Followers

Tuesday, November 3, 2009

Bahasa Jepun akan diperluas ke semua sekolah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran merancang menambah lebih banyak sekolah berasrama penuh dan sekolah menengah harian yang mengajar bahasa Jepun sebagai bahasa ketiga selepas bahasa Melayu dan Inggeris.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata untuk itu setiap tahun kementerian akan menambah tenaga pengajar bahasa Jepun di sekolah-sekolah terbabit.

"Setiap tahun kita akan menambah kelas bahasa Jepun di sekolah-sekolah berasrama penuh dan menengah harian apabila pelajar-pelajar kita yang belajar di Jepun pulang ke tanah air," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Forum Universiti Osaka 2009 di sini.

Alimuddin berkata, sehingga kini tenaga pengajar dalam bahasa-bahasa antarabangsa masih tidak mencukupi kerana permintaan itu bukan sahaja wujud di sekolah-sekolah, malah di kementerian dan jabatan kerajaan.

"Sehingga tahun lalu, sebanyak 43 sekolah berasrama penuh dan 29 sekolah menengah harian terbabit dalam program bahasa Jepun yang menjadikan Malaysia sebagai negara ke-12 teramai mempelajari bahasa Jepun di dunia," katanya.

Forum dua hari yang bermula hari ini itu dihadiri tenaga pengajar bahasa Jepun dari Malaysia, Thailand, Filipina, India dan Singapura bagi membincang dan membentangkan pelbagai isu berhubung pendidikan dan bahasa.

Ditanya mengenai siasatan berhubung tragedi jambatan gantung yang runtuh di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang, Kampar pada 26 Oktober lalu, Alimuddin berkata jawatankuasa khas itu akan mengadakan mesyuarat kedua pada Isnin depan.

"Mesyuarat kedua itu akan diadakan pada Isnin depan dan kita jangka dalam minggu akan datang kita akan dapat serahkan laporan siasatan kepada Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran)," katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa khas yang dianggotai wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), Polis dan wakil kerajaan Negeri Perak itu telah mengadakan mesyuarat pertamanya minggu lepas.

Dalam kejadian itu, dua pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Di Awan dan seorang pelajar SJKT Gopeng mati lemas selepas jambatan gantung yang menghubungkan Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang dan Pusat Kokurikulum Daerah Kampar runtuh. - Bernama

Jemaah haji tempatan, petugas diberi vaksin H1N1

MAKKAH: Kementerian Kesihatan Arab Saudi mula memberikan vaksin kepada jemaah haji tempatan dan petugas di Makkah dan Madinah sebagai langkah mencegah penularan selesema babi (H1N1).

Penolong Timbalan Menteri Kesihatan untuk Perubatan Pencegahan, Dr Ziad Al-Memish, berkata walaupun vaksin bukanlah wajib bagi jemaah haji tempatan tetapi mereka disaran mengambilnya 10 hari sebelum menunaikan haji.

Seramai 7,000 orang telah dihidapi selesema babi yang menyebabkan 62 kematian di Arab Saudi.

Semalam, Kementerian Kesihatan Arab Saudi telah memberikan vaksin itu kepada 74 pusat kesihatan di 18 wilayah yang ada pesakit disyaki menghidapi selesema babi.

Dr Ziad berkata, mesin pengawasan bergerak telah diedarkan kepada pegawai kesihatan yang bertugas suci bagi memantau penularan virus itu.

Katanya, sebuah Pejabat Pemerintah Pusat akan diwujudkan bagi memantau penularan virus itu melalui rangkaian berkenaan.

"Kita sedang berusaha dengan giatnya untuk menjadikan musim haji ini bebas daripada selesema babi," katanya.

Kira-kira dua juta jemaah menunaikan haji setiap tahun.

Arab Saudi membenarkan jemaah tempatan menunaikan ibadah haji hanya sekali setiap lima tahun untuk mengelakkan kesesakan. - Bernama