Followers

Saturday, July 24, 2010

Malaysia bersedia hadapi ketidaktentuan ekonomi dunia: Mukhriz

SUNGAI PETANI: Pertumbuhan ekonomi negara memberangsangkan yang mencapai dua angka bagi suku pertama tahun ini menunjukkan perancangan kerajaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi dunia membuahkan hasil, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Bagaimanapun, beliau berkata pertumbuhan 10.1 peratus yang dicapai bagi tempoh itu, iaitu yang terbaik dalam tempoh 10 tahun ini, tidak menjadikan kerajaan berada dalam situasi selesa.
"Kerajaan sentiasa memantau ekonomi serta perdagangan global dan mengambil langkah tegas untuk menghadapi kemungkinan 'double dip' iaitu krisis kewangan global yang berulang.
"Kita tidak terjejas oleh krisis ini kerana tidak terbabit dengan pinjaman berbentuk spekulatif sebagaimana diamalkan kebanyakan syarikat di Amerika Syarikat," katanya dalam satu sesi dialog dengan 60 wakil pengilang dan industri Bumiputera Kedah di sini, hari ini.

Mukhriz berkata, pakej rangsangan ekonomi negara bernilai RM67 bilion yang memberi tumpuan kepada pembangunan prasarana membantu menyelamatkan keadaan apabila kerajaan China turut melaksanakan pakej rangsangan ekonominya.

"Hasilnya kita menerima banyak tempahan dari China dan eksport kita ke negara ekonomi terbesar itu meningkat 26 peratus untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini," katanya.

Beliau berkata, usahawan Malaysia dan China masih mempunyai ruang yang luas untuk meningkatkan kerjasama menghasilkan produk bagi memenuhi pasaran Eropah pada harga kompetitif.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Mukhriz berkata antara langkah bagi menghadapi tempias "double dip" ialah dengan memberi tumpuan kepada pelaburan domestik dan mencari pelaburan dalam bidang khusus seperti industri solar.

"Kita menyediakan prasarana terbaik untuk menarik pelaburan berbilion ringgit yang akan membuka minat pelabur lain seperti dalam industri hijau yang mana kita memiliki segala keperluan mereka.

"Walaupun 'double dip' belum berlaku, kita telah berusaha membuat persediaan supaya ekonomi negara tidak terjejas jika ia berlaku," katanya. - BERNAMA

Korea Utara isytihar 'perang suci' terhadap AS, Korea Selatan

SEOUL: Korea Utara menegaskan ia akan memulakan "perang suci" terhadap Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan "pada bila-bila masa diperlukan" berdasarkan keupayaan nuklearnya sebagai tindak balas ke atas latihan ketenteraan "semberono" pihak bersekutu.

Korea Utara meningkatkan ketegangan di Semenanjung Korea pada tahap tertinggi baru selepas Seoul menuduh Pyongyang menenggelamkan kapal perangnya Mac lalu yang mengorbankan 46 kelasi dan meningkatkan pertahanannya termasuk mengadakan latihan ketenteraan bersama AS.
Pyongyang sebelum ini sekadar menyatakan kemarahan terhadap latihan ketenteraan sedemikian tetapi pegawai AS berkata provokasi lanjutan mungkin dilakukan Pyongyang, terutama ketika Korea Utara cuba meningkatkan momentum bagi peralihan kuasa anak Kim Jong-il.
Tentera AS dan Korea Selatan akan memulakan latihan ketenteraan besar-besaran esok dengan kapal induk berkuasa nuklear akan mengambil bahagian selain merancang latihan tambahan bulan depan. - Reuters

Pembangkang hanya pandai tabur janji: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini menyifatkan pembangkang hanya pandai berkata-kata seperti burung kakak tua, manakala kerajaan pimpinan mereka di Selangor hanya pandai membuat janji tanpa memikirkan adakah ia mampu ditunaikan atau sebaliknya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pelbagai masalah yang membelenggu kerajaan Selangor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, seperti isu pasir dan kegagalan mengurus ekonomi, membuktikan mereka hanya pandai berkata-kata.
"Ini satu keadaan yang begitu teruk. Mereka tidak mampu mengurus ekonomi negeri walaupun mereka katakan kerajaan mereka cekap, membela rakyat dan boleh membuat apa saja untuk menentukan rakyat hidup dengan selesa.
"Tetapi sebenarnya mereka hanya bercakap, cakap mereka tidak serupa bikin, cakap pihak pembangkang tak serupa bikin. Mereka pandai berkata-kata seperti burung kakak tua...dia boleh menyanyi tapi dia tidak tahu apa yang dia buat," katanya ketika berucap merasmikan Program Juara Rakyat peringkat Parlimen Wangsa Maju di Pasar Besar Gombak, Batu 5, Jalan Gombak di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wangsa Maju, Datuk Dr Mohd Shafie Abdullah, dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Syed Ali Al-Habshe.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, kegagalan itu memberi kesan besar kepada negara, khususnya Selangor di mana keyakinan pelabur mulai menyusut dan mula beralih arah ke tempat lain.

"Apakah boleh yakin dan percaya kepada pemimpin seperti ini. Setiap hari mereka pergi ke seluruh pelusuk negara mencaci hamun dan membuat pembohongan kepada kerajaan.
"Saya mahu supaya rakyat sedar, jangan rosakkan masa depan dengan mempercayai tohmahan, tuduhan yang dibuat sedangkan mereka sendiri tidak berkemampuan dan tidak berkeupayaan dan gagal untuk menguruskan kerajaan dan tak mampu tunai apa yang dijanjikan," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan janji pembangkang dan perlu lebih bijak dalam menilai sumbangan dan perjuangan yang kerajaan BN laksanakan menerusi UMNO dan parti komponen lain.

Katanya, kerajaan BN dan UMNO juga sudah membuktikan kepada rakyat bahawa mereka sudah berubah dan mula perbaiki kekurangan lampau, contohnya pelaksanaan Program Juara Rakyat di mana pemimpin tanpa mengira kedudukan kini turun ke bawah bagi mendekati dan memahami permasalahan rakyat.

Beliau berkata, setelah menjanjikan rakyat dengan pelbagai janji indah dan gagal menunaikannya, pembangkang mula membuat pelbagai tuduhan seperti menuduh kerajaan BN sebagai kerajaan perkauman.

"Tetapi macam mana nak kata kerajaan BN perkauman kerana di dalamnya ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dusun dan pelbagai lagi, sedangkan kerajaan mereka tak ada semua itu," katanya.

Pada program itu, Muhyiddin turut meluluskan peruntukan RM5 juta bagi menaik taraf bangunan pangsapuri Taman Melati di Wangsa Maju yang didiami kira-kira 10,000 penghuni.

Timbalan Perdana Menteri bersama rombongannya turut melawat ke pangsapuri berkenaan dan meluangkan masa kira-kira setengah jam beramah mesra bersama penduduk. - BERNAMA

Kurikulum seragam untuk tingkat kualiti program Permata: Rosmah

IPOH: Program Asuhan dan Didikan Kanak-Kanak (Permata) telah mendokumenkan garis panduan untuk kurikulum Permata bagi menyeragamkan aktiviti dan kualiti pembelajaran yang disediakan kepada kanak-kanak di bawah program itu.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Program Permata, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata garis panduan itu ialah Garis Panduan Peralatan Luar, Panduan Pelaksanaan Aktiviti Anak Permata dan beberapa dokumen lain yang akan menjadi prosedur operasi standard (SOP) Permata.
"Inisiatif ini diambil bagi tujuan meningkatkan standard dan kualiti asuhan dan didikan, kami telah mengambil inisiatif mendokumenkan beberapa garis panduan bagi membantu rakan-rakan pelaksana yang berminat untuk mengguna pakai kurikulum Permata.
"Bagaimanapun, oleh kerana program ini adalah program baru, terdapat juga beberapa interpretasi yang diberikan kepada garis panduan yang telah disediakan," katanya ketika berucap merasmikan Permata Bercham di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Penyelaras Pusat Anak Permata Perak, Senator Heng Seai Kie; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; isteri Menteri Besar, Datin Seri Saripah Zulkifli; dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim.

Rosmah berkata, selain memberikan penekanan kepada pendidikan berkualiti, garis panduan itu juga menitikberatkan strategi yang sesuai dan berkesan untuk memupuk perpaduan.

Katanya, bagi memastikan kurikulum yang diguna pakai bukan sahaja boleh memberikan asuhan dan didikan yang baik, kurikulum Permata telah ditambah nilai dengan memasukkan elemen kepelbagaian budaya dan pemikiran kreatif.
Selain itu, katanya, bagi memastikan teknik pembelajaran mengikut kurikulum Permata dapat disampaikan dengan lebih berkesan, Permata juga telah menyediakan peluang kepada pendidik untuk mengikuti Kursus Asas Permata selama enam minggu.

"Pelaksanaan Taska Permata ini dianggap sebagai usaha agresif kerajaan dalam melahirkan modal insan terbaik yang bermula dari pendidikan awal," katanya.

Justeru itu, Rosmah berkata Permata sentiasa memastikan kurikulumnya dapat membentuk sahsiah, keperibadian dan jati diri yang diingini bagi memupuk perpaduan berorientasikan suasana Malaysia.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat telah memperuntukkan sebanyak RM3.64 juta kepada semua kerajaan negeri untuk memperluaskan pelaksanaan program Permata tahun ini.

Katanya, dengan peruntukan itu, bilangan Taska Permata di seluruh negara dijangka meningkat kepada 647 buah dalam tempoh dua tahun sejak penubuhannya pada 2008.

"Tahun lalu sahaja, program Permata telah menunjukkan perkembangan pesat dengan penubuhan 427 Taska Permata di seluruh negara dengan penyertaan 17,000 kanak-kanak berusia antara satu hingga 4 tahun.

"Dengan sambutan yang menggalakkan ini, Permata mampu diperluaskan lagi bagi memberi peluang kepada kanak-kanak dalam usia tersebut menerima pendidikan awal menerusi Taska Permata," katanya. - BERNAMA

Swasta perlu lebih prihatin bina prasarana mesra OKU: Rosmah

IPOH: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, hari ini menggesa sektor swasta supaya lebih prihatin terhadap keperluan serta kepentingan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam menyediakan sebarang bentuk prasarana atau perkhidmatan.
Katanya, masih terdapat banyak prasarana yang dibangunkan serta perkhidmatan yang disediakan tidak mengambil kira kepentingan golongan OKU sehingga menyukarkan pergerakan mereka.
"Saya menyeru agar warga korporat tampil membantu pihak kerajaan membela golongan OKU dengan menjadikan ia sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat mereka," katanya.
Beliau berucap merasmikan Karnival Jualan Produk Pusat Dalam Komuniti (PDK) dan Pertandingan Talentime OKU Piala Perdana Menteri Peringkat Negeri Perak 2010 di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini.

Rosmah juga berharap lebih banyak syarikat swasta mengikut jejak kerajaan dalam menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan OKU yang berkelayakan dan berkebolehan tanpa mengambil kira kekurangan fizikal mereka.

Katanya, Badan Amal dan Usaha Isteri Wakil Rakyat Perak (Baiduri) serta pertubuhan bukan kerajaan menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan dalam usaha mewujudkan sebuah masyarakat OKU yang mampu berdikari, berwawasan serta berjaya menjadi modal insan yang mampu menyumbang kepada proses pembangunan negara.

Mengenai program itu, beliau berkata ia memberi peluang mencungkil bakat OKU dan diketengahkan kepada masyarakat, manakala karnival itu pula akan membantu memasarkan produk PDK yang dihasilkan golongan OKU secara lebih meluas.
"Saya pasti ia akan membantu meningkatkan lagi taraf hidup serta ekonomi mereka untuk terus berdikari dalam mengharungi cabaran kehidupan seharian," katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Rahman Hashim; Yang Dipertua Baiduri, Datin Seri Saripah Zulkifli; dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Perak, Chong Phaik Kee. - BERNAMA

Pengusaha hotel wajar dapatkan sijil halal: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Adalah baik bagi pengusaha hotel yang mempromosi pelbagai juadah di bulan Ramadan agar memohon sijil halal supaya tidak menimbulkan sebarang syak wasangka di kalangan umat Islam, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, nasihat Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Mohammad Sheikh Abdul Aziz, semalam perlu diberi perhatian pengusaha, baik hotel atau restoran.
"Kalau hotel, ia mesti asingkan dapur yang halal dan dapur yang bukan halal. Kalau itu dibuat barulah tidak timbul prasangkan bahawa ini tidak halal. Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan banyak hotel ambil kesempatan mempromosi makanan.
"Jadi untuk mengelak itu (prasangka) saya fikir elok mereka bukan saja mohon kepada JAKIM tapi mereka harus patuh. Kalau sudah halal dia mesti patuh dan kalau belum halal kena pohon sijil halal," katanya.

Semalam, Wan Mohammad berkata JAKIM menggalakkan pengusaha hotel memohon sijil halal sebelum Ramadan ini bagi menjamin keselesaan umat Islam berbuka puasa di premis mereka. - BERNAMA

Akta Kebankrapan akan dipinda untuk beri usahawan tulen peluang kedua: TPM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meminda Akta Kebankrapan 1967 bagi memberi peluang kedua kepada ahli perniagaan tulen yang jatuh muflis akibat faktor luar kawalan untuk kembali berniaga, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, di bawah peruntukan akta sedia ada situasi "once bankrupt, always a bankrupt" akan berlaku, dan ia menyebabkan ahli perniagaan berkenaan disenaraihitamkan.
Namun, katanya, peluang kedua itu tidak diberikan kepada semua ahli perniagaan yang muflis tetapi hanya kepada golongan usahawan tulen yang perlu melalui satu proses, hingga usaha dan kemampuannya membaiki kedudukan kewangan syarikat diyakini.
"Akta Kebankrapan akan dipinda, agar boleh memberikan ruang supaya mereka yang mahu berniaga yang 'genuine'. Dia bankrap kerana ekonomi jatuh, persaingan, dan sebab itu, kerana ekonomi sudah pulih balik, dia patut ada peluang kedua," katanya.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Desa 2010 anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Stadium Bukit Jalil, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan meneliti dan mengkaji kenapa kes kebankrapan boleh terjadi, termasuk di kalangan usahawan muda supaya ia tidak menjadi satu trend yang tidak terkawal.

"Kajian akan dibuat untuk mengenal pasti punca kebankrapan itu sama ada disebabkan oleh kurangnya pengalaman maka syarikat mereka rugi ataupun mereka tidak berupaya membayar balik pinjaman dan seterusnya diisytiharkan bankrap," katanya.
Beliau juga menasihatkan pemilik kad kredit supaya merancang penggunaan kad itu dengan baik supaya tidak disalah guna ataupun terlebih guna hingga tidak mampu membayar balik. - BERNAMA

Mayat bayi baru lahir ditemui dalam tong sampah

KUALA LUMPUR: Mayat bayi perempuan baru lahir yang dibungkus dalam beg plastik ditemui bersama longgokan sampah di Flat Sri Kelantan, Bandar Baru Sentul di sini, malam tadi.
Mayat yang masih bertali pusat dan diselimut dengan kain batik itu ditemui dalam tong sampah pada jam 10 malam tadi oleh pengutip barangan lusuh ketika menggeledah tong sampah di flat itu.
"Ketika lelaki itu menggeledah tong sampah untuk mencari barang yang boleh dikitar semula, dia menemui satu bungkusan plastik yang berisi mayat bayi itu bersama urinya," kata Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan bayi itu dibuang dalam tempoh kurang dari empat jam sebelum mayatnya ditemui.

Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Kawasan luar bandar aset penting negara: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan mengabaikan pembangunan dan kemajuan kawasan luar bandar kerana kawasan luar bandar adalah aset penting negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, kerajaan akan terus memberi perhatian kepada usaha menaikkan taraf hidup masyarakat luar bandar dan meningkatkan pembangunan di kawasan berkenaan.
Katanya, kerajaan juga akan terus membantu usahawan dan industri desa melalui bantuan pembangunan infrastruktur, bantuan latihan, bantuan modal, pinjaman mudah serta lain-lain lagi.
Muhyiddin berkata, kerajaan mahu membangunkan desa-desa yang berdaya maju dan berdaya saing yang memberi peluang hidup kepada rakyat agar mereka tidak perlu berhijrah ke kawasan bandar mencari nafkah hidup dan peluang ekonomi.

"Sebab itu kita harus jaga aset ini. Setiap satu unit di luar bandar kita anggap sebagai unit ekonomi...maknanya ia boleh menghasilkan pendapatan sendiri...dan boleh menyokong program mereka dengan sokongan dan bantuan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Usahawan Desa 2010 anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil, di sini hari ini. - BERNAMA

Gegaran gempa Sumatera dirasai di pantai Barat Semenanjung

KUALA LUMPUR: Gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter berlaku di utara Sumatera, Indonesia pagi ini dan gegarannya turut dirasai di kawasan pantai barat Semenanjung.
Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dikeluarkan berikutan kejadian itu.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa bumi itu berlaku 10.11 pagi, berpusat di 40 kilometer (km) tenggara Padang Sidempuan, Indonesia, dan 307 km tenggara Klang, Selangor.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Wilayah Persekutuan, Azizan Ismail, berkata pihaknya menerima beberapa panggilan daripada pengurus bangunan di sekitar ibu negara yang memaklumkan berlakunya gegaran kecil.

"Antaranya bangunan yang menempatkan bank, hotel dan beberapa pangsapuri. Turut merasai gegaran kecil ialah ibu pejabat bomba Kuala Lumpur di Jalan Maharajalela," katanya sambil menambah pihak pengurusan bangunan dinasihatkan membuat pemeriksaan sendiri.

Azizan berkata, beliau dimaklumkan pengurus bangunan juga tidak meminta penghuni untuk mengosongkan bangunan.

"Pihak bomba akan memantau perkembangan tersebut melalui maklumat terkini Jabatan Meteorologi," katanya. - BERNAMA

2 maut, 4 parah kereta rempuh lori di Telupid

SANDAKAN: Dua maut dan empat lagi mengalami cedera parah apabila kereta yang mereka naiki hilang kawalan dan merempuh belakang sebuah lori muatan sawit di KM66, Jalan Beluran–Telupid hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Mohd Razali Awang Ahmad, berkata pemandu kereta itu Wahid Abdullah, 37, dan penumpang kereta itu yang dikenali sebagai Junjung Mohammad meninggal dunia di tempat kejadian.
"Empat lagi yang mengalami cedera parah ialah isteri Wahid, Aibah Mashud, 37, anak lelaki mereka, Adzmir Wahid, 3, manakala dua lagi penumpang lelaki belum dikenal pasti identiti mereka," katanya kepada pemberita di sini.
Mohd Razali berkata, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Beluran untuk rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil manakala mangsa yang maut juga dihantar ke hospital yang sama untuk bedah siasat.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai nahas jalan raya itu pada jam 8.09 pagi dan menghantar sebuah jentera bersama lima anggota ke tempat kejadian.

"Anggota bomba mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kereta tersebut yang remuk di bahagian depan dan kanan pemandu.

"Berdasarkan siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta yang dinaiki mangsa yang menuju ke arah Sandakan hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang lori sawit yang berada di depan," katanya. - BERNAMA