Followers

Sunday, October 25, 2009

30 maut dalam serangan bom kereta di Baghdad

BAGHDAD: Dua bom kereta mensasarkan dua bangunan kerajaan di tengah Baghdad membunuh sekurang-kurangnya 30 orang dan mencederakan 40 yang lain.

Polis dan Televisyen Kebangsaan Iraq berkata letupan berkenaan disasarkan terhadap bangunan kerajaan negeri Baghdad dan Kementerian Keadilan. - Reuters


Korban bom kereta Baghdad cecah 62 orang

BAGHDAD: Angka kematian daripada serangan bom kereta berkembar di Baghdad hari ini meningkat kepada 62 orang dengan 158 lagi cedera.

Sumber polis berkata, bom berkenaan diletupkan pengebom nekad berhampiran bangunan Kementerian Keadilan dan kerajaan negeri. - Reuters

Angka korban dua serangan bom di Baghdad cecah 106 orang

BAGHDAD: Dua letupan bom kereta yang dipercayai didalangi Al-Qaeda memusnahkan bangunan Kementerian Keadilan dan kerajaan negeri di Baghdad hari ini, serta membunuh sekurang-kurangnya 106 orang.

Kira-kira 600 yang lain juga cedera dalam serangan bom hampir serentak pada jam 10.30 pagi (0730 GMT) yang menyebabkan jalan raya dipenuhi cebisan mayat rentung dan anggota badan manusia serta runtuhan bangunan.

Letupan itu yang disifatkan kerajaan sebagai memiliki sentuhan Al-Qaeda, turut memusnahkan puluhan kenderaan dan paip air, menyebabkan air kotor melimpahi jalan yang ditumpahi darah

Satu letupan berlaku di persimpangan yang sibuk berhampiran bangunan Kementerian Keadilan manakala satu lagi di kawasan bertentangan bangunan kerajaan negeri.

Perangkaan daripada empat hospital di Baghdad menunjukkan sekurang-kurangnya 106 orang terbunuh dan hampir 600 cedera dalam serangan itu. - AFP

Penyakit jantung pembunuh utama di hospital kerajaan

KUALA LUMPUR: Penyakit jantung dan penyakit pulmonari adalah pembunuh utama di hospital kerajaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata 16.5 peratus daripada 45,936 kematian di hospital kerajaan tahun lalu disebabkan penyakit jantung.

"Jumlah ini adalah besar dan kami mahu sokongan semua sektor untuk mencari kaedah dan cara bagi mengurangkan penyakit jantung, yang kini semakin meningkat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan "Heart House", Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia (NHAM) di sini, hari ini.

Beliau berkata di negara ini, penyakit jantung koronari dianggarkan dihidapi 141 orang bagi setiap 100,000 penduduk setiap tahun.

Katanya, ini bermakna bagi penduduk yang berjumlah 27 juta orang, kira-kira 38,000 kes baru penyakit jantung koronari dijangka berlaku setiap tahun.

"Ini adalah satu bebanan kepada sistem penjagaan kesihatan kita. Kira-kira 60 peratus daripada kes ini akan diuruskan di unit penjagaan koronari kementerian, manakala bakinya pula mendapatkan rawatan di kemudahan kardiak swasta dan bukan kerajaan," katanya.

Bagi mengurangkan bebanan itu, Liow menasihati orang ramai supaya mengawasi faktor risiko untuk menghidap penyakit jantung, termasuk tekanan darah tinggi, kolestrol darah tinggi, merokok, kurang bersenam serta pemakanan tidak seimbang, dan mendapatkan rawatan awal. - Bernama

Projek luar bandar ikut keperluan akar umbi: Shafie

KOTA KINABALU: Semua projek luar bandar yang baru khususnya di Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan berdasarkan keperluan golongan akar umbi dan bukannya atas kehendak pengurusan atasan, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan projek luar bandar itu benar-benar menepati sasaran dan memberi manfaat kepada rakyat seperti yang diharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Kali ini satu jawatankuasa khas akan meneliti kesesuaian semua senarai projek luar bandar yang dikemukakan dan hanya meluluskan projek memenuhi keperluan rakyat.

"Sebab itu, kita memerlukan senarai lengkap projek pembangunan luar bandar yang diperlukan di setiap kawasan daripada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri sebelum melaksanakannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Peladang Negeri Sabah kali ke-23 di IBorneo, dekat sini hari ini.

Mohd Shafie berkata, kementeriannya sudah menerima sebahagian besar senarai projek luar bandar yang dicadangkan untuk dilaksanakan di seluruh negara.

"Proses penyenaraian projek ini masih berterusan dan kita berharap semuanya selesai menjelang akhir tahun ini," katanya.

Mohd Shafie berkata, kementeriannya diperuntukkan sebanyak RM2.3 bilion di dalam Bajet 2010 bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan infrastruktur luar bandar.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM857 juta diperuntukkan untuk membina jalan luar bandar dan jalan kampung manakala RM530 juta untuk projek bekalan air dan RM825 juta lagi bagi menyediakan kemudahan elektrik luar bandar.

Mohd Shafie berkata, kementeriannya akan memastikan tidak berlaku monopoli tender projek luar bandar, sebaliknya memberi peluang lebih luas kepada semua kontraktor yang layak untuk menyertai pelaksanaan projek yang dirancang untuk kemudahan rakyat.

"Kita tidak mahu wujud keadaan di mana hanya kontraktor tertentu yang diberikan kontrak untuk projek luar bandar. Kita mahu peluang yang sama diberikan kepada kontraktor lain yang layak," katanya.

Terdahulu, Mohd Shafie berkata pengumuman Perdana Menteri dalam Bajet 2010 jelas membuktikan negara ini memerlukan peladang produktif yang mengamalkan pertanian moden untuk menjamin bukan sahaja bekalan makanan sentiasa mencukupi malah keselamatan dan kemakmuran yang dinikmati sekarang berkekalan. - Bernama

Pas berpecah kepada dua: Najib

HUA HIN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata percanggahan dalam Pas nampaknya sudah sampai ke kemuncak dan semakin serius sehingga timbul dua kumpulan dalam parti itu.

Najib yang juga Presiden Umno berkata, satu kumpulan mahu bekerjasama dan mewujudkan persefahaman dengan Umno dalam bentuk yang sesuai manakala satu lagi menentangnya.

"Ada pihak yang lebih mementingkan politik daripada ummah. Kita hargai pihak yang melihat Umno sebagai mewakili orang Melayu, berjasa dalam perjuangan ummah dan menjaga kepentingan kaum-kaum lain," katanya pada sidang media selepas tamatnya Sidang Kemuncak Asean ke-15 di sini.

Najib berkata, percanggahan dalam Pas nampaknya semakin serius berikutan hasrat Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengadakan Muktamar Agung Khas Pas untuk membersihkan parti daripada pemimpin-pemimpin yang bermasalah.

Perdana Menteri berkata, ada kumpulan dalam Pas yang tidak mahu bekerjasama dengan Umno untuk menegakkan kepentingan orang Melayu dan Islam semata-mata kerana kepentingan politik mereka.

Pihak ini, katanya, tidak menghargai jasa Umno dalam mewakili kepentingan orang Melayu dan menjaga perpaduan ummah.

Katanya, terdapat sekumpulan pemimpin dalam Pas pula yang berhasrat untuk mencari pendekatan yang boleh membawa kepada perpaduan ummah, mirip kepada bekerjasama.

"Apa bentuk tak tahu... maknanya tak mahu perpecahan. Satu lagi kumpulan mahu perbalahan berterusan dan tiada pertimbangan apa-apa untuk perpaduan," katanya.

Ditanya sama ada Umno akan mengadakan perbincangan dengan Pas, Najib berkata selagi Pas tiada kata sepakat, Umno tidak boleh mengadakannya secara rasmi.

"Kita tunggu dan lihat perkembangan dalam Pas," katanya sambil menambah bahawa sebarang perbincangan tidak akan membuahkan hasil jika diadakan dengan wakil tertentu sahaja dan bukan keseluruhan parti itu.

Mengenai "Pelan Perpaduan Lebih Unggul" yang diumumkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, bagi menyelesaikan kemelut dalaman parti itu, Najib berkata beliau telah menasihatkan dua pemimpin utamanya dan naib presiden untuk mencari penyelesaian secepat mungkin.

"Nampaknya mereka terima penyelesaian berdasarkan permuafakatan dua kumpulan. Sebab tiada satu kumpulan yang mendapat majoriti atau lebih 50 peratus berdasarkan EGM. Mahu tidak mahu mereka akur dan terima hakikat," katanya.

Najib berkata, hanya dengan kerjasama kedua-dua pemimpin boleh mewakili keseluruhan dalam MCA.

Khamis lalu, Ong dan seterunya yang juga bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, bersetuju untuk bekerja sebagai satu pasukan untuk menyatupadukan parti dan menyelesaikan krisis kepimpinan MCA di bawah "pelan perpaduan lebih unggul".

Ong telah menyatakan bahawa pelan perpaduan itu mendapat persetujuan dan sokongan Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional. - Bernama

Arab Saudi tutup sekolah selepas 2 kematian H1N1

RIYADH: Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengumumkan ia akan menutup sementara dua sekolah selepas dua pelajar mati akibat selesema babi.

Saudi Press Agency menyatakan pihak berkuasa membuat keputusan itu selepas kematian kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun di al-Sharqiyah semalam.

Menteri Pelajaran Arab Saudi menyatakan pada September lalu bahawa seolah akan ditutup selama seminggu jika 10 peratus pelajar menunjukkan tanda-tanda selesema atau jika seorang pelajar mati akibat penyakit itu. - AP

Jakim pertingkat latihan program sijil halal

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) akan melatih beberapa pegawainya untuk melaksanakan program pensijilan halal antarabangsa, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Beliau berkata pegawai Jakim terpilih akan dilatih di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di Bangi dan mereka akan membantu pasukan Jakim sedia ada membuat pemeriksaan pensijilan halal di luar negara.

"Ia sebagai persiapan bagi menghasilkan sijil halal yang boleh diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis sambutan Aidilfitri bersama Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam di Brickfields di sini hari ini.

Wan Mohamad berkata, Jakim akan meneruskan berkerjasama dengan 42 pertubuhan Islam di 22 negara yang selama ini menjadi ejen Jakim dalam melaksanakan proses pensijilan itu.

Katanya, keutamaan memperoleh pensijilan halal antarabangsa itu akan diberikan kepada syarikat-syarikat Malaysia yang melabur di luar negara. - Bernama

Peruntukan RM3.7 bilion dimanfaat: Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, akan memastikan kementeriannya memanfaatkan sepenuhnya peruntukan RM3.7 bilion dalam Bajet 2010 bagi mempertingkatkan kecekapan anggota keselamatan dan perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Malah saya juga akan pastikan pihak KDN bekerja keras bagi menjayakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang dipertanggungjawabkan di bawah KDN iaitu mengurangkan indeks jenayah sebanyak 5 peratus termasuk mengurangkan indeks jenayah jalanan sebanyak 20 peratus pada akhir," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, peruntukan itu juga akan disalurkan untuk pembelian 50 van penumpang, 400 pucuk pistol 9mm, dan penyediaan pakaian seragam anggota Ikatan Relawan Negara (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang terpilih sebagai Sukarelawan Simpanan Polis.

Beliau berharap anggota PDRM menghargai keprihatinan dan kesungguhan kerajaan dalam meningkatkan kebajikan dan keselesaan mereka dalam bajet kali ini.

"Selain menambah baik kemudahan dan infrastruktur di balai polis serta menubuhkan Sekolah Latihan Kontinjen, pihak kerajaan juga akan melaksanakan inisiatif dengan membeli alat perhubungan, dan kelengkapan PDRM seperti lanci-lanci, alat perhubungan radio, senjata api dan peluru, kenderaan, kapal terbang, alat bantuan teknik dan sistem teknologi maklumat," katanya.

Hishammuddin berkata, sebanyak 35 projek untuk kemudahan kuarters, pejabat dan ubah suai bangunan di bawah "Bina, Sewa dan Pindah" (BLT) dijangka siap tahun depan.

"Ianya membabitkan enam kuarters, dua Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), 10 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), sembilan balai polis, tiga Pasukan Gerakan Am (PGA), satu maktab polis, satu pusat latihan polis, satu mes pegawai kanan PDRM, satu lokap dan stor barang kes dan satu pangkalan polis marin," katanya.

Pada masa sama, katanya, sebanyak 25 projek pembangunan, 12 projek penambahbaikan dan 12 projek di bawah peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dijangka siap pada tahun sama (2010).

"25 projek pembangunan tersebut membabitkan lapan pondok polis, 13 balai polis, dua pusat latihan dan dua pangkalan marin. 12 projek penambahbaikan pula membabitkan satu IPK, lima IPD, lima balai polis dan satu maktab polis. Manakala 12 projek di bawah JPM pula membabitkan 12 projek perumahan PDRM," katanya.

Hishammuddin juga menyambut baik usaha kerajaan untuk mengguna pakai Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 bagi memperkemaskan keberkesanan penguatkuasaan ke atas kegiatan ceti haram atau along.

"Usaha ini penting bagi menangani kegiatan haram along yang telah menimbulkan rasa trauma serta tidak selamat di kalangan mangsa serta anggota masyarakat keseluruhan," katanya. - Bernama