Followers

Monday, January 11, 2010

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi terbabit kemalangan

IPOH: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Hou Kok Chung terbabit dalam kemalangan apabila kereta yang dinaiki melanggar bahagian belakang sebuah lori di Km344, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Tapah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Roslan Bek Ahmad, berkata dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, Dr Hou dan pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Dr Hou ketika itu dalam perjalanan dari utara ke selatan dengan menaiki kereta Perdana V6,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Roslan berkata, siasatan awal polis mendapati lori itu tiba-tiba membelok ke kanan jalan menyebabkan kereta yang dinaiki timbalan menteri berkenaan tidak sempat mengelak dan melanggarnya.

“Kereta berkenaan hanya mengalami kerosakan kecil dan pemandunya sudah membuat laporan polis manakala Dr Hou meneruskan perjalanan ke selatan dengan sebuah kereta lain,” katanya.

Katanya, polis telah mengambil keterangan daripada pemandu lori terbabit. - Bernama

Hantar kad ucapan Tahun Baru Cina sebelum 8 Februari: Pos Malaysia

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) menasihatkan pelanggan untuk menghantar kad ucapan Tahun Baru Cina selewat-lewatnya 8 Februari ini, bagi memastikan kad-kad tersebut dapat disampaikan tepat pada waktunya.

Tahun Baru Cina pada tahun ini ialah pada 14 dan 15 Februari ini.

Pos Malaysia dalam kenyataan hari ini, berkata semua kad hari perayaan akan dikategorikan sebagai Surat Standard ataupun Surat Bukan Standard bergantung kepada berat, saiz dan ketebalannya.

Pos Malaysia menjelaskan bahawa berat maksimum untuk Surat Standard ialah 50gm, saiz maksimum ialah 165mm x 250mm manakala ketebalan maksimum ialah 6.00mm.

Katanya, kad hari perayaan yang tidak menepati garis panduan yang ditetapkan akan dikategorikan sebagai Surat Bukan Standard.

Kadar pos untuk Surat Standard ialah 30 sen untuk berat 20 gram ke bawah dan 40 sen untuk berat 20 gram hingga 50 gram. Kadar untuk Surat Bukan Standard pula bermula pada 50 sen untuk 50 gram ke bawah.

Pihak Pos Malaysia juga menasihatkan pelanggan mematuhi peraturan berkaitan dengan barangan larangan dan ia termasuk mercun, bahan api dan barangan berbahaya yang lain.

Pelanggan yang ingin mengirimkan kuih raya dan bahan makanan ke destinasi antarabangsa diminta merujuk ke kaunter pejabat pos berdekatan terlebih dulu.

Pelanggan boleh mengunjungi laman web Pos Malaysia di www.pos.com.my atau menghubungi talian Pusat Khidmat Pelanggan PMB, PosLine di 1-300-300-300 untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA

Projek landasan berkembar: Setinggan Sungai Siput dibayar sagu hati

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan akan membuat bayaran sagu hati kepada kumpulan terakhir setinggan di Perak iaitu di Sungai Siput, yang terjejas oleh Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar (PLBE).

"Sungai Siput adalah kawasan terakhir kediaman setinggan di Perak yang akan dibayar bayaran sagu hati oleh Kerajaan Persekutuan, manakala di kawasan lain di negeri Perak sudah pun menerima bayaran sagu hati mereka," kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ong berkata, 43 rumah setinggan di kawasan itu akan mendapat bayaran sagu hati daripada keseluruhan 490 rumah setinggan yang dibayar sagu hati itu di seluruh Perak.

"Keseluruhannya, sebanyak RM4 juta sudah diperuntukkan untuk bayaran sagu hati kepada setinggan dan tambahan sebanyak lebih daripada RM12 juta lagi bagi membiayai kos infrastruktur, untuk penempatan semula penduduk di bawah Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) di Negeri Perak," katanya.

Minggu lalu, Ong berkata, beliau yakin pembinaan landasan itu akan siap mengikut jadual pada 2013 walaupun pembinaan landasan itu menghadapi sedikit kelewatan berikutan masalah pengambilan tanah.

Kerja pembinaan yang dikendalikan MMC-Gamuda JV kini berjalan lancar di Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

PLBE sejauh 329 km itu berharga RM12.485 bilion dan adalah kesinambungan kepada projek landasan berkembar elektrik yang menghubungkan Rawang di Selangor dan Ipoh, Perak, yang siap sepenuhnya pada 31 Disember 2007. - Bernama

Parti komponen BN Sabah yakin isu kebakaran gereja dapat ditangani

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup, berkata beliau dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) akan memperjelaskan situasi sebenar kepada penduduk di Sabah berhubung isu pembakaran gereja.

Beliau berkata, rakyat Sabah memberikan sepenuh kepercayaan dan yakin masalah itu dapat ditangani dengan baik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Setakat ini, rakyat di Sabah memahami situasi berkenaan dan berpendapat perkara itu dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

"Sebagai pemimpin, saya dan rakan-rakan mempunyai tanggungjawab bagi menjelaskan kepada rakyat di peringkat akar umbi tentang insiden terbabit supaya tidak timbul salah faham," katanya pada sidang media selepas taklimat Jabatan Taman Laut Malaysia (JLTM) Bersama Media di sini, hari ini.

Kurup, yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan ahli Parlimen Pensiangan, berkata parti komponen BN Sabah mengutuk insiden pembakaran gereja dan beranggapan perbuatan itu adalah cubaan untuk menggugat perpaduan kaum di negara ini.

Beliau berkata, PBRS dan semua parti komponen BN yang lain memandang serius perkara itu dan turut meminta rakyat bertenang dan tidak melatah dengan insiden itu.

Kurup turut menyangkal laporan sebuah laman web yang melaporkan kerajaan lambat bertindak bagi menangani masalah berkenaan.

"Kerajaan tidak pernah mengambil sambil lewa sebarang masalah sebaliknya akan mencari alternatif terbaik bagi menyelesaikannya secepat mungkin termasuk dalam isu pembakaran gereja mahupun rumah ibadat yang lain," katanya. - Bernama

NGO Islam pantau keselamatan gereja

KUALA LUMPUR: Sukarelawan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, sudah mula memantau dan mengawasi kawasan gereja di sekitar Lembah Klang.

Seramai 10 sukarelawan melakukan rondaan dari jam 11 malam tadi di kawasan gereja yang terletak di sekitar kawasan Kampung Pandan dan Brickfields.

Timbalan Yang Dipertua dan Setiausaha Kerja Badan Tarbiah Sejagat (Batas), Danny Azar berkata, jadual rondaan diatur sebanyak dua kali iaitu dari jam 11 malam sehingga 2 pagi dan 4 pagi sehingga waktu subuh.

"Setakat ini pihak kami sudah mula meronda dan kami bukan setakat singgah malahan juga berjumpa pihak gereja dengan mengenalkan diri kami," katanya.

Batas ialah antara 130 NGO yang menyatakan komitmen semalam untuk menjadi "mata dan telinga" kerajaan dalam menangani sebarang ancaman ke atas rumah ibadat penganut agama Kristian.

Langkah itu diambil susulan tiga insiden cubaan membaling bom buatan sendiri di tiga gereja iaitu di Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Gereja Assumption di Petaling Jaya dan Gereja Life Chapel di Damansara baru-baru ini.

Antara NGO lain yang terbabit adalah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Majlis Permuafakatan Ummah (PEWARIS), Pertubuhan Peribumi Semenanjung (PERKASA), Darussyifa, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Islamic Information and Services Foundation (IIS).

Inisiatif itu dilaporkan sudah mengumpulkan 60 sukarelawan bagi melaksanakan tugasan pengawasan dan pemantauan di kawasan gereja sekitar Lembah Klang sejak semalam.

Sementara itu, ahli Gereja Katolik Holy Rosary di Brickfields, Angelina Soo, 28, berkata pihaknya berterima kasih kepada pihak NGO Islam dan menghargai tanggungjawab serta keprihatinan mereka dalam menjamin keselamatan dan kesejahteraan tempat ibadat itu. - Bernama

Dana CSR dikenali Yayasan 1Malaysia Development Bhd ditubuhkan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan Yayasan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), yang berperanan sebagai dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebanyak RM100 juta.

Kelantan tuntut royalti minyak dari telaga sempadan Terengganu

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sudah kemukakan tuntutan royalti minyak yang baru, membabitkan kawasan sempadan negeri itu dan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, berkata sebuah pelantar, dikenali pelantar Bintang yang sudah beroperasi sejak 1984, terletak bersempadan antara Kelantan dan Terengganu dan sejak itu, jumlah royalti diperoleh oleh kerajaan pusat ialah RM9.7 bilion.

Beliau yang merujuk kepada kenyataan akhbar bekas Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Mohamed Yaakob, pada 5 September 1990 bahawa Kelantan sedia berkongsi dengan Terengganu berhubung penemuan telaga minyak di sempadan kedua-dua negeri.

"Kita akan cari kaedah bagi membolehkan Petronas timbang semula kedudukan beberapa telaga yang bertindih antara Kelantan dan Terengganu. Kita telah menyampaikan pendirian dan pandangan serta tuntutan secara rasmi kepada Petronas dan terserah kepada mereka.

"Setakat ini yang kita pasti hanya satu pelantar yang terletak di sempadan kedua-dua negeri manakala terdapat dua lagi pelantar yang masih disiasat dan dikaji sama ada mereka juga beroperasi bersempadan Kelantan-Terengganu," katanya.

Tahun lalu, Kelantan mengemukakan tuntutan royalti berjumlah RM2 bilion terhadap operasi cari gali di perairannya kepada pusat dan berhasrat untuk mengambil tindakan mahkamah.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan kerajaan pusat akan memberikan wang ehsan, menggantikan bayaran royalti minyak, kepada kerajaan Kelantan mulai tahun ini bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu.

Kerajaan Kelantan didapati tidak berhak mendapat royalti minyak kerana dua telaga minyak yang dipertikaikan itu terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairan negeri itu.

Mengulas pertemuan kerajaan negeri dengan Petronas Jumaat lalu, Husam berkata, kerajaan negeri sudah menyampaikan hasrat bahawa bayaran perlu dibuat kepada kerajaan negeri serta tidak mengiktiraf pemberian royalti minyak dalam bentuk wang ehsan. - Bernama

Ibu rayu usaha cari anak hilang diteruskan selepas operasi dihentikan

SANDAKAN: Selepas tujuh hari usaha mencari seorang budak lelaki yang dipercayai hilang dalam Sungai Labuk di Telupid dekat sini, dalam satu kejadian bot karam, pasukan mencari dan menyelamat akhirnya menghentikan gerakan itu, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Mohd Razali Awang Ahmad, berkata operasi mencari Alevinget Palong, 4, dihentikan selepas ia dijalankan sejak kejadian pada 3 Januari lalu.

Katanya, sepanjang operasi itu, kawasan mencari mangsa diperluaskan dari lokasi kejadian di Sungai Labuk berhampiran Kampung Melapi di sini hingga ke Sapi Nangoh di Beluran meliputi jarak sungai sejauh 60 kilometer.

"Namun usaha itu gagal menemui mangsa dan kami mengambil keputusan menghentikan operasi mencari itu semalam," katanya.

Keputusan itu mengecewakan ibu kanak-kanak itu, Fidelia Marcus, yang meminta pihak bomba meneruskan operasi itu sehingga menemui anaknya.

Menurutnya, ahli keluarga dengan bantuan penduduk kampung masih meneruskan gerakan mencari dan tidak akan berhenti.

"Saya tidak mahu anak saya hilang begitu saja dan kami akan berusaha untuk mencarinya sehingga dia ditemui," kata Fidelia. - Bernama

Jangan percaya khabar angin menerusi SMS: Polis

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menyeru orang ramai mengesahkan terlebih dahulu berita yang mereka terima menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi mengelak penyebaran khabar angin.

"Ini menjadi satu trend, percaya kepada SMS yang dihantar. Berita-berita ini bukannya fakta, yang sepatutnya dikeluarkan pihak polis.

"Tolong gunakan pusat kawalan negara, pusat kawalan negeri dan pusat kawalan daerah untuk mengesah dan mendapat maklumat.

"Saya ingin ingatkan semua pihak agar jangan dengar berita-berita yang tidak sah, cakap mulut, cakap-cakap melalui telefon.

"Kita perlu lebih matang dalam menangani keadaan di dalam negara," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ismail memberi penerangan kepada wakil kedutaan asing mengenai kejadian pembakaran gereja di negara ini oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam tempoh beberapa hari ini.

Ditanya sama ada tangkapan sudah dibuat terhadap pihak yang terbabit, beliau berkata tangkapan belum dibuat dan polis sedang menyiasat dengan teliti kes berkenaan.

"Kami terima banyak maklumat. Semua maklumat perlu diikuti dengan proses siasatan, pengesahaan dan sebagainya," katanya.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam berkata beliau telah memaklumkan kepada 96 kedutaan asing di negara ini bahawa keadaan berikutan kes pembakaran gereja adalah terkawal.

"Mereka (perwakilan asing) ingin tahu tentang tindakan dan jaminan keselamatan yang telah diambil.

"Mereka juga mahukan gambaran yang jelas tentang keadaan yang berlaku supaya mereka boleh membuat laporan yang jelas kepada negara masing-masing," katanya. - Bernama

Kalimah Allah: Sultan Selangor mahu pendirian kerajaan negeri teguh

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya Selangor teguh dengan pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam bagi memelihara akidah umat Islam dan keharmonian beragama.

Baginda menitahkan pendirian itu pada majlis mengadap diketuai Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, di Istana Mestika pada 5 Januari lalu.

Pintu depan gereja di Seremban 2 ditemui terbakar

SEREMBAN: Sebahagian pintu depan Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) di Lakeview Square di Seremban 2, dekat sini, ditemui terbakar jam 8.30 tadi.

Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Abd Manan Mohd Hassan, sebentar tadi.

Korea Selatan umum pelan bandar raya baru sebagai hab sains, pendidikan

SEOUL: Kerajaan Korea Selatan mengumumkan hari ini, rangka tindakan AS$14.6 bilion bagi membangunkan bandar raya baru sebagai hab sains dan pendidikan negara itu, seterusnya menyangkal rancangan yang menimbulkan kontroversi bagi memindahkan beberapa kementerian ke lokasi terbabit.

Perdana Menterinya, Chung Un-Chan, berkata kumpulan syarikat perniagaan terbesar negara itu, Samsung, sudah memeterai perjanjian bagi rancangan pemindahan beberapa operasi ke Bandar raya Sejong, bersama-sama kumpulan syarikat Hanwha, Woongjin dan Lotte.

Pengumuman yang dibuat hari ini, menyaksikan pembatalan rancangan yang diumumkan pada 2005 oleh presiden ketika itu, Roh Moo-Hyun, bagi memindahkan sembilan kementerian dan empat agensi anak syarikat ke bandar sejauh 150 kilometer di selatan Seoul. - AFP

AS belum rancang hantar tentera ke Yaman, Somalia: Obama

WASHINGTON: Presiden Barack Obama berkata Amerika Syarikat (AS) belum mempunyai rancangan untuk menghantar pasukan tenteranya bagi menangani pengganas di Yaman dan Somalia.

Beliau berkata, ketika ini aktiviti rangkaian Al-Qaeda masih berpusat di sepanjang sempadan Afghanistan-Pakistan.

“Saya mempunyai rancangan untuk bekerjasama dengan semua rakan di dunia terutama di kawasan yang tidak selamat," katanya dalam satu temubual dengan akhbar People, Jumaat lalu dan diterbitkan hari ini.

“Saya tidak menolak sebarang kemungkinan bahawa dunia kini semakin rencam. Negara seperti Yaman dan Somalia, saya fikir mereka perlu menjalin hubungan dengan rakan antarabangsa.

“Tapi buat masa ini, kami tiada niat untuk menghantar tentera ke negara terbabit," katanya. - AFP

Jangan sertai demonstrasi depan gereja: Polis

KUALA LUMPUR: Polis hari ini memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terbabit dalam sebarang demonstrasi di Gereja Assumption, Petaling Jaya yang dikatakan akan dijalankan pada 13 Januari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata tindakan berhimpun secara haram itu tidak akan membantu meredakan suasana tetapi hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

"Saya dimaklumkan ada SMS yang kini tersebar mengajak orang ramai berhimpun di gereja tersebut minggu hadapan, justeru saya merayu orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan yang dikatakan itu.

"Serahkan siasatan kepada kami, biar kami yang uruskan...jangan membuat tindakan yang akan mengeruhkan lagi keadaan dan menimbulkan suasana tegang," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke gereja tersebut hari ini.

Beliau berkata, polis tidak akan teragak-agak untuk bertindak tegas terhadap sesiapa sahaja yang melakukan perkara yang melanggar peruntukan undang-undang, termasuk berhimpun secara haram.

Ketika ditanya mengenai dakwaan terdapat sebuah masjid di Klang Jaya diserang, beliau berkata: "Perkara seperti itu tidak berlaku. Tolong jangan dengar khabar angin dan tolong jangan buat spekulasi."

Beliau, bagaimanapun, berkata polis menerima satu laporan mengenai sebuah surau di Klang dibaling batu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, setakat ini hanya tiga buah gereja di sekitar Selangor dijadikan sasaran.

"Tiada kes baru dilaporkan. Namun ada sebuah gereja dilaporkan mengalami kecurian," katanya.

Khalid berkata, polis sedang mengenal pasti suspek yang terbabit dalam cubaan membakar ketiga-tiga buah gereja di Selangor.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan bahawa enam orang yang dipercayai anggota kumpulan "Penjahat Empat Jahanam" ditahan di Pasir Putih, Kelantan semalam yang mana empat daripada mereka adalah suspek utama dan dua lagi rakan kepada semua suspek.

"Dengan tangkapan itu, tujuh kes samun di sekitar Lembah Klang dan Pahang berjaya diselesaikan," katanya. - Bernama