Followers

Thursday, October 15, 2009

Pindaan Perlembagaan Umno diluluskan

KUALA LUMPUR: Pindaan Perlembagaan Umno membabitkan tujuh perkara yang antara lain menghapuskan sistem kuota bagi pencalonan dan menambah bilangan perwakilan yang memilih pemimpin tertinggi diluluskan sebulat suara Perhimpunan Agung Khas sebentar tadi.

Proses kelulusan cadangan pindaan itu yang dibentangkan Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengambil masa kira-kira sejam, bermula dengan ucapan pembentangan.

Ketika perhimpunan khas itu diadakan pada peringkat jawatankuasa, beberapa perwakilan bangkit menyatakan pandangan berhubung beberapa perkara, termasuk penetapan RM2 sebagai yuran untuk menjadi ahli Umno seumur hidup.

Bagaimanapun, selepas mendapat penjelasan Hishammuddin, mesyuarat diteruskan dan semua usul itu diluluskan.

Tujuh pindaan Perlembagaan Umno itu ialah :

Pindaan 1. Perluasan jumlah pemilih perwakilan. 146,000 akan terbabit dalam pemilihan Majlis Tertinggi (MT).

Pindaan 2. Sistem kuota pemilihan dihapuskan.

Pindaan 3. Tambahan satu wakil Wanita di peringat MT, Bahagian dan cawangan.

Pindaan 4. Pemilihan bahagian diadakan serentak.

Pindaan 5. Yuran tahunan dihapus, diganti yuran seumur hidup. RM2 bagi ahli baru.

Pindaan 6: Ketua-ketua sayap diberi kuasa untuk meluluskan permohonan ahli baru.

Pindaan 7. Taraf perwakilan kepada setiausaha bahagian secara automatik.

Rosmah gembira sambutan menakjubkan ahli Umno terhadap Najib

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata beliau terharu melihat sokongan dan sambutan ahli Umno kepada Datuk Seri Najib Razak pada perhimpunan agung Umno tahun ini.

Katanya, kandungan Ucapan Dasar Presiden oleh Najib perlu dihayati dan nasihat yang disampaikan harus diikuti semua.

"Perhimpunan agung pada kali ini, pada diri saya, memang berlainan berbanding dengan tahun lalu, oleh kerana suami saya sendiri memberi ucapan sebagai presiden. Sambutan daripada perwakilan dan orang ramai amat menakjubkan dan menggalakkan," katanya.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, pula menyifatkan ucapan sulung Najib selaku Presiden Umno itu sebagai hebat.

"Ucapan tersebut telah membakar semangat anggota Umno terutama sekali anggota Wanita Umno supaya tidak berputus asa dalam perjuangan parti," katanya. - Bernama

40 gempa bumi dicatatkan di Malaysia sepanjang dua tahun

PETALING JAYA: Dalam tempoh hampir dua tahun, sejak penghujung 2007, Malaysia mencatatkan 40 gempa bumi lemah, tetapi yang ketara 37 daripadanya berlaku di sekitar garis sesar (garisan gempa bumi) Bentong, di Pahang.

Tiga lagi gempa bumi itu berlaku di Manjung (Perak) dan Jerantut (Pahang).

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Rosaidi Che Abas, berkata sejak November 2007 sehingga Mei tahun lalu sebanyak 29 gempa bumi dicatatkan di kawasan Bentong itu.

Kes terbaru pada 8 Oktober lalu, bagaimanapun, mencatat gempa bumi paling kerap, sebanyak lapan kali dari jam 4.45 pagi hingga 12.05 tengah hari, pada ukuran antara 1.1 hingga 2.8 skala Richter.

Kesemua gempa bumi itu dikesan di sekitar Bukit Tinggi dan Janda Baik yang mempunyai garis sesar berukuran 15 kilometer lebar dan 70 kilometer panjang.

Bagaimanapun, hanya sekali, iaitu pada Mei 2008, jabatan berkenaan mengesan gempa lebih kuat berukuran 3.5 pada skala Richter.

"Apa yang boleh kita katakan ialah walaupun Bukit Tinggi dan Janda Baik berada di atas garisan gempa bumi, ia tidak mungkin melepasi ukuran 5.0 pada skala Richter dan ini bermakna, jika berlakupun gempa bumi, ia tidak akan merosakkan struktur bangunan yang kukuh.

"Kami tegaskan juga bahawa gempa berkenaan berlaku di sesar berkenaan dan bukannya di Banjaran Titiwangsa yang menjadi tulang belakang negara," katanya dalam temu ramah di sini, hari ini.

Penduduk di sekitar Bukit Tinggi dan Janda Baik di Pahang yang sering merasai gegaran setiap kali berlaku gempa bumi bermagnitud besar di negara jiran baru-baru ini meminta kerajaan melakukan kajian terperinci terhadap struktur tanah di kawasan itu.

Desakan mereka dikuatkan dengan dakwaan gegaran yang mereka rasai baru-baru ini berikutan gempa bumi kuat di Sumatera Barat pada 30 Sept bukan sekadar gegaran biasa kerana mereka ada mendengar bunyi letupan dan dapat merasai pergerakan tanah ketika gegaran itu berlaku.

Menurut mereka, walaupun tiada runtuhan bangunan, kebelakangan ini bila berlaku gegaran ada saja harta benda yang rosak dan dinding atau lantai rumah yang retak.

Penduduk bercerita, kawasan Janda Baik dan Bukit Tinggi mencatatkan gegaran pertama pada November 2007 berikutan beberapa siri gempa bumi yang berlaku di sekitar Indonesia dan Filipina.

Dalam hal ini, Dr Rosaidi memberi jaminan bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Giosains dan beberapa jabatan berkaitan untuk membuat kajian segera ke atas muka dan struktur tanah dan batuan di situ.

"Kami juga akan menemu bual penduduk setempat mengenai apa yang dikatakan oleh mereka sebagai pergerakan bumi yang dirasai semasa gempa berlaku.

"Turut menarik minat kami ialah melihat kekuatan gegaran yang didakwa menyebabkan keretakan pada dinding dan lantai," katanya.

Dr Rosaidi menjelaskan bahawa setakat ini gempa bumi yang berlaku ialah di antara 1 batu hingga 10 batu di bawah permukaan bumi.

"Hanya dua kali gempa bumi berlaku dengan kekuatan antara 2.8 dan 3.5 pada skala Richter dan kedua-duanya pada kedalaman 10 batu di bawah muka bumi," katanya.

Kini, Malaysia mempunyai 13 stesen mengesan gempa di seluruh negara dengan tujuh daripadanya di Semenanjung, antaranya di Kulim Kedah dan yang terbaru di Jerantut Pahang manakala enam stesen di Sabah dan Sarawak.

"Pegawai-pegawai kami bertugas 24 jam sehari. Mereka akan memaklumkan kepada pihak berwajib dan setiap apa yang mereka rekodkan adalah mengikut masa sebenar gempa berlaku," katanya.

Terdapat empat garis sesar (garisan gempa bumi) di negara ini iaitu di Jerantut, Bentong, Kuala Lumpur dan yang terbaru di Manjong Perak.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Dr Yap Kok Seng, berkata gempa bumi berskala kecil iaitu kurang daripada 2.8 pada skala Richter tidak menyebabkan kerosakan harta benda atau kehilangan nyawa.

"Kejadian gempa bumi yang berlaku di sekitar Bukit Tinggi adalah satu proses penstabilan semula struktur batu-batan di sekitar Zon Garis Sesar Bukit Tinggi.

"Proses penstabilan ini dipercayai berlaku berikutan daripada himpitan batu-batan akibat beberapa kejadian gempa bumi bermagnitud besar yang berlaku sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Gempa bumi bermagnitud besar itu ialah pada 26 Dis 2004 di Aceh, Indonesia; di Nias, Indonesia (28 Mac 2005) dan yang terbaru pada 30 Sept 2009 di Padang, Indonesia serta Bengkulu pada 1 Oktober 2009.

Kekuatan gempa bumi diukur menggunakan mesin seismograf dan direkodkan ukurannya dalam skala Richter di antara 1.0 hingga 10.0.

Gempa bumi pada ukuran 1.0 skala Richter memang terlalu kecil yang boleh berlaku setiap hari dan biasanya tidak dirasai manusia.

Ukuran dari 7.0 hingga 10.0 pada skala Richter ialah gempa bumi paling kuat yang berlaku dalam masa 10 hingga 20 tahun, menurut Pusat Maklumat Rakyat Jabatan Penerangan Malaysia.

PMR yang boleh diakses secara online itu turut memasukkan maklumat mengenai bagaimana kita harus bersedia untuk gempa bumi dan apa yang harus kita lakukan semasa berlaku gempa bumi.

Secara terperinci, ia menyenaraikan tindakan yang boleh diambil sekiranya anda berada di dalam bangunan ketika gempa bumi berlaku, sekiranya anda di dalam bangunan tinggi, di laluan dekat bangunan, di dalam kereta yang bergerak dan apa yang harus dilakukan selepas gempa bumi.

Setakat ini Jabatan Meteorologi memberi jaminan tiada ancaman gempa bumi bermagnitud tinggi yang dijangka berlaku di negara ini namun tidak salah membaca panduan itu untuk pedoman dan menambah pengetahuan. - Bernama

Wanita, Pemuda, Puteri sifatkan amanat presiden bakar semangat

KUALA LUMPUR: Pemimpin tiga sayap Umno menyifatkan ucapan dasar Datuk Seri Najib Razak pada perasmian Perhimpunan Agung Umno pagi tadi, sebagai wadah permulaan bagi melakukan transformasi supaya parti diterima semua lapisan rakyat.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata impian Presiden parti untuk merakyatkan Umno akan diberi perhatian serius oleh pergerakan itu dengan pembabitan semua peringkat akar umbi.

"Ucapan presiden bakar semangat kami, ahli Umno dan kita semua mesti mara untuk harungi apa juga cabaran.

"Dua daripada isu yang dikupas presiden akan saya bawa ke dalam perjuangan Wanita, termasuk membina kekuatan minda dalam perjuangan," katanya.

Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, berkata ucapan presiden yang menyentuh soal 1Malaysia cukup jelas menggambarkan Umno bukan parti bersikap perkauman.

"Saya begitu tertarik dengan apa yang presiden katakan mengenai pengurusan bantuan yang perlu sampai kepada golongan berhak dan layak dan jangan kita beri bantuan kepada mereka tidak lagi layak.

"Apabila kita sudah ada kekuatan diri jangan kita ambil apa yang patut diberi kepada golongan yang perlu bantuan," katanya.

Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata amanat Presiden yang mahu sifat kesukarelawan menjadi budaya di kalangan ahli perlu diterapkan kembali bagi memantapkan kedudukan sayap parti itu.

"Apa yang diucapkan Presiden mengenai semangat kesukarelawan ini selaras dengan apa yang kami bincangkan dalam perhimpunan Puteri semalam," katanya.

Mutiara kata Najib pada perasmian Perhimpunan Agung Umno

KUALA LUMPUR: Berikut sebahagian daripada mutiara kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika menyampaikan Ucapan Dasar selaku Presiden Umno pada majlis perasmian Perhimpunan Agung Umno 2009 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini:




Mengenai perjuangan Umno:


* "Umno harus dilihat, ditanggap, serta diyakini sebagai parti yang ampuh membela untung nasib rakyat. Umno tidak boleh dilihat sebagai sebuah parti yang hanya ghairah memperjuangkan kelompok yang sedikit. Sebaliknya, kita mahu Umno dilihat, dirasai serta diyakini sepenuhnya sebagai sebuah parti inklusif yang mendahulukan rakyat dan bukannya mendahulukan diri sendiri. Maka itu, persepsi Umno sebagai parti untuk cari makan mesti dibuang jauh-jauh, mesti ditinggalkan".



* "Umno tidak boleh lagi kelihatan sebagai parti yang hanya dilihat condong kepada satu-satu pihak sahaja. Sebagai tonggak parti pemerintah, kita tidak mampu ditanggap hanya sebagai bertumpu kepada inisiatif niaga besar-besaran atau projek mega semata-mata, tetapi sebaliknya kita mesti menjadi parti yang menjuarai rakyat".



* "Yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang betul, yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang haq. Kitalah Umno, satu-satunya parti yang membawa obor harapan dan mampu meneroka masa depan dengan penuh gilang-gemilang.

"Walau apapun dugaan, walau apapun rintangan, bersama segunung harapan, perjalanan ini kita teruskan, bersama menggenggam keyakinan, segala impian pasti dilunaskan, setitik dijadikan laut, segumpal dijadikan gunung".



Mengenai kemenangan BN pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang:

* "Kita tidak boleh mudah berasa selesa atau lega bahawa kita menjadi parti pilihan rakyat, hanya kerana tiada parti lain yang boleh diharapkan, atau dengan kata lainnya, yang terbaik antara yang buruk".



* "Kita mahukan Umno diterima rakyat sebagai sebuah parti yang memperjuangkan bukan sahaja untung nasib Melayu dan Bumiputera akan tetapi menjangkau semua kumpulan etnik di Malaysia".





Mengenai kepentingan sejarah:

* "Peristiwa sejarah bukan sahaja untuk dicontohi dan diikuti, tetapi ia menunjang sebagai peringatan dan sempadan terbaik kepada umat manusia bagi mengurus realiti semasa untuk melakar hari muka dengan lebih berjaya".



Mengenai peranan Umno selepas peristiwa 13 Mei 1969:

* "Umno berusaha keras untuk mengembalikan demokrasi dalam masa 18 bulan. Ini jelas mempamerkan bahawa Umno bukanlah sebuah parti yang mabukkan kuasa, jauh sekali sebagai sebuah parti yang bersifat perkauman".







Mengenai sifat pemimpin Umno:

* "Antara sifat pemimpin yang paling didambakan dan digemari rakyat adalah sifat merendah diri dan Tawadhuk. Ingatlah bahawa, dalam negara demokrasi seperti ini, rakyatlah yang memilih pemimpin. Pemimpin yang mereka mahukan adalah pemimpin yang sentiasa bersedia memberi khidmat".



* "Mereka yang menunjukkan keikhlasan dan merasai keseronokan menabur bakti kepada rakyat akan menjadi pemimpin yang disanjung".



* "Untuk mengukuhkan kepercayaan rakyat tentang kewibawaan dan integriti Umno, ia bukan sahaja setakat dilaungkan, tetapi ia juga mesti dipampang dengan jelas dalam bentuk amalan, tindak tanduk dan aktiviti juga gerak kerja semua ahli dan pemimpin".





Mengenai falsafah perjuangan Umno:

* "Saya menyeru agar ahli-ahli Umno menyegarkan kembali budaya khidmat dan kesukarelawanan dalam parti. Ikhlaskanlah diri untuk menumpah bakti dan jasa tanpa disuruh-suruh demi kepentingan parti dan rakyat Malaysia".





Mengenai pindaan perlembagaan Umno:

* "Setelah pindaan kita lakukan, berhijrahlah meninggalkan gejala negatif seperti politik wang, supaya kita menjadi parti yang bersih dan dihormati".



Mengenai Konsep 1Malaysia:

* "Konsep 1Malaysia tidak sekali-kali menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat atau secara tersirat".



Mengenai mesej keputusan pilihan raya Umum ke-12:

* "Kita tahu rakyat masih sayangkan Umno. Apa yang mereka inginkan hanyalah agar Umno berubah. Nyatanya, kita mendengar hasrat rakyat ini. Kita akan berubah". - Bernama

Rakyat jangan terpukau pemberian kecil pembangkang: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengingatkan rakyat agar tidak terpesona dengan pemberian tidak seberapa pembangkang sehingga lupa jumlah RM22 bilion yang diperuntuk kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membiayai pelbagai subsidi dan insentif tahun ini.

Perdana Menteri berkata sejak puluhan tahun kerajaan yang diterajui Umno telah mengambil pelbagai inisiatif dengan memberikan subsidi, insentif dan bantuan bagi meringankan beban rakyat.

"Dari itu, janganlah kita mudah terpesona dan terpukau dengan pihak pembangkang semata-mata kerana air percuma dan sedikit kenaikan elaun. Setidak-tidaknya ingatlah sedikit akan jasa-jasa kerajaan pimpinan Umno yang telah berbudi selama puluhan tahun.

"Kata orang janganlah kerana kemarau sehari, rezeki hujan yang setahun sudah dilupakan," kata Presiden Umno itu dalam ucapan dasar sulung beliau pada perhimpunan agung parti di sini.

Sedar atau tidak, kata beliau, sudah banyak yang kerajaan lakukan demi kesejahteraan rakyat.

"Misalnya di bawah sektor pengangkutan dan tenaga, kerajaan telahpun menyediakan subsidi sebanyak RM9 bilion untuk petrol, LPG dan diesel, RM2 bilion untuk program rebat tunai, lebih RM600 juta untuk pampasan tol, RM150 juta untuk kadar elektrik dan RM45 juta lagi untuk pengangkutan udara luar bandar serta rel pantai timur," katanya.

Najib berkata kesemua itu membuktikan kerajaan bukan saja prihatin dan empati dengan keadaan penduduk di luar bandar tetapi juga mereka yang di kota kerana masih ada yang hidup ''kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang''.

"Pokoknya rakyat berasa lega bahawa mereka tidak sendirian dalam keluh kesah tentang makan pakai, kos sewa rumah mereka, susu dan kain lampin anak, membawa kepada perbelanjaan pengangkutan seharian yang ditanggung," katanya.

Di bawah sektor pertanian dan makanan pula kata Najib, kerajaan memperuntukkan hampir RM600 juta untuk subsidi padi, RM400 juta (beras), RM275 juta (baja), RM210 juta untuk tepung gandum, dan RM89 juta untuk roti.

Bagi pendidikan generasi masa depan, Najib berkata sejumlah RM2 bilion telah diagih dalam bentuk bantuan kepada pelajar sekolah khususnya di bawah projek pelajar miskin, RM411 juta untuk bantuan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), RM374 juta untuk guru dan penyelia kelas agama dan fardu ain (Kafa), elaun guru takmir termasuk elaun imam serta ketua-ketua kampung.

Selain itu, katanya, kerajaan juga telah memperuntukkan RM159 juta untuk kanak-kanak prasekolah dan RM36 juta untuk masyarakat orang asli.

Kerajaan juga, kata Najib, tidak lupa golongan keluarga miskin, orang kurang upaya dan warga emas apabila memperuntukkan RM850 juta sebagai peruntukan untuk menyediakan jaringan keselamatan kepada mereka.

"Selain itu, dari November 1997 hingga Ogos 2009, kerajaan melalui PTPTN telah mengeluarkan lebih RM19 bilion kepada 1.4 juta peminjam terdiri daripada pelajar IPTA dan IPTS dengan ujarah yang sangat rendah.

"Bersyukurlah kita atas semuanya ini," katanya. - Bernama

Bantuan untuk orang Melayu tetap diteruskan: Najib

KUALA LUMPUR: Bantuan kepada orang Melayu tetap diteruskan kerana secara keseluruhan mereka dilihat masih lagi ketinggalan dan memerlukan bantuan, kata Datuk Seri Najib Razak, hari ini.

Perdana Menteri berkata sekalipun ada yang mendabik dada bahawa mereka tidak lagi memerlukan sokongan, hakikatnya masih ramai yang memerlukan pertolongan kerajaan.

"Hari ini kita melihat bagaimana produk tindakan afirmatif serta Dasar Ekonomi Baru (DEB) begitu gah dan bangga mendabik dada bahawa mereka tidak perlu lagi topang dan sangga.

"Katanya mereka boleh berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlu bergantung kepada pertolongan kerajaan. Tampaknya golongan ini lupa kepada satu hakikat yang besar," kata Presiden Umno itu ketika berucap di hadapan lebih 2,500 perwakilan pada perhimpunan agung parti di sini.

Najib: "Maksud saya jika benar pun mereka telah cukup berupaya untuk membuang topang yang menyangga mereka selama ini, bagaimana pula halnya dengan orang-orang Melayu lain yang masih memerlukan bantuan?

"Adakah adil namanya jika topang ini dinafikan kepada kumpulan yang layak menerima, hanya kerana orang yang sudah mendapat bantuan tidak lagi bergantung kepadanya."

Dalam ucapan dasar sulung beliau yang bertema "Menjunjung Tradisi, Menzahir Perubahan" itu, Najib berkata tidak ada siapa dapat menafikan orang Melayu menikmati faedah yang besar hasil pelaksanaan DEB dan kini mempunyai kelas menengah yang besar.

"Keadaan ini hampir tidak wujud tatkala Dasar Ekonomi Baru dilancarkan pada tahun 1971. Siapakah juga yang dapat menafikan bahawa hari ini terdapat golongan profesional Melayu dalam skala yang besar sebagai mahsul daripada langkah-langkah Dasar Ekonomi Baru," katanya.

Namun, Najib berkata, isu sebenar bukanlah soal bantuan tetapi soal pengurusan dan pentadbiran bantuan tersebut yang berfokus kepada yang masih memerlukan.

"Faktanya, orang Melayu dilihat dari lensa keseluruhan, masih ketinggalan dan memerlukan bantuan. Itulah sebenarnya yang menjadi perhitungan utama," beliaunya. - Bernama

Umno juarai semua rakyat: Najib

KUALA LUMPUR: Umno akan menjadi parti menjuarai rakyat dengan mendahulukan rakyat semua kaum daripada diri sendiri melalui perubahan yang sedang dizahirkan oleh parti itu, kata Datuk Seri Najib Razak, hari ini.

Dalam ucapan sulungnya sebagai Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2009 di PWTC di sini, beliau berkata Umno akan terus menjuarai soal kebajikan dan periuk nasi semua rakyat dan mahukan gerak kerja parti selari dengan tuntutan zaman.

"Umno tidak boleh lagi kelihatan sebagai parti yang hanya dilihat condong kepada satu-satu pihak sahaja," katanya pada perhimpunan yang dihadiri oleh 2,500 anggota perwakilan.

Sebagai tonggak parti pemerintah, Umno tidak mampu ditanggap hanya sebagai bertumpu kepada inisiatif niaga besar-besaran atau projek mega semata-mata, tetapi mesti menjadi parti yang menjuarai rakyat.

"Khidmat Umno harus merata. Kita akan tetap menjadi parti yang pro kepada pertumbuhan ekonomi berdaya tahan, pengagihan kekayaan yang adil, jaringan keselamatan sosial menyeluruh dan kos hidup terkawal," katanya. - Bernama

Jangan menaruh syak terhadap 1Malaysia: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak meminta mana-mana pihak jangan berasa gundah gulana atau menaruh syak serta bimbang mengenai gagasan 1Malaysia, kerana ia tidak terpesong daripada apa yang dipersetujui dan dimuafakatkan oleh generasi terdahulu.

Presiden Umno itu berkata sesungguhnya matlamat akhir konsep berkenaan adalah untuk meraikan kemajmukan dan kepelbagaian rakyat di Malaysia sebagai senjata dan kekuatan demi kemajuan bersama.

"Kerana itulah pentadbiran kerajaan telah memperkenalkan gagasan 1Malaysia. Sesungguhnya, 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru.

"Sebaliknya matlamat akhir 1Malaysia iaitu perpaduan nasional juga merupakan wawasan utama pemimpin-pemimpin Umno terdahulu yang diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk jelmaan prakarsa (rangka kerja strategik) sepanjang lebih lima dekad," katanya dalam ucapan dasar sulungnya sebagai Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Perdana Menteri juga berkata sejak mula para patriot memperjuangkan kemerdekaan tanah air hingga ke hari ini, usaha mencapai perpaduan nasional telah, sedang dan tetap menjadi keutamaan.

Ini kerana, beliau berkata semua pihak sedar bahawa tanpa perpaduan yang mantap dan jitu, tidak mungkin segala matlamat dan wawasan nasional akan dapat diterjemahkan.

Katanya gagasan 1Malaysia ditiangi oleh beberapa teras utama, antaranya penghijrahan daripada perpaduan yang berpaksikan toleransi kepada berlandaskan penerimaan, keadilan sosial dan nilai-nilai dikongsi bersama yang mengambil kira realiti sejarah berpandukan keluhuran perlembagaan serta prinsip rukun negara.

"Wajarlah saya pertegaskan di sini bahawa konsep 1Malaysia tidak sekali-kali menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat atau tersirat.

"Malah, kita kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti Perkara 3, Perkara 4, Perkara 152, Perkara 153, Bahagian 2 dan 3 seperti ditintakan dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya. - Bernama

Pastikan Umno parti yang 'dahulukan rakyat': Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengajak ahli dan pemimpin Umno memastikan Umno diyakini sebagai parti yang inklusif serta mendahulukan rakyat, bukannya parti yang ghairah memperjuangkan kelompok yang sedikit.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno berkata, untuk sentiasa memperoleh sokongan massa, Umno harus dilihat, ditanggap serta diyakini sebagai parti yang ampuh membela untung nasib rakyat.

"Maka itu, persepsi Umno sebagai parti untuk cari makan mesti dibuang jauh-jauh, mesti ditinggalkan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sulungnya bertajuk "Menjunjung Tradisi, Menzahir Perubahan" pada Perhimpunan Agung Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.

Sehubungan itu, Najib berkata adalah mustahak untuk Umno menjadi parti yang berpegang kepada falsafah "wasatan" yakni bersederhana atau dengan apa yang disifatkan oleh ilmu sains politik sebagai "centrist parti".

Beliau berkata, Umno tidak boleh menjadi parti yang ultra kiri atau ultra kanan kerana fahaman Umno semenjak penubuhannya bukanlah condng sama ada kepada fahaman liberal mahupun fahaman konservatif.

"Hakikatnya yang jelas, Umno adalah parti siasah yang semesta. Semua pihak mempunyai tempat dan peranan di bawah lembayung Umno.

"Malah, semenjak penubuhannya lebih 60 tahun lalu, Umno telah dianggotai mereka yang berfahaman kiri dan kanan, golongan nasionalis mahupun agamawan.

"Termasuklah juga lapisan golongan pemikir dan pedagang, pendidik dan pejuang serta pelbagai latar sosio ekonomi. Semuanya dialu-alukan dalam Umno. Tuan-tuan dan puan-puan inilah kekuatan Umno inilah lambang kebitaraan perjuangan Umno yang sebenar sebagai seuah parti tercinta yang menjiwai keluh kesah, denyut nadi dan nurani, semua golongan masyaratkat," katanya.

Umno bukan parti perkauman: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menegaskan Umno bukan parti yang mabukkan kuasa atau perkauman, sebaliknya parti yang mempertahankan demokrasi dan berjuang untuk kesejahteraan semua rakyat Malaysia.

Merujuk situasi selepas peristiwa 13 Mei 1969, Perdana Menteri berkata pemimpin Umno pada masa itu boleh memilih untuk tidak meneruskan demokrasi yang digantung dan boleh memutuskan untuk menubuhkan kerajaan satu parti atau menyokong saja pihak tentera melakukan kudeta.

"Akan tetapi harus diingat, itu semua tidak dilakukan. Malah, Umno berusaha keras untuk mengembalikan demokrasi dalam masa lapan belas bulan. Ini jelas mempamerkan bahawa Umno bukan sebuah parti yang mabukkan kuasa, jauh sekali sebagai parti yang bersifat perkauman," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sulungnya bertajuk "Menjunjung Tradisi, Menzahir Perubahan" pada Perhimpunan Agung Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.

Merujuk sejarah arpatheid di Afrika Selatan dan situasai perkauman di Amerika Syarikat sehingga pertengahan 1960-an bagi menjelaskan maksud sebenar perkauman, Najib berkata keadaan di Malaysia amat berbeza.

Perdana Menteri menegaskan orang Melayu adalah bangsa yang bersifat amat inklusif dan merangkumi sejak dulu lagi sehinggakan Melaka mampu menjadi pelabuhan entrepot yang makmur pada abad ke-15 lagi.

"Bersabit isu ini juga, kalaulah ada mana-mana pihak yang tanpa usul periksa, begitu semberono menempelak Umno sebagai parti perkauman harus terlebih dulu mencerminkan diri secara ikhlas. Mereka harus sedar akan realiti komposisi kaum dalam parti mereka sendiri. Adakah ia benar-bnar melambangkan keterbukaan yang merea jerit dan laug-laungkan?

"Sedangkan jika betullah orang Melayu rasis bagai didakwa, tidak mungkin kita bersifat amat bertolak ansur terhadap budaya etnik lain seperti diamalkan, tak mungkin juga kita benarkan sekolah aliran kebangsaan diwujudkan, bahkan mustahil pula untuk bekerjasama dengan begitu akrab bersama-sama parti komponen lain dalam Barisan Nasional sejak berdekad lamanya.

"Oleh itu, kepada pihak tertentu, janganlah angkuh mengaku bahawa merekalah kononnya sebuah parti pelbagai kaum yang mempunyai keabsahan moral dan keikhlasan intelektual untuk memimpin rakyat di negara ini," katanya.

Puteri Umno sasar sejuta ahli dalam 2 tahun

KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri Umno meletakkan sasaran untuk menambah keahlian seramai satu juta ahli dalam tempoh dua tahun selaras Penunjuk Prestasi Utama Politik seperti disarankan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Naib Ketua Puteri Umno, Shahanim Mohd Yusof, berkata sasaran itu ditetapkan bagi menyahut cabaran Muhyiddin dalam ucapan dasarnya ketika majlis perasmian sayap ketiga-tiga parti berkenaan pada Perhimpunan Agung Umno 2009.

Katanya, sasaran itu bukanlah sesuatu yang mustahil kerana jika kerja keras dan tahap komitmen ahli Puteri dalam melaksanakan sasaran itu diambil kira termasuk kesungguhan untuk menemui akar umbi, maka ia mudah dicapai.

"Sekarang kita ada 328,000 (ahli) dan lagi dua tahun kita akan berusaha mencapai satu juta, kita akan bekerja keras dengan kembali ke kampung, cawangan dan negeri untuk mencari ahli 18 tahun dan ke atas kerana golongan inilah yang akan menjadi pengundi muda untuk pilihan raya umum akan datang.

"Saya yakin sasaran ini tidak mustahil jika Puteri bekerja kuat... kita akan tarik minat golongan belia dengan pelbagai program pendidikan dan apabila mereka ini mencecah umur 18 maka kita boleh dapatkan keahlian daripada mereka," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas mengenai usaha Puteri untuk menarik belia mendaftar sebagai pengundi, Shahanim berkata, ahli yang menjangkau usia 21 akan diminta untuk segera berbuat demikian.

"Kita perlu memberi perhatian kepada golongan wanita yang kebiasaannya setia kepada sesebuah pertubuhan. Kesetiaan wanita itu kental dan saya yakin jika mereka ini menganggotai mana-mana parti mereka akan mengundi Barisan Nasional (BN) iaitu parti yang diwakilinya, tetapi jika mereka bukan ahli sesuatu parti maka ia akan jadi was was ketika mengundi," katanya.

Mengenai membentuk jaringan dengan badan bukan kerajaan (NGO), Shahanim berkata, kebanyakan belia lebih berminat untuk menyertai NGO yang menjurus kepada aktiviti dan program lebih santai dan tidak menitikberatkan aspek politik.

Sehubungan itu, katanya, usaha proaktif perlu dilakukan menerusi strategi yang tersusun bagi memastikan Puteri menjalinkan jaringan bersama NGO dalam usaha menarik belia menjadi ahli.

Hubungan kerajaan-kakitangan awam penting untuk kejayaan negara: PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata hubungan intim antara sektor pentadbiran dan penjawat awam adalah ramuan sangat penting bagi mewujudkan sebuah negara yang berjaya.

Berucap pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini, beliau berkata sejarah negara telah membuktikan bahawa kejayaan yang dikecapi selama ini adalah hasil tautan erat kedua-dua pihak itu.

"Kalau kita imbas kembali sejarah negara, kita berjaya kerana mengekalkan hubungan intim antara satu sama lain," katanya.

Najib berkata, sektor perkhidmatan awam selama ini sentiasa membantu menterjemahkan dasar kerajaan sekaligus menentukan setiap agenda kerajaan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

"Semoga hubungan istimewa ini dapat dipertahankan kerana lebih banyak cabaran harus dihadapi dengan segala kemampuan dan kekuatan yang kita ada," katanya.

Najib berkata, kerajaan sentiasa mahu untuk melihat kedua-dua pihak saling berganding bahu dalam meneruskan usaha membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya demi kesejahteraan rakyat.

Rumah terbuka itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kabinet serta 3,000 orang kebanyakannya kakitangan JPM. - Bernama

Dr Mahathir kongsi pandangan martabat Melayu

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, akan mengambil bahagian dalam wacana intelek bertajuk Strategi Memartabatkan Bangsa anjuran Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 19 Oktober ini.

Forum itu adalah siri pertama wacana intelek anjuran Persatuan Alumni UiTM yang baru digerakkan semula dalam usaha menggembleng tenaga dan pemikiran lepasan universiti yang kini mencecah lebih 300,000 orang.

Dr Mahathir yang juga Penasihat Petronas selaku tetamu kehormat dan pembicara utama akan berkongsi pemikiran dan visi mengenai tajuk forum berdasarkan pengalamannya lebih dua dekad sebagai perdana menteri dan pemikir dunia bersama dengan kira-kira 150 ahli yang dijemput.

"Pemilihan Dr Mahathir sebagai pembuka tirai siri wacana intelek alumni adalah berdasarkan pandangan jauh dan tajamnya. Ia juga tanda penghargaan dan pengiktirafan seluruh anggota keluarga besar UiTM terhadap jasa dan sumbangan tidak ternilai beliau terhadap UiTM selama ini," menurut Sekretariat alumni itu dalam satu kenyataan.

Dr Mahathir juga diberi penghormatan melancarkan buku terbitan alumni UiTM, termasuk yang ditulis Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah.

Dr Mahathir juga akan melancarkan projek Persatuan Alumni UiTM yang menyokong usaha Mansor Puteh, Alumnus 1977, mencipta rekod dunia dengan menerbitkan sebuah edisi khas terdiri daripada 60 judul buku yang siap ditulisnya dalam bahasa Melayu dan Inggeris berjudul "The Prime Ministers of Malaysia World Record Edition".

Ia adalah bagi memberi penghormatan kepada semua Perdana Menteri Malaysia. - Bernama

Perwakilan Puteri perlu ada 5C, elak 3G

KUALA LUMPUR: Perwakilan Pergerakan Puteri Umno dikehendaki memiliki sifat "5C" dan menjauhi sifat "3C".

Pengerusi Tetapnya, Azlieza Azizan, berkata lima sifat itu ialah Cantik, Ceria, Cermat, Cekap dan Cemerlang, selaras dengan harapan Presiden Umno yang mahukan ahli parti berubah.

"Ahli Puteri perlu memilik sikap 5 C seperti yang saya perkatakan tadi dan perlu menjauhi 3 G, iaitu Gedik, Gelojoh dan Gaya yang lebih supaya Puteri tidak dipandang serong," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Puteri Umno di sini.

Kenyataan Azlieza itu mendapat tepukan dan sorakkan gemuruh perwakilan.

Perbincangan isu pembantu rumah Indonesia masih berlangsung

PETALING JAYA: Perbincangan antara Malaysia dan Indonesia berhubung isu pembantu rumah masih sedang berlangsung dengan tiada persetujuan konklusif dicapai sehingga ini.

"Ada beberapa isu yang perlu diambil kira sebelum perbincangan dapat diselesaikan," Ketua Pengarah Jabatan Buruh, Datuk Ismail Abdul Rahim, hari ini.

Ketika ini, Indonesia menghentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia sementara menunggu hasil perbincangan menyeluruh dari segi gaji dan keadaan kerja.

Beliau berkata, perkara pokok yang menjadi tumpuan Malaysia dalam perbincangan itu adalah berkaitan proses pengambilan pembantu rumah Indonesia memandangkan ''masalah eksploitasi yang dialami pembantu rumah ini didapati berpunca daripada proses pengambilan''.

"Pengambilan yang tidak teratur serta cara pengambilan yang tidak diselaras yang dilaksanakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai ejen berdaftar yang beroperasi di Malaysia atau negara sumber, sering menjadi dalang yang menyumbang kepada kesengsaraan yang dialami pembantu rumah ini.

"Dalam banyak kes ejen itu sendiri terbabit dalam aktiviti eksploitasi ini," katanya.

Merujuk kepada isu berkaitan gaji, Ismail berkata, pendirian Malaysia adalah ia tidak dapat ditetapkan dan ia seharusnya bergantung kepada perjanjian antara pekerja dan majikan.

"Amat sukar untuk menetapkan gaji pekerja sektor ini, kerana gaji pekerja di lain-lain sektor juga perlu diambil kira sebagai pertimbangan," katanya.

Gaji pembantu rumah ketika ini adalah antara RM400 dan RM650, bergantung kepada pengalaman, dan juga perjanjian bersama antara pembantu rumah itu dengan majikan.

Sementara itu, Ismail berkata, Malaysia sedang menimbang untuk mengambil pembantu asing Muslim dari negara Kemboja, Filipina, dan Thailand.

Beliau berkata, ia bukan saja akan membolehkan majikan membuat pilihan, malah ia dapat mengurangkan penggantungan mereka kepada negara pembekal, seperti Indonesia.

Menurutnya, ketika ini, terdapat 251,255 pembantu asing berdaftar di Malaysia, di mana 230,141 daripadanya adalah dari Indonesia.

Terdahulu, ketika menyampaikan taklimat dalam satu perbincangan bertajuk ''Strategies to Support Proposed International Standard for Domestic Workers'', Ismail berkata, adalah menjadi dasar Malaysia untuk membekalkan perlindungan yang sama rata bagi pekerja tempatan mahupun asing.

Ismail berkata, pekerja asing mempunyai hak untuk mendapatkan perlindungan menerusi sistem mahkamah perusahaan, di samping berhak untuk memiliki kontrak perkhidmatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata, Kementerian Sumber Manusia akan meminda Akta Pekerjaan 1955 bagi menangani masalah pembantu rumah mengenai gaji yang disimpan oleh majikan atau disimpan di bank atas nama majikan.

Pindaan akan turut menyediakan hukuman yang lebih berat buat majikan yang melakukan kesalahan terhadap pekerja, di samping melindungi pekerja daripada gangguan seksual. - Bernama

H1N1: Pengunjung ke hemisfera utara perlu dapat suntikan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan hari ini menasihatkan orang ramai yang ingin melawat negara di hemisfera utara supaya mendapatkan suntikan vaksin influenza bermusim (formula utara) berikutan penularan wabak influenza A (H1N1) di negara berkenaan masih serius.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan negara yang terletak di hemisfera utara seperti Amerika Utara, Eropah dan Jepun telah menunjukkan peningkatan empat kali ganda penyakit itu.

"WHO baru-baru ini melaporkan penularan dan jangkitan wabak itu dijangka meningkat berikutan ketibaan musim sejuk.

"Di Asia, penularan virus masih kekal dengan kadar jangkitan yang berbeza mengikut negara sementara di negara-negara di hemisfera selatan seperti New Zealand, Australia dan Chile telah menunjukkan penurunan kes yang ketara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Ismail juga menasihatkan jemaah haji supaya turut mendapatkan suntikan vaksin influenza sebelum ke tanah suci.

Beliau juga mengingatkan orang ramai bahawa penularan influenza A (H1N1) dalam komuniti masih aktif dan perlu berjaga-jaga khasnya menjelang tiba sambutan perayaan Deepavali.

"Sempena perayaan Deepavali ini, orang ramai digalakkan membawa kit H1N1 (topeng mulut dan hidung, tisu dan sanitiser) di mana-mana sahaja mereka berada termasuk ketika berkunjung ke rumah ibadat, rumah terbuka, menaiki kenderaan awam atau menziarahi saudara mara," katanya.

Mengenai perkembangan terkini wabak itu di negara ini, Dr Ismail berkata seramai 188 pesakit baru dengan gejala penyakit serupa influenza (ILI) dimasukkan ke hospital hari ini, sementara 156 kes telah dibenar keluar.

Beliau berkata, sehingga kini 698 kes masih dirawat di 78 hospital di seluruh negara dan daripada jumlah itu, hanya 30 pesakit (4.3 peratus) merupakan kes positif H1N1.

"Enam daripada 30 pesakit itu kini dirawat di ICU iaitu dua kanak-kanak di bawah umur lima tahun, seorang berpenyakit kronik, seorang obesiti, seorang hamil/post natal dan seorang kanak-kanak di bawah lima tahun dengan penyakit kronik," katanya. - Bernama

Gempa bumi sederhana landa Kepulauan Andaman

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.7 pada skala Richter melanda sekitar Rantau Kepulauan Andaman pada jam 5.29 petang ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia, dalam satu kenyataan, berkata pusat gempa itu adalah di 65 kilometer timur laut Little Andaman, India, dan 908 kilometer timur laut Langkawi, Kedah.

Sementara itu, dalam satu lagi kenyataan, jabatan itu berkata satu lagi lagi gempa bumi berukuran 4.8 pada skala Richter dikesan melanda sekitar Kepulauan Santa Cruz pada jam 5.35 petang.

Pusat gempa bumi itu adalah di 751 kilometer tenggara Honiara, Kepulauan Solomon, dan 5,627 kilometer tenggara Kunak, Sabah.

Menurut kenyataan itu, kejadian gempa tberkenaan tidak membawa ancaman tsunami. - Bernama

Perwakilan Wanita menangis kenang nasib bangsa

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno Bahagian Wangsa Maju mengalirkan air mata ketika membahas usul ucapan dasar Ketua Pergerakan Wanita hari ini kerana sedih dengan masalah masyarakat Melayu kini yang seolah-olah terpaksa mengemis di negara sendiri.

Reaksi spontan Normah Mohd Saman yang mewakili Wilayah Persekutuan itu turut dikongsi perwakilan lain berikutan tersentuh dengan kata-kata nasihat yang disampaikan wakil Wanita berkenaan.

Normah mengingatkan, Wanita perlu memiliki kesatuan minda, kesatuan hati, kesatuan matlamat dan kesatuan amal seperti disarankan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Jika kita patuh dengan amanah itu, tidak mustahil kita berjaya dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Wanita perlu ingat, kerana berpecah belah ekonomi kita dicuri, anak kita disesatkan dan gejala sosial berterusan.

"Sekarang ini, kita berdepan pelbagai rintangan termasuk politik wang dan bahaya rasuah yang sudah menjadi darah daging masyarakat kini," katanya dengan nada sebak.

Sementara itu, wakil dari Selangor, Radziah Ahmad juga mencuit hati perwakilan dengan mencipta akronim baru iaitu 'Tari' singkatan perkataan 'Taat, Akrab, Rela dan Ikhlas' sebagai alternatif untuk memudahkan penerimaan konsep 1Malaysia.

"Jika Wanita dapat membudayakan 'Tari', maka rakyat lebih memahami penghayatan 1Malaysia. Justeru, setiap perwakilan perlu 'menyegarkan' semula parti dengan memberi penonjolan positif kepada rakyat pelbagai kaum.

"Wanita Selangor bersedia menghadapi cabaran dan berjanji untuk menumpaskan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang, sekali gus bersedia merampas semula Selangor daripada tangan pembangkang," katanya.

Pindaan Perlembagaan dijangka jadikan Umno parti paling demokratik

KUALA LUMPUR: Pindaan Perlembagaan Umno hari ini bakal menukar Umno sebagai parti paling demokratik di Malaysia, malah lebih demokratik berbanding parti pembangkang, kata Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan.

Katanya, Umno menjadi lebih demokratik apabila selepas pindaan dimuktamadkan proses pemilihan akan diputuskan lebih 145,000 perwakilan berbanding kini kira-kira 2,500 orang.

Ahmad berkata, pindaan berkenaan juga akan menghapuskan halangan untuk ahli Umno bertanding, selain syarat minimum akan ditetapkan untuk mereka bertanding di peringkat bahagian atau pusat.

"Kita berharap pindaan berkenaan mampu menarik lebih ramai generasi muda menyertai Umno, pada masa depan kerana semua Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri boleh meluluskan pelantikan ahli Umno.

"Pindaan esok (hari ini) juga akan menyelesaikan isu yuran. Sebelum ini ada isu ada orang tidak dapat bertanding kerana tidak membayar yuran tahunan. Kini, kita hanya perlu bayar RM2 untuk yuran seumur hidup menjadi ahli Umno, " katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, pindaan itu juga membolehkan ketua cawangan Pemuda, Wanita dan Puteri yang kalah dalam pemilihan di peringkat bahagian dilantik secara automatik sebagai perwakilan dan memilih pemimpin pusat.

Katanya, pindaan berkenaan juga membolehkan perwakilan Umno memilih pemimpin peringkat bahagian dan pusat secara serentak di seluruh negara, sekali gus dapat membendung gejala rasuah politik.

Pemuda Umno Sabah cadang perhimpunan diadakan di setiap negeri

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno Sabah mencadangkan pucuk pimpinan supaya mengadakan Perhimpunan Agung tahunan parti secara bergilir-gilir di setiap negeri.

Wakilnya, Md Joh Wid, berkata ini bagi memberi peluang kepada perwakilan Umno untuk berkunjung ke setiap negeri dan merasai sendiri kehangatan perhimpunan parti.

"Jika tahun depan Perhimpunan Agung Umno mahu diadakan di Sabah... kami sudah bersedia untuk menganjurkannya.

"Rakan-rakan boleh merasai sendiri layanan kami di Sabah. Melalui cara ini saya merasakan perwakilan juga berpeluang mengunjungi negeri kami," katanya membahas ucapan dasar Ketua Pemuda Umno di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Md Joh berkata, walaupun senario politik di Sabah kelihatan tenang, Pemuda Umno negeri itu sentiasa turun padang membantu rakyat bersama-sama parti komponen Barisan Nasional (BN).

"Kami sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum Ke-13 dan yakin boleh menjuarai pengundi generasi muda," katanya.

Md Joh yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Sepanggar, juga berkata kerajaan perlu memberi perhatian serius kepada masalah rakyat di negeri berkenaan.

"Masih banyak agenda perlu dilakukan di Sabah. Penduduk kawasan pedalaman memerlukan bekalan elektrik, air bersih, jaringan jalan raya yang strategik dan kemudahan kesihatan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya amat berharap pada pembentangan Bajet 2010, 23 Oktober ini, kerajaan akan memberi perhatian serius kepada harga barangan di Sabah yang dilihat amat tinggi berbanding Semenanjung.

Nik Aziz mahu nama Inggeris ditukar ke bahasa Melayu

KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengarahkan pihak berkuasa kerajaan tempatan di negeri itu menukar nama jalan dan premis berunsur Inggeris kepada bahasa Melayu.

Beliau mengakui beberapa bangunan milik anak syarikat kerajaan negeri yang baru beroperasi seperti Kelantan Trade Centre, Kota Baharu Trade Centre dan KB Mall menggunakan nama berunsur Inggeris.

"Betul nama itu sengaja bubuh begitu, boleh jadi kerana nak popularkan nama itu untuk menarik perhatian umum di peringkat antarabangsa, seperti hotel, maka digunakan bahasa Ingeris supaya (pelancong) Inggeris tahu. Benda tu boleh kita kaji semula, tak jadi masalah," katanya selepas merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat negeri Kelantan di sini hari ini.

Nik Aziz berkata, beliau tertarik dengan pendapat seorang tokoh bahasa Melayu, Prof Dr Teo Kok Seong dari Institut Akademi Tamadun Melayu, yang mempersoalkan nama kereta nasional berunsur Inggeris seperti MyVi, Exora dan Satria Neo.

Beliau juga meminta pegawai kerajaan negeri supaya membiasakan diri menggunakan tulisan jawi dalam minit mesyuarat selain tulisan rumi. - Bernama