Followers

Wednesday, June 23, 2010

Penahanan 10 anggota JI atas maklumat mahu letupkan rumah ibadat

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop hari ini berkata penahanan 10 anggota Jemaah Islamiah (JI) awal tahun ini adalah bertindak atas maklumat bahawa kumpulan itu akan meletupkan tempat ibadat bukan Islam di Selangor dan Pulau Pinang.
Beliau berkata kumpulan yang diketuai oleh lelaki Syria bernama Ayman serta lapan lagi warga asing dan seorang rakyat tempatan itu ditahan di Sungai Cincin, Gombak pada 21 Januari lalu.
Katanya, daripada yang ditahan itu, didapati lima daripadanya adalah pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
"Semua mereka adalah pendakwah bebas dan penyokong kuat kepada Ayman iaitu ketua kepada kumpulan ini. Warga tempatan itu didapati telah berkenalan dengan Ayman semasa beliau belajar di Pakistan.

"Apa yang diketahui, peranan Ayman selain menjadi ketua kepada kumpulan berkenaan, beliau juga tenaga pengajar bagi kumpulan Al-Qaeda di mana beliau berperanan untuk melatih (rekrut) pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Pokok Sena daripada PAS, Datuk Mahfuz Omar yang mencelah ketika beliau menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Mahfuz dalam soalannya mempersoalkan kandungan taklimat keselamatan yang diberikan polis mengenai wujudnya kumpulan pengganas kepada Naib-Naib Canselor universiti dan wakil Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini yang didakwanya tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk mengaitkan bahawa wujudnya sarang pengganas di IPT.
Beliau juga mendakwa bahawa pada sesi taklimat tersebut gambar Ahli Parlimen Marang dari PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim, bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya turut ditayangkan seolah mengaitkan fahaman wahabi dengan JI.

Dalam pada itu, Abu Seman berkata Ayman berada di negara ini bertujuan untuk mendapatkan potensi di kalangan pelajar yang boleh dijadikan sebagai kumpulan militan.

"Mereka kemudiannya akan dihantar ke negara ketiga untuk dilatih bagi berjihad," katanya.

Beliau berkata penahanan 10 anggota JI itu perlu dilakukan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman negara.

Pada 14 Jun lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendedahkan seramai 10 individu warga asing ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan kumpulan ekstremis JI sejak awal tahun ini.

Dalam pendedahan itu, Musa berkata ke semua suspek berusia dalam lingkungan 30-an dihantar pulang ke negara asal mereka untuk tindakan undang-undang.

Sementara itu, menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Khalid Abd Samad (PAS-Shah Alam) yang pada sesi perbahasan RMKe-10 yang meminta kementerian mendedahkan tindakan yang diambil polis bagi mengawal fahaman tertentu di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS), Abu Seman berkata KDN dan polis telah merangka tindakan bersepadu dengan agensi berkaitan untuk tangani isu keselamatan yang wujud di IPTA dan IPTS.

Agensi-agensi yang terbabit ialah Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Imigresen, Majlis Keselamatan Negara dan Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri.

"Isu-isu yang ditangani meliputi dua aspek iaitu kegiatan yang sedang berlaku dan usaha-usaha pencegahan untuk menangani isu yang berkaitan. Kementerian hanya memantau dan melakukan tindakan terhadap apa jua fahaman yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam," katanya. - BERNAMA

Sime Darby alami penyusutan keuntungan RM3.165 bilion

KUALA LUMPUR: Kumpulan Sime Darby Berhad (Sime Darby) mengalami penyusutan keuntungan sebelum faedah dan cukai apabila mencatatkan sebanyak RM3.165 bilion pada 2009 berbanding RM5.248 bilion pada 2008.

Perolehannya dicatatkan sebanyak RM31.013 bilion pada 2009 berbanding RM34.04 bilion pada 2008.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata penyusutan keuntungan itu adalah berikutan kerugian keputusan kewangan Bahagian Tenaga dan Utiliti bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2009.
Sehubungan itu, katanya, Lembaga Pengarah Sime Darby pada Oktober tahun lalu telah mewujudkan satu Jawatankuasa Kerja untuk mengkaji semula operasi bahagian berkenaan.

"Ini termasuk Projek Qatar Petroleum, Projek Maersk Oil Qatar (MOQ), projek pembinaan vesel untuk digunakan dalam projek MOQ dan projek empangan hidroelektrik Bakun," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Wee Choo Keong (BEBAS-Wangsa Maju) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Wee ingin tahu perincian jumlah kerugian tahunan Sime Darby dan anak syarikatnya sejak 1989 hingga 2009 serta tindakan yang diambil bagi mengatasi masalah kerugian pada setiap tahun tersebut.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, selepas fasa pertama kajian semula tersebut selesai, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan telah didapati bertanggung jawab ke atas kerugian yang berlaku.
"Namun, kajian masih berterusan dan tindakan yang perlu akan diambil berdasarkan laporan Jawatankuasa Kerja yang dilantik oleh Lembaga Pengarah Sime Darby bagi menentukan sebab dan jumlah kerugian bahagian itu," katanya.

Najib berkata, pada 27 Mei lalu, Sime Darby telah mengumumkan fasa kedua kajian semula dengan penilaian secara menyeluruh struktur organisasi dan pelaporan kumpulan.

"Ini adalah susulan daripada penemuan Jawatankuasa Kerja berkenaan. Kelemahan dalam bidang pengurusan, organisasi dan pelaporan telah dibangkitkan oleh Jawatankuasa Kerja dan beberapa syor telah diajukan untuk menanganinya," katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu Lembaga Pengarah telah mencadangkan struktur pelaporan dan organisasi dan melantik perunding untuk mengkaji cadangan berkenaan.

"Selain itu, sebuah firma guaman bebas telah dilantik untuk melaksanakan penyiasatan susulan untuk menentukan kebertanggungjawabab berdasarkan kepada penemuan oleh Jawatankuasa Kerja ke atas empat projek utama Bahagian Tenaga dan Utiliti," katanya.

Jumlah kerugian hasil sebelum faedah dan cukai untuk Golden Hope Plantation Bhd ialah RM610.4 juta pada tahun 2007 manakala jumlah kerugian bagi Kumpulan Guthrie Bhd pada tahun 2006 ialah RM546 juta. - BERNAMA

Tak benar tanggapan UMNO cuba pikat ulama untuk tandingi PAS: Tun M

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tanggapan kononnya UMNO cuba menarik lebih ramai ulama menyertai agar ia setanding dengan Pas adalah tidak berasas.
Ini kerana UMNO membuka keahliannya kepada semua golongan masyarakat, kata Dr Mahathir yang juga bekas Presiden UMNO.
"UMNO selalu memiliki ulama sebagai ahli, cuma mereka ini tidak memperagakan diri mereka sebagai ulama. Mereka sangat bertolak ansur.
"Malah kalau kita lihat sejarah, mereka yang menubuhkan Pas adalah bekas ulama UMNO yang meninggalkan parti kerana tidak dipilih untuk bertanding," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian hadiah pertandingan Projek Pendidikan Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas ura-ura seorang bekas mufti negeri dan 100 orang ulama berkelulusan tinggi akan menyertai UMNO pada Jumaat ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata orang ramai tidak boleh berpegang kepada tanggapan kononnya teladan dan contoh yang ditunjukkan oleh pemimpin termasuk yang berkelas dunia adalah sentiasa benar.

semua pemimpin ini, katanya, adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan.
"Kita boleh jadikan mereka contoh, walaupun mereka melakukan kesilapan iaitu dengan cara belajar daripada kesilapan mereka itu dan tidak mengulanginya," katanya. - BERNAMA

Kerajaan tak pernah janjikan projek semasa berkempen: PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah menjanjikan program atau projek kepada rakyat semasa kempen pilihan raya kecil di seluruh negara termasuk di Parlimen Sibu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata program yang dilaksanakan di kawasan pilihan raya kecil Sibu merupakan program yang telah dirancang oleh kerajaan terlebih dahulu sebelum pilihan raya kecil tersebut diadakan sama seperti di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain di seluruh negara.
"Bagi pilihan raya kecil Sibu, kerajaan telah meluluskan 107 program atau projek bernilai RM37.7 juta untuk dilaksanakan di seluruh kawasan Parlimen berkenaan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Wong Ho Leng (DAP-Sibu) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata peruntukan itu meliputi program atau projek berbentuk fizikal, sumbangan atau bantuan dan program kemasyarakatan.

Wong ingin tahu jumlah peruntukan yang telah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Sibu sepanjang kempen pilihan raya kecil Sibu yang berakhir pada 16 Mei lalu dan jumlah yang dibelanjakan oleh kerajaan Barisan Nasional dalam kempen pilihan raya berkenaan. - BERNAMA

Keluarga ternama di Labuan dirompak RM50,000

LABUAN: Rompakan bersenjata berlaku terhadap satu keluarga ternama yang tinggal di Lubok Temiang di sini pada awal pagi ini dengan kerugian hampir RM50,000.
Ketua Polis Labuan, Penguasa Saiman Kasran, berkata polis telah melancarkan operasi besar-besaran untuk memburu kumpulan lima perompak yang dipercayai warga asing.
“Kita percaya mereka masih berada di Labuan dan kita berharap akan menyelesaikan kes ini dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata tiga perompak yang bertopeng dan bersenjatakan parang dan pisau itu mengancam akan mencederakan anggota keluarga itu dan meminta menunjukkan bilik pemilik rumah berkenaan.

“Dua orang daripada anggota keluarga mereka diikat tanpa dicederakan,” katanya.

Dua orang lagi kumpulan itu berjaga di luar rumah.
Kamera Litar Tertutup (CCTV) rumah itu ditutup dengan plastik oleh perompak-perompak berkenaan.
Antara barangan yang dilarikan termasuk wang tunai RM6,000, lima komputer riba dan lapan telefon bimbit.

“Kita tidak menolak kemungkinan suspek mungkin pernah datang ke rumah keluarga mereka ini," katanya.

Katanya rompakan bersenjata oleh perompak bertopeng ini adalah satu kejutan dan tidak pernah berlaku sejak beberapa tahun ini.

PM lancar dua piawaian baru produk kosmetik dan logistik

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak melancarkan dua piawaian baru bagi produk kosmetik dan logistik iaitu MS 2200:2008 dan MS 2400:2010.

Perdana Menteri berkata, piawaian produk kosmetik memperincikan garis panduan bagi kosmetik halal dan penjagaan peribadi.
Katanya, piawaian logistik pula adalah piawaian menyeluruh dan ia adalah pertama di dunia yang merangkumi tiga komponen - pengangkutan, simpanan gudang dan peruncitan.
"Kami bersedia untuk berkongsi kepakaran, pengalaman dan pegetahuan dalam membangunkan piawaian berkenan. Malaysia juga akan meneruskan inisiatif mewujudkan piawaian baru untuk manfaat industri dan ummah," katanya ketika berucap merasmikan MIHAS 2010 sebentar tadi.

Sistem pentaksiran berasaskan sekolah mungkin ganti peperiksaan awam: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Sistem pentaksiran berasaskan sekolah mungkin akan digunakan untuk menggantikan sistem peperiksaan awam di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, menerusi sistem itu, Lembaga Peperiksaan akan menentukan bentuk soalan yang boleh dinilai oleh guru dan kemudian akan diukur pencapaiannya.
"Kita gantikan sistem peperiksaan awam kepada satu sistem pentaksiran berasaskan sekolah, ini belum dimaklumkan tetapi sudah dikaji dan didapati mungkin sesuai kerana ia diamalkan di banyak negara.
"Mungkin ia tidak banyak beza berbanding negara lain, pokoknya ia tidak menjejaskan soal pembelajaran iaitu cara guru mengajar dan murid belajar adalah sama, tetapi bagaimana kita hendak nilai, sama ada peperiksaan awam atau sistem penilaian," katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) bagi kementeriannya persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga tidak tergesa-gesa dalam melaksanakan sesuatu dasar seperti cadangan kemungkinan supaya peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan.

"Ramai pakar kata sepatutnya dah lama buat, tetapi kenapa kita buat sekarang, kita dah lama buat kajian iaitu sejak 2007 lagi kementerian ada pasukan yang meneliti isu yang berbangkit," katanya.

Beliau berkata, langkah mengurangkan peperiksaan awam ini dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan dalam aspek perbelanjaan mengurus, penggunaan sumber manusia dan mengurang beban tugas guru untuk mengendalikan proses peperiksaan.
Mengenai rombakan sistem pendidikan Teknik, Vokasional dan Kemahiran untuk dijadikan pendidikan arus perdana, Muhyiddin berkata kerajaan akan menambah bilangan sekolah vokasional dengan bentuk kurikulum baru serta latihan yang jauh berbeza daripada apa yang ada sekarang khususnya berkaitan dengan bidang yang mempunyai hubung kait dengan negara pada masa kini.

"Saya sendiri pengerusikan mesyuarat di peringkat kementerian untuk meneliti semua perkara berkenaan rombakan besar kepada pendidikan vokasional, kurikulum, infrastruktur, kemudahan dan latihannya akan diumumkan untuk pengetahuan ahli Yang Berhormat dalam masa terdekat," katanya.

Berkenaan program Permata Negara yang akan diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Pelajaran, Muhyiddin berkata pada masa ini kementerian sedang melaksanakan pelbagai persiapan rapi khususnya daripada segi pengurusan dan pentadbiran program itu.

Beliau juga berkata, pada masa ini kementerian pada peringkat akhir melaksanakan auditan ke atas semua sekolah dan seterusnya akan menetapkan keutamaan berdasarkan kepada keperluan sesebuah sekolah.

"Dalam konteks ini, sekolah yang benar-benar memerlukan peruntukan akan diberi keutamaan dan pertimbangan yang sewajarnya. Soal lokasi atau jenis sekolah tidak timbul, semua sekolah akan diberi perhatian khusus supaya persekitaran dan pembelajaran yang kondusif dapat diwujudkan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, dalam menentukan senarai projek pembangunan dalam RMK-10, laporan audit tersebut akan diguna pakai sepenuhnya di mana penetapan pembinaan sekolah baru atau penambahbaikan berdasarkan kepada keperluan, bukan berasaskan desakan mana-mana pihak.

"Selain itu, saya juga telah mengarahkan kepada kementerian supaya membuat penilaian yang telus dalam pemberian bantuan kepada murid yang benar-benar layak menerimanya.

"Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak khusus di bawah kementerian saya yang tidak amanah dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata secara keseluruhannya, sebanyak RM26.093 bilion telah diperuntukkan kepada kementerian dengan jumlah 15,324 projek termasuk tambahan 808 projek di bawah Pakej Ransangan Ekonomi.

"Sehingga 15 Jun lalu, sebanyak 8,870 projek telah berjaya disiapkan, 5,312 projek masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan manakala 942 projek akan bersambung ke RMK-10," katanya.

Bagi prestasi perbelanjaan pula, Muhyiddin berkata sehingga 31 Mei lalu, kementerian telah membelanjakan sebanyak RM16.668 bilion iaitu 85.12 peratus daripada keseluruhan siling yang ditetapkan, dan dijangka akan dapat membelanjakan keseluruhan peruntukan tersebut menjelang akhir tahun ini.
- BERNAMA

Buaya serang manusia kerana kehabisan makanan

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata pembangunan yang tidak mengambil kira kepentingan habitat hidupan liar menyebabkan berlakunya kejadian buaya menyerang manusia.
Beliau berkata, walaupun jumlah buaya meningkat, terutama di Sabah, sumber makanan mereka telah habis, menyebabkan berlaku serangan terhadap manusia.
"Habitat mereka telah diganggu. Sungai telah dimusnah. Apabila haiwan yang menjadi makanan buaya tiada lagi di kawasan mereka mencari makan, buaya akan menyerang apa sahaja yang ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Antarabangsa Konflik Manusia-Buaya di sini hari ini.
Masidi berkata, pemaju mempunyai tanggungjawab terhadap alam sekitar dan perlu mengambil kira kesan projek mereka terhadap hidupan liar.

Sementara itu, Pengaran Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara Sabah, Dr Laurentius Nayan Ambu, berkata terdapat antara 12,000 hingga 15,000 buaya di Sabah, semuanya spesis buaya tembaga. - BERNAMA

48,823 lesen senapang dikeluarkan sehingga April lalu

KUALA LUMPUR: Sebanyak 48,823 lesen senapang patah dikeluarkan sehingga April lalu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, daripada jumlah itu 68.7 peratus atau 33,545 lesen diberikan kepada kaum Melayu diikuti Cina 10,972 (22.5 peratus), India 614 (1.3 peratus) dan 3,682 atau 7.5 peratus lain-lain bangsa dan suku kaum bumiputra.
"Jumlah itu bagaimanapun akan berubah dari semasa ke semasa apabila berlakunya pembatalan lesen atau penambahan lesen baru yang dibuat," katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang ingin tahu bilangan sijil kelayakan mengguna senjata api yang dikeluarkan bagi tahun 2005 sehingga 2009 mengikut negeri dan jenis bangsa dan jumlah pemilik senapang di seluruh negara sehingga April tahun ini.

Hishammuddin berkata, kementerian juga akan sentiasa memantau semua lesen bagi memastikan senjata api hanya dimiliki individu yang benar-benar memerlukan dan berkelayakan. - BERNAMA

Dividen 5.20 sen untuk ASN2


PENGERUSI Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid (kiri), bersama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman menunjukkan jumlah pengagihan pendapatan Amanah Saham Nasional 2. - Foto L. Manimaran
PENGERUSI Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid (kiri), bersama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman menunjukkan jumlah pengagihan pendapatan Amanah Saham Nasional 2. - Foto L. Manimaran
KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASN) hari ini mengumumkan dividen sebanyak 5.20 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional 2 (ASN2) bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun, 2010, membabitkan RM11.2 juta dalam jumlah pembayaran.

Sebanyak 9,237 pemegang unit yang memiliki 215 juta unit akan mendapat faedah daripada pembayaran berkenaan.
Pengerusi Permodalan Nasional Bhd, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata ASN2 menunjukkan prestasi yang baik sepanjang tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2010, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
"Ini seiring dengan prestasi ekonomi negara dan bursa tempatan yang menggalakkan yang menyaksikan indeks FBM KLCI melonjak 24.19 mata kepada 1,075.24 pada Isnin," katanya pada sidang media di sini.

Sehingga Isnin, ASN2 mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM18.47 juta, meningkat 70.54 peratus daripada RM10.83 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Daripada jumlah berkenaan, keuntungan daripada jualan saham sebanyak RM11.46 juta, RM5.66 juta diperoleh daripada syarikat dilabur dan RM1.35 juta diperoleh daripada pelaburan lain.

Sementara itu, semua urus niaga ASN2 akan digantung mulai hari ini hingga 30 Jun bagi memudahkan pengiraan dividen. - BERNAMA

H1N1 turun 31.9 peratus minggu lalu

KUALA LUMPUR: Jumlah kes positif influenza A (H1N1) dilaporkan menurun sebanyak 31.9 peratus kepada 81 kes bagi tempoh dari 13 hingga 19 Jun lalu berbanding 119 kes pada minggu sebelum itu.
"Ini menjadikan jumlah terkumpul kes positif H1N1 adalah sebanyak 15,152 kes dengan tiada kematian baru dilaporkan, menjadikan jumlah kematian kekal sebanyak 88 kes," kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata bagi tempoh yang sama dari 13 hingga 19 Jun, tujuh kes kluster Penyakit Serupa Influenza (ILI) turut dikesan di empat buah negeri iaitu Kedah, Selangor, Johor dan Melaka.
Katanya jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan simptom ILI juga menurun 24 peratus iaitu seramai 586 orang berbanding 771 orang pada minggu sebelumnya.

"Baki kes ILI, yang masih dirawat di seluruh negara setakat 19 Jun adalah sebanyak 404 kes di 55 hospital termasuk di 11 hospital swasta.

"Dan daripada jumlah 404 kes tersebut, hanya 49 pesakit atau 12.1 peratus yang disahkan positif Influenza A (H1N1) di mana 10 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lapan daripada kes itu merupakan individu yang mempunyai faktor risiko," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata sehingga 18 Jun lalu, seramai 350,760 orang telah menerima vaksin H1N1.
"Daripada jumlah ini, 96,976 orang adalah petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan, 90,582 bukan anggota kementerian seperti anggota polis, tentera, bomba, imigresen dan lain-lain.

"Sejumlah 163,202 lagi merupakan orang awam daripada kumpulan sasar berkeutamaan dan menjadikan dos vaksin yang tinggal adalah sekitar 25,000 dos," katanya. - BERNAMA

Israel lancar satu lagi satelit pengintip

BAITULMAQDIS: Israel melancarkan satelit pengintip tentera lewat semalam yang dilaporkan media tempatan akan membantu rejim zionis itu memantau program nuklear Iran.
Kementerian Pertahanan Israle menyatakan Ofek 9 dilancar dari pangkalan tentera udara Palmachim di selatan Tel Aviv, menyertai tiga lagi satelit pengintip yang sudah berada di orbit.
Media Israel melaporkan kamera resolusi tinggi satelit itu membolehkan Israel memantau musuh ketatnya, Iran. - REUTERS

Piala Dunia: Korea Selatan 2 Nigeria 2

JOHANNESBURG: Korea Selatan muncul pasukan pertama Asia mara ke pusingan kalah mati pada kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan selepas seri 2-2 dengan Nigeria dalam perlawanan terakhir Kumpulan B, awal pagi tadi.
Gol Korea Selatan dijaringkan pemain pertahanan, Lee Jung-Soo pada minit ke-38 dan penyerang Park Chu-Young menerusi sepakan percuma.
Nigeria pula memperolehi jaringan menerusi Kalu Uche pada minit ke-12 dan sepakan penalti, Yakubu Aiyegbeni pada minit ke-69.
Korea Selatan yang menjadi naib juara Kumpulan A dijadual bertemu Uruguay, juara Kumpulan B pada pusingan kalah mata seterusnya.

Piala Dunia: Argentina 2 Greece 0

JOHANNESBURG: Argentina muncul juara Kumpulan B sekali gus mara ke pusingan kalah mati apabiala menewaskan Greece 2-0, awal pagi tadi.
Gol jaringan Martin Demichelis dan Martin Palermo.

Piala Dunia: Perancis 1 Afrika Selatan 2

MANGAUNG: Perancis seperti diramalkan tersingkir awal daripada saingan Piala Dunia 2010 apabila tewas kepada pasukan tuan rumah Afrika Selatan 2-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan A di Stadium Free State, sebentar tadi.
Gol pembukaan Afrika Selatan diperoleh menerusi tandukan Bungani Kumalo pada minit ke-20 selepas mendapat bola sepakan sudut.
Selang empat minit kemudian, Perancis menerima kejutan kedua apabila pemain tengahnya, Yoann Gourcuff diperintah keluar padang selepas dilayangkan kad merah.
Derita Perancis ditambah lagi menerusi jaringan kedua Afrika Selatan pada minit ke-36 menerusi penyerang Katlego Mphela.

Pasukan bimbingan Raymond Domenech yang menerima kritikan hebat itu hanya memperoleh gol sagu hati menerusi Florent Malouda pada minit ke-70.

Perancis hanya memperoleh satu mata tunggal selepas seri dengan Uruguay pada perlawanan pembukaan kumpulan sebelum ini.

Piala Dunia: Mexico 0, Uruguay 1

RUSTENBURG, Afrika Selatan: Uruguay menewaskan Mexico 1-0 dalam perlawanan Kumpulan A, Piala Dunia 2010 di Stadium Royal Bafokeng sebentar tadi.
Gol dijaringkan Luis Suarez pada minit ke-43.
Uruguay yang menjuarai kumpulan itu dan Mexico, di tempat kedua, mara ke pusingan seterusnya.