Followers

Wednesday, December 2, 2009

Kanak-kanak 7 tahun mangsa kelima banjir Kelantan

KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun lemas akibat tergelincir ke dalam sebuah parit dalam kejadian di Kampung Paloh, Pintu Geng dekat sini, menjadikan jumlah mangsa banjir yang maut di Kelantan meningkat kepada lima orang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Zahruddin Abdullah, berkata mangsa, Wan Muhammad Azafar Wan Ahmad, dipercayai bermain-main di kawasan itu bersama sepupunya sebelum tergelincir dan terjatuh.

"Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa dipercayai tergelincir dan lemas dibawa arus deras. Mangsa dihanyutkan air sehingga masuk ke dalam serombong di bawah jalan raya.

"Gerakan mencari menemui mayat mangsa jam 2.05 petang tadi kira-kira 150 meter dari tempat dia dipercayai terjatuh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab di sini untuk bedah siasat.

Sementara itu, Pegawai Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Darulnaim, Mohd Radhi Ibrahim, berkata pihaknya menerima pangggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 12.30 tengah hari dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

"Satu jentera bomba dengan kekuatan tujuh anggota dibantu lima anggota unit skuba Kota Bharu dikejarkan ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

"Pelbagai usaha dilakukan termasuklah mengorek jalan raya yang menutupi serombong laluan air bagi mencari mayat mangsa," katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Nik Faizah Nik Mat, 29, berkata, anak kedua dari empat beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian malang itu menimpanya.

"Azafar sememangnya seorang kanak-kanak yang agak pendiam dan tidak banyak bercakap. Sikapnya yang sememangnya begitu membuatkan saya tidak perasan sebarang perubahan pada dirinya sebelum dia pergi meninggalkan kami semua buat selamanya," katanya.

Bagaimanapun, katanya, sebelum kejadian itu beliau sempat melihat anaknya menjamah sarapan pagi sebelum keluar bermain bersama sepupunya, Mohd Izzat Azmi.

"Saya tidak menyangka dia keluar bermain berhampiran parit besar itu dan terkejut apabila tengahari tadi Mohd Izzat berlari ke rumah saya dan memberitahu anak saya terjatuh ke dalam parit," katanya.

Nik Faizah berkata, sebaik mengetahui kejadian itu beliau bergegas ke tempat kejadian dan turun ke dalam parit tersebut untuk mencari Azafar bagaimanapun beliau terpaksa naik semula ke permukaan jalan disebabkan arus yang terlalu deras ketika itu.

Sejak Kelantan dilanda banjir awal November lalu, sudah empat nyawa terkorban akibat lemas dan lima jajahan terbabit banjir iaitu Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Tumpat dan Kota Baharu. - Bernama

Kerajaan timbang kemampuan sebelum beli Eurocopter: PM

LANGKAWI: Malaysia melihat helikopter jenis Eurocopter EC725 sebagai pilihan terbaik bagi menggantikan helikopter Nuri untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tetapi pembeliannya tertangguh disebabkan kemampuan kewangan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC) telah meluluskan proses berhubung cadangan pembelian itu.

"Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Kementerian Pertahanan dan TUDM mahukan helikopter jenis ini dan kerajaan pun bersetuju. Daripada segi integriti, proses ini tidak boleh dipersoalkan, jadi, yang menjadi soal sekarang ialah kemampuan," katanya pada sidang akhbar di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri selepas melawat pameran dan menyaksikan majlis menandatangani beberapa perjanjian kontrak antara kerajaan dan syarikat dalam industri pertahanan sempena Pameran Maritim dan Udara Antarbangsa Langkawi (Lima 2009) hari ini.

Beliau ditanya bilakah urusan pembelian helikopter berkenaan dapat diselesaikan.

September lalu, Kementerian Pertahanan mengumumkan hasrat untuk membeli 12 Eurocopter EC725 berharga RM1.2 bilion tetapi sehingga kini, ia belum dilakukan.

Pada Disember tahun lalu, PAC menjalankan satu siasatan dan mendapati proses untuk membeli pesawat itu adalah mengikut peraturan dan mengesyorkan penubuhan sebuah panel bebas untuk menasihatkan kerajaan berhubung urusan pembelian itu.

Najib berkata kerajaan akan mengkaji kaedah berhubung kemampuan dan keupayaan kerajaan membeli pesawat itu.

"Dari segi prestasinya, helikopter ini mempunyai kemampuan yang tinggi dalam kelasnya," kata Perdana Menteri. - Bernama

Pulau Pinang larang kakitangan sertai program BTN

GEROGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang hari ini melarang semua kakitangannya daripada mengikuti Biro Tata Negara (BTN), berkuat kuasa serta merta.

Keputusan itu diumumkan Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman, pada sidang media di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, satu usul akan dibentangkan penyokong kerajaan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Persidangan DUN petang ini.

Katanya, semua kakitangan dihantar mengikuti kursus yang disediakan kerajaan negeri sejak mengambil alih pemerintahan negeri itu.

Muhyiddin lancar Standard Guru Malaysia

TAWAU: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebentar tadi melancarkan Standard Guru Malaysia (SGM) di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Tawau di Balung dekat sini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, SGM adalah garis panduan bagi pembangunan profesionalisme guru berasaskan tahap kecekapan yang diperlukan.

Katanya, pelaksanaannya adalah berpandukan dua elemen iaitu standard dan keperluan.

"Semua guru boleh menggunakan SGM untuk mengukur dan menaksir prestasi kendiri, di samping menentukan keperluan latihan serta perkembangan profesional kerjaya berasakan prinsip pembangunan kerjaya berterusan," katanya.

Banjir di Terengganu bertambah buruk

KUALA TERENGGANU: Banjir di Terengganu bertambah buruk dengan lebih ramai mangsa daripada empat daerah dipindahkan dan beberapa jalan ditutup kepada kenderaan mulai pagi ini.

Sehingga jam 9 pagi ini, jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat kepada 561 orang berbanding 422 malam tadi membabitkan daerah Dungun seramai 81 orang, Marang (321), Hulu Terengganu (25) dan Kuala Terengganu (136) orang.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (JKM) Terengganu berkata setakat ini 13 pusat pemindahan dibuka iaitu di Dungun (tiga), Marang (lima), Hulu Terengganu (satu) dan Kuala Terengganu (dua).

Kebanyakan pusat pemindahan ialah di sekolah, balai raya, dewan sivik dan surau, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak sembilan batang jalan negeri membabitkan daerah Marang, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu ditenggelami air antara 0.3 meter dan 1.5 meter, ditutup sama ada kepada semua kenderaan atau kepada kenderaan ringan sahaja.

Paras air Sungai Setiu, di Kampung Bukit meningkat kepada 13.16 meter melebihi paras 12 meter manakala sungai lain masih di tahap biasa. - Bernama

Keputusan permohonan Chin Peng perlu ikut suara ramai: Dr Mahathir

LANGKAWI: Keputusan untuk membenarkan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaysa (CPM), Chin Peng, untuk balik ke Malaysia perlu mengikut suara ramai, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, beliau sendiri akan bersetuju dengan apa yang diputuskan oleh orang ramai.

"Saya kena ambil kira perasaan orang. Kalau orang suka tiada masalahlah, tapi kalau orang tak suka apa nak buat," katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (Lima '09) di Dewan Pameran Mahsuri Antarabangsa (MIEC) di sini hari ini.

Diminta mengulas kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor, bahawa Chin Peng berhak kembali ke Malaysia sekurang-kurang secara lawatan sosial di bawah Perjanjian Damai Haadyai, Dr Mahathir berkata perjanjian itu perlu diperjelaskan kepada masyarakat.

"Kena terang dengan orang ramai dahululah, kata dah janji," katanya.

Isu mengenai Chin Peng timbul apabila beliau menyatakan hasrat untuk pulang ke tanah air bagi menziarahi keluarganya di Sitiawan, Perak, tetapi ini dibantah keras khususnya oleh bekas anggota tentera yang pernah berdepan dengan kekejaman komunis dahulu.

Kerajaan telahpun menyatakan pendirian bahawa ia bertegas tidak akan membenarkan bekas pemimpin komunis itu pulang. - Bernama

Buku teks lebih baik daripada buku rujukan: Puad

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu buku teks yang digunakan di sekolah adalah lebih baik daripada buku rujukan komersial.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata buku rujukan komersial lebih berorientasikan peperiksaan semata-mata berbanding buku teks yang dipilih, ditulis, disusun dan disesuaikan selaras dengan Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran.

"Penyediaan buku teks juga disusun dengan pelbagai kaedah pedagogi pengajaran dan pembelajaran bagi tujuan mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk memperkembangkan potensi individu secara holistik dan bersepadu.

"Hal ini juga untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmoni daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Oleh itu, buku teks yang digunakan di sekolah lebih baik dari buku rujukan komersial," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang meminta kementerian menyatakan sejauh mana kebenaran buku rujukan komersial lebih baik daripada buku teks yang digunakan di sekolah.

Menjawab soalan tambahan Ismail sama ada buku teks yang digunakan di sekolah tidak merangsang kefahaman pelajar dan sama ada proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah Cina lebih baik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Mohd Puad berkata untuk merangsang kefahaman pelajar ia bergantung kepada kaedah pengajaran guru.

"Sebenarnya buku teks dikaji setiap dua tahun sekali dan jika ada keperluan untuk membuat perubahan, kita akan buat. Selain buku teks, kita juga menyediakan buku bacaan tambahan.

"Jadi tak benarlah dikatakan buku teks kita lapuk dan ketinggalan tapi dalam soal tak merangsang pelajar, ia bergantung pada keupayaan guru untuk memberi kefahaman pada pelajar menggunakan sumber dari buku teks itu.

"Soal kaedah pengajaran di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC), kita kena faham bahawa banyak pandangan diberi dalam perkara ini. Kejayaan cemerlang di SRJKC adalah kerana mereka mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda mereka, sebab itu kita tak teruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris," katanya.

Menjawab soalan tambahan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang ingin tahu sama ada fakta sejarah yang sebenar tidak dicatatkan dalam buku sejarah, Mohd Puad berkata perkara itu adalah tidak benar.

"Kita tidak politikkan sebab kita gunakan pakar-pakar dari universiti dan guru-guru pakar yang akan meneliti fakta dalam sejarah. Kita tidak akan ubah fakta untuk menyenangkan hati dua atau tiga orang," katanya. - Bernama

Kerajaan unjur KDNK tumbuh 5 peratus tahun depan

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengunjurkan pertumbuhan lima peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun depan yang dipacu sektor swasta, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

"Pertumbuhan itu tidak ada kaitan dengan defisit bajet," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Persidangan Pasaran Bon Asia 2000, di sini.

Mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Husni berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua pemegang kepentingan, termasuk peserta dalam sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan.

"Kami akan menjelaskan kepada rakyat," katanya.

Husni berkata, GST diperkenalkan kerana terdapat keperluan untuk mewujudkan sistem percukaian yang lebih cekap.

"GST yang dilaksanakan di 143 negara, akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada," katanya. - Bernama

Ribut petir, hujan lebat di Pantai Timur hingga Jumaat

KUALA LUMPUR: Penduduk di kawasan Pantai Timur dijangka terus mengalami hujan lebat sehingga pagi Jumaat ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, keadaan itu yang dikategorikan sebagai peringkat jingga, diramal berterusan.

Kawasan terbabit ialah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman di Terengganu manakala di Kelantan pula ialah Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli.

Hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat dari semasa ke semasa peringkat kuning pula dijangka turun di Kelantan (Kota Baharu, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai), Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin), Kedah (Baling, Sik, Padang Terap dan Kubang Pasu), Johor (Mersing), Perlis, dan Perak (Hulu Perak).

Keadaan itu boleh menyebabkan banjir di kawasan yang berkedudukan rendah berdekatan tebing sungai.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama yang dijangka melanda perairan Condore dan Samui (Kelantan dan Terengganu) bermula Jumaat ini dan berterusan hingga dua hari kemudian, menyebabkan kawasan Pantai Timur Semenanjung (Kelantan dan Terengganu) terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut dan berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Ribut petir yang berlaku di perairan Pahang, Terengganu dan Kelantan dijangka berterusan sehingga malam ini. - Bernama

Jemaah haji Malaysia mula pulang esok

MAKKAH: Jemaah haji Malaysia mula pulang esok dengan penerbangan pertama dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah pada 7 pagi waktu tempatan (12 tengah hari waktu Malaysia).

Menurut jurucakap Tabung Haji di sini, pesawat sewa khas itu yang membawa seramai 450 jemaah haji dijangka tiba di Lapangan Terbangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8.40 malam esok.

Penerbangan kedua pula dijangka berlepas pada 3 petang (8 malam waktu Malaysia) dan dijangka tiba di KLIA pada 7.55 pagi Jumaat.

Penerbangan terakhir yang membawa pulang jemaah haji Malaysia dijangka berlepas pada 2 Januari.

Seramai 26,000 rakyat Malaysia menunaikan ibadat haji musim ini. - Bernama

Tentera AS tetap tinggalkan Iraq 2011: Obama


WEST POINT, New York: Presiden Barack Obama mengulangi ikrar bahawa semua tentera Amerika Syarikat akan meninggalkan Iraq menjelang akhir 2011 seperti dirancang walaupun ketidaktentuan berhubung penganjuran pilihan raya umum di negara itu.

“Hari ini selepas kos yang amat tinggi, kita membawa peperangan Iraq kepada penamatan secara yang bertanggungjawab," kata Obama kepada kadet tentera yang berhimpun di akademi tentera terkemuka, West Point, ketika beliau mengumumkan strategi baru di Afghanistan.

“Kita akan membawa keluar briged tempur kita dari Iraq menjelang akhir musim panas akan datang dan semua tentera menjelang akhir 2011," katanya sambil memuji pengorbanan askar AS.

Namun, terdapat kebimbangan kerana ketidaktentuan berhubung tarikh pilihan raya yang dirancang pada Januari akan memaksa jadual pengunduran tentera AS dilanjutkan.

Pilihan raya itu menjadi tidak pasti selepas Naib Presiden Iraq, Tareq al-Hashemi, menggunakan kuasa veto membatalkan perundangan baru berhubung pilihan raya beberapa hari selepas ia diluluskan.

Suruhanjaya pilihan raya Iraq pula menyatakan ia menghentikan tugas buat sementara waktu, sekali gus bermakna pemilihan akan ditunda.

Pilihan raya itu dilihat penting untuk pengutuhan demokrasi Iraq sebelum pengunduran tentera AS. - AFP

Gempa sederhana landa Maluku

JAKARTA: Gempa sederhana 5.2 Richter awal pagi di Pulau Ternate, Maluku tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa berlaku jam 4.32 pagi (2032 GMT), di ke dalaman 10 kilometer dengan gegaran berpusat di 244 kilometer di barat daya Ternate. - AFP