Followers

Wednesday, July 7, 2010

Angin kencang barat laut dijangka Selasa hingga Khamis depan

KUALA LUMPUR: Angin kencang Barat Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Phuket, Thailand mulai Selasa hingga Khamis depan.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.
Sementara itu, ribut petir yang berlaku di perairan Langkawi, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dijangka berterusan sehingga lewat petang ini.
Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter yang berbahaya kepada bot kecil. - Bernama

Kes positif H1N1 menurun 30 peratus minggu lalu

KUALA LUMPUR: Jumlah kes positif Influenza A (H1N1) sepanjang minggu lalu sehingga 3 Julai mencatatkan penurunan 30 peratus kepada 42 kes berbanding 60 kes pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata jumlah itu menjadikan kes terkumpul 15,254 kes.
“Bagi tempoh 27 Jun hingga 3 Julai sebanyak lima kes kluster penyakit serupa influenza (ILI) dilaporkan berlaku di lima negeri iaitu Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pahang, membabitkan 821 pesakit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Daripada jumlah itu, katanya, 19 pesakit disahkan positif H1N1. Tidak ada kematian baru dilaporkan dalam tempoh berkenaan menjadikan jumlah kematian kekal pada 89 kes, katanya.

Beliau berkata, jumlah pesakit baru yang dimasukkan ke hospital akibat ILI juga menurun kepada 608 orang berbanding 610 pada minggu sebelumnya.

Sehingga Sabtu lalu, jumlah kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara ialah 390 kes membabitkan 69 hospital termasuk 14 hospital swasta.
"Daripada jumlah tersebut hanya 35 pesakit atau sembilan peratus adalah kes Influenza A(H1N1) dan 10 daripada mereka dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan enam daripadanya adalah individu berisiko," katanya.
Dr Mohd Ismail berkata, sehingga Isnin lalu, sebanyak 95.1 peratus vial vaksin digunakan, membabitkan 359,746 penerima yang terdiri daripada petugas-petugas Kementerian Kesihatan (97,930 orang), anggota keselamatan (92,694), dan kumpulan sasar berkeutamaan (169,122).

"Vaksin H1N1 juga atau hampir habis di kebanyakan negeri kecuali Johor yang masih terdapat lebih kurang 9,000 dos baki vaksin," katanya. - Bernama

FELDA teruskan tindakan mahkamah terhadap Suara Keadilan: PM

SUNGKAI: FELDA akan meneruskan tindakan mahkamah ke atas akhbar Suara Keadilan milik Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas notis saman menuntut ganti rugi RM200 juta dan permohonan maaf tidak diendahkan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Peneroka 2010 di sini hari ini, Perdana Menteri berkata notis tuntutan dengan tempoh tujuh hari itu tamat hari ini.
FELDA mengemukakan notis tuntutan itu selepas Suara Keadilan menyiarkan artikel bertajuk "FELDA bankrap" yang disifatkan sebagai fitnah.

Piala Dunia FIFA 2010 (separuh akhir): Uruguay 2, Belanda 3


PENYERANG Belanda, Arjen Robben (kanan) menjaringkan gol kedua pasukannya sambil dicabar pertahanan Uruguay pada perlawanan separuh akhir Piala Dunia FIFA 2010 diStadium Green Point, Cape Town, awal pagi tadi. Keputusan Uruguay 2, Belanda 3. - Foto AFP
PENYERANG Belanda, Arjen Robben (kanan) menjaringkan gol kedua pasukannya sambil dicabar pertahanan Uruguay pada perlawanan separuh akhir Piala Dunia FIFA 2010 diStadium Green Point, Cape Town, awal pagi tadi. Keputusan Uruguay 2, Belanda 3. - Foto AFP
CAPE TOWN: Belanda melayakkan diri ke final Piala Dunia FIFA 2010 selepas menundukan Uruguay 3-2 di Stadium Green Point, awal pagi tadi.

Belanda mendahului menerusi gol V Bronckhorst pada minit ke-18 sebelum Forlan menyamakan kedudukan untuk Uruguay pada minit ke-41.
Pada separuh masa kedua, Belanda meningkatkan asakan dan pada minit ke-70 Wesley Sneijder menjaring gol kedua.
Arjen Robben menambah satu lagi gol tiga minit kemudian untuk memberi kedudukan selesa kepada Belanda.

Uruguay memperoleh gol kedua selepas dua minit masa kecederaan hasil jaringan Pereira.

Sneijder yang bermain cemerlang sepanjang kejohanan ini dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Belanda akan menetang sama ada Jerman atau Sepanyol pada perlawanan akhir untuk menentukan juara Piala Dunia 2010.

Piala Dunia FIFA 2010: Uruguay 1, Belanda 1 (separuh masa pertama

CAPE TOWN: Uruguay dan Belanda seri 1-1 pada separuh masa pertama peringkat separuh akhir Piala Dunia FIFA 2010 di Stadium Green Point Sebentar tadi.
Belanda mendahului menerusi V Bronckhorst pada minit ke-18 sebelum Forlan menyamakan kedudukan untuk Uruguay pada minit ke-41