Followers

Thursday, October 1, 2009

Bapa sahkan Rafiza tidak cedera dalam gempa Padang

KUALA LUMPUR: Bapa pelajar Malaysia, Datuk Mohamed Nazir Merasalam, hari ini menjelaskan anaknya, Rafiza Nazir, tidak tercedera dalam kejadian gempa bumi di Padang, Sumatera, petang semalam.

Nazir berkata, anak perempuannya itu menghantar pesanan ringkas (SMS) pada jam 11 pagi tadi untuk memberitahu beliau selamat, selepas ada laporan media mengatakan beliau cedera.

Katanya, Rafiza menghantar SMS itu tidak lama selepas beliau cuba menghubungi anaknya.

"Saya akan menghubunginya sebentar lagi dan Rafiza dijangka pulang sama ada hari ini atau esok dengan menaiki pesawat AirAsia," katanya ketika dihubungi Berita Harian Online sebentar tadi.

Hari ini, Wisma Putra melaporkan pelajar perubatan tahun kedua berusia 23 tahun dari Ampang Jaya yang menuntut di Universitas Andalas itu tercedera akibat gempa bumi itu.

Ketika kejadian, Fariza sempat mengambil barang kepunyaannya, termasuk pasport serta dokumen lain dan berlari keluar bersama empat lagi rakan lain dari banglo mereka untuk menyelamatkan diri.

Rafiza juga dilaporkan berjalan kaki sejauh lima kilometer dari rumah sewanya di Gunung Tangilun, sebuah zon hijau, untuk mendapatkan perlindungan selepas gempa bumi itu.

Gempa bumi: Susilo alu-alukan bantuan Malaysia, antarabangsa

JAKARTA: Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, mengalu-alukan sebarang bantuan segera daripada Malaysia dan negara lain dalam usaha membantu mangsa bencana gempa bumi di Sumatera Barat, petang semalam.

Beliau berharap dengan semangat kerjasama Asean dan negara sahabat, mereka boleh menghulurkan bantuan seberapa segera ke kawasan yang dilanda gempa itu.

"Usaha mengendalikan keadaan bencana itu tetap di tangan kita," kata Susilo di Lapangan Terbang Halim Perdanakusumah di sini, tengah hari ini sebaik pulang dari lawatan kerja ke Amerika Syarikat dan mengadakan mesyuarat dengan menterinya.

Memetik laporan Detikcom, Susilo dilaporkan berkata Indonesia menghargai bantuan yang ditawarkan oleh negara jiran walaupun keutamaan Indonesia mengerahkan tenaga dalam negara itu terlebih dahulu.

Katanya, ketika kejadian gempa bumi 7.2 pada skala Richter di Jawa Barat bulan lalu, pemerintah Indonesia menolak bantuan asing kerana kekuatan gempa bumi tidak begitu berat dan meluas seperti yang terjadi di Padang iaitu 7.6 pada skala Richter.

Sementara itu, Panglima Tentera Nasional Indonesia Jeneral Joko Santoso pula berkata, beberapa negara asing sudah menawarkan bantuan untuk menghantar anggota tentera mereka untuk membantu mengeluarkan ribuan mangsa yang dilaporkan masih tertimbus di bawah bangunan.

"Beberapa angkatan bersenjata negara sahabat menawarkan bantuan untuk proses evakuasi iaitu Malaysia, Australia, Singapura dan Amerika," katanya. - Bernama

Gegaran kecil dirasai di Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Gegaran kecil dirasai penghuni beberapa bangunan tinggi di bandar ini, menyebabkan penghuni dan pekerja termasuk di Wisma Persekutuan dan bangunan Kompleks Tun Abdul Razak turun ke kawasan lapang.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Larkin ketika dihubungi berkata, bomba menerima panggilan telefon daripada orang awam kira-kira jam 9.58 pagi tadi yang menyatakan mereka merasai gegaran itu.

H1N1: Tiada kematian baru dilaporkan

KUALA LUMPUR: Tiada kematian baru akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan sehingga jam 9 pagi ini dan angka korban kekal pada 77 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata seramai 110 pesakit baru dengan gejala penyakit seakan influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan 157 kes telah dibenar pulang.

"Jumlah semasa kes ILI yang dirawat di seluruh negara sehingga hari ini adalah sebanyak 843 iaitu di 95 buah hospital termasuk 10 hospital swasta.

"Daripada jumlah kes ILI yang sedang dirawat, hanya 70 pesakit atau 8% merupakan kes influenza A (H1N1) disahkan melalui ujian makmal," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, daripada jumlah pesakit influenza A (H1N1) yang menerima rawatan di hospital, sebanyak 17 kes atau 24 peratus sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, terdapat satu kemasukan kes baru ke ICU dan dua kes dibenar pulang hari ini.

"Untuk makluman, 16 daripada 17 kes yang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko seperti berikut; kanak-kanak bawah 5 tahun (5), obesiti (4), penyakit kronik (6) dan penyakit respiratori kronik (1)," katanya.

Rumah terbuka: Orang ramai perlu ambil langkah pencegahan H1N1

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang ingin mengunjungi dan menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri dinasihatkan supaya mengambil langkah pencegahan Influenza A(H1N1).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata antara langkah pencegahan yang perlu diambil ialah menyediakan tempat kemudahan membasuh atau membersih tangan di samping menjaga kebersihan persekitaran serta menyediakan tempat bagi membuang sampah yang mencukupi untuk membantu membendung penularan H1N1.

"Dalam suasana menyambut Aidilfitri dan sebagai meraikan sambutan ini, terdapat banyak majlis rumah terbuka dan jamuan diadakan.

"Suasana semasa majlis rumah terbuka dan jamuan adalah sesak dengan orang ramai dan dikhuatiri penyebaran virus mudah berlaku," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, orang ramai juga digalakkan membawa kit H1N1 iaitu topeng mulut dan hidung, tisu dan sanitizer di mana saja berada termasuk ketika berkunjung ke jamuan rumah terbuka, menaiki kenderaan awam atau berhari raya di rumah sanak-saudara dan rakan. - Bernama

5 bangunan retak akibat gempa di Padang

IPOH: Pemeriksaan Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati lima bangunan tinggi di sekitar Lembah Klang mengalami keretakan kecil akibat gempa bumi berskala 7.6 Richter yang melanda Padang, Sumatera, Indonesia pada jam 6.16 petang semalam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata keretakan tersebut dikesan hasil pemeriksaan terhadap 47 bangunan tinggi di seluruh negara selepas penghuninya menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan turut merasai gegaran akibat gempa bumi berkenaan.

"Ini bukan bermakna hanya 47 buah bangunan tinggi sahaja yang merasai gegarannya kerana ada juga pemilik bangunan tinggi lain yang tidak melaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Bagaimanapun retakan yang berlaku di lima buah bangunan tinggi itu didapati tidak serius selepas pemeriksaan oleh jurutera dan pihak yang berkaitan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Sains, Teknologi dan Angkasa (SAINTEK) Perak 2009 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Katanya, walaupun tiada kemalangan jiwa dan kerosakan harta kesan daripada gempa bumi berkenaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat sentiasa bersedia untuk memberi perkhidmatan menyelamat pada bila-bila masa diperlukan.

Gempa bumi semalam dituruti oleh satu lagi gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter menggegarkan Sumatera Selatan iaitu kira-kira 162 kilometer di Barat Laut Bengkulu, Indonesia pada jam 9.53 pagi tadi. - Bernama

Pembantu rumah: Malaysia masih berbincang dengan Indonesia

KUALA LUMPUR: Malaysia masih berbincang dengan kerajaan Indonesia mengenai pengambilan pembantu rumah dari negara itu, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam hari ini.

Katanya, setakat ini kedua-dua negara telah mengadakan perbincangan sebanyak dua kali berhubung isu berkenaan dan pelbagai pendapat dikemukakan kedua-dua pihak mengenainya.

"Kita telah mengadakan dua perbincangan dengan Indonesia iaitu di Jakarta dan selepas itu di Kuala Lumpur dan kita juga masih lagi berbincang mengenai beberapa isu yang berbangkit.

"Satu lagi mesyuarat akan diadakan bulan depan dan saya berharap segala isu yang dibangkitkan kedua-dua negara ini boleh diselesaikan.

"Kita juga berharap pembantu rumah dari Indonesia dibenarkan bekerja semula di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan perhimpunan agung Persatuan Wartawan Asean ke-16 (CAJ) di sini.

Kerajaan Indonesia sejak 25 Jun lalu telah membekukan sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia berikutan aduan bahawa golongan itu didera oleh majikan mereka.

Pada 2 September lalu, Malaysia dan Indonesia bersetuju membenarkan pembantu rumah Indonesia diberi cuti sehari dalam seminggu dan mereka juga dibenarkan menyimpan pasport sendiri semasa berada di negara ini.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat ketiga Jawatankuasa Kerja bagi Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia yang diadakan di sini pada 20 Ogos lalu.

Mengenai saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya negara mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing, Subramaniam berkata:

"Ini satu pandangan yang betul, satu pandangan yang dikongsi oleh kerajaan. Masa hadapan ekonomi kita adalah untuk memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti yang diasaskan kepada ekonomi yang menjana pendapatan tinggi.

"Jumlah tenaga kerja Malaysia cuma lebih kurang 12 juta dan oleh yang demikian negara perlu guna tenaga kerja ini secara optimum dengan menambah dan meninggikan taraf kemahiran mereka."

Mengambil contoh keadaan tahun 70-an, Subramaniam berkata era itu adalah era permulaan perindustrian di negara ini dan kebanyakan industri terasas kepada buruh yang berkemahiran rendah.

"Pertamanya, ia tak boleh diteruskan lagi kerana tenaga kerja tak mencukupi dan kedua taraf pendidikan rakyat kita sudah meningkat sampai mereka tidak mahu lagi membuat kerja-kerja yang memerlukan kemahiran rendah.

"Oleh itu, kita sekarang menghadapi cabaran ini. Untuk memastikan satu perubahan dalam perindustrian negara, kita perlu memastikan industri akan menjadi (lebih) berasaskan kemahiran dan dengan itu tenaga kerja akan menjadi berkemahiran tinggi dan secara tidak langsung gaji juga akan naik," katanya.

Subramaniam berkata, pengambilan pekerja asing masih dikawal bagi memastikan keutamaan peluang pekerjaan diberikan kepada rakyat tempatan. - Bernama

Korban gempa Padang meningkat 467 mangsa

JAKARTA: Seorang pegawai kerajaan Indonesia hari ini menyatakan korban gempa bumi di Sumatera Barat meningkat kepada 467 orang.

Tugiyo Bisri dari Pusat Krisis Kementerian Hal Ehwal Sosial Indonesia berkata 467 orang disahkan maut dan 421 lagi cedera parah dalam gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter itu.

Katanya, 376 kematian dicatatkan di Padang, ibu negeri Sumatera barat.

Daerah Pasaman pula mencatatkan 75 kematian dan selebihnya di tiga lagi daerah. - AP

apa itu cinta??

Ramai yang tahu tentang cinta. Ramai yang tahu menyebut perkataan cinta. Ramai yang tahu bagaimana ingin meluahkan kata-kata cinta. Tetapi adakah anda tahu apa itu cinta yang sebenarnya? Di sini saya ingin berkongsi dengan anda tentang apa itu cinta.

Sifat Cinta
Cinta itu suci, mahal dan tinggi tarafnya. Sifat cinta itu sempurna. Jika tidak, cinta akan cacat. Itulah cinta sebenar cinta.

Cinta Wujud Sejak Dilahirkan
Rasa cinta sedia wujud di dalam jiwa manusia sejak manusia itu lahir ke dunia. Cuma manusia akan melalui tahap-tahap kelahiran cinta bermula dari cinta kepada belaian ibu, membawa kepada cinta kepadakekasih dan akhirnya setelah puas mencari cinta suci, maka akan cinta kepada Tuhan Wujudnya cinta itu tidak dapat dilihat tapi dapat dirasa dan cinta sebenar cinta itu suci murni serta putih bersih.

Cinta Bersedia
Bila sampai masanya di setiap tahap-tahap cinta, maka Tuhan menjadikan manusia itu bersedia menerima cinta itu. Pada mulanya jiwa itu bersedia menerima cinta, lantas sedia pula untuk berkongsi rasa kewujudan dengan dikasihi. Sedia untuk mengikat setia serta saling memahami. Setia untuk dipertanggungjawapkan kerana cinta. Sedia untuk menyerah diri pada yang dicintai.

Cinta Itu Indah
Walaupun kewujudan cinta tidak bisa dilihat, tetapi cinta itu indah dan cantik. Cantiknya itu tulin dan tidak ia bertopeng. Bukan saja ia cantik malah suci murni, bercahaya gemerlap dan putih bersih.

Cinta Itu Mengharap Balasan
Cinta antara manusia itu berkehendak kepada jodoh atau pasangan, dari diri yang punya persamaan, dari diri yang asalnya satu. Bila dapat yang dicari, bermakna cinta itu menganggap telah bertemu yang paling sesuai dan secocok dengan jiwanya, untuk bersatu kembali. Kehendak itu timbal balik sifatnya kerana manusia dalam bercinta tidak hanya menerima tapi juga menerima.

Cinta Itu Menakluki
Sifat cinta itu ingin menguasai. Dia mahu yang dikasihinya itu hanya khusus untuk
dirinya. Dia tidak mahu ianya dikongsi dengan orang lain. Sifat ini menuntut hak untuk mencintai dan dicintai. Tapi, dalam pada ingin menakluki, ia juga ingin ditakluki sepenuhnya.

Cinta Itu Mengetahui
Pada asasnya sebenarnya cinta itu mengetahui. Orang yang bercinta tahu siapa yang patut
dicintainya. Cinta tidak perlu bertanya. Manusia boleh jatuh cinta tanpa membaca ilmiah atau novel tentang cinta. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan. Tapi, cinta cuma tahu bercinta. Ia tidak tahu akan peraturan cinta jika tiada diberikan panduan.

Cinta Itu Hidup
Cinta adalah ibarat manusia, boleh berputik, lalu mekar serta boleh layu dan gugur. Cinta itu punya deria dan perasaan. Cinta mendengar cinta, berkata cinta, melihat
cinta. Cinta ada segala-galanya. Sayang, benci, cemburu, gembira, sedih, tenang, tertekan, ketawa dan menangis. Cinta itu hidup sampai satu ketika ia akan menemui mati.Tapi ramai orang berharap agar cinta itu kekal selagi dia masih hidup dan tetap hidup walaupun telah mati.

Cinta Itu Suci
Sebagaimana yang banyak dikatakan orang, cinta itu suci. Sucinya cinta bukan bermakna ia tidak mengharap balasan. Cinta mengharap balasan cinta. Sucinya cinta bermakna ia tidak bernoda dan tidak pula berdosa Itulah sifat asal cinta, ia suci bagaikan anak yang baru lahir. Mereka yang kenal erti cinta akan cuba mengekalkan cinta itu sesuci mungkin. Mengekalkan cinta suci bermakna menjauhkan ia dari godaan nafsu yang tidak ada batasan. Kerana nafsulah cinta suci jadi bernoda dan berdosa.

Cinta Itu Mempesona
Cinta itu bukan saja indah, tapi mempersonakan. Ia bukan kerana cinta itu nakal sifatnya tapi kerana ia suci dan bersih. Ia adalah sebagaimana anda melihat pada anak kecil yang comel dan
bersih. Dia senyum pada anda dan merapati anda. Anda terpesona kerana bukan saja ianya comel, tapi kerana dia adalah insan yang tidak berdosa. Kerana sifat cinta yang mempersona ini selalunya manusia itu berbuat silap bila bercinta.

Apa saja yang dilakukan oleh kekasihnya…mempersonakannya dan nampak cantik serta betul walaupun itu adalah satu dosa dan akan menodai cinta itu sendiri. Itulah juga yang menyebabkan orang yang bercinta itu walaupun seorang yang bijaksana, akan menjadi bodoh kerana pesona cinta. Akal itu mampu dikalahkan oleh nafsu. Nafsu itu tidak bisa dikalahkan melainkan jika anda sentiasa ingat kepada Tuhan Maha Pencipta.

Apakah itu Bukti Cinta?
Cinta perlukan bukti. Ramai orang percaya bahawa bukti cinta itu ialah mengorbankan atau menyerahkan apa saja yang kekasih anda mahu. Mereka percaya jika itu tidak berlaku, maka cinta itu tidak tinggi nilainya. Sebenarnya anggapan itu tidak tepat. Jika anda beri semua yang dia mahu,apakah yang tinggal pada anda? Benarkah dia cinta pada anda bila dia mahukan pengorbanan anda?

Cinta sejati tidak memusnahkan atau merosakkan diri kekasih yang dicintai. Malah ia menjaga agar kekasih tetap suci dan selamat sebagaimana sucinya cinta itu sendiri.

Gempa 6.8 skala Richter dirasai di pantai barat Semenanjung

KUALA LUMPUR: Gempa bumi berukuran 6.8 skala Richter yang berlaku di selatan Sumatera sebentar tadi, dan tiada ancaman tsunami dilaporkan.

Gegaran itu turut dirasai di Johor, Melaka, negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur. - Bernama

Gempa bumi 7.0 skala Richter gegarkan Sumatera

JAKARTA: Gempa bumi pada ukuran 7.0 Richter melanda kepulauan Sumatera hari ini, tenggara kawasan yang berlaku gempa kuat baru-baru ini sehingga menyebabkan 1,000 mangsa dikhuatiri terbunuh, kata ahli geologi.

Gempa itu berlaku pada jam 8.52 pagi tadi, iaitu 225 kilometer tenggara bandar Padang yang dilanda bencana itu.

Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) meletakkan gempa itu pada ukuran 6.8 Richter.

"Ia adalah bandar yang penuhi penduduk tetapi masih belum ada laporan berhubung kematian," kata ketua teknikal agensi geofizik dan meteorologi Indonesia, Suharjono. - AFP

Korban gempa bumi Padang cecah 200 orang, ribuan mangsa masih tertimbus

JAKARTA: Gempa bumi kuat yang berlaku berhampiran bandar Padang di Sumatera semalam sudah meragut 200 nyawa dengan ribuan lagi mangsa tertimbus di bawah runtuhan.

Jurucakap agensi bencana Indonesia, Priyadi Kardono, menyatakan angka korban gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter itu kini ialah di antara 100 hingga 200 orang.

Kira-kira 500 bangunan kediaman di bandar dengan penduduk seramai 900,000 itu runtuh, memerangkap ribuan mangsa.

Ketua Pusat Bencana Kementerian Kesihatana Indonesia, Rustam Pakaya, berkata sehingga pagi ini ribuan orang terperangkap di bawah runtuhan.

Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, memberitahu sidang media lewat malam tadi bahawa angka korban dijangka meningkat kerana banyak bangunan runtuh.

“Bangunan besar sudah runtuih. Bangunan konkrit semuanya runtuh, hospital, pasar utama runtuh dan terbakar," katanya. - Reuters

118 maut akibat tsuami di Samoa

APIA: Sekurang-kurangnya 118 maut akibat tsunami yang melanda kepulauan Samoa semalam dan pihak berkuasa percaya angka korban terus bertambah, termasuk mereka yang hilang.

Di Samoa Amerika, angka kematian meningkat lima lagi menjadikan keseluruhan 27 orang, 84 di Samoa dan tujuh di Tonga.

Pihak berkuasa masih menjalankan misi mencari dan menyelamat mangsa dengan setakat ini 2,488 tinggal di khemah perlindungan sementara. - AFP

Gempa Padang: 75 disahkan mati setakat malam tadi

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 75 orang disahkan mati dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter di wilayah Sumatera Barat, Indonesia setakat malam tadi.

Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla berkata jumlah sebenar kematian belum dapat dipastikan tetapi laporan awal yang diterimanya daripada Datuk Bandar Padang menyebut semua mangsa mati di hospital.

"Mungkin angka kematian akan bertambah kerana masih banyak dipercayai terperangkap dalam runtuhan bangunan termasuk hotel," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Kabinet di kediamannya di sini, malam tadi.

Mesyuarat itu, menurut laporan media massa tempatan online dihadiri beberapa menteri kabinet yang berkaitan dengan pengurusan bencana.

Jusuf berkata ketika ini Kota Padang gelap gelita akibat terputus bekalan elektrik dan hujan lebat yang masih turun.

Sementara itu, enam pegawai kedutaan besar Malaysia di sini tidak dapat berangkat ke Padang malam ini kerana Lapangan Terbang Minangkabau ditutup akibat kerosakan yang dialami dalam kejadian gempa pada jam 5.16 petang Rabu.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Dr Junaidi Abu Bakar berkata mereka akan berangkat dengan kapal terbang pertama yang dibenarkan terbang dari sini ke Padang hari ini untuk membantu 330 pelajar Malaysia di Padang, yang walaupun selamat tetapi kehilangan tempat tinggal kerana rumah-rumah mereka runtuh. - Bernama

Pusat Amaran Tsunami Pasifik tarik balik amaran tsunami

KUALA LUMPUR: Selepas kurang satu jam Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami ke atas Indonesia, Malaysia, India dan Thailand, pusat terbabit menarik balik amaran berkenaan.

Ia susulan gempa bumi kuat yang melanda selatan Sumatera berukuran 7.9 Richter pada jam 6.20 petang tadi yang turut menggegarkan pantai barat Semenanjung.

Laporan Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS), menyatakan bahawa gempa yang berlaku jam 5.16 petang (waktu Jakarta) di selatan Sumatera membabitkan Kuala Lumpur dengan jarak 480 kilometer dari pusat gempa; Padang, Pekanbaru dan Sibolga.

Pelajar Malaysia di Padang selamat

JAKARTA: Seramai 330 pelajar Malaysia di Padang, Sumatera dilaporkan selamat selepas kejadian gempa bumi yang berlaku berhampiran bandar itu, demikian disahkan oleh Jabatan Penuntut Malaysia di sini.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia, Dr Junaidi Abu Bakar, berkata 80 peratus daripada pelajar sudah berkumpul di lapangan kampus perubatan Universiti Andalas sehingga jam 6.30 petang tadi.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa bumi berskala 7.7 Richter berlaku di selatan Sumatera jam 6.16 petang menyebabkan gegaran turut dirasai di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia.

Gempa bumi itu berlaku kira-kira 60 kilometer (km) barat daya bandar Padang di Sumatera dan 452 km barat daya Melaka.

Sementara itu, Pusat Tsunami Pasifik menarik balik amaran tsunami yang dikeluarkan selepas gempa bumi itu. - bernama

Gegaran susulan 5.4 Richter selang 20 minit

KUALA LUMPUR: Gegaran kedua gempa bumi berukuran 5.4 Richter yang melanda selatan Sumatera pada jam 6.38 petang tadi, susulan gempa pertama kira-kira 20 minit lalu.

Ia turut menggegarkan pantai barat Semenanjung berikutan gempa pertama berukuran 7.9 Richter di pusat gempa selatan Sumatera.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami terhadap Indonesia, Malaysia, India dan Thailand.

Bagaimanapun, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataannya petang ini bahawa tiada amaran ancaman tsunami berikutan kejadian gempa kuat itu.

Gempa 7.9 magnitud di Sumatera turut dirasai di Semenanjung

KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat berukuran 7.9 magnitud yang melanda selatan Sumatera pada jam 6.20 petang tadi turut dirasai hampir seluruh pantai barat Semenanjung.

Menurut laporan Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS), gempa yang berlaku jam 5.16 petang (waktu Jakarta) di selatan Sumatera membabitkan Kuala Lumpur dengan jarak 480 kilometer dari pusat gempa; Padang, Pekanbaru dan Sibolga.

Tsunami Samoa: Angka kematian cecah 76

APIA: Angka kematian gempa bumi selatan pasifik dan tsunami disahkan meningkat kepada 76 lewat semalam dan dijangka meningkat lagi, menurut pegawai negara itu.

Sekurang-kurangnya 47 maut di Samoa, 22 di negara jiran Amerika Samoa, berhampiran pusat gempa yang menggegarkan pada skala magnitud 8.0, dan tujuh yang lain terbunuh berhampiran Tonga.

Berdozen mangsa yang lain masih hilang dan dikhuatiri terbunuh, tetapi pegawai di ketiga-tiga negara kepulauan pasifik selatan itu berkata, sistem perhubungan tergendala di kebanyakan kawasan kampung. - AFP

H1N1: Tiada kematian baru sejak 19 September lalu

KUALA LUMPUR: Tiada kematian baru akibat Influenza A (H1N1) didaftarkan sejak 19 September lepas dengan angka kematian kekal 77 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata, bagaimanapun 147 pesakit baru gejala influenza-like illness (ILI) dimasukkan ke hospital hari ini menjadikan jumlah semasa kes ILI yang dirawat di seluruh negara kini menjangkau 890 orang, iaitu di 82 hospital termasuk sembilan hospital swasta.

"Walaupun terdapat pengurangan kes sejak kebelakangan ini, namun penularan penyakit Influenza A (H1N1) dalam komuniti masih aktif," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, penyebaran virus Influenza A (H1N1) dikhuatiri berlaku ketika musim perayaan Aidilfitri terutama sekali ketika penganjuran majlis rumah terbuka dan jamuan yang kebiasaannya dipenuhi dengan orang ramai.

Oleh itu, beliau menasihatkan orang ramai yang ingin mengunjungi majlis rumah terbuka dan jamuan Hari Raya supaya mengambil langkah-langkah bagi mencegah jangkitan influenza A (H1N1).

Sementara itu, Dr Mohd Ismail, berkata kesemua kes yang disahkan positif Influenza A (H1N1) mempunyai faktor risiko, iaitu tujuh pesakit terdiri daripada kanak-kanak bawah lima tahun, obesiti (empat), penyakit kronik (enam) dan penyakit respiratori kronik (satu). - Bernama

Amaran tsunami kepada Indonesia, Malaysia, India, Thailand

JAKARTA: Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami kepada Indonesia, Malaysia, India dan Thailand berikutan gempa bumi berukuran 7.6 mangnitud melanda barat Sumatera, jam 6.20 petang tadi.

Jabatan Meteorologi Indonesia melaporkan gempa berkenaan berukuran 7.6 magnitud yang berpusat di pantai Sumatera.

Gegaran dapat dirasai di bangunan tinggi di Jakarta sehingga ke Singapura dan Malaysia.

Setakat ini tiada laporan segera mengenai ketinggian ombak dan mereka yang cedera. - AP