Followers

Wednesday, January 20, 2010

Satu lagi gempa kuat landa Haiti

WASHINGTON: Satu lagi gempa bumi kuat menggegarkan Haiti sebentar tadi dan kali ini berukuran 6.1 magnitud, lapor Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Pusat gempa kali ini sama ketika gempa terkuat 7.0 magnitud yang melanda lapan hari lalu, iaitu di 59 kilometer di ibu negara Haiti, Port-au-Prince.

Gempa berlaku jam 6.03 pagi waktu tempatan (7.03 petang waktu Malaysia).

Gempa kuat lapan hari lalu setakat ini sudah mengorbankan lebih 50,000 nyawa dengan lebih 100,000 orang cedera dan lebih sejuta penduduk hilang tempat tinggal. - AFP

355 kes ILI dikesan sepanjang minggu lalu

KUALA LUMPUR: Seramai 355 pesakit baru dengan gejala serupa Influenza (ILI) dimasukkan ke hospital sepanjang tempoh 10 hingga 16 Januari lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata, pada tempoh sama, 339 kes sudah discaj keluar.

"Jumlah kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara sehingga Sabtu lalu adalah sebanyak 341 kes di 43 hospital kerajaan.

"Daripada jumlah tersebut, hanya 25 pesakit atau 7.3 peratus adalah kes Influenza A (H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, terdapat lima kes H1N1 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan empat daripadanya mempunyai faktor risiko manakala seorang tiada faktor risiko.

“Sehingga 16 Januari lalu, jumlah terkumpul kes positif Influenza A (H1N1) adalah 12,356 dan jumlah kematian terkumpul kekal 77 orang,” katanya.

Beliau berkata, satu kejadian kelompok ILI dilaporkan berlaku di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Geokosmo Sungai Selisek, Hulu Selangor pada 16 Januari lalu.

Bagaimanapun, katanya kedua-dua sampel yang diambil adalah negatif untuk Influenza A.

Dr Mohd Ismail turut mengingatkan pelatih dan pihak berkuasa di kem PLKN seluruh negara supaya terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan H1N1.

Dalam satu kenyataan berlainan, Dr Mohd Ismail berkata, ujian ke atas sekumpulan pekerja sebuah kilang di Bandar Baru Bangi, Selangor yang mengalami gejala demam, batuk dan selsema sejak Jumaat lalu menunjukkan mereka hanya demam selsema biasa akibat jangkitan virus influenza bermusim.

“Walaupun 11 daripada 45 orang yang mengalami gejala itu pada awalnya diuji positif terhadap Influenza A, namun ujian pengesahan Influenza A (H1N1) di sebuah makmal rujukan menunjukkan kesemuanya negatif,” katanya. - Bernama

Mercy Malaysia salur bantuan untuk mangsa gempa Haiti

KUALA LUMPUR: Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) menerima sumbangan bantuan kecemasan perubatan bagi mangsa gempa bumi di Haiti yang mengorbankan ribuan mangsa pada 12 Januari.

Presidennya, Dr Ahmad Faizal Perdaus, berkata dana itu akan disalurkan terus kepada Haiti untuk digunakan oleh rakan Mercy Malaysia, Medical Emergency Relief International (Merlin), yang kini berada di Port-au-Prince.

"Menyediakan sumbangan cara ini adalah lebih cekap. Dana disalurkan terus kepada pasukan Merlin di sana dan ini adalah cara lebih baik untuk kita sumbang kepada mangsa gempa bumi tanpa menyebabkan kesesakan urusan logistik di Haiti," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (UN OCHA) melaporkan baru-baru ini bahawa kekurangan bahan bakar, kerosakan infrastruktur dan kemusnahan besar akibat gempa bumi yang menimpa rakyat Haiti menyukarkan usaha bantuan besar-besaran dilakukan, tetapi bantuan mula disampaikan kepada mangsa.

Pengarah Program Merlin Pete Sweetnam, berkata, persatuan itu telah menghantar dua pasukan ke Haiti, dengan yang pertama pada Sabtu lalu.

Gempa bumi 7.0 magnitud melanda Haiti yang mengorbankan ribuan mangsa dan memusnahkan sekolah, hospital serta kediaman. - Bernama

Malaysia dipilih terajui ECOSOC

NEW YORK: Malaysia telah dipilih secara sebulat suara sebagai presiden baru Majlis Ekonomi dan Sosial (ECOSOC) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pada perhimpunan yang dihadiri duta dan diplomat daripada 54 negara anggota ECOSOC itu, wakil tetap Malaysia ke PBB Datuk Hamidon Ali, dipilih sebagai presiden ke-66 majlis berkenaan.

Presiden ECOSOC sebelumnya, Sylvie Lucas, wakil tetap Luxembourg, memulakan sesi dengan merayu untuk membantu negara yang musnah dilanda gempa bumi, Haiti.

Asia telah sepakat dalam pencalonan Hamidon untuk jawatan presiden ECOSOC itu, mengikut dasar giliran dari segi geografi.

Dalam kenyataan pertamanya selepas mengambil alih jawatan itu, Hamidon mengucapkan terima kasih kepada Lucas di atas "sumbangan dan kepimpinan yang luar biasa" terhadap kerja-kerja ECOSOC.

"Beliau telah menetapkan standard yang tinggi yang saya harap dapat mengikut jejaknya.

"Kita mempunyai beberapa cabaran penting di hadapan kita. Saya melihatnya sebagai peluang untuk dimanfaatkan dan mewujudkan momentum baru untuk pembangunan," katanya.

ECOSOC membantu Perhimpunan Agung PBB dalam mempromosikan pembangunan sosial dan ekonomi antarabangsa. - Bernama

Angka kematian gempa di Haiti cecah 75,000 orang

PORT-AU-PRINCE: Angka kematian akibat gempa 7.0 magnitud di Haiti minggu lalu kini mencecah 75,000 manakala 250,000 lagi dilaporkan cedera dengan lebih sejuta penduduk hilang tempat tinggal.

Angka terbaru itu dikeluarkan Jabatan Pertahanan Awam Haiti awal hari ini dengan negara Caribbean itu terus merayu bantuan antarabangsa untuk keperluan tempat perlindungan, makanan, ubat-ubatan dan kaunselor.

Kenyataan itu juga menyebut, hampir separuh bangunan di ibu negara itu musnah akibat gempa yang paling buruk sejak 160 tahun lalu. - AFP

Malaysia manfaat hubungan dengan UAE: PM

ABU DHABI: Malaysia memanfaatkan hubungan dua hala serta kepakaran teknologi hijau Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi meningkatkan kemasukan dana pembiayaan asing dari negara rantau Teluk, selain mengeksport kemahiran syarikat tempatan ke sini, kata Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, syarikat Malaysia perlu mengutamakan mutu dan hasil kerja untuk mengekalkan kepercayaan diberikan pihak berkuasa UAE kepada mereka.

Lantaran itu, katanya, prestasi syarikat Malaysia perlu mengikut tanda aras antarabangsa bagi membida projek mega di rantau Teluk.

Bercakap kepada wartawan Malaysia pada hari terakhir lawatan rasmi empat hari ke UAE, terutama Abu Dhabi, Perdana Menteri berkata, beliau berpuas hati dengan hasil kunjungan itu yang mendapat sambutan menggalakkan dan pencapaian begitu memuaskan.

Beliau berkata, dalam pertemuan dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammad Zayed Al Nahyan, pada hari pertama lawatan, agensi pelaburan UAE, Mubadala Development Company diarah mengenal pasti pelaburan baru di Malaysia, terutama bidang hospitaliti, termasuk kemungkinan membina hotel di Malaysia.

Bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan dagangan kedua-dua negara, Sheikh Mohammad menyatakan hasrat melawat Malaysia tahun ini.

"Saya juga berasakan mereka menunjukkan hasrat begitu tinggi apabila Masdar menandatangani perjanjian dengan nilai projek AS$100 juta sebagai peringkat permulaan untuk melaksanakan kaedah dan konsep bandar Masdar yang bebas karbon di sini.

"Projek seumpama itu dengan skala lebih sederhana turut dirancang di Malaysia. Kita berharap sesuatu dapat dimulakan menjelang lawatan rasmi Sheikh Mohammad," katanya.

Hadir sama Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Datuk Mustapa Mohamed; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Ditanya lanjut mengenai projek Masdar di Malaysia secara usaha sama dengan 1Malaysia Development Bhd, Perdana Menteri berkata, pembangunan kawasan itu menggunakan teknologi hijau terkini.

"Kita dapat manfaat daripada pelaburan mereka dan kemahiran kemapanan teknologi hijau tanpa melabur bagi mewujudkan konsep pembangunan Masdar di Malaysia," katanya

Beliau juga berkata, sepanjang lawatan itu, syarikat dan profesional Malaysia didapati berjaya dalam bida antarabangsa di UAE sebagai kontraktor, pengurus projek serta penawaran khidmat profesional seperti pakar kewangan dan peguam.

Pada hari terakhir lawatan, katanya, syarikat Malaysia, Kemuncak Facilites Management Sdn Bhd (KFM) turut menjalin usaha sama tiga pihak dengan syarikat UAE (Allen & Shariff Corporation) dan Amerika Syarikat (Consortium International) bagi memberi nasihat kepakaran dan pengurusan projek membangunkan kawasan atau bangunan sebagai pembangunan hijau.

Katanya, ini sejajar Bajet 2010 dan Model Ekonomi Baru yang mana teknologi hijau dan teknologi boleh dibaharui menjadi satu dimensi bagi menjana sumber pertumbuhan baru negara.

Perdana Menteri berkata, hasil pertemuan dengan Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum yang juga Perdana Menteri UAE, beliau menghargai peluang diberikan kepada syarikat Malaysia, terutama dalam projek pembangunan ikonik, Meydan, Dubai.

"Arkitek dan pengurus projek mega itu rakyat Malaysia, manakala komponen struktur keluli dan tempat duduk stadium di kompleks itu turut dibekalkan syarikat Malaysia," katanya.

Beliau turut membuat kunjungan hormat ke atas Putera Mahkota Wilayah Barat, Sheikh Hamdan Zayed Al Nahyan yang berhasrat melawat Malaysia, tahun ini selain diberitahu mengenai peluang pembangunan seperti lebuh raya dan perbandaran yang boleh disertai syarikat Malaysia.

Perdana Menteri juga berkata, penyertaan rakyat Malaysia di sini menggambarkan semangat 1Malaysia berikutan semua kaum diberi kepercayaan dalam projek pembangunan Abu Dhabi dan UAE dengan syarat mempunyai kepakaran.

Kanak-kanak perempuan mati dihempap TV

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun meninggal dunia selepas dihempap televisyen berukuran 24 inci di rumahnya di Bandar Putra, Kulaijaya, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Supt Zulkefly Yahya, berkata ia berlaku kira-kira jam 9.40 malam ketika mangsa, Cyndi Yeo, sedang menonton berseorangan di bilik belakang rumah berkenaan.

"Kejadian disedari bapanya, Yeo Sung Wah, 38, yang terdengar bunyi sesuatu benda terjatuh di dalam bilik berkenaan dan disusuli jeritan anak perempuannya itu," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, Yeo yang ketika itu berada di ruang tamu terus bergegas ke bilik berkenaan lalu menemui anaknya yang tertiarap dihempap televisyen tersebut.

Katanya, Yeo yang juga seorang peniaga terus membawa Cyndi ke Hospital Kulai dan kanak-kanak tersebut disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan pada jam 12.20 malam tadi akibat kecederaan teruk di kepala.

Cyndi, katanya, dipercayai tertarik wayar televisyen berkenaan dengan kakinya sehingga menyebabkan televisyen itu terjatuh dari rak sebelum menghempapnya.

"Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. - Bernama

Muhyiddin lawat tempat kejadian perahu naga

GEORGETOWN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini melawat tempat kejadian perahu naga terbalik yang meragut enam nyawa iaitu lima pelajar dan seorang guru Sekolah Tinggi Chung Ling Air Itam di sini, dua hari lalu.

Kawasan perairan dekat Lebuh Macallum yang juga adalah pusat pemunggahan barangan dari kapal dan pangkalan tongkang itu dijadikan sebagai pusat latihan mendayung bagi kelab perahu naga sekolah berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk melihat kawasan itu sebelum berlepas ke tanah perkuburan Cina Batu Gantung di sini bagi menziarahi jenazah salah seorang mangsa, Goh Yi Xiang, 15.

Yang turut menyertai rombongan lawatan beliau ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Ketua Menteri, Lim Guan Eng; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong; Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob dan pemimpin Umno negeri.

Pada kejadian pagi Ahad lalu, enam termasuk seorang guru dari Sekolah Tinggi Chung Ling itu ditemui lemas apabila perahu naga yang mereka naiki terbalik akibat dipukul ombak sebelum berlanggar dengan sebuah tongkang di kawasan kira-kira 100 meter dari darat pada 8.45 pagi.

Mereka yang terkorban itu ialah guru sekolah yang juga penasihat pasukan, Chin Ai Fang, 28 dan lima pelajar iaitu Jason Ch'ng, 17; Goh Yi Xiang, 15; Bradon Yeoh, 17; Cheah Zi Yun, 17, dan Yong Xiang, 16.

Seramai 12 pelajar lain terselamat apabila sempat berenang dan dibantu oleh beberapa bot di kawasan berhampiran. - Bernama

Amaran angin kencang, laut bergelora hingga Jumaat

KUALA LUMPUR: Amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua yang berlaku di perairan Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan di Laut China Selatan dijangka berterusan hingga Jumaat ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, angin kencang Timur/Timur Laut dengan kelajuan 50 kilometer hingga 60 kilometer sejam (km/j)dengan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk feri dan menangkap ikan.

Sementara itu angin kencang Timur/Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 km/j sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter yang berlaku di perairan Samui (Kelantan dan Terengganu) dan Tioman (Johor Timur dan Pahang), Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak, Bunguran, Reef South, Sulu dan Sulawesi turut dijangka berterusan hingga Jumaat ini.

Selain itu, kawasan pantai di Pantai Timur Semenanjung Malaysia (Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur) terdedah kepada kejadian kenaikan paras laut.

Keadaan itu turut dijangka berterusan hingga Jumaat ini dan keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. - Bernama

PBB perlu 3,500 anggota keselamatan bantuan bagi misi di Haiti

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB): Majlis Keselamatan dijangka meluluskan permohonan bagi mendapatkan 3,500 anggota keselamatan dan polis tambahan untuk dihantar ke Haiti, bagi mengawal situasi di ibu kota Port-au-Prince.

Ia berikutan keadaan negara itu yang tidak terkawal khususnya di jalan-jalan sekitar ibu kota Port-au-Prince.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon menggesa pertubuhan itu menghantar misi pasukan pengaman, ketika memaklumkan kepada 15 negara ahli yang menyertai majlis itu dalam lawatan enam jam ke ibu kota Haiti.

Ban berkata, beliau sudah meminta supaya misi PBB yang dikenali Minustah, yang mana ibu pejabatnya musnah dalam kejadian gempa bumi 12 Januari lalu untuk dipertingkatkan.

“Saya memberi cadangan kepada Majlis Keselamatan untuk meningkatkan jumlah tentera kepada 2,000 anggota, iaitu peningkatan kira-kira 33 peratus bagi tempoh enam bulan, dan angka pegawai polis PBB perlu ditingkatkan kepada 1,500 orang atau 67 peratus,” katanya. - AFP

Gempa bumi sederhana landa Taiwan

TAIPEI: Biro Cuaca Sentral Taiwan berkata gempa bumi sederhana berukuran 5.6 pada skala Richter berlaku di pantai timur pulau itu.

Tiada laporan segera berhubung kemalangan jiwa atau kerosakan.

Gempa bumi itu berlaku pada 2:09 petang tadi dan berpusat di 19 kilometer ke timur Hualien County di timur Taiwan, kira-kira 135 kilometer ke tenggara Taipei.

Gempa bumi sering kali berlaku di Taiwan tetapi kebanyakkan adalah kecil dan tidak menyebabkan kerosakan.

Namun, gempa bumi dengan magnitud 7.6 di tengah Taiwan pada 1999 membunuh lebih 2,300 orang. - AP

Tragedi gempa Haiti: Filipina catat kematian pertama

MANILA: Pihak berkuasa Filipina hari ini mengesahkan seorang petugas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) warga Filipina ditemui terbunuh di Haiti berikutan kejadian gempa minggu lalu, iaitu mangsa pertama daripada negara itu.

Kementerian Luar Negara ketika temubual dengan stesen radio DZBB, berkata lima warga Filipina termasuk tiga pengaman PBB dan dua wanita yang bekerja di pusat beli belah, masih hilang.

Mayat Jerome Yap, katanya, yang dikenali sebagai penolong eksekutif kepada timbalan ketua misi PBB ke Haiti ditemui dalam runtuhan Hotel Christopher, yang menempatkan ibu pejabat PBB di negara itu.

Ketika gempa bumi terbesar melanda negara itu pada 12 Januari lalu, lebih daripada 400 rakyat Filipina berada di Haiti, termasuk di kalangan mereka yang bertugas untuk PBB.

Filipina juga mempunyai 172 kontinjen sebagai anggota pengaman PBB terdiri daripada polis, tentera dan pemerhati tentera. - AFP

Kerajaan jamin tiada kenaikan harga gula

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan harga gula sebelum dan selepas Tahun Baru Cina bulan depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ini kerana peniaga atau pemborong yang menyorokan gula akan dikenakan tindakan tegas.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini sebentar tadi sebagai menafikan khabar angin bahawa harga bahan pemanis itu akan dinaikkan lagi.