Followers

Wednesday, July 14, 2010

Nik Aziz sedia temui Muhyiddin

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau sedia bertemu dan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai "apa juga perkara".

Ketika ditemui pemberita hari ini, Menteri Besar Kelantan itu berkata tiada halangan untuknya bersua muka dengan Muhyiddin tetapi perjumpaan itu biarlah tanpa diatur mana-mana pihak ketiga sebagai orang tengah.
"Yang moleknya tak payah orang (tengah). Kalau nak jumpa secara peribadi pun tak apa, boleh sangat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Muhyiddin, yang dijadual melawat Kelantan esok, semalam dilaporkan berkata UMNO sedia menjalin kerjasama dengan PAS dalam pelbagai bidang termasuk usaha untuk memperkukuhkan Islam serta kedudukan orang Melayu di negara ini. - BERNAMA

UMNO tidak lemah hingga perlukan kerjasama PAS: Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak, berkata UMNO mempunyai kekuatan tersendiri dan parti itu bukan terlalu lemah sehingga terpaksa bekerjasama dengan PAS.
Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu berkata, PAS harus menghormati UMNO sebagai parti yang memperjuangkan Islam, yang juga adalah satu daripada teras perjuangan mereka selama ini.
Beliau berkata, tiada sesiapa yang harus meragui perjuangan UMNO dalam hal berkenaan.
"Saya tidak mahu buat apa-apa kenyataan lagi sebab Timbalan Presiden UMNO (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sudahpun membuat kenyataan. Saya rasa cukuplah dengan kenyataan berkenaan.

"Saya cuma nak nyatakan bahawa Umno memang mempunyai kekuatan tersendiri dan bukan kerana kita ini terlalu lemah, kita terpaksa mencari kawan baru dengan PAS," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan, penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang 2009 dan Penganugerahan Pembaharuan Pensijilan 5S Perbendaharaan Malaysia di sini.

Semalam, Muhyiddin menyatakan komitmen serta kesediaan UMNO untuk bertemu dan menjalinkan kerjasama dengan PAS dalam pelbagai bidang termasuk usaha untuk memperkukuhkan Islam serta kedudukan orang Melayu di negara ini.
Sebelum ini, Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Lokman Nor Adam dipetik sebagai berkata bahawa hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya PAS dan UMNO bersatu.

Berikutan itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Razak Idris mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas supaya kerjasama antara UMNO dan PAS terlaksana.

Mengulas lanjut, Najib berkata, sama ada kerjasama antara UMNO dan PAS itu menjadi kenyataan atau sebaliknya bergantung kepada perkembangan selanjutnya berhubung perkara tersebut. - BERNAMA

Gempa sederhana landa Indonesia

JAKARTA: Gempa sederhana berukuran 5.6 magnitud melanda Wilayah Papua awal pagi tadi tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gempa berlaku jam 8.56 pagi (2356 GMT), di 231 kilometer di barat Jayapura di kedalaman 15 kilometer, lapor Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS). - AFP