Followers

Friday, February 5, 2010

Ulama perlu tuntas dalam transformasi kefahaman: PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini meminta ulama supaya tuntas dalam melaksanakan transformasi dan memahami secara mendalam pengertian terminologi yang berkaitan dengan politik antarabangsa, serantau dan peringkat nasional.

"Ia termasuklah berkaitan globalisasi, neo-kolonialisme atau imperialisme dan skala pengaruh gerakan tersebut terhadap akidah, budaya, pendidikan, politik dan ekonomi umat.

"Tanpa kefahaman yang mendalam menyebabkan segala usaha kita menghadapi cabaran ini akan gagal atau kurang berkesan," katanya ketika berucap merasmikan majlis perjumpaan bersama ulama dan umara, di sini.

Justeru, Perdana Menteri berkata, warga ulama wajar menjadi warga dunia yang saling berkait, paling hampir dengan sumber terkini, dan menguasai kaedah berkomunikasi secara bestari dan mutakhir.

Memberi contoh institusi zakat, Najib berkata ia boleh ditransformasikan formulanya dalam memperkasa sistem kutipan secara lebih aktif, efisien dan holistik di setiap negeri.

"Jika hasil kutipan lebih meningkat tinggi, ianya akan membantu meningkatkan kuantiti bantuan terhadap pelajar miskin, warga tua yang tiada pendapatan tetap dan orang kurang upaya yang tidak berkemampuan," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, ulama juga wajar duduk semeja bagi menangani krisis ekonomi global, memberi pandangan, dan merumuskan dasar ekonomi yang lebih adil, Islamik serta melindungi nilai moral dan kemanusiaan.

"Selain itu, ulama harus bersikap proaktif bagi mengukuhkan budaya murni dan harmoni dalam lapangan politik, teknologi, dan informasi demi menegakkan keadilan dan menyemai kesejahteraan hidup di dalam dan di luar negara," katanya.

Bagi pihak masyarakat pula, Najib mahu supaya mereka sentiasa berdamping dengan ulama, mempelajari, dan menimba ilmu dari ulama.

"Jika timbul sesuatu isu dan tuduhan berkaitan isu agama, hendaklah terus bertemu atau menghadiri majlis penerangan dan penjelasan bagi mengetahui perkara sebenar dan bukan pergi mencari dari sumber yang tidak diketahui asas dan kebenarannya.

"Untuk itu, ulama mestilah konsisten mempersiapkan diri dengan mengikuti perkembangan semasa, tekun mengaji, dan memahami betul-betul sesuatu perkara yang baru timbul.

"Ia bagi menangani sesuatu perkara itu dengan baik dan dapat mengeluarkan fatwa atau pandangan yang selaras dengan zaman dan bertepatan dengan Syariah Islam tanpa menimbulkan kontroversi dalam masyarakat," katanya.

Sebagai ejen pelaksana, Najib berkata, umara pula harus sentiasa bersikap tegas dan amanah dalam menjalankan dasar yang dipersetujui, adil dan bertimbang rasa terhadap seluruh rakyat yang dipimpinnya.

"Umara harus mampu menterjemahkan prinsip Islam dalam pentadbiran negara sama ada di peringkat individu atau masyarakat," katanya.

Perdana Menteri turut mengadakan dialog tertutup bersama ulama dan umara selepas melancarkan Gagasan 1Malaysia dan Logo 1Ummah peringkat agensi agama seluruh Malaysia. - Bernama

Konsep Wasatiyah penjana 1Malaysia 1Ummah: PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini berkata umat Islam perlu menghayati dan mengamalkan konsep Wasatiyah yang akan melahirkan 1 ummah yang progresif.

Katanya, Wasatiyah yang bermaksud sederhana, pertengahan dan seimbang akan melahirkan ummah yang berpaksikan kekuatan keimanan kepada Allah, tanpa mengabaikan kebajikan rakyat, tanpa mengira bangsa dan agama dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.

Najib berkata, dalam merealisasikan Gagasan 1Malaysia yang lebih memfokus hala tuju umat Islam di negara ini, satu konsep yang bersifat komprehensif dan bersepadu perlu dirintis selaras dengan tuntutan Agama Islam bagi menangani pelbagai isu dan masalah semasa yang berlaku.

Konsep Wasatiyah atau kesederhanaan ini adalah baik dan sangat digalakkan oleh Islam kerana perbuatan yang lebih daripada yang sepatutnya dilakukan adalah dianggap melampau begitu juga perbuatan yang kurang daripada yang sepatutnya dilakukan adalah dianggap suatu kecuaian.

"Maka umat Islam tidak boleh jumud dan ekstrim begitu juga tidak boleh terlalu bebas lepas tanpa sempadan," katanya ketika berucap merasmikan majlis perjumpaan bersama Ulama dan Umara dan pelancaran Gagasan 1 Malaysia dan Logo 1Ummah peringkat agensi-agensi agama seluruh Malaysia. - Bernama

Rizab antarabangsa Bank Negara RM332.2 bilion

KUALA LUMPUR: Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia meningkat kepada RM332.2 bilion (AS$97 bilion) pada 29 Januari 2010, berbanding RM331.4 bilion (AS$96.7 bilion) pada 15 Januari 2010.

"Kedudukan rizab itu mencukupi untuk membiayai 9.2 bulan import tertangguh dan 4.1 kali hutang luar jangka pendek," kata bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini. - Bernama

Isu bocor rahsia negara diselesai ikut saluran diplomatik

BAGAN DATOH: Isu kedutaan asing memperalatkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mendapatkan maklumat rahsia negara akan diselesaikan menerusi saluran diplomatik, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, melalui saluran diplomatik berkenaan, pihak yang terbabit akan diberitahu supaya tidak lagi melakukan sesuatu perkara yang boleh menjejaskan hubungan baik antara kedua-dua negara.

Ahmad Zahid mengesahkan penjelasan terperinci mengenai perkara itu telahpun disampaikannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selepas beliau mendedahkan perkara itu, semalam.

"Demi menjaga hubungan diplomatik dengan negara jiran, Perdana Menteri meminta supaya tidak didedahkan kedutaan yang terbabit dalam kes ini.

"Perdana Menteri berharap supaya Kementerian Pertahanan memberitahu melalui kaedah diplomatik dalaman kepada pihak berkenaan agar perkara ini dapat dijelaskan dengan baik tanpa mendedahkan identiti negara terbabit," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Juara Rakyat Parlimen Bagan Datoh di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, beliau berharap cubaan mendapatkan maklumat rahsia negara tidak akan diulangi negara jiran berkenaan yang mempunyai hubungan pertahanan dengan negara ini.

"Kita berharap hubungan diplomatik dan diplomasi kententeraan dengan negara berkenaan terus terjalin dengan baik," katanya.

- Bernama