Followers

Sunday, December 20, 2009

Shell-Petronas meterai perjanjian dengan Iraq untuk pengeluaran minyak

BAGHDAD: Iraq sudah memeterai perjanjian dengan konsortium yang diketuai gergasi Eropah, Royal Dutch Shell PLC dan Petronas bagi membangunkan loji minyak di negara itu.

Pegawai kerajaan negara itu memeterai perjanjian terbabit hari ini dalam satu majlis menandatangani perjanjian di Kementerian Minyak Iraq.

Bagaimanapun, kontrak terbabit masih menunggu kelulusan daripada kabinet negara berkenaan.

Kedua-dua syarikat mendapat hak untuk membangunkan loji minyak bagi pengeluaran 12.5 bilion tong di selatan Majnoon, pada awal bulan ini.

Rancangan Shell-Petronas adalah bagi menjana pengeluaran di Majnoon kepada 1.8 juta tong sehari untuk tempoh 10 tahun berbanding 45,900 tong sehari yang diperoleh ketika ini. - AP

Hujan lebat di Kelantan berterusan hingga Selasa

KUALA LUMPUR: Jabatan Meterologi hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat jingga di Kelantan yang dijangka berterusan sehingga Selasa malam.

Hujan sekejap-sekejap yang kadangkala lebat dari semasa ke semasa itu diramal berlaku di jajahan Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai.

Menurut kenyataan jabatan itu, hujan lebat berkenaan boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berdekatan tebing-tebing sungai.

Jabatan itu turut mengeluarkan nasihat hujan lebat peringkat kuning di Johor yang dijangka berterusan sehingga esok.

Hujan sekejap-sekejap yang kadangkala lebat dari semasa ke semasa itu diramal berlaku di Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Di Terengganu dan Pahang hujan sekejap-sekejap dan kadangkala lebat yang bermula Jumaat lalu dijangka berterusan sehingga Selasa malam.

Daerah yang terbabit di Terengganu ialah Dungun, Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman, manakala di Pahang ialah Kuantan, Pekan dan Rompin.

Keadaan tersebut boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berdekatan tebing sungai. - Bernama

14 cedera gempa bumi di Taiwan

TAIPEI: 14 mangsa mengalami cedera ringan selepas gempa bumi kuat menggegarkan Taiwan, semalam, kata penyelamat hari ini.

Agensi Kebakaran Kebangsaan, berkata 13 orang sudah dimasukkan ke hospital selepas kebocoran klorin di sebuah hotel di bandar Hualien, timur negara itu, iaitu berhampiran pusat gempa yang berskala 6.4 skala Ritcher, lewat semalam.

Di daerah yang sama, kata agensi itu, seorang wanita cedera ringan akibat daripada batu yang jatuh dan memerlukan bantuan perubatan.

Menurut pusat Kaji selidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS), Gempa jam 9.02 petang waktu Taiwan, berlaku pada jarak 25 kilometer tenggara Hualien

Katanya, bangunan bergegar kira-kira 20 saat sehingga ke ibu kota Taipei, iaitu sebelah utara pulau itu. - AFP

Kerajaan tidak tarik subsidi gula

BERA: Kerajaan tidak akan menarik sepenuhnya subsidi gula dalam masa terdekat bagi mengelak rakyat menanggung bebannya, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, tanpa subsidi, gula yang dijual pada harga RM1.45 sekilogram pada masa ini akan meningkat kepada sekitar RM2.50 hingga RM2.60 sekilogram mengikut harga pasaran dunia.

"Buat masa sekarang, kerajaan tidak akan atau belum bercadang untuk menarik balik subsidi gula di mana 70 peratus gula dibeli dengan harga lama, manakala 30 peratus lagi harga semasa," katanya selepas menyampaikan anugerah pelajar cemerlang UPSR dan bantuan persekolahan Parlimen Bera di sini, hari ini.

Kerajaan, katanya terpaksa membelanja lebih RM1 bilion setahun bagi mengimport gula termasuk dari Thailand, Australia dan Brazil bagi menampung keperluan gula tempatan.

Kilang gula di Perlis pula tidak mampu menampung permintaan pengguna yang terlalu banyak, katanya lagi.

Ismail Sabri berkata, rakyat seharusnya mengawal pengambilan gula bagi mengelak pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis.

Katanya, mengikut bancian Kementerian Kesihatan, dianggarkan 1.2 juta rakyat di negara ini akan menghidap penyakit kencing manis menjelang tahun 2011 dan ia dijangka meningkat kepada 2.6 juta orang menjelang tahun 2030, jika penggunaan gula tidak dikurangkan mulai sekarang. - Bernama

Kerajaan utamakan tingkat prasarana di luar bandar: Mohd Shafie

SANDAKAN: Kerajaan memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan prasarana di kawasan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM12 bilion kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal, berkata kementeriannya menerima peruntukan tertinggi berbanding dengan kementerian lain yang menunjukkan komitmen kerajaan dalam membantu rakyat di kawasan luar bandar.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan prasarana di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak kerana menyedari keperluan penduduk di kawasan itu.

"Saya gembira dengan perhatian yang diberikan oleh Najib dan akan memastikan usaha meningkatkan prasarana di kawasan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak dapat dijayakan dengan berkesan," katanya ketika berucap pada majlis makan malam anjuran Umno Libaran di sini, malam tadi.

Bagi mencapai sasaran itu, Mohd Shafie berkata, beliau telah menggariskan empat sektor yang akan diberikan keutamaan untuk meningkatkan prasarana di kawasan luar bandar.

Katanya, ia membabitkan penyediaan bekalan air, jalan raya, bekalan elektrik dan penyediaan perumahan kepada rakyat termiskin.

Menurutnya, empat sektor itu adalah elemen yang penting bukan sahaja dapat membantu penduduk di luar bandar menjalani kehidupan harian mereka dengan sempurna tetapi mampu membantu mereka meningkatkan sumber ekonomi.

"Kerajaan ingin memastikan nasib rakyat di negara ini terbela tanpa mengira di mana mereka berada termasuklah mereka yang berada di luar bandar," katanya. - Bernama