Followers

Tuesday, December 1, 2009

Amaran hujan lebat di dua daerah Terengganu

KUALA LUMPUR: Hujan sekejap-sekejap dan kadangkala lebat dijangka berlaku di Marang dan Dungun sehingga esok dan boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah berdekatan tebing sungai.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Meteorologi menyatakan hujan sekejap-sekejap dan kadangkala lebat dari semasa ke semasa juga dijangka turun di daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Kemaman di Terengganu dan di daerah Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang serta di daerah Mersing, Johor sehingga esok.

Angin kencang Timur Laut sehingga mencapai kelajuan 40-50 kilometer sejam dengan keadaan ombak setinggi 3.5 meter pula dijangka berlaku di perairan Condore dan Samui (Kelantan dan Terengganu) dari Jumaat sehingga Ahad ini.

Dengan itu, kawasan pantai di Kelantan dan Terengganu terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut sepanjang waktu itu.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada bot kecil dan sukan laut. - Bernama

Satu laluan dibuka di kawasan tanah runtuh Ranau

KOTA KINABALU: Hanya satu laluan dibuka untuk kenderaan di KM65, Jalan Kota Kinabalu-Ranau yang terjejas akibat tanah runtuh awal pagi ini, kata Jurutera Eksekutif Jabatan Kerja Raya Kota Kinabalu, Vincent Chua.

"Kami terpaksa membuat tembok untuk memerangkap sisa runtuhan agar tidak menutupi keseluruhan jalan.

"Tanah dan batu masih menuruni bukit kerana hujan sejak tengah hari tadi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada kejadian kira-kira pukul 1 pagi, Chua berkata tanah runtuh setinggi 50 meter dan lebar 10 meter yang berlaku berikutan hujan lebat semalam telah menutupi kawasan jalan raya sepanjang 100 meter.

Katanya, sekiranya keadaan tanah runtuh itu bertambah buruk, satu laluan alternatif tidak jauh dari kawasan itu akan dibuka.

Bagaimanapun, beliau berkata laluan alternatif itu hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda. - Bernama

Sekolah disaran adakan peperiksaan vernakular

KLANG: Sekolah dicadang menjalankan peperiksaan vernakularnya sendiri apabila pelajar dihadkan hanya mengambil 10 subjek pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata langkah itu membolehkan guru menilai kemampuan pelajar berkenaan dan mengeluarkan sijil berdasarkan kepada kecekapan mereka dalam bahasa ibundanya.

"Pembelajaran adalah satu proses yang sentiasa dijalankan setelah menamatkan persekolahan mereka," katanya kepada pemberita setelah menutup Seminar Mengenai Disiplin Sekolah dekat sini hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan bahawa calon SPM akan hanya dibenarkan mengambil maksimum 10 subjek mulai tahun depan dan selaras dengan keputusan ini, sistem pengredan akan diubah.

Keputusan ini menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat India kerana pelajar terutamanya mereka dalam aliran Sains, tidak dapat mengambil mata pelajaran Kesusasteraan Tamil yang menjadikannya subjek ke-11.

Alimuddin berkata, majoriti institusi pengajian tinggi awam dan swasta berpendapat 10 subjek adalah jumlah mata pelajaran yang sesuai dalam peperiksaan untuk pelajar melanjutkan pengajiannya dalam bidang yang mereka kehendaki.

"Saya rasakan keputusan untuk mengehadkan bilangan subjek bagi seseorang pelajar SPM itu tidak akan menghalang pelajar daripada melanjutkan pelajaran dalam bidang kritikal seperti perubatan dan kejuruteraan," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kes disiplin di kalangan pelajar sekolah tidak membimbangkan dan hanya membabitkan kes seperti datang lewat ke sekolah, ponteng sekolah dan membuli.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata jumlah pelajar yang terbabit dengan kes disiplin dari Januari hingga Jun tahun ini ialah kira-kira 1.26 peratus, iaitu penurunan 0.01 peratus berbanding dalam tempoh yang sama pada tahun lepas, 1.27 peratus.

Antara kes disiplin yang sering dilakukan dalam tempoh itu ialah kurang sopan (0.24 peratus), berunsur kelucahan (0.03 peratus), kekemasan diri (0.22 peratus) and ponteng sekolah (0.22 peratus).

- Bernama

Asean perlu muafakat bangunkan ketenteraan: Dr M

LANGKAWI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata negara anggota Asean perlu mempunyai permuafakatan ketika membangunkan kekuatan ketenteraan negara masing-masing bagi memastikan keamanan serantau terjamin.

Beliau berkata, jika terdapat negara menunjukkan minat dan giat berusaha membangunkan kekuatan tenteranya, pasti langkah sama akan diikuti negara lain yang berjiran.

"Dalam hal ini perlu ada perjanjian antara negara. Jika orang lain ada buat (peningkatan kekuatan ketenteraan) kita pun kena buat.

"Jangan kita kurangkan kemampuan, tapi orang lain buat, kita akan jadi sasaran," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) sempana Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2009 (Lima 09, di sini, hari ini.

Dr Mahathir diminta mengulas penyertaan Singapura pada Lima 09 termasuk memperagakan helikopter penyerang Apache AH-64D Longbow pada pertunjukan udara.

Helikopter penyerang dua tempat duduk yang dicat serba hitam untuk kelicikan operasinya pada waktu malam, mempunyai reputasi menggerunkan berikutan aksinya ketika Perang Teluk Pertama dan Perang Teluk Kedua.

Mengulas Lima 09, Dr Mahathir berkata beliau gembira kerana pameran berprestij itu masih mendapat sambutan daripada syarikat gergasi dalam industri penerbangan.

"Sambutan daripada syarikat tempatan dan luar negara masih bagus. Ini satu kejayaan membanggakan apabila Lima mampu memasuki edisi ke-10 dalam sejarah penganjurannya," katanya.

10,248 punyai kelayakan PhD

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat diberitahu bahawa sehingga Jun tahun ini, ada 10,248 orang dalam negara yang mempunyai kelayakan ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr Hou Kok Chung, berkata daripada jumlah itu 8,132 orang adalah dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 2,116 orang lagi dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

"Pada tahun 2008, keluaran graduan PhD di IPT tempatan ialah seramai 840 orang di mana IPTA mengeluarkan 785 orang dan IPTS 55," katanya menjawab soalan Datuk Siringan Gubat (BN-Ranau) yang ingin tahu bilangan pemegang PhD yang terkini dan kesahihan kesemua pemegang PhD.

Hou berkata, sehingga Mac 2009, terdapat 13,361 orang pelajar sedang mengikuti pengajian di peringkat PhD di IPTA.

"Sehingga hari ini, kesemua pemegang PhD yang diketahui kementerian adalah sahih," - Bernama

Selangor tetap larang kursus BTN

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor tidak akan menarik balik keputusan melarang pelajar dan kakitangan kerajaan negeri serta anak syarikatnya daripada mengikuti kursus Biro Tata Negara walaupun Kabinet sudah bersetuju untuk merombak semula kurikulum kursus itu.

Rombakan kurikulum BTN sudah lama dicadangkan

KUALA LUMPUR: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, hari ini menolak dakwaan bahawa keputusan untuk merombak kurikulum dalam kursus Biro Tata Negara (BTN) menunjukkan kerajaan akur dengan desakan pembangkang.

Sebaliknya beliau berkata, perkara itu berlaku secara kebetulan kerana Kabinet sebelum ini pernah membincangkan cadangan untuk merombak kurikulum kursus berkenaan agar selari dengan peredaran masa.

"Sebelum perkara itu dibangkitkan oleh pembangkang memang kita (Kabinet) sudah berbincang dan lihat bagaimana perlunya modul dan pendekatan BTN laksana programnya.

"Perlu ambil kira suasana dan keadaan yang berubah dari segi tahap pendidikan rakyat yang meningkat, tahap pendedahan kepada pengetahuan dan lain-lain. Pada saya perkara itu kebetulan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohamed Khaled diminta mengulas keputusan Kabinet semalam yang bersetuju untuk merombak kurikulum dalam kursus BTN supaya ia lebih sesuai untuk semua kaum sejajar dengan konsep 1Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, yang mengumumkan perkara itu di Parlimen semalam berkata keputusan Kabinet minggu lalu itu dibuat bagi memastikan kursus tersebut tidak tertumpu kepada satu kaum sahaja dan tidak memecahkan rakyat mengikut etnik.

Sebelum ini barisan pembangkang telah membangkitkan isu sama dengan mendakwa kursus BTN sebagai salah satu cara doktrinasi oleh Barisan Nasional (BN) selain dijadikan tempat memupuk semangat perkauman di kalangan peserta yang boleh memecah-belahkan masyarakat berbilang kaum di negara ini. - Bernama

Kementerian kaji cadangan hapus subsidi gula

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sedang mengkaji cadangan pelbagai pihak untuk memansuhkan subsidi gula bagi mewujudkan masyarakat yang sihat.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu akan turut dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet selewat-lewatnya Januari depan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran kempen kurangkan pengambilan gula anjuran Persatuan Pulau Pinang di sini sebentar tadi.

Angin tolak bongkah ais jauh dari New Zealand

WELLINGTON, New Zealand: Angin kencang di selatan Lautan Pasifik menolak bongkah ais yang menuju ke New Zealand ke arah timur, jauh dari negara itu.

Amaran berjaga-jaga untuk kapal dikeluarkan minggu lalu dan pihak berkuasa maritim memantau kumpulan bongkah ais itu yang terapung ke arah utara dari Antartika ke South Island.

“Kelihatan bongkah berkenaan menghilang di timur New Zealand,” kata pakar lautan Institut Kajian Air dan Atmosfera New Zealand, Mike Williams.

Bongkah paling hampir yang berukuran 100 kali 200 meter berada 260 kilometer ke tenggara Pulau Stewart seminggu lalu. - AP

Terengganu dilanda banjir semula

KUALA TERENGGANU: Berikutan hujan lebat berterusan sejak dua hari lepas, Terengganu dilanda banjir semula dengan 241 penduduk dari tiga buah kampung di daerah Marang dipindahkan ke pusat pemindahan sejak petang semalam hingga pagi ini.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata, penduduk yang dipindahkan terdiri daripada penduduk Kampung Paya Kijing seramai 168 orang, Kampung Seberang Marang (65) dan Kampung Pulau Kerengga (8).

Beliau berkata, setakat ini tiga pusat pemindahan telah dibuka untuk menempatkan mangsa terbabit dengan kebanyakan mereka mula berpindah mulai jam 6 petang semalam sehingga pagi ini.

Katanya, setakat ini bilik gerakan banjir MKN masih belum dibuka dan hanya akan berbuat demikian apabila banjir berlaku di lebih daripada satu daerah.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pengairan dan Pengairan (JPS) negeri berkata, paras air semua sungai utama di Terengganu masih berada pada tahap biasa.

Banjir musim tengkujuh pertama kali melanda Terengganu awal bulan lalu manakala gelombang kedua yang menyaksikan lebih 10,000 penduduk dari semua daerah di negeri itu terpaksa dipindahkan berlaku sejak 23 November lalu dan hanya berakhir Ahad lalu.

Setakat ini, tiga kematian dicatatkan akibat banjir membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun, Tuan Nor Farah Amira Tuan Harun yang lemas ketika bermain di tepi Sungai Terengganu di Kampung Getang, Telemong, Hulu Terengganu, 7 November lalu.

Mangsa kedua membabitkan seorang pelajar berumur 15 tahun dari Kuala Besut, Mohd Syahmi Mohd Yusof, yang lemas pada 24 November, manakala mangsa ketiga, Muhammad Aifa Afif Mohd Yusof, 13, dari Marang, lemas ketika mandi bersama rakannya pada 25 November lalu. - Bernama