Followers

Sunday, March 14, 2010

Thailand bersedia bina terowong sempadan

Cetak  Artikel Cetak . E-mel  Rakan Emel Rakan .
KANGAR: Cadangan mewujudkan terowong yang menghubungkan wilayah Satun di Thailand dan Perlis akan dapat direalisasikan jika kerajaan Malaysia bersetuju dengannya, kata Gabenor Wilayah Satun, Sumeth C Vatnikul.

Beliau berkata, Thailand bersetuju dengan cadangan itu yang dibangkitkan lebih enam bulan lalu dan hanya menunggu lampu hijau daripada Kuala Lumpur.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tidak rasmi dengan Kelab Usahawan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) di sini, hari ini, katanya jika cadangan ini dapat direalisasikan, ia adalah satu-satunya pintu sempadan yang mempunyai terowong yang menghubungkan Thailand dan Malaysia. Pada Jun lalu, Sumeth dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, berbincang mengenai perkara yang sama dan kedua-dua pihak bersetuju memanjangkan perkara itu kepada kabinet negara masing-masing.

Sumeth berkata, jika terowong itu diadakan ia akan menjadi pemangkin baru bagi sektor ekonomi kerana ia juga pasti dapat memikat pelancong.

Terowong itu dianggarkan sepanjang empat kilometer dengan 1.5 kilometer merentasi banjaran Bintang di sebelah Malaysia manakala 2.5 kilometer lagi di banjaran Sangkakiri di bahagian Thailand.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Usahawan NCER, Dr Ammar Hassan berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dalam melaksanakan projek yang dianggarkan bernilai ratusan juta ringgit itu.
Katanya, projek itu jika dilaksanakan akan mengubah landskap fizikal dan ekonomi kawasan persekitarannya.

“Usahawan dan peniaga terutama di Perlis sudah pasti akan memperoleh manfaat daripada pelaksanaan projek itu,“ katanya. - Bernama

Ramai lagi pemimpin PKR keluar parti

KULIM: Sekurang-kurangnya 10 lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah dan lain-lain negeri didakwa akan keluar parti itu dalam tempoh terdekat ini.
Adun Lunas (Bebas), Mohd Radzhi Salleh, berkata beliau begitu optimistik dengan perkembangan itu memandangkan apa yang berlaku dengan PKR kebelakangan ini.
Beliau berkata, pucuk pimpinan parti itu kini semakin jelas menampakkan tembelang mereka yang lebih mementingkan diri sendiri daripada ahli, penyokong parti dan orang ramai.

Bercakap kepada pemberita selepas berceramah di majlis penerangan isu-isu semasa bersama lebih 300 Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP)Parlimen Kulim/Bandar Baharu di sini, hari ini. Beliau mendakwa akan menyertai Umno dalam tempoh terdekat ini. Mengulas dakwaan kalangan pemimpin pembangkang bahawa tindakan beliau itu adalah kerana sudah dibeli Umno, beliau menafikannya dan menegaskan wang ringgit bukanlah menjadi ukuran beliau keluar parti. Mohd Radzhi juga menggesa pemimpin pembangkang di Kedah supaya menghentikan kempen "Bajet PR Kedah 2010" yang kini sedang rancak diadakan di seluruh negeri, yang cuba mengaburi pemikiran dan mata rakyat dengan kisah-kisah retorik dan angan-angan yang mustahil itu.
Hadir sama, Pengerusi dan Setiausaha JKKKP itu ialah Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.
Terdahulu Abdul Aziz dalam ucapannya mengulangi pelawaan beliau kepada Adun dan Ahli Parlimen PKR yang telah mengisytiharkan diri mereka sebagai ahli Bebas supaya menganggotai Umno sebagai platform yang lebih berkesan untuk mereka berkhidmat kepada rakyat. - Bernama

ABPBH2009: Pelajar UiTM juara Bintang Idola Berita Harian 2009

NABILAH bergambar bersama pemenang kedua Mohd Nor Safarin Mansor  (kiri) dan  ketiga, Megat Amirul Khairi Megat Amran   selepas diumumkan  menjuarai BIBH, semalam.
NABILAH bergambar bersama pemenang kedua Mohd Nor Safarin Mansor (kiri) dan ketiga, Megat Amirul Khairi Megat Amran selepas diumumkan menjuarai BIBH, semalam.
KEMAMAN: Pengorbanan memandu lebih dua jam ditemani kedua ibu bapa, terbukti memberi tuah kepada Nabilah Mohammad, 21, apabila diumumkan juara Bintang Idola Berita Harian (BIBH) 2009 di Mesra Mall, Kemasek, di sini, semalam.

Menafikan kekuatan sembilan finalis lain, gadis yang berasal dari Kuala Terengganu yang membawakan lagu Jerat Percintaan nyanyian Datuk Siti Nurhaliza Tarudin terpilih mewakili Zon Timur pada kemuncak BIBH 2009 di Klang Parade, Klang, Selangor pada 28 Mac ini.

Penuntut tahun akhir Diploma Pengurusan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pulau Pinang itu menerima wang tunai RM1,000; barangan kemas Habib Jewels bernilai RM10,000 serta hamper dari Mesra Mall. Mengulas kemenangannya, Nabilah berterima kasih kepada Berita Harian kerana menyediakan ruang kepada bakat baru sepertinya menyerlahkan kemampuan diri.

Nabilah yang pernah menjuarai beberapa pertandingan lain turut berharap, BIBH 2009 membuka ruang kepadanya untuk merealisasikan impiannya menjadi penyanyi rakaman.

“Ini kejayaan terbesar pernah saya capai dan berharap dapat membuka pintu untuk melangkah dalam dunia hiburan. Saya meletakkan harapan tinggi dan Alhamdulillah, juri memandang kemampuan saya,” katanya.

BIBH 2009 diadakan sempena siri promosi jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 menyaksikan peserta diadili juri profesional terdiri daripada penyanyi popular, Hattan dan Hazami diketuai Pengarang sisipan Bintang Popular, Akmal Abdullah.

Gempa kuat gegarkan Indonesia

JAKARTA: Gempa kuat pada magnitud 7.0 melanda timur kepulauan Maluku, Indonesia hari ini, menurut ahli seismologi.

Gempa yang menggegarkan jam 7.57 pagi tadi itu tercetus kira-kira 132 kilometer tenggara Labuha, wilayah Utara Maluku pada ke dalaman 56 km.

Bagaimanapun,tiada amaran tsunami dikeluarkan. – AF