Followers

Saturday, July 4, 2009

H1N1: 35 kes baru, 11 jangkitan tempatan

KUALA LUMPUR: Sehingga jam 8 pagi tadi, 35 kes baru Influenza A (H1N1) dilaporkan di negara ini, dengan mencatatkan 24 kes import dan 11 kes jangkitan tempatan.

Ini menjadikan jumlah kes terkumpul di Malaysia sehingga hari ini kepada 326 kes, dengan 271 kes import dan 55 jangkitan tempatan.

Sehingga kini, tiada kematian dilaporkan

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataannya, berkata kesemua 11 kes jangkitan tempatan membabitkan warganegara Malaysia. Lima daripadanya di kalangan peserta Persidangan Farmaseutikal Asia Pasifik (APPC) yang diadakan di Pulau Pinang dari 27 hingga 30 Jun lalu.

Selain itu, katanya, 12 peserta persidangan terbabit turut mendapat jangkitan Influenza A (H1N1) daripada 165 peserta yang menyertainya.

Beliau berkata, kes tempatan lain membabitkan dua kes kontak kepada kes import yang ke-143 iaitu rakan sebiliknya, satu kes anak kepada kes import (kes ke-154), satu kes pelajar Sekolah Menengah Tsun Jin, Jalan Loke Yew, Cheras, Kuala Lumpur (kontak kes ke-196), satu kes kontak terdekat kepada kes ke-183 dan satu kes anak kepada kes tempatan (kes ke-242).

Korea Utara lancarkan empat peluru berpandu

SEOUL: Korea Utara melancarkan empat peluru berpandu ke pesisir pantai timur hari ini, kata Korea Selatan, yang mana ia dilihat sebagai mesej keingkaran mereka terhadap Amerika Syarikat (AS) di mana negara itu menyambut hari cuti Kebebasan mereka.

Peluru berpandu itu dilancarkan, iaitu dua hari selepas Korea Utara melancarkan peluru berpandu jarak pendek, yang dianggap boleh menimbulkan ketegangan di rantau itu, apabila AS membariskan sokongan kuat bagi pelaksanaan resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB) yang dikenakan terhadap rejim komunis terbabit untuk ujian nuklear Mei lalu.

Ketua Turus Korea Selatan berkata, tiga peluru berpandu dilancarkan awal hari ini manakala yang keempat di sebelah tengahari, tetapi menolak untuk memberikan huraian jenis peluru berpandu itu. - AP

1Malaysia medium terbaik satukan rakyat: Hanif Omar

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia seharusnya menjadikan konsep 1Malaysia sebagai satu realiti kerana ia adalah platform terbaik untuk menjadi warga negara Malaysia yang kuat jati diri, kata bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar.

Beliau berkata, konsep itu adalah cara terbaik untuk menyatupadukan rakyat pelbagai kaum dalam negara.

"Hanya itu caranya untuk menjadi kukuh selaras dengan perlembagaan," katanya pada sesi “Sembang-Sembang Sejarah” anjuran Persatuan Sejarah Malaysia di Wisma Sejarah di sini, hari ini.

Hanif yang menyokong penuh konsep itu, berkata rakyat harus menghayati konsep yang diaspirasikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, supaya ia dapat mencerminkan situasi negara pada hari ini.

"Saya berpendapat semangat di sebalik konsep ini memang baik, selagi mana ia menampilkan kepentingan bagi orang Melayu untuk tidak ketinggalan di belakang. Tapi sekiranya semua sudah saksama, nak apa lagi," katanya.

Hanif turut menjelaskan mengapa bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, tidak diterima untuk pulang ke tanah air, kerana menurutnya Chin Peng sememangnya tidak pernah menjadi warganegara.

"Chin Peng bukannya warganegara Malaya. Ketika dia dilahirkan di Perak, ketika itu Perak berada di bawah kawasan penempatan yang diserahkan kepada British," katanya.

Beliau berkata, apabila Perak tidak lagi di bawah pentadbiran British, kaum Melayu di Dinding menjadi rakyat kepada Sultan Perak, tapi Chin Peng pula tidak lagi menjadi rakyat British, menjadikan dia sebagai orang yang tidak bernegara. - Bernama

Koleksi aksesori terkini

BAYANGKAN, walaupun hanya mencari sehelai pakaian ke pejabat, perayaan, sukan, kasual ataupun gaun untuk menghadiri majlis tertentu, kadangkala mengambil masa sehingga berjam-jam lamanya.

Jika membeli-belah di pusat beli-belah, boleh dikatakan hampir semua butik pakaian ingin dikunjungi bagi mencari koleksi terbaru.

Situasi sedemikian memang biasa bagi sesetengah wanita terutama untuk mereka yang menganggap membeli-belah sebagai terapi terbaik bagi melepaskan tekanan yang bersarang di minda.

Memahami kehendak pelanggannya, gedung beli-belah terkenal, Tangs di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur, menyediakan pelbagai rekaan aksesori terkini untuk membantu wanita dan lelaki supaya tampil lebih bergaya.

Antara aksesori yang boleh didapati ialah beg tangan, kasut, beg genggam, pakaian serta pelbagai perhiasan diri.

Menerusi bahagian lelaki dan wanita, Tang+Co, pelbagai rekaan aksesori baru boleh dimiliki antaranya koleksi kasut Beverly Feldman, Pure Lopez, Scha London dan Rebecca Sanver.

Untuk bergaya dengan himpunan beg terkini, koleksi daripada Luana dan Casablanca boleh dijadikan pilihan. Pelbagai koleksi pakaian di bahagian fesyen lelaki pula mampu memenuhi cita rasa jejaka yang mahu tampil lebih bergaya.

Provokasi khusus terhadap Korea Selatan

SEOUL 3 Julai - Pelancaran peluru berpandu terbaru oleh Korea Utara dilihat seolah-olah bertujuan membangkitkan kemarahan Korea Selatan berbanding dunia, kata seorang pegawai hari ini ketika Washington menegaskan bahawa sekatan yang dikenakan telah menjejaskan negara tersebut.

"Kami percaya pelancaran itu dilakukan berhubung dengan hubungan antara Korea.

''Melainkan ia adalah peluru berpandu jarak sederhana atau jarak jauh, kami percaya ia adalah satu provokasi yang ditujukan kepada Korea Selatan,'' kata jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan, Won Tae-Jae seperti yang dipetik agensi berita Yonhap.

Tae-Jae dalam pada itu berkata, laporan media yang mengatakan Korea Utara mungkin melancarkan peluru berpandu jarak sederhana atau jarak jauh esok sempena Hari Kemerdekaan AS juga hanyalah satu spekulasi.

Korea Utara semalam, melancarkan empat peluru berpandu permukaan ke kapal dari perairan timurnya yang terbang sejauh 100 kilometer, sebelum terhempas ke laut.

Tindakan itu menyemarakkan lagi ketegangan rantau yang berlaku ekoran ujian nuklear yang dilancarkan rejim komunis tersebut pada Mei lalu.

Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Australia mengecam pelancaran peluru berpandu itu sebagai satu tindakan provokasi.

Akhbar Korea Selatan, JoongAng Ilbo meramalkan, Korea Utara mungkin akan melancarkan beberapa siri peluru berpandu jarak dekat dalam masa beberapa hari lagi.

Sementara itu, di Washington, jurucakap White House, Robert Gibbs berkata, Korea Utara dijangka akan meneruskan tindakan provokatif mereka.

Jelas beliau, negara itu juga telah mula merasai kesan sekatan, yang merangkumi pertambahan pemeriksaan terhadap penghantaran melalui kapal di udara, laut dan darat serta sekatan senjata yang lebih meluas. - AFP

47 kejadian baru selesema babi, dua kelas diarah tutup

PUTRAJAYA: Sebanyak 47 lagi kes jangkitan terbaru selesema babi atau Influenza A (H1N1) membabitkan 41 kes import dan enam kes tempatan dikesan sehingga jam 8 pagi semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 291 di seluruh negara.

Kementerian Kesihatan juga mengarahkan masing-masing satu kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Setapak Indah (Kelas 6A), Kuala Lumpur dan di Sekolah Antarabangsa Sri Cempaka, Cheras ditutup seminggu kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata 47 kes jangkitan terbaru membabitkan 28 rakyat Malaysia dan 19 warga asing termasuk sembilan warga Indonesia, Australia (lima), Filipina (dua) dan masing-masing satu dari Botswana, Iraq dan Amerika Syarikat (AS).

Semua 41 pesakit kes import mempunyai sejarah melawat negara yang terjejas dengan H1N1 termasuk Indonesia, Australia, Filipina, Thailand, Singapura, United Kingdom (UK), AS, China dan Vietnam.

Enam kes jangkitan tempatan pula membabitkan warga tempatan iaitu tiga pelajar dari Sekolah Menengah Tsu Jin, Jalan Loke Yew, Cheras Kuala Lumpur yang ditutup minggu lalu, manakala satu kes adalah kontak kes import ke-147 yang bersekolah di SK Setapak Indah.

Kes penularan tempatan kelima dalam tempoh 24 jam lalu membabitkan kontak kes import ke-170 yang bersekolah di Sekolah Antarabangsa Sri Chempaka (8 Aqua), manakala satu lagi kes kontak kepada mangsa ke-143.

Dr Ismail berkata, setakat ini, 175 daripada 291 pesakit H1N1 sudah sembuh dan dibenarkan pulang, manakala baki 116, termasuk 59 disahkan positif dan 57 masih menunggu keputusan ujian makmal.

Mengenai situasi global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan 81,029 kes dengan 340 kematian di 121 negara dilaporkan sehingga semalam.

Antara negara baru mencatat kematian ialah Brunei, Filipina dan Thailand, manakala lima negara baru mengesahkan jangkit H1N1 ialah New Caledonia (enam), Kenya (12) dan masing-masing satu di Mauritius, Myanmar dan Saint Lucia.

Lima negara yang melaporkan pertambahan tertinggi adalah Chile (2,190), United Kingdom (2,108), Mexico (749), Thailand (640) dan Brazil (228).

Ditanya mengenai kuarantin di rumah, katanya, Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan surat menyatakan seseorang perlu dikuarantin di rumah.

Rakyat tak acuh penularan H1N1

Kesedaran elak jangkitan masih kurang


KUALA LUMPUR: Meskipun jumlah kes Influenza A (H1N1) dikesan semakin meningkat di negara ini, tahap kesedaran orang ramai terhadap langkah yang perlu diambil bagi menangani penularan wabak kurang memuaskan.

Pemandu pelancong, Yeap Shen Lee, 24, berkata, pencegahan termasuk penggunaan topeng muka kurang diamalkan rakyat walaupun Kementerian Kesihatan menggesa langkah terbabit.

“Kunjungan saya ke Taiwan, Hong Kong dan China mendapati kebanyakan rakyatnya menggunakan topeng muka. Mungkin rakyat kita berasakan penularan wabak belum serius.

“Paling penting, mereka yang kembali dari luar negara perlu mengisytiharkan keadaan kesihatan bagi mengelak lebih banyak penularan Influenza A (H1N1),” katanya.

Yeap yang menjalani pemeriksaan kesihatan sekembalinya dari Taiwan 10 hari lalu berkata, walaupun ramai rakyat Hong Kong mengunjungi negara ini pada Julai, jumlah itu berkurangan 30 peratus tahun ini.

Kakitangan swasta, Mashitah Ishak, 25, yang menjalani kuarantin tiga hari sekembalinya dari Singapura berkata, walaupun peningkatan wabak ini dilaporkan setiap hari, orang ramai tidak kisah mengenainya.

“Selain mematuhi langkah kebersihan disyorkan, kita juga perlu mencari maklumat lanjut melalui media bagi mengetahui langkah yang harus diambil jika penyakit ini terus merebak,” katanya.

Seorang kakitangan swasta, Prem Kishen, 30, berkata beliau turut risau dengan peningkatan jumlah pesakit.

“Saya perlu berkomunikasi dengan ramai orang setiap hari dan ini menimbulkan kerisauan, tambahan lagi mengetahui ada sekolah ditutup berikutan penularan penyakit ini,” katanya.

Sementara itu, kakitangan swasta, Ruzali Muis, 47, berkata walaupun kebanyakan rakyat negara ini dinasihat kurangkan lawatan ke luar negara, nampaknya masih ramai yang tidak mematuhi saranan itu.

“Kita tidak menghalang ke luar negara, tapi mereka perlu mempunyai kesedaran termasuk menjaga kesihatan ketika berada di luar negara, terutama negara mencatatkan kes H1N1 tinggi.

“Jika berasakan diri berpotensi tinggi untuk dijangkiti, saya berharap mereka memaklumkannya kepada Kementerian Kesihatan bagi membolehkan langkah pencegahan diambil sekali gus mengelak menjangkiti orang lain,” katanya.

Rakyat tak acuh penularan H1N1

Kesedaran elak jangkitan masih kurang


KUALA LUMPUR: Meskipun jumlah kes Influenza A (H1N1) dikesan semakin meningkat di negara ini, tahap kesedaran orang ramai terhadap langkah yang perlu diambil bagi menangani penularan wabak kurang memuaskan.

Pemandu pelancong, Yeap Shen Lee, 24, berkata, pencegahan termasuk penggunaan topeng muka kurang diamalkan rakyat walaupun Kementerian Kesihatan menggesa langkah terbabit.

“Kunjungan saya ke Taiwan, Hong Kong dan China mendapati kebanyakan rakyatnya menggunakan topeng muka. Mungkin rakyat kita berasakan penularan wabak belum serius.

“Paling penting, mereka yang kembali dari luar negara perlu mengisytiharkan keadaan kesihatan bagi mengelak lebih banyak penularan Influenza A (H1N1),” katanya.

Yeap yang menjalani pemeriksaan kesihatan sekembalinya dari Taiwan 10 hari lalu berkata, walaupun ramai rakyat Hong Kong mengunjungi negara ini pada Julai, jumlah itu berkurangan 30 peratus tahun ini.

Kakitangan swasta, Mashitah Ishak, 25, yang menjalani kuarantin tiga hari sekembalinya dari Singapura berkata, walaupun peningkatan wabak ini dilaporkan setiap hari, orang ramai tidak kisah mengenainya.

“Selain mematuhi langkah kebersihan disyorkan, kita juga perlu mencari maklumat lanjut melalui media bagi mengetahui langkah yang harus diambil jika penyakit ini terus merebak,” katanya.

Seorang kakitangan swasta, Prem Kishen, 30, berkata beliau turut risau dengan peningkatan jumlah pesakit.

“Saya perlu berkomunikasi dengan ramai orang setiap hari dan ini menimbulkan kerisauan, tambahan lagi mengetahui ada sekolah ditutup berikutan penularan penyakit ini,” katanya.

Sementara itu, kakitangan swasta, Ruzali Muis, 47, berkata walaupun kebanyakan rakyat negara ini dinasihat kurangkan lawatan ke luar negara, nampaknya masih ramai yang tidak mematuhi saranan itu.

“Kita tidak menghalang ke luar negara, tapi mereka perlu mempunyai kesedaran termasuk menjaga kesihatan ketika berada di luar negara, terutama negara mencatatkan kes H1N1 tinggi.

“Jika berasakan diri berpotensi tinggi untuk dijangkiti, saya berharap mereka memaklumkannya kepada Kementerian Kesihatan bagi membolehkan langkah pencegahan diambil sekali gus mengelak menjangkiti orang lain,” katanya.

Sabah&Sarawak: Pembatalan hotel lima bintang masih minimum

Bukti selesema babi tidak jejas kemasukan pelancong

KOTA KINABALU: Pembatalan bilik penginapan di hotel dan pusat peranginan bertaraf lima bintang di Sabah yang berada di tahap minimum sejak penularan selesema babi (H1N1), dilihat sebagai tanda positif yang membuktikan keyakinan pelancong untuk terus mengunjungi negeri itu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kadar pembatalan penginapan di tahap rendah itu melegakan kerajaan negeri kerana secara umumnya pengunjung masih berbelanja dan bercuti.

Katanya, pemantauan mendapati kadar penurunan pelancong antarabangsa dan domestik ke Sabah dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini hanya tiga peratus kesan kegawatan ekonomi global dan penularan H1N1.

"Selain itu, penurunan kemasukan pelancong domestik dan antarabangsa sebanyak 18 peratus kepada 709,600 bagi empat bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu yang dilaporkan Lembaga Pelancongan Sabah (STB), didapati dipengaruhi kekurangan pencari kerja terutama dari Indonesia dan Filipina.

"Ramai rakyat dua negara itu datang ke Sabah mencari kerja tetapi pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen menyenaraikan mereka sebagai pelancong.

"Justeru, kerajaan negeri akan mencari mekanisme berkesan untuk tidak menyenaraikan pencari kerja dari luar negara sebagai pelancong kerana ia memberi impak besar terhadap statistik kedatangan pelancong ke Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pengisahan Sejarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Gaya, di Wisma Pertanian di sini, kelmarin.

Program sehari anjuran IPGM Kampus Gaya dan Arkib Negara Malaysia cawangan Sabah itu dihadiri kira-kira 1,000 warga IPGM Kampus Gaya, wakil IPGM Kampus Kent, Tuaran, IPGM Kampus Keningau, IPGM Kampus Tawau dan Arkib Negara Malaysia Sabah.

Hadir sama Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Sidek Jamil dan Pengarah IPGM Kampus Gaya, Salmah Abdullah.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Exco Pelajaran negeri, mencadangkan IPGM Kampus Gaya dinaik taraf kepada universiti yang memfokuskan kepada program kecemerlangan bahasa Inggeris dan kursus bahasa antarabangsa itu.

Katanya, beliau sedia mengetengahkan cadangan itu kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman serta membincangkannya pada mesyuarat Kabinet negeri.

Beliau berkata, IPGM Kampus Gaya memiliki sejarah tersendiri sebagai institusi perguruan yang sering menjuarai bahas Bahasa Inggeris di peringkat negeri dan kebangsaan, sekali gus memberi kekuatan kepada institusi itu untuk menjadi universiti yang menumpukan kepada kursus Bahasa Inggeris.

"Saya harap Pengarahnya mencadangkan tapak yang sesuai untuk pembinaan premis baru sekiranya kampus sedia ada tidak sesuai dijadikan universiti," katanya.

Brunei catat kes kematian pertama virus selesema babi


Margaret Chan

BANDAR SERI BEGAWAN: Brunei semalam melaporkan kematian pertama akibat jangkitan virus selesema babi atau H1N1 membabitkan seorang remaja perempuan berusia 12 tahun yang turut mengalami kegagalan fungsi hati.

Kementerian Kesihatan negara itu berkata ia adalah kematian tunggal berhubung selesema babi daripada 93 kes yang disahkan.

Kanak-kanak itu berada dalam keadaan kritikal sejak 26 Jun berikutan kegagalan hati, hepatitis dan radang paru-paru.

Pegawai kesihatan masih menyiasat bagaimana remaja itu dijangkiti virus terbabit yang disyaki memudaratkan lagi kesihatannya yang sudah pun mengalami keadaan kesihatan yang kurang memuaskan.

Sementara itu di BANDAR RAYA MEXICO, pegawai atasan kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merasmikan forum di Mexico mengenai cara memerangi virus H1N1 dengan berkata penularan penyakit itu ke seluruh dunia tidak dapat dihentikan lagi.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Margaret Chan, berkata kebanyakan kes H1N1 berstatus sederhana, dengan ramai yang sembuh tanpa mendapatkan rawatan.

"Seperti yang kita lihat hari ini, lebih 100 negara sudah melaporkan kes ini, sebaik wabak virus ini berlaku, penularan tidak dapat dihalang lagi," kata Chan dalam ucapan pembukaannya.

Beliau menegaskan majoriti pesakit mengalami gejala sederhana dan sembuh sepenuhnya dalam masa seminggu, selalunya tanpa mendapatkan sebarang bentuk rawatan perubatan.

Pengecualian, katanya, adalah wanita hamil dan mereka yang mengalami masalah kesihatan, yang berisiko tinggi mendapat komplikasi daripada virus dan perlu dipantau jika m