejar kerana sebulan selepas itu pun pernah berlaku," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Berikutan kejadian itu, Dol dan nelayan lain tidak berani lagi menangkap ikan jauh dari pesisir pantai kerana lebih mengutamakan keselamatan diri berbanding mencari rezeki di tengah laut.

"Sekarang saya tangkap ikan di tepi pantai saja. Hasil memang kurang tetapi saya tidak mahu menggadai nyawa," katanya.

Mengulas kejadian itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tuaran, Hayati Majat, berkata dakwaan Dol ada kesahihannya kerana ada nelayan di daerah itu dirompak ketika menangkap ikan di perairan daerah beberapa tahun lalu.

"Bagaimanapun, keadaan bertambah baik sekarang kerana rondaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis marin menyebabkan kejadian sedemikian semakin berkurangan.

"Bagaimanapun, apa yang membimbangkan kami ialah tindakan sesetengah nelayan terutama dari luar daerah ini menangkap ikan menggunakan bom, di samping kerakusan pengusaha bot pukat tunda yang menangkap ikan di zon larangan," katanya.

Beliau mendakwa, pengusaha bot pukat tunda dikesan beroperasi selepas senja. Ada antara mereka memukat di kawasan yang sudah dipasang unjam (daun kelapa yang diikat dengan guni pasir sebagai lokasi ikan berkumpul) oleh nelayan tempatan.

Hayati yang juga Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Sabah (Pengasah) mendakwa, setiap kali bot pukat tunda menarik pukat di kawasan berkenaan, bukan setakat ikan yang ditarik masuk ke dalam pukat tetapi turut merosakkan unjam yang dihasilkan dengan titik peluh nelayan tempatan.

Beliau mendakwa, kedua-dua kegiatan tidak bertanggungjawab itu kerap dikesan berhampiran Pantai Dalit, Sabandar dan Lok Nunuk.

Lebih membebankan nelayan tempatan ialah mereka diancam nelayan bot pukat tunda dan nelayan yang mengebom ikan jika melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Sehubungan itu, Hayati meminta pihak berkuasa terutama Jabatan Perikanan, polis marin dan APMM meningkatkan rondaan bagi memastikan sumber ikan dan hasil laut yang lain tidak pupus akibat sikap tamak pengusaha bot pukat tunda dan pengebom ikan mengaut keuntungan dengan cara menindas nelayan pesisir pantai.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim, yang dihubungi Berita Harian, berkata polis marin akan menyiasat dakwaan berkenaan dan jika ada kesahihan, polis akan meningkatkan rondaan bagi memastikan keselamatan nelayan.

"Saya akan meminta polis marin meningkatkan rondaan di kawasan itu dan kawasan lain yang mungkin menghadapi masalah yang sama. Polis belum menerima aduan daripada nelayan di Tuaran atau kawasan lain mengenai apa yang didakwa mereka sebagai perompak di laut," katanya.

Sabah & Sarawak: 41 pusat pemindahan mangsa banjir dikenal pasti

KOTA KINABALU: Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) mengenal pasti 41 pusat pemindahan mangsa banjir yang boleh menampung 14,020 orang di seluruh Sabah sebagai persediaan menghadapi bencana itu yang diramal berlaku berikutan musim tengkujuh kali ini.

Daripada jumlah itu, sembilan pusat pemindahan disediakan di ibu negeri dan Penampang, Beaufort dan Tenom (empat), Tawau (11), Kinabatangan dan Beluran (enam), Pitas (lima), Kota Marudu dan Kudat masing-masing enam.

Pengarah JPA3 Sabah, Awang Askandar Ampuan Yaacub, berkata kebanyakan pusat pemindahan ialah sekolah, dewan masyarakat dan balai raya, manakala yang lain merangkumi kompleks sukan, institut perguruan dan dewan milik insitut kemahiran seperti Insitut Latihan Perindustrian (ILP).

Katanya, JPA3 Sabah membuat persiapan sejak kira-kira tiga bulan lalu bagi menentukan pusat pemindahan dan keperluan lain seperti bahan makanan serta kelengkapan logistik membantu mangsa banjir, selain memberikan kursus persediaan menghadapi bencana kepada anggotanya.

"Semua keperluan untuk menghadapi bencana banjir yang boleh berlaku pada bila-bila masa sudah disiapkan lebih awal.

"Kita juga mengerahkan 1,336 anggota menghadapi bencana itu. Langkah ini bertujuan memastikan operasi mencari dan menyelamat mangsa dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, tumpuan utama ialah kawasan kerap berlaku banjir seperti Kota Marudu, Pitas, Beluran, Kinabatangan, Lahad Datu, Beaufort dan Tenom iaitu kawasan bencana banjir monsun manakala Telipok, Menggatal, Penampang, bandar Sandakan, Kudat dan Merotai, Tawau bagi kawasan banjir kilat.

Awang Askandar berkata, pihaknya sudah mempersiapkan anggota dan kelengkapan logistik bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat di semua kawasan terbabit yang akan digerakkan sebaik banjir berlaku.

Mengenai kekuatan anggota, beliaui berkata, selain 1,336 yang dikenal pasti sebagai anggota aktif, JPA3 Sabah juga mempunyai lebih 3,000 ahli tidak aktif di seluruh negeri yang boleh digerakkan jika anggota sedia ada tidak mencukupi.

Secara keseluruhan, katanya, JPA3 Sabah memiliki kira-kira 5,000 anggota yang kebanyakannya golongan belia lepasan sekolah, kakitangan awam dan orang awam.

"Belia lepasan sekolah mewakili kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan anggota JPA3 sekarang, disusuli kakitangan awam dan orang awam yang tidak bekerja sebanyak 30 peratus.

"Berdasarkan perancangan, kita mensasarkan 1,000 anggota JPA3 diambil setiap tahun di negeri ini. Pengambilan akan dibuat di peringkat daerah dan mereka akan diberikan latihan asas menyelamat," katanya.

Sementara itu, katanya JPA3 Sabah akan menganjurkan Perhimpunan Pertahanan Awam Sabah 2009 pada 20 hingga 24 November ini di Kompleks Sukan Kudat.

Program itu, katanya antara lain bertujuan memberi maklumat kepada orang ramai mengenai tugas JPA3 dan membuka peluang kepada golongan belia menjadi sukarelawan JPA3, khususnya di kawasan Kudat.

174 kes taun direkodkan sehingga kini

PUTRAJAYA: Kes taun yang mula dilapor di Kuala Terengganu 11 November lalu sehingga kini merekod 174 kes dengan satu kematian.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata sejumlah 116 kes dikesan daripada 451 kes cirit-birit yang mendapatkan rawatan di hospital, manakala 58 kes lagi dikesan dari 1,074 kontak terdekat kes kolera yang dilapor.

"Satu kes taun kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Ke-8 Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan di sini hari ini.

Liow berkata, penyakit itu berjangkit melalui makanan atau minuman yang tercemar dengan kuman taun kerana pengendalian makanan atau minuman yang tidak bersih.

Beliau berkata, sebagai langkah pencegahan dan kawalan penyakit itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah memeriksa 65 premis dan 12 premis telah ditutup termasuk lima kilang ais kerana tahap kebersihan yang tidak baik.

"Sebanyak 71 sampel air dan 50 sampel makanan diambil untuk ujian kuman, di mana 35 sampel didapati negatif kepada V.Cholerae manakala 86 lagi masih menunggu keputusan.

"Sejumlah 36 telaga telah diklorin dan 304 tandas dan tempat pembuangan sampah telah didisinfeksi," katanya.

Liow berkata, penularan taun kali ini juga membabitkan jenis yang berbeza kerana ia tidak dapat dirawat dengan menggunakan antibiotik yang biasa digunakan untuk merawat penyakit itu.

Bagaimanapun, penyakit itu masih boleh dirawat dengan menggunakan antibiotik lain, katanya.

Liow turut menggesa mereka yang mengalami tanda-tanda cirit-birit agar tidak mengambil mudah dan segera mendapatkan rawatan, kerana ia boleh menyebabkan dehidrasi, seterusnya mengakibatkan kerosakan pada buah pinggang.

"Orang ramai juga dinasihat supaya mengamalkan kebersihan diri yang baik, dan tidak melanggan atau makan di kedai atau gerai makanan yang diragui tahap kebersihannya," katanya. - Bernama

Liow sedia bertemu PM selesaikan kemelut MCA

PUTRAJAYA: Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bagi menyelesaikan kemelut MCA.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan perdana menteri yang akan menemui pihak bertelagah dalam MCA secara berasingan sebelum Mesyuarat Agung Luar biasa (EGM) kali kedua, bagi membantu meleraikan masalah dalaman parti itu yang semakin meruncing.

Beliau juga berhasrat untuk meneruskan rancangan mengadakan EGM kali kedua yang dirancang pada 28 November ini, selepas diusulkan penyokong Liow.

Krisis selesai jika adakan pemilihan semula: Pemuda MCA

KUALA LUMPUR: Pemuda MCA menganggap krisis MCA yang semakin meruncing ketika ini hanya akan dapat diatasi dengan mengadakan pemilihan semula sebelum akhir tahun ini.

Exconya, Chong Sin Woon, berkata pemilihan semula parti boleh dilakukan pada 5 Disember ini sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti.

"Kita boleh guna tarikh dan tempat itu untuk untuk adakan pemilihan semula.

"Kita hendak beritahu Datuk Seri Ong Tee Keat dan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, anda berdua boleh terus memimpin parti dengan syarat adakan pemilihan semula.

"Kalau anda dipilih semula oleh perwakilan, kami akan hormat dan sokong anda berdua," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MCA sebentar tadi.

Banjir di Kedah semakin pulih

ALOR SETAR: Bilangan mangsa banjir di tiga daerah di Kedah berkurangan tengah hari ini apabila seramai 177 daripada 1,341 orang di pemindahan banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata, setakat ini bilangan mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan ialah sebanyak 1,164 orang berbanding 1,341 orang petang semalam.

Banjir di daerah Kubang Pasu pulih sepenuhnya apabila 64 orang mangsa daripada 12 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Penduduk yang terbabit dengan banjir di Daerah Kota Setar pula berkurangan kepada 866 orang daripada 249 keluarga. Mereka ditempatkan di enam pusat pemindahan iaitu di Sekolah Kebangsaan Gunong (567 orang), Sekolah Kebangsaan Titi Gajah (80 orang) dan Sekolah Kebangsaan Wan Sulaiman Siddiq (68 orang).

Dua lagi pusat pemindahan iaitu Surau Kampung Pulau Binjal menempatkan 31 orang dan Tabika Telok Kandis pula menempatkan 26 orang.

Di daerah Pokok Sena pula, seramai 24 orang mangsa banjir daripada 10 buah keluarga masih ditempatkan di Dewan Lubuk Keriang manakala di Bandar Baharu seramai 299 orang daripada 71 keluarga masih ditempatkan di empat buah pusat pemindahan.

Bacaan paras air Sungai Titi Haji Idris di Kota Setar masih melebihi paras bahaya iaitu 2.47 meter (paras bahaya 2.15 meter) manakala sungai lain pada paras waspada. - Bernama

Kluster H1N1 dilaporkan di SK Payar Bungor

KUALA LUMPUR: Satu kejadian kluster Influenza A (H1N1) dilaporkan di Sekolah Kebangsaan Paya Bungor, Kuantan, minggu lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican.

"Tindakan kawalan dan pencegahan yang sewajarnya telah dilaksanakan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah sepanjang tempoh kejadian kluster tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Angka kematian keseluruhan akibat H1N1 masih kekal 77 orang dengan tiada kematian baru.

Pada minggu lalu, 619 pesakit baru dengan gejala penyakit serupa influenza (ILI) dimasukkan ke hospital manakala 679 kes dibenarkan keluar hospital.

Setakat 14 November, jumlah kes ILI yang masih mendapatkan rawatan di seluruh negara adalah 448 kes di 62 hospital termasuk empat hospital swasta.

Mengenai situasi global, Dr Ismail berkata sehingga 8 November lalu, lebih daripada 503,536 kes yang disahkan H1N1 dilaporkan di seluruh dunia, membabitkan lebih 6,260 kematian di lebih 206 negara.

Katanya penularan di negara hemisfera utara seperti Amerika Utara, Kanada Barat, Eropah dan Asia menunjukkan peningkatan ILI yang luar biasanya bermula lebih awal daripada tahun sebelumnya.

Pemantauan di negara berkenaan menunjukkan peratusan virus H1N1 yang dikesan adalah tinggi berbanding dengan virus influenza bermusim. - Bernama

Rang Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi dibentang

KUALA LUMPUR: Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi 2009 bagi menjamin kerahsiaan data peribadi seseorang dan memastikan data tersebut tidak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab dibentangkan di Dewan Rakyat ini.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum, membentangkan rang undang-undang yang mempunyai 146 fasal dan 11 bahagian itu untuk bacaan kali pertama.

Rang undang-undang itu, antara lain, bertujuan mengawal selia pemprosesan data peribadi individu yang terbabit dalam transaksi komersial oleh pengguna data untuk mengadakan perlindungan kepada data peribadi individu itu, dan dengan itu melindungi kepentingan individu berkenaan.

Menurut rang undang-undang itu, teknologi baru dan aliran pasaran yang kini berubah menyumbang kepada peranan maklumat yang semakin penting ekonomi pasaran global.

Maklumat ini, terutamanya data peribadi individu yang terbabit dalam transaksi komersial, telah menjadi suatu komoditi yang bernilai.

Menurut rang undang-undang itu lagi, keadaan ini telah mewujudkan tekanan yang semakin meningkat untuk mengawal selia pemprosesan data peribadi demi meningkatkan keyakinan pengguna dalam ekonomi global semasa.

Rang undang-undang itu juga bertujuan untuk melantik seorang Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi untuk melaksanakan peruntukan akta sama dan juga menubuhkan suatu Jawatankuasa Penasihat Perlindungan Data Peribadi yang menasihati pesuruhjaya mengenai perkara berhubung perlindungan data peribadi.

Suatu Tribunal Rayuan juga akan ditubuhkan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2009 untuk memberi ruang bagi merayu keputusan pesuruhjaya.

Bahagian 2 rang undang-undang itu memperkatakan peruntukan khusus mengenai perlindungan data peribadi.

Antaranya, Seksyen 5(1) yang memperuntukkan bahawa pemprosesan data peribadi oleh seseorang pengguna data hendaklah mematuhi prinsip perlindungan data peribadi iaitu prinsip am, prinsip notis dan pilihan, prinsip penzahiran, prinsip keselamatan, prinsip penyimpanan, prinsip integriti data dan prinsip akses.

Menurut rang undang-undang itu, seseorang pengguna data yang melanggar peruntukan seksyen ini telah melakukan satu kesalahan dan berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun, denda RM300,000 atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, pelbagai pihak menyarankan diwujudkan Akta Perlindungan Data Peribadi berikutan kontroversi perkhidmatan maklumat kredit yang dikeluarkan syarikat Credit Tip Off Service Sdn Bhd (CTOS) yang menimbulkan ketidakpuasan hati ramai pihak.

Semalam, Rang Undang-Undang Agensi Pelaporan Kredit 2009 dibentang bagi mengawal selia semua agensi pelaporan kredit yang membabitkan pemprosesan maklumat kredit pelanggan yang mungkin terdiri daripada individu, pertubuhan perbadanan atau badan tidak diperbadankan. - Bernama

Hujan lebat di Kelantan, Terengganu hingga Selasa

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat Kuning di mana hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat di Kelantan dan Terengganu dijangka berterusan sehingga Selasa ini, sekaligus boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah berdekatan tebing sungai.

Hujan lebat peringkat Kuning juga diramalkan berterusan di Jerantut, Kuantan, Pekan, Maran dan Rompin di Pahang sehingga esok, sekaligus boleh juga menyebabkan banjir di kawasan rendah berdekatan tebing sungai.

Hujan lebat peringkat Kuning iaitu ialah berlaku hujan monsun dalam tempoh 24 sehingga 48 jam.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua di Condore dengan arah dan kelajuan angin timur laut 50 sehingga 60 kmsj dengan ombak setinggi 4.5 meter sehingga Ahad ini.

Angin kencang dan laut bergelora kategori kedua adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Angin kencang dan laut bergelora kategori pertama juga dijangka berlaku di Samui (Kelantan dan Terengganu), Reef North, Layang-layang, Palawan dan Kudat di Sabah Utara, dengan arah dan kelajuan angin 40 sehingga 50 kmsj serta ketinggian ombak 3.5 meter sehingga Ahad ini.

Angin kencang dan laut bergelora peringkat pertama itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Menurut jabatan itu, kawasan pantai di Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu di Kelantan, Terengganu dan Pahang terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut dijangka berakhir esok.

- Bernama

Pencapaian UPSR meningkat

PUTRAJAYA: Pencapaian calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini meningkat 0.32 peratus apabila 48,171 calon memperolehi gred A atau cemerlang bagi semua mata pelajaran berbanding 46,641 calon pada tahun sebelumnya.

Baki 319,336 calon memperolehi minimum gred C atau baik bagi semua mata pelajaran dan 3,266 lagi calon memperolehi gred E bagi semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pencapaian itu diukur berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN) yang menggunakan indeks cemerlang (semua A), baik (minimum C) dan sangat lemah (semua E)

"GPN adalah indeks yang digunakan bagi merumus pencapaian keseluruhan calon dalam peperiksaan serta ia dihitung berdasarkan lima gred pernyataan iaitu gred A (satu), B (dua), C (tiga) dan D (empat) dan E (lima).

"GPN dengan nilai terbaik bermula dari satu diikuti dua, tiga, empat dan terendah adalah lima," katanya ketika mengumumkan keputusan UPSR 2009 di sini, pagi tadi.

Seramai 517, 908 calon berdaftar untuk menduduki peperiksaan UPSR tahun ini yang berlangsung dari 8 hingga 10 September lalu.

Daripada jumlah itu, 510, 125 adalah calon sekolah Kementerian Pelajaran manakala 7,783 adalah calon sekolah swasta.

Beliau berkata, pencapaian calon luar bandar juga menunjukkan peningkatan, malah jurang pencapaian antara murid bandar dan luar bandar semakin berkurangan.

"Perbezaan bilangan calon bandar dan luar bandar yang mendapat gred A bagi semua mata pelajaran tahun ini ialah 3.64 peratus atau 14, 980 calon berbanding 4.22 peratus atau 16,241 calon tahun lalu.

"Begitu juga dengan perbezaan nilai GPN bagi murid di kawasan bandar dan luar bandar bagi tahun ini adalah lebih kecil iaitu 0.2 berbanding 0.22 pada tahun sebelumnya," katanya.

Alimuddin juga berkata, seramai 1,086 calon istimewa mengambil UPSR tahun ini iaitu dua kali ganda berbanding 664 calon tahun lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, 13 calon memperoleh gred A bagi semua matapelajaran, 11 (gred C) dan 59 (gred E) dengan jumlah keseluruhan nilai GPN sebanuak 3.75 mata berbanding 3.71 mata tahun lalu.

Alimuddin berkata, secara keseluruhan keputusan UPSR itu menunjukkan sistem pendidikan negara berada di landasan betul kerana ia lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

"UPSR dilaksanakan bertujuan mengukur tahap penguasaan murid dalam membaca, menulis, mengira dan menaakul (4M).

"Maklumat yang diperolehi ini dapat dijadikan petunjuk sejauh mana tahap penguasaan mereka dalam mata pelajaran yang ditawarkan sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah," katanya.

ASEAN perlukan pasaran bersepadu - Petronas


mohd. Hassan Marican (tengah) menyampaikan replika Menara Berkembar Petronas kepada Menteri Tenaga Thailand, Wannarat Channukul (kiri) di Bangkok, semalam.


BANGKOK 18 Nov. - Dengan permintaan terus meningkat bagi tenaga dan cadangan mewujudkan komuniti ekonomi tunggal ASEAN menjelang 2015, kesemua 10 negara anggota haruslah berusaha ke arah mewujudkan sebuah pasaran tenaga yang bersepadu, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican, hari ini.

"Kita tidak boleh berpuas hati untuk kekal sebagai 10 sistem tenaga, sedangkan kita telahpun menetapkan sasaran kita untuk mewujudkan sebuah komuniti ekonomi tunggal," katanya semasa Sidang Kemuncak CEO pada Persidangan dan Pameran Majlis ASEAN mengenai Petroleum Kesembilan di sini.

Mohd Hassan berkata, keuntungan tunggal yang paling penting untuk diraih daripada sebuah pasaran bersepadu itu adalah pengurangan kos dan tenaga diimport.

Menurut beliau, ini boleh dicapai melalui keupayaan memperuntuk perbelanjaan pelaburan prasarana tenaga yang lebih optimum di seluruh rantau ini.

Kos tenaga yang lebih rendah amat penting bagi mengekalkan daya saing ekonomi dan pada masa yang sama mempertingkat jaminan bekalan, katanya.

Penyepaduan itu, katanya, bukan sahaja bererti memasang lebih banyak saluran paip atau penyambungan elektrik, tetapi juga kerangka kerja bersama bagi kontrak pelbagai hala, penyesuaian piawaian teknikal, serta penyelarasan dasar-dasar tenaga nasional yang lebih teliti.

"Jika tidak diangkat ke tahap sistemik ini, kita mungkin membazirkan pelaburan dalam saluran paip, kemudahan LNG (gas asli cecair) dan penyambungan elektrik," katanya.

Mohd Hassan berkata, kejayaan kerjasama seperti pembangunan minyak bersama di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thai, Kawasan Persetujuan Komersial Malaysia-Vietnam dan kerjasama tiga pihak antara Indonesia, Vietnam dan Malaysia adalah contoh yang baik.

Menegaskan perlunya penyepaduan sedemikian, Mohd Hassan percaya negara-negara anggota sudah hampir mencecah had yang membolehkan mereka memenuhi keperluan tenaga dalam negara daripada kekayaan sumber hidrokarbon aslinya.

"Namun begitu, saya tidaklah menolak potensi besar yang wujud di kawasan-kawasan laut dalam dan sangat dalam," katanya sambil menambah bahawa banyak pengeksport tradisi minyak dan gas di sini sendiri akan beralih menjadi pengimport dalam dekad-dekad akan datang memandangkan banyak kawasan pembangunan yang semakin matang.

Selain itu, katanya kebergantungan kepada import tenaga mencetuskan cabaran-cabarannya sendiri, contohnya persaingan global bagi mendapatkan sumber, yang boleh menyebabkan bekalan dipegang oleh hanya segelintir pengeluar, serta terdedah kepada ancaman "dasar memilik negara atau perlindungan tenaga".

Menyebut kajian tentang masa depan tenaga bagi rantau ASEAN yang selesai baru-baru ini, Mohd Hassan berkata, kajian itu menunjukkan permintaan meningkat lebih sekali ganda dalam hanya 20 tahun dan sektor kuasa merupakan penyumbang terbesar kepada peningkatan ini. - Bernama

Filipina perlu bantuan AS$144 juta

NEW YORK 18 Nov. - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam merayu bantuan berjumlah AS$144 juta (RM504 juta) bagi membantu mangsa tiga taufan yang menjejaskan Filipina baru-baru ini, jumlah bantuan dua kali ganda berbanding permintaan asal, sebelum ini.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB semalam berkata, hanya sebanyak AS$26 juta (RM91 juta) telah diterima sebagai maklum balas rayuan awal yang dibuat awal Oktober lalu yang meminta sejumlah AS$74 juta (RM259 juta) bagi membantu sejuta mangsa banjir.

Bagaimanapun, jumlah yang diperlukan kini semakin meningkat.

Menurut OCHA, data terbaru kerajaan dan penilaian oleh agensi-agensi PBB serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendapati, kira-kira 4.2 juta daripada 10 juta mangsa terjejas akibat taufan memerlukan bantuan, termasuk lebih 520,000 kanak-kanak yang berumur di bawah lima tahun.

OCHA memaklumkan bahawa bantuan sebanyak AS$144 juta (RM504 juta) itu meliputi pembiayaan kerja bagi agensi-agensi PBB, Organisasi Migrasi Antarabangsa dan beberapa NGO bermula bulan ini hingga Mac tahun depan.

OCHA berkata, pihaknya turut mengambil berat nasib kira-kira 1.7 juta mangsa yang kehilangan tempat tinggal atau yang masih tinggal di kawasan yang mengalami banjir.

Agensi itu melaporkan bahawa kawasan-kawasan terlibat dengan banjir mungkin terus ditenggelami dalam tempoh tiga atau empat bulan lagi, sekali gus meningkatkan kebimbangan berlakunya penyebaran penyakit.

Menurut penilaian awal bersama oleh Jabatan Pertanian Filipina dan Pertubuhan Pertanian, antara 100,000 hingga 120,000 keluarga petani mengalami kerugian 100 peratus akibat kerosakan hasil pertanian dan aset.

Taufan Ketsana yang melanda Luzon Tengah pada 26 September lalu, mengorbankan 300 orang selain menjejaskan empat juta penduduk Filipina.

Seminggu kemudian, Taufan Parma membadai kawasan pergunungan utara Filipina, menyebabkan 400 maut, diikuti Taufan Mirinae yang melanda pada 31 Oktober, mengakibatkan kira-kira 30 terbunuh. - AP