Followers

Sunday, October 10, 2010

BN Batu Sapi tingkat persiapan hadapi pilihan raya kecil

SANDAKAN: Barisan Nasional (BN) Batu Sapi akan meningkatkan persiapan menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, yang akan diadakan berikutan kematian Ahli Parlimennya, Datuk Edmund Chong Ket Wah dalam nahas jalan raya, semalam.

Pengerusinya, Datuk Samsudin Yahya, berkata semua parti komponen BN di kawasan Parlimen itu sudah mengenal pasti kempen yang sesuai untuk mendekati pengundi dan ia akan diperkemaskan lagi.
"Kami yakin tiada masalah untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi kerana ia adalah kubu kuat BN," katanya di sini, hari ini.
Dalam kejadian di Kota Kinabalu semalam, Edmund yang juga Bendahari Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terbabit dalam nahas jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Coastal, Tanjung Aru.

Samsudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, yakin pucuk pimpinan BN akan meletakkan calon yang berjiwa rakyat dan mampu menyambung tugas Edmund untuk berkhidmat kepada rakyat di Parlimen Batu Sapi.

Mengulas kematian Edmund, Samsudin menyifatkan BN Batu Sapi kehilangan seorang pemimpin yang baik dan berjiwa rakyat.

"Saya kehilangan seorang rakan khususnya dalam perjuangan BN di Batu Sapi. Beliau adalah seorang Anggota Parlimen yang bekerja kuat untuk parti dan prihatin dengan kebajikan rakyat," katanya.
Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Edmund dan berharap isteri serta anak-anaknya bersabar menghadapi dugaan itu.

Parlimen Batu Sapi mempunyai dua DUN iaitu Sekong diwakili Samsudin dari UMNO dan DUN Karamunting diwakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Peter Pang En Yin yang kini wakil rakyat Bebas menyokong BN selepas keluar dari Parti Liberal Demokratik pada bulan lalu. - BERNAMA

Kaum Cina bukan pendatang tetapi rakyat Malaysia yang setia: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak, hari ini berkata rakyat Malaysia keturunan Cina bukan pendatang sebaliknya adalah warga setia negara ini.

“Kata-kata hinaan dan sentimen negatif itu perlu dikikis,” kata Perdana Menteri ketika merasmikan perhimpunan agung tahunan MCA ke-57 di Wisma MCA di sini.
“Saya setuju dengan anda bahawa kaum Cina Malaysia tidak boleh digambarkan sebagai kaum pendatang.
“Itu mungkin bagi beberapa generasi sebelum ini tetapi hari ini, anda adalah warga Malaysia yang setia,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh daripada perwakilan.

Beliau berkata, dengan melihat ke depan, semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan kepercayaan perlu bekerjasama bagi menyumbang ke arah membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara progresif.

Katanya, semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh orang-orang tua dulu perlu diteruskan supaya Malaysia akan terus bertambah kukuh dan dapat bersaing di arena global.

“Impian saya supaya Malaysia menjadi negara maju abad 21 yang benar-benar berkelas tinggi. Bukan negara sederhana kelas kedua tetapi menjadi antara negara maju yang terbaik di dunia,” katanya.
Najib berkata, kerajaan serius dengan inisiatif transformasi seperti Model Baru Ekonomi, Pelan Transformasi Ekonomi dan Rancangan Malaysia Kesepuluh dan semua ini tidak berguna tanpa mendapat sokongan rakyat.

“Itu sebab saya nak sangat kemenangan pada pilihan raya umum ke-13. Kita tidak boleh mentransformasi (negara ini) kecuali kita mendapat mandat baru (daripada rakyat) dalam pilihan raya umum ke-13.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha mentransformasikan Malaysia,” kata Najib. - BERNAMA

PM umum peruntukan RM6.5 juta untuk penduduk Taman Seri Sentosa

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM6.5 juta untuk kerja-kerja membaik pulih dan mengecat semula blok-blok Perumahan Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama, di sini.

Beliau berkata, peruntukan khas berkenaan adalah berikutan terdapat sebahagian besar kawasan perumahan di taman itu yang kelihatan daif dan usang serta memerlukan penambah baikan.
"Saya mendengar keluhan dan rintihan masyarakat di Taman Seri Sentosa, Taman Seri Pinang dan Taman Ria, yang di mana kawasan ini adalah kawasan pemindahan banjir. Alhamudlillah, kawasan ini tidak banjir lagi.
"Cuma keadaan di sini boleh dikatakan agak comot. Justeru itu, kerajaan telah sediakan peruntukan untuk mengecat semula flat-flat ini seperti mana permohonan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik (Raja Zainal Abidin) tadi yang memohon kepada saya supaya kerajaan meluluskan peruntukan khas mengecat dan membaik pulih di kawasan ini.

"Saya berharap dengan peruntukan RM6.5 juta ini, semua penduduk di sini akan hidup dalam keadaan yang selesa dan lebih baik," katanya ketika berucap pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai di sini, hari ini.

Kerja-kerja pemulihan segera yang perlu dijalankan termasuk pembaikan atau penggantian empat buah lif dan mengecat semula 59 buah blok perumahan melibatkan Taman Seri Sentosa, Taman Sri Pinang dan Taman Ria AC4.

Peruntukan itu akan disalurkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) oleh kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, dan akan dipantau oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Najib berkata, amalan baik seperti amalan rumah terbuka harus diteruskan kerana ia adalah satu wadah yang boleh memupuk rasa muhibah dan keprihatinan di antara semua kaum dan agama dalam negara ini.

Malah, Perdana Menteri berkata, amalan rumah terbuka yang sentiasa membabitkan setiap lapisan masyarakat di negara ini, adalah satu keunikan yang membezakan Malaysia daripada negara-negara lain di dunia.

Selain itu, Najib berkata, dalam usaha kerajaan untuk mentransformasikan negara kepada sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020, sokongan dan kerjasama daripada rakyat adalah penting bagi melaksanakan rancangan pembaharuan serta pelaksanaan dasar serta program yang telah disusun oleh kerajaan.

"Pembaharuan ini bukan sahaja di atas rancangan dan pelaksanaan dasar dan program serta projek kerajaan. asasnya mestilah mendasari sokongan rakyat yang padu bukan semata-mata kita berkehendakkan kuasa tapi kita hendak kuasa untuk membuat perubahan dan memberi pengharapan baru kepada rakyat untuk membawa negara kita ke mercu kejayaan yang lebih hebat lagi," katanya.

Terdahulu, Najib mengadakan tinjauan mesra bagi melihat situasi kawasan perumahan dan menyampaikan sumbangan dalam bentuk barangan keperluan harian dan wang tunai kepada tiga penghuni rumah di Taman Seri Sentosa.

Lebih 20,000 pengunjung turut sama pada majlis rumah terbuka, selain menikmati hidangan, tetamu juga mengambil peluang beramah mesra dengan Perdana Menteri. - BERNAMA

Tindakan PROTON panggil semula Gen2, Satria Neo tidak jejas reputasi: Mukhriz

JERLUN: Tindakan syarikat pengeluar kereta nasional negara, Proton Holdings Bhd (PROTON) memanggil semula 15,911 unit kereta model Gen2 dan Satria Neo yang dikeluarkan antara 2004 hingga 2008 minggu lalu tidak akan menjejaskan reputasi jenama berkenaan di luar negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata masalah kerosakan pada 'clock spring' model berkenaan mungkin menjejaskan sedikit imejnya namun tindakan berani mereka mengumumkannya dan memanggil semula model terbabit mampu menyeimbangkan kembali pandangan masyarakat luar yang menganggap PROTON sebagai jenama serius dalam industri ini.
Katanya, tindakan seumpama itu selalu berlaku dan ia membabitkan jenama pengeluar yang lebih besar dan ternama, berbanding PROTON seperti, Toyota, Honda dan Volvo yang memanggil semula modelnya untuk membaikpulih masalah atau kerosakan yang berlaku walaupun sudah dijual ribuan unit.
"Bagi saya pandangan orang luar terhadap PROTON tidak akan terjejas kerana tindakan memanggil balik model ini biasa dilakukan oleh pengeluar kereta yang lebih ternama berbanding PROTON.

"Pendekatan yang diambil PROTON ini pada saya adalah tepat dan boleh meningkatkan kredibiliti mereka dalam industri ini. Persoalan mengenai tindakan yang lambat sebenarnya tidak timbul kerana sesuatu masalah pada mana-mana komponen kereta mungkin hanya dapat dikesan dalam jangkamasa tertentu.

"Saya juga difahamkan kerosakan yang dialami ini tidak besar dan tidak membabitkan komplikasi yang terlalu serius terhadap kedua-dua model berkenaan," katanya selepas melancarkan Kelab Ulul Albab di Dewan Serbaguna Majlis Derah Padang Sera, Kodiang di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Abdullah Saad.
Jumaat lalu, akhbar ini melaporkan PROTON memanggil semula kereta Gen2 dan Satria Neo yang dikeluarkan antara 2004 hingga 2008 disebabkan kerosakan pada komponen 'clock spring' yang mungkin boleh menjejaskan keselamatan.

Pengarah Urusan Kumpulan PROTON, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, dilaporkan berkata komponen terbabit menyambungkan beberapa suis dan beg udara kepada peralatan seperti radio, hon dan kawalan 'cruise'.

Katanya, ujian rutin mengenal pasti kerosakan pada clock spring menyebabkan bunyi geseran dalam stereng, hon berbunyi atau lampu kereta terpasang sendiri, kerosakan suis kawalan audio dan dalam kes lebih serius boleh menyebabkan pelepasan beg udara di bahagian pemandu.

Beliau berkata, panggilan sukarela itu adalah sebahagian daripada program jaminan kualiti global Proton membabitkan 15,911 unit atau dua peratus daripada 660,000 unit kereta yang dikeluarkan dan dijual dalam tempoh berkenaan.

PROTON dalam pada itu mengumumkan sebanyak RM4 hingga RM5 juta akan dibelanjakan untuk melaksanakan proses itu.

Dr Sheikh Muszaphar selamat diijabkabulkan

PUTRAJAYA: Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan pasangannya, Dr Halina Mohd Yunos selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz tepat jam 11.40 pagi tadi, di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, hari ini.

Pasangan dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Mohd Yunus Mohd Ali dengan bersaksikan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali.

Bil utiliti SRJKC ditanggung kerajaan mulai 2011: Soi Lek

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berkata mulai tahun depan, semua bil utiliti di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) bantuan dan bantuan penuh kerajaan akan ditanggung oleh Kementerian Pelajaran.
Dr Chua berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden MCA pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-57 di Wisma MCA di sini, sebentar tadi.